Sunday, June 29, 2025

3H2M-Ipoh D2

Bila datang ramai menginap di homestay lebih berbaloi. Berkumpul satu rumah berbanding hotel, bilik berasingan. Lagipun kemudahan homestay kini sesetengahnya sudah menyamai taraf hotel. Kini banyak apartmen servis yang dipajak menjadi rumah-rumah penginapan percutian cantik lengkap dengan kolam renang, gym dll



Homestay yang kami sewa di tengah bandar Ipoh. Pemandangan boleh tahan cantik.. 

Di tempat yang sering dikunjungi kalau tak mau merayap, masa diisi dengan melepak di rumah atau berkubang di kolam. Di Ipoh tak taulah apa lagi yang nak dikunjungi.

Berjalan di dalam negara pastinya tak sama ke tempat yang pertama kali sampai seperti luarnegara...Di luar sana terasa rugi jika pergi jauh sekadar melepak di bilik. Waktu terisi dengan jadual lawatan.




Di sini kita meluangkan  masa bersantai sambil cari tempat makan- makan..


Tempat tempat-makan selain port favorit akan merujuk dulu  carian internet..mana yang mendapat maklumbalas positif dan rating tertinggi ke situlah yang kami tuju.
 
Tengahari makan  di  Kosiswa Jalan Laksamana..Port makan tepi sungai dengan bermacam- macam juadah serta kuihmuih. 



Malam ke 2 meraikan team futsal hospital dari Perak yang mendapat tempat ke 2 dan ke 3 dari 24 pasukan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak.




Hari ke 3 sesudah subuh terus bergerak balik. . Hari Ahad jika terlewat akan menempuh kesesakan bila warga kota mula kembali ke tempat masing masing..

Saturday, June 28, 2025

3H2M Ipoh...

Jumaat 27hb adalah cuti awal Muharam. Perancangan asal tidak meronda ke mana-mana memberi peluang orang lain menyesakkan jalanraya. Kita orang kebun tidak terikat dengan waktu pejabat boleh saja berpergian bila- bila masa. Bila cuti bersambung dengan cuti hujung minggu jalanraya ke semua arah akan padat.


Rupanya anak cucu Bagan Serai akan ke Ipoh mengikuti ayah yang mempunyai pogram kejohanan futsal antara hospital peringkat kebangsaan. Tak jauh dah sekitar 2jam dalam keadaan trafik biasa, kita pun mengambil kesempatan bertemu dengan cucu-cucu jauh..

Sementara menunggu cucu Wangsamaju dikirim, meneruskan rutin Jumaat berkubang air panas KKB.

 Bawak yang besar usia 4 tahun,  yang lelaki berusia 2 thn tak  bawak, tak sanggup memantau 2 orang.



Sesudah Jumaat bergerak. . Menuruti saja keinginan dengan membuatkan khemah di tempat duduk  belakang. Itupun tetap  ke depan dan ke belakang. Hah bawa sorang pun sudah bermacam kerenah bayangkan jika bawa berdua pada usia sedang lasak. 


Kepenatan/kebosanan lama sangat dalam kenderaan sehingga tertidur. Pemanduan biasa 2 jam , kalini dekat maghrib baru sampai di homestay Ipoh melebihi 4 jam pemanduan..pergh..



Anak cucu utara telah lama tiba...Gembira dapat bertemu sesama mereka...Sampai terus diajak berkubang..


 

Tak tau lagi apa nak dibuat sepanjang disini nanti, mengikuti saja pogram anak yang susun..Malam pertama tiada mood nak keluar, makan pun tempah online, dah jelak duduk lama dalam kesesakan tadi. 

Jadi kita bergolek awal..

Friday, June 27, 2025

Ubat Kuku Anti Fungus..


Kan dah cakap bila phone di tangan akan ada saja barang dibeli online, tak lama selepas piring mesin rumput tiba, ubat spray kuku pula sampai. 

Macam tau tau jer sistem AI media social mengeluarkan iklan keperluan barang yang kita cari..

Adat berkebun memakai boot getah  setokin/kaki sentiasa basah dek peluh, adakala sehingga terendam dengan peluh, biarpun membawa stokin tambahan sekejap saja basah semula. Oleh kerana sering basah dalam tempoh yang lama kuku mudah terkopak dan dijangkiti kulat . Naik malu bila melihat kuku jari kaki yang rosak dan buruk.


Kita taklah mengharap kuku secantik model, kita dapat kuku tumbuh melekap dikulit, sihat tiada lompong terjungkit pun oklah...Selalu kacau ketika rukuk, fikiran tak tenang terpandang kuku yang cacat..diluar solat boleh lah disembunyi disebalik kasut.


Kebetulan lalu iklan ubat spray ketika melayari media sosial, tak fikir panjang terus membeli. Keberkesanan tak diketahui lagi. Kalau ikutkan promosi keberkesanan seawal 3 hari.


Penggunaan sehari 3x spray dikuku yang rosak .


Harga pun boleh tahan, 2 pek 30ml berharga Rm79.

Harap berkesan..



Wednesday, June 25, 2025

Piring Tali Mesin Rumput...

Promosi sekali, 2x muncul mungkin buat tak endah, bila kerap muncul termakan juga umpan, klik promo untuk ketahui lebih lanjut berkenaan produk dan akhirnya terbeli juga. Harga pun tak mahal bawah RM12 termasuk wang pos.



Piring ni aksesori wajib mesin rumput kelebihan piring ini ianya menggunakan ribet bukan klip jadi lebih robust., Jika pengepit klip terlonggar tali mudah tercabut, namun  kalau setakat ciri ciri itu  mungkin tidak cukup menggoda untuk menambah koleksi piring. Piring sediada memang pernah terkena bila klip asyik longgar.

Ciri tambahan yang tiada pada piring biasa, pangkal tali tak perlu disimpul, cukup diselit pada lubang tambahan yang lebih mendorong untuk membelinya.

Menyimpul tali ni tersangat leceh, simpulan tak kemas ianya boleh terbuka ketika berpusing laju..kekadang sampai sakit jari  untuk menarik simpulan. Tanpa simpulan penyediaan lebih pantas dan dapat dikurangkan pembaziran tali pemotong.


Sesekali memegang mesin rumput mungkin hal sebegini nampak remeh, untuk orang kebun sedikit penjimatan terutamanya masa ia sangat-sangat bermakna..

Tuesday, June 24, 2025

Baja Kompos Mudah...

Harini melawat kebun tumpang

Huh buah nenas  dari hadapan nampak cantik,  bila lalu sebelah belakang rupanya berlubang kesan dimakan binatang..tak pasti haiwan apa..mungkinkah tupai.

Buah rambutan di halaman rumah tak pasti dapat merasai buah ranum atau tak..di bawah pokok kelihatan berguguran kulit buah muda kesan dibedal sang tupai..jambu bol sikit pun tidak bersisa..



Balut dengan daun pisang kering untuk sembunyikan dari pemangsa..


Buah sedang membesar, saiz tak kalah dari buah yang ditanam secara komersil, daripada banyak pokok, 2 pokok sedang berbuah..




3 pokok pisang ni pun tunggu masa meranum..2 pokok telah tumbang tapi ditongkatkan semula, biar buah benar benar matang. Tandan yang dituai terdahulu masih berbaki..dituai ketika pokok tumbang, ternyata tidak betul-betul matang, setelah lebih seminggu buah tidak menguning lagi.

Bila dikukus buah masih keras..hanya sesuai dimasak gulai. Kalau dah  mengkal menguning dan dikukus fuh jadilah seperti lepat pisang tanpa tepung.

Begitu nikmat dimakan  sesudah penat berkebun. 




Sampah berdaun kalau dulu dibakar, cuma leceh asap berkepul mengganggu kejiranan, kini terus tabur bawah pokok tanaman...Kaedah ini lebih ringkas tak perlu membakar kemudian terpaksa mengutip dan menabur lagi tanah bakar. 

Pokok pisang dulu tidak bermaya, setelah disungkup dengan sampah berdaun, kelihatan semakin subur...musim panas bawah timbunan sampah berwap membasahi pangkal pokok, lama kelamaan reput menjadi baja kompos..



Mari mari pekena kelapa muda...

Jomlah berbakti pada tanah..

Sunday, June 22, 2025

Pokok Bahu Jalan...

Kita orang kebun, sukakan kehijauan, bila prsekitaran togel terasa lemas. Rimas  terasa bahang matahari tanpa lindungan pokok-pokok.  Tidak selesa bila kenderaan dibiarkan berpanas apatah lagi manusia. Kehijauan persekitaran mampu mengurangkan bahang sehingga 30 peratus..

Pelik bila pemaju samada tertinggal atau sengaja tinggalkan bahu jalan lorong perumahan tanpa di tanam pokok -pokok, sebaliknya bahu jalan dikonkrit . Lagi pelik  ada penduduk meminta pihak majlis  menebang pokok dengan alasan daun mengotori laman  rumah. Ada juga yang menakik pangkal  pokok supaya mati. Bagi penulis ini bodoh.

Kita selalu mengeluh panas, panas dan panas, sedangkan jika kita ke kawasan hutan, biarpun matahari tegak diatas kepala, masih lagi terasa nyaman dan selesa. Itulah peranan kehijauan selain menjadi penapis udara..Tangan tangan manusia yang merosakkan fitrah alam.

Tak sanggup berterusan melawan fitrah alam tanpa lindungan pokok,
penulis bercadang menanam pokok di bahu jalan. 
Telah dikenalpasti dua lokasi. Berbekalkan pahat dan tukul lantai bahu jalan konkrit hadapan rumah terpaksa dipecahkan. 
Manakala satu lagi adalah bekas tapak yang dulunya berpokok jadi tak perlu memecahkan lantai konkrit lagi.


 Hari pertama memulakan kerja memecah lantai.


Hari ke 3

Sehari buat sikit lama kelamaan habis juga...tiada tempoh siap ditetapkan.


Sebahagian lorong ini tiada sebatang pun pokok, lari dari kebiasaan taman perumahan...

Pokok yang akan ditanam telah dikenal pasti, di sebahagian lorong spesis sama ditanam oleh pemaju..Harga anak pokok Rm25 sahaja..

Kita perlu bersahabat dengan alam bukan memusuhinya..


Saturday, June 21, 2025

Kursus Pertanian...

Terbit rasa menyesal kenapa tak dari dulu lagi menghadiri kursus, bila dibelek semula perbualan wasap, tanpa sedar sudah 1 tahun 2 bulan berhubung dengan pegawai pertanian kawasan untuk mendapatkan peruntukan menggali telaga bawah tanah untuk pengairan kebun. Antara mesej terakhir, perlu menghadiri kursus untuk melayakkan diri memohon pelbagai peruntukan seperti baja dan keperluan pertanian lain. 

Dulu diberitahu jika permohonan lulus sekalipun, tempoh menunggu giliran mengambil masa yang lama.. Kalau dulu terus memenuhi syarat rasanya sesudah 1 tahun 2 bulan mungkin giliran menggali telaga telah tiba atau tinggal sedikit waktu saja lagi. Ermm

Benar tidak semua permohonan dipenuhi, selain kekangan bajet,  ramai sangat pemohon, perlu menunggu giliran. Kalau tak dapat semua dapat sebahagian sudah memadai. 

Peluang mendapatkan bantuan telaga bawah tanah adalah cerah kerana jabatan pertanian negeri mempunyai kontraktor panel gerudi telaga. Jika membuat sendiri kos dianggarkan dalam 15 ribu..




Biarpun lambat, peluang jangan dilepaskan. Jumaat baru ini datang ke pejabat pertanian kawasan di Kalumpang Hulu Selangor untuk menyerahkan borang menghadiri kursus slot bulan Julai dan Ogos 2025


 Julai- Kursus fertigasi Meja

Ogos - Kursus Pembuatan Baja kompos

Kursus 2H1M. Makan minum dan penginapan turut disediakan. Percuma. Walaupun tempat kursus tidak jauh dari rumah, tetap memohon penginapan barulah serius berkursus.

Bila dah ada air telaga nanti barulah selesa bermalam di villa kebun sambil tunggu durian gugur..Argh berangan itu percuma..





Villa Kebun belum siap sepenuhnya, biarpun kecil ia lengkap dengan pangkin tidur  berdua, pangkin duduk, pangkin memasak, pangkin juadah, kabinet untuk peralatan dapur, khemah dan alatan mini kebun. Tandas berasingan belum dibina...


Biarpun villa kebun ada iras- iras kandang kambing, tak kesahlah..yang penting line telefon penuh..

Berkebun ibarat acara marathon, slow and steady, kalau terlalu laju memecut takut pancit ditengah jalan.

Sabar...


Thursday, June 12, 2025

Jjcm Tampin..

Kalau perjalanan ke utara ada port makan favorit di Sungkai atau Ipoh, Kalau nak makan kari ikan sembilang pergi ke Tg Piandang Parit Buntar Perak.


  Ke timur biasanya singgah makan ikan patin tempoyak di Temerloh, Kamaman pun sering singgah, disini sata padu. Kuala Trengganu rambang mata memilih menu..Kalau nak makan sambil dibelai bayu laut boleh makan ikan celup tepung di sepanjang Pantai Penarik.

Kalau ke selatan banyak, masakan salai boleh singgah di Sg Merab Bangi, Nilai pun ada, begitu juga di Seremban..

Medan ikan bakar boleh tuju Pantai Umbai Melaka, Sabak Aur Muar pun mantap, tapi selaunya jarang tak singgah makan asam pedas di Parit Jawa Muar.. 


Kini bertambah koleksi port makan jika ke selatan, Lomak Salai  Tampin. Hebahan pernah lalu di FB. Setelah sekian lama baru berkesempatan singgah..

Singgahan ke sini Selasa dalam perjalanan balik ke Lembah Klang, memang tidak menghampakan, bertepatan dengan ciri suasana dan selera..





Hari biasa pengunjung pun ramai, hujung minggu mungkin sesak..tapi sistem pengambilan makanan dan bayaran sangat bersistematik. Pembantu kedai pun ramai...

Masakan menepati selera, harga berpatutan...Selalunya daging dan itik salai menjadi pilihan



Daging salai lomak podeh, asam pedas tetel, pucuk ubi lomak, terung sambal, ikan kering pekasam berserta air mineral RM53.


Yang menariknya disini ada santapan halwa telinga busker. Sambil makan- makan mendengar lagu...fuh asyik.

Wednesday, June 11, 2025

Pantai Sg Lurus Senggarang...

Bila kita  sering bermusafir, mencari tempat-tempat menarik bukan lagi tujuan utama, yang sering menjadi fokus adalah tempat-tempat makan. Sekiranya tempat makan-makan berada di tempat menarik itu satu kelebihan.

Atas urusan kerja, Isnin bermusafir ke selatan, dalam pemikiran sesudah itu akan berpusing ke pantai timur sehingga Kuantan melalui Kluang -Kota Tinggi -Mersing, tiada tempoh waktu ditetapkan, dalam perjalanan itu ingin melawat sahabat sekolah yang diuji sakit di Bandar Tenggara.

Hajat tak kesampaian, sahabat tadi rupanya  bergerak pada hari sama ke Lembah Klang untuk rawatan, mungkin berselisih ditengah jalan,  kebetulan juga hari Rabu kami terpaksa kembali semula ke Lembah Klang atas urusan penting lain. Jadi mengubah haluan merayap di pantai barat saja.


Sesudah urusan selesai, pemikiran terarah mencari tempat makan- makan. Melilau sepanjang perjalanan mencari tempat makan..selalunya tempat yang meriah menjadi pilihan.., dari Parit Raja membawa kami ke Senggarang terpandang papantanda kecil usang, Medan Ikan Bakar..

Promosi kita ternyata sangat lemah...


Fuh ternyata pilihan yang betul. Pantai Sungai Lurus Senggarang..Ketika tiba hampir maghrib,  tempat-tempat makan tepian pantai meriah, pengunjung ramai,. Sebelum ini pernah meronda sehingga ke Rengit,  Pontian Kecil, kebanyakan singgahan tempat  makan tidak menepati ciri-ciri yang dicari.



Suasana begini yang penulis cari. Sambil menikmati hidangan dapat melayan pemandangan laut. Walaupun selalunya menu pilihan terjurus kepada makanan yang terbiasa dengan tekak..Kepelbagaian menu dan suasana membuatkan kita teruja dan menambah membangkitkan  selera...



Walaupun belangkas, pelbagai jenis ikan, sate dll, set hidangan nasi berserta siakap 3 rasa, telur dadar, sayur campur dan sup ayam menjadi pilihan dengan tambahan menu kupang masak sambal


Kalau kebiasaan restoran seafood, set sup tomyam antara menu pilihan wajib, di sini sup  ayam dengan rasa rempah, sangat menambat  selera.

Harga set 2 orang berserta menu tambahan kupang sedulang bujur dan minuman teh O ais hanya RM63, harga yang dikira berbaloi mengambil kira saiz hidangan.

Tak teragak-agak untuk kembali lagi jika kebetulan meronda ke selatan bahagian barat lagi..