Saturday, December 28, 2013

Manusia hanya mampu merancang

Tak taulah bila kecederaan bahu ini boleh pulih seperti sediakala. Perancangan ride nampaknya terpaksa dibatalkan. Sepatutnya cuti Tahun Baru Cina 2014 kami akan ke sepadan China dan Laos namun  terpaksa menarik diri. Ikut perancangan motor akan diangkut lori dari Haatyai ke Chiangmai. Kami menyusul menaiki kapalterbang saja. Tiket flight dah beli . Apa boleh buat . Semua perancangan tak jadi. Menaiki kapalterbang ternyata lebih menjimatkan masa dan kos lagi pun  bermotor  melalui laluan yang sama berulang-ulang kali adalah kurang mengujakan. Harap ada bikers yang akan mengambil tempat aku itu. Manusia hanya merancang Tuhan juga yang menentukan.

Wednesday, December 25, 2013

Kita Insan Yang Kerdil...





Banjir yang melanda Jalan utama Rawang - Batu Arang  berhampiran Aeon Rawang semalam 24hb Disember 2013 akibat hujan lebat berterusan sejak awal subuh lagi

Tanah runtuh di lorong masuk ke rumah aku... juga terjadi semalam


Rentetan dari entry  semalam, Manusia hanya mempu merancang selebihnya hanya tuhan yang tahu. Risiko ada dimana-mana.  Bila tsunami berlaku, ramai yang  takut berumah di tepi pantai..masing-masing  mencari kawasan jauh dari pantai...Bila banjir melanda ramai yang takut berumah di tanah rendah..masing-masing berfikir untuk berumah di tempat tinggi..andaiannya di sana mungkin lebih selamat. Dikala musim hujan begini orang yang duduk di tanah rendah berasa tidak selamat , dan orang yang tinggal di tanah tinggi  sebenarnya tidak terkecuali. Kawasan tanah tinggi mungkin selamat dari banjir..tapi bagaimana pula dengan taufan atau tanah runtuh...? Jika manusia terlalu memikirkan risiko, alamat hidup sentiasa dalam keresahan. Anggaplah sesuatu kejadian itu satu ketentuan..Kita berusaha selebihnya bertawakal saja kepada Maha Pencipta.

Semalam berlaku tanah runtuh dilorong masuk rumah aku. Tembok takdalah tinggi. Tapi itulah kalau sesuatu nak terjadi, bukan saja yang liar, jinak pun boleh membunuh sebagaimana kes Irvin yg ditusuk duri pari.. Kepada pemilik kenderaan waja. Salam takziah dari kami. Atas alasan bencana alam barangkali tuntutan kerugian tidak akan dilayan oleh syarikat insuran. Tak mengapalah perkara telah terjadi, merungut merintih perkara telah berlalu..Parking ditanah rendah bimbang kenderaan ditenggelamkan air, parking di tempat tinggi ini pula jadinya. Apa nak buat..terima sajalah seadanya....

Tuesday, December 24, 2013

Aku Kemalangan...

Riadah  pecah lemak  bertukar jadi riadah pecah tulang.


Ahad  22hb Disember 2013 sebagaimana minggu sebelum ini  kami  berbasikal lagi.. Inilah satu-satunya riadah yang sangat sesuai dengan aku ketika ini. Golf..? pernah juga terlibat dulu tapi dah bertahun main tapi tiada peningkatan , kureng umph lama-kelamaan set golf terbiar berkarat dalam stor. Mujur ada kawan yang masih berminat, maka tergadailah set aku  itu. . Bila mula –mula sambar motor rajin juga berkonvoi, pantang kawan kawan sebut , mesti akan  turut vroom sana vroom sini.. Lama kelamaan bila dah pandai berkonvoi ke negara –negara jiran aktiviti konvoi  tempatan pun dah kurang umph melainkan berkonvoi ke kawasan baru. 





Berbanding aktiviti lain,   umph berbasikal nampaknya terus segar. Minggu sebelum ini kami berkayuh ’on road’ dari Gombak ke Genting Sempah melalui jalan lama ke Bentong .Minggu baru ni kami ber ’offroad’ pula di Batu Arang. Malang tak berbau kami terlibat dengan kemalangan sewaktu melayani laluan  curam. Ditambah laluan  beralur air musim hujan menyukarkan untuk mengawal basikal. Kawan di depan tetiba memperlahankan basikal , aku yang sedang meluru laju tak sempat berbuat apa-apa melainkan terus merempuh basikal beliau, melambung dan tergolek . Bahu kanan terhempas  atas laluan berbatu.  Wa terbaring mengharapkan tiada kecederaan ..mengharapkan kesakitan hanyalah sementara.  Bantuan luar diperolehi. Aku dibawa keluar dan terus balik. Walaupun bahu kanan terasa sakit dan terpaksa ditampung dengan tali tapi masih boleh memandu. Singgah diklinik , dinasihatkan terus ke hospital. Isteri  menghantar.  Imbasan x- ray mengesahkan tulang selangka aku patah. Namun doktor memaklumkan tulang selangka mudah pulih. Dijangkakan dalam sebulan akan pulih sepenuhnya. Fuh aku harap begitulah




Seperti diduga setelah  mengalami kemalangan, ada yang menyarankan supaya berhenti dari beraktiviti yang melibatkan kenderaan 2 roda. ..risiko tinggi katanya.. hehe  mereka nak merujuk basikal dan motor aku lah tu. Macamlah  berkenderaan lebih dari dua roda akan sentiasa selamat..Kalau difikirkan sangat risiko, seolah langsung tak boleh beraktiviti. Sedangkan semua aktiviti hatta tidur sekalipun tidak akan terlepas dari risiko. Nama pun malang tak berbau. Kalau nak terjadi, bila-bila  masa akan terjadi. Kita mungkin berhati-hati tapi bagaimana  dengan kecuaian orang lain..? Dalam kes  di atas, sebaik mungkin aku menjarakkan  diri dari orang depan, tetapi ditakdirkan kemalangan akan berlaku  maka terjadilah asebab untuk terjadinya kemalangan. Dah  lama aku berbasikal bersama-sama  sahabat aku ini, pantang menuruni bukit beliau akan berkayuh lebih laju, tapi entah kenapa hari itu beliau terlalu berhati-hati memperlahankan basikal, sangkaan aku hanya seketika sebelum memecut lagi..rupanya tidak. aargh mana sempat nak mengelak beb, walaupun segala jenis brek aku dah guna....

Doakan aku cepat semboh ok...




Saturday, December 21, 2013

Berapa cukup yang dikatakan cukup...?

Berapa banyak yang dikatakan cukup... Banyak mana pun duit  tak akan pernah cukup. Kalau  kita memiliki 10 ribu nescaya berangan untuk memiliki 100 ribu kerana beranggapan 100 ribu akan cukup, tapi percayalah seandainya 100 ribu berjaya dimiliki nescaya jumlah itu juga tidak akan cukup dan menginginkan nilai yang lebih besar dari itu. 1 juta cukup..? Jom kita nilai senario ini. Untuk memudahkan pengiraan, katalah kita memiliki wang sebanyak itu. Agak-agak berapa banyak boleh dibelanjakan sebulan tanpa menyentuh duit pokok. . Simpan dalam simpanan tetap , keuntungan rendah. Mana cukup..! Kita pilih jalan selamat, katakanlah semua amaun itu boleh disimpan didalam ASB yang memberikan pulangan yang agak tinggi. Dividen tahun ini termasuk bonus 8.7 persen, walaupun lebih rendah dari tahun lepas 8.9 persen,  bermakna 87000 setahun . Setelah tolak zakat dapatlah dalam 6 ribu lebih sikit saja sebulan. Belum ditolak inflasi lagi. Adakah 6 ribu sebulan  cukup..? Orang yang bergaji seribu akan kata cukup.. Cuba bercakap dengan orang bergaji 6 ribu..Silap-silap kena lempang bila kita mengatakan beliau memiliki wang yang banyak sementelah lagi terpaksa menggalas perbelanjaan yang serba  serbi mahal. 6 ribu mana cukup..? Jadi sapa kata sejuta itu cukup.? Sejuta sebagai duit sampingan "mungkin cukup" hehe. sebab kita tidak memiliki wang sebanyak itu..Habis berapa banyak yang dikatakan cukup.. 1 billion..? huhu bilionaire pun cakap 1billion tak cukup..?! Habis berapa banyak yang dikatakan cukup.. Haha memang tak pernah cukup...







Thursday, December 19, 2013

Adakah kita kesah...?

 Berikut luahan perasaan anak aku yang aku cedok dari wall Fb beliau. Ketika ini sedang menjalani latihan amali  cuti semester ...Anda nilaikanlah sendiri. Jom terapkan ke jiwa anak anak supaya cenderong menjadi majikan. Selagi kita lebih selesa menjadi pekerja, cerita sama akan berulang dan berulang lagi...

"Majikan nikmati duit berjuta, tapi pekerja kerja macam buruh lelaki, angkat tong separuh mati hampir tercabut tangan and kaki. Eh pantun pula.
Maybe lah kot gaji pekerjanya hampir rm10k but not rm1.5k without bonus and without OT as what i've been told. Budak grad degree kot. phD pun ada. Barulah setimpal dengan kudrat pekerja yg hanya EMPAT orang SAHAJA, yg hasilkan product about 100 tong sekali jual, 40 kg each tong yang harga berjuta beriban total. With only 1 machine?! My weight pun 38kg je ehek. Campur2 chemical yang lain semua manual.
Sieving is the most critical part, esp for your backbones. Dengan hanya dibekalkan penapis kecil cinoet macam penapis teh untuk menapis semua tong semula sambil berdiri. Fuh.
Tapiiii. Paling kesian chichi sbb lari sana sini angkat tong berat sorang-sorang. Eventho she's a bibik, she's still a human kot. And perempuan and ada perasaann. Pastuu pastuuu.... D':
Takapalah. Lets husnudzon FL!
Moral of the strory, orang dah senangkan kita, kita senangkan balik orang tu. Bukan lagi susahkan so that kita bertambah-tambah senang sorang-sorang.
Bahasa mudahnya, Please, please, At least, be more considerate.
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلا
”Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi shalih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan” [QS. Al-Kahfi : 46].
(tak tahu sebenarnya if ayat atas sesuai ke tak dengan situasi. Mueh)
It was such a great experience sebenarnya. Thank God im just a practical student. So tak kena marah sangat. Moga dapat menjadi pengajaran dan iktibar, iA! Sekian.
( ̄Д ̄)ノ
p/s - AYUH SOKONG BARANGAN BUATAN ISLAM!"

Monday, December 16, 2013

Hero Junior World Cup- - Malaysia ke 4

Melepas lagi...Ramalan aku tak begitu tepat. Aku jangkakan Malaysia boleh ke final. Sebenarnya aku lebih berminat menonton perlawanan Malaysia bertemu France di separuh akhir, debarannya berbeza berbanding ketika Malaysia bertemu Belanda menentukan tempat ke 3 atau ke 4. Lawan France kekuatan agak seimbang, kena gaya Malaysia boleh titik pasukan lawan dan melangkah ke final. Apa nak buat. Kalah dalam pukulan penalti. Kalah dalam penalti susah nak cakap, yang betul-betul kuat belum tentu  menang. Faktor nasib/rezeki main peranan. Baca komen ketua jurulatih keesokan hari, pemain tidak bermain mengikut apa yang dirancang. Kena berterusan menyerang bukan bertahan. Aku setuju...Kalau asyik bertahan bermakna membiarkan pihak lawan berada dikawasan pertahanan..Asyik kena serang mulalah melakukan kesilapan. Mudah bolos. Sayang dah mendahului tapi disudahi dengan kekalahan.

Tengok perlawanan Malaysia- Belanda memang anti klimaks. Belanda kuasa hoki dunia. Belum sempat betulkan tempat duduk dah bolos. Teruk kena buli 7-2.  Argh leceh. Kekadang nak juga aku salahkan MHA meletakkan  target top 6. Tengok cara pemain bermain semalam seolah mereka redha untuk berada  ditangga ke 4. Walaubagaimana pun syabas kepada pasukan negara.

Saturday, December 14, 2013

' Biar menyesal membeli daripada menyesal tak beli' .

Selama hampir 40 hari  berada ditanah suci, kalau tak pagi, petang, tak pun malam , pusat belibelah  pasti dikunjungi. Dari satu kedai ke kedai berikutnya, percayalah pasti akan ada barang yang kita  berkenan. Bermula dengan tengok-tengok lama kelamaan membentuk keinginan untuk membeli...dan akhirnya membeli..!.  Ramai yang aku tengok macam tu. Barangkali ramai yang berpegang kepada ungkapan     ' Biar menyesal membeli daripada menyesal tak beli' .   Kerapkali aku terkena sindrom itu. Aku kerap tewas bila berkunjung ke kedai jam. Walaupun   bujukan  berlegar  dibenak fikiran  seperti membazirlah, yang ada  jarang berpakailah , mungkin barangan ini juga ada ditanah air lah dan barangkali berharga lebih murah dsb..tetapi seringkali tewas bila mengenangkan ungkapan diatas. Ternyata ungkapan itu adakalanya tersangat benar. Setelah berjaya melawan bujukan nafsu, sekembalinya ke tanahair didapati barangan yang kita inginkan itu ternyata tiada dan jika ada harganya jauh lebih mahal dari apa yang disangka, dikala itu penyesalan adakalanya tidak terungkap.

Ada orang cakap membeli jam mahal membazir. Nanti dulu...Secara peribadi aku merasakan daripada berhabis membeli gajet-gajet canggih lebih baik membeli jam-jam mahal. Lelaki tidak boleh berbarang kemas, tapi lelaki mempunyai pilihan berjam mahal. Alang-alang dah membeli mahal, lebih baik beli yang betul-betul berharga serta boleh digadai sebagaimana barang kemas. Kalau beli mahal tapi tak boleh digadai aku berpendapat barang itu belum cukup berharga. Takrifan mahal mungkin berbeza dari seorang ke seorang. Ikut aku 5 ribu ke 20 ribu tu dah dikira mahallah walaupun sesetengah orang berpendapat nilai ini adalah murah untuk sebuah jam berjenama...

Kekadang memang pelik, sebuah jam ada yang mencecah nilai ratusan ribu. Juta pun ada. Walaupun harga yang ditawarkan tu samada benar berdasarkan nilai atau semata-mata manipulasi   tapi yang pasti  nilai jam berjenama tidak akan menyusut bahkan meningkat.. terutamanya koleksi  edisi terhad. Dulu aku pernah terbeli seutas jam yang berharga lebih dari sebuah kapchai...dan bila aku intai balik dibilik pameran, harga jam berjenama sama yang lebih kurang seangkatan dengannya harganya sudah boleh mendapatkan  lebih dari dua buah  kapchai..!. Bermakna kalau aku gadai jam aku itu senang-senang akan dapat balik duit yang aku 'bazirkan' dulu...hehe.

Itu pasal bila keluar dari kedai jam di Mekah baru-baru ni, aku  terbeli jam lagi...gara-gara ungkapan itu jugalah..Harap-harap jam yang aku beli ini walaupun harga tak seberapa sekarang , mana tahu  akan datang boleh membeli lebih 5 biji kapchai...haha.  Membazirkah aku...?






Thursday, December 12, 2013

Hero Hockey Junior World Cup- Malaysia mara ke Separuh Akhir

 Yes Malaysia layak ke separuh akhir hoki remaja dunia. Tewaskan Korea 2-1 diperingkat suku akhir sebentar tadi. Lawan di separuh akhir nanti adalah Peranchis yang membuat kejutan ke atas Juara Remaja Eropah Belgium 5-4. Peluang terbaik pasukan negara untuk mara ke akhir kerana kekuatan Malaysia berbanding Peranchis adalah seimbang . Lagipun Peranchis secara tradisinya bukan kuasa hoki dunia. Kekuatannya lebih kurang England saja yang Malaysia buli di peringkat Kumpulan D 4-1.

Perlawanan menentang Korea sukar diramal. walaupun pasukan negara mendahului 2-1 sehingga minit-minit terakhir, menyaksikan pemain Korea menggasak  gawang gol Malaysia di saat-saat akhir memang mendebarkan. Semangat pemain  Korea sangat kental  , walaupun kekadang tertinggal tapi diminit-minit akhir dapat saja menyumbat gol yang membawa kepada kemenangan. India menjadi mangsa Korea diperingkat kumpulan walaupun seketika  mendahului lawan.

Takpa debaran suku akhir sudah berlalu , kita nantikan perlawanan di separuh akhir   dan rasanya dah boleh berangan menyaksikan Malaysia ke peringkat akhir...hehe ramalan saja. Kita lihat saja nanti...

Wednesday, December 11, 2013

Kami tidak minta dilahirkan begini...


 Seharusnya kita malu dengan Pak haji ini..walaupun bongkok namun kelihatan sering berulang alik ke Masjidil Haram..

Begitu juga dengan Pak haji ini,  cacat dan bertongkat tidak dijadikan alasan untk ponteng solat berjemaah..

Tidakkah hati terusik  melihat insan sebegini..


Atau begini...

 Meremang bulu roma tetekala terserempak dengan pemuda ini. Aku minta izin utk mengambil gambar.

Sekali imbas kaki beliau kelihatan seperti  berbentuk ikan paus...cuba perhati ibujari kaki beliau..

 Minta maaf kak..aku curi-curi mengambil gambar ini. walaupun mungkin disedari. .Tak sampai hati untuk menyapa bimbang-bimbang beliau terguris...Kekadang kecacatan insan yang ditemui di sana sungguh memilukan..Sebenarnya banyak lagi insan-insan cacat yang ditemui namun tak tergamak untuk merakamkan gambar dikhuatiri menyinggung ampunya badan...Semoga insan yang sihat insaf apabila menatap gambar ini.

 Sejak dari Arafah lagi aku teringin mengabadikan foto dengan saudara dari Banting ini. Hajat kesampaian semasa di Medinah. Namun aku terlepas peluang mengabadikan foto bersama pasangan suami isteri kerdil dari Kelantan. Bagi aku mereka sangat unik., si suami memiliki kedua belah tangan yang panjangnya hanya sejengkal

 Yang ini cacat palsu..sengaja dilipat kedua tangan supaya kelihatan kudung demi merauh simpati...

Adakah kita masih tidak bersyukur...?

Tuesday, December 10, 2013

Junior World Cup Hockey...Tahniah Malaysia..

Peluang, Bimbingan, Pendedahan . Kita  boleh menakluk dunia. Aku suka melihat anak-anak muda berjaya di persada dunia.  Dalam sukan kompetitif seperti motoGp, basikal dan hoki memang aku kagum. Benar, Malaysia belum menghasilkan juara dunia, tapi dapat beraksi dalam acara dunia adalah satu pencapaian. Sebagaimana Jepun dan Korea dulu yang sering menjadi belasahan bila mula beraksi dalam bolasepak Piala Dunia, kini tidak lagi. Silap haribulan pasukan hebat  boleh kecundang. Apabila layak secara konsisten   peluang untuk menang adalah cerah.

Kepada pasukan Hoki Junior yang beraksi di Kejohanan Piala Dunia , India, Syabas..! Moga kemenangan sentiasa berpihak kepada anda. Tebaru Malaysia menang  ke atas England  4-2 untuk mengungguli Kumpulan D. Lawan di suku akhir nanti samada India atau Korea. Untuk rekod Malaysia menang ke atas New Zealand 3-2 di permulaan kejohanan , diikuti menang ke atas Afrika Selatan 2-1.

Itu untuk para remaja..Kepada warga tua walaupun tak boleh beraksi dikejohanan kompetitif  dunia dapat jadi juara kampong pun ok. haha. Jom kita beriadah...

8 Disember 2013, Sabtu
Jalan Gombak- Bentung lama
Jarak 35km. Riadah hujung minggu. Pergi mendaki, balik menurun...

                            
 R n R Genting Sempah...


Pelan-pelan kayuh lama-lama sampai juga. Jom join kami...

Monday, December 9, 2013

Jiwa bersih tapi zahir kotor...?



 Kekadang aku malu lagi keliru melihat kebanyakan jemaah yang langsung tidak peka dengan kebersihan. . Buang sampah merata-rata. Plastik bungkusan, botol minuman, kulit buahan, puntung rokok... argh sebut apa saja...Yang mereka tahu ambil isi..sisa campak. Jubah cantik dah, kopiah kemas dah..tangan tak lekang dengan tasbih, tapi bab kebersihan maaf cakap... gagal .! Di mana mereka duduk atau bertenggong  disitu  dibiarkan sisa dan bekas makanan atau minuman. . Apabila tiba waktu solat, di situ juga dibentang sejadah.  Sekali pandang seolah mereka bersolat dikawasan buangan sampah.  Pelik kan..? Lebih pelik melihat segelintir jemaah yang selamber membuang kain ihram begitu saja dilantai-lantai tandas sesudah  bertahalul. Sekelumit tiada rasa bersalah.  Walhal tong sampah tersedia didepan mata. . Musykil sungguh..Bukankah pergi ke tempat suci dengan harapan dapat meningkatkan kesucian diri tapi apa yang ditonjolkan seolah tidak sepadan dengan apa yang dikejar. Taktaulah kesucian diri bagaimana yang dicari atau difahami.




 Tukang sapu yang berkerja penuh sabar...


Apa  jadi jika tukang sapu mogok?..tak payah lama sejam  cukup, nescaya sampah akan menggunung di segenap sudut. 




Prasarana yang cantik Di Jamrat dicemari dengan sampah sarap...lebihan anak batu juga dicampak saja di atas lantai...

                                
Tabiat memberi makanan kepada burung  berlebihan mengotorkan dataran...tahu dah burung tak habis makan dan tahu juga makanan itu akan disapu oleh tukang sapu, tapi jemaah tetap menabur lagi makanan..lagi dan lagi ..Jika beterusan begini bila masa dataran akan bersih...?

Kebanyakan orang keliru..seolah merasakan kebersihan zahir dan kebersihan batin  adalah dua perkara yang berbeza dan langsung tiada kaitan.. Sedangkan kesucian zahir sepatutnya  bergerak seiring dengan  peningkatan  kesucian batin. Adalah aneh mendakwa batin bersih tapi zahir kelihatan kotor. Bukankah bila batin bersih dengan sendirinya akan terpancar sinar kebersihan yang boleh dilihat secara zahir melalui perwatakan, tingkah laku dsb. Sifat pengotor menggambarkan jiwa yang tidak bersih.

                                       

Falsafah menunaikan haji sepatutnya diberi kefahaman kepada para jemaah semasa menghadiri kursus haji di negara masing-masing.. Selama 40hari lebih jemaah berkampung di tanah suci tapi kalau masih bersikap acuh tak acuh dengan nila-nilai kebersihan sebegini...rasanya  haji itu gagal mencapai misi sepenuhnya. Wallahualam

Friday, December 6, 2013

Syiling oh Syiling..Jangan Pandang Sebelah Mata...



Selama hampir tiga  tahun aku jadi pengutip duit syiling. Di tepi mesin basuh, dalam kereta, atas lantai, tepi tingkap  dsb. 5 sen, seposen dan segala duit syilinglah…Mentang-mentang duit syiling ramai tak terliur. Sambil -sambil tu mana –mana kembalian duit syiling bila berbelanja turut aku sumbatkan dalam tabung . Bila penuh tabung nanti aku dah berangan  nak beli motor hehe ..Motor baru mungkin tak dapat  tapi kapchai terpakai rasanya cukup...Masa tu nanti mesti ada yang cakap..’asyik-asyik beli motor..motor...motor..tak rasa membazir ker..?’  Nampak tak..?  masa duit tu bersepah-sepah  takder siapa pun cakap yang syiling tu sangat berharga.. Bila dikumpul dan cukup  untuk membeli barangan yang kita suka , pandai pulak cakap membazirlah, itulah, inilah bla bla.. Moral cerita ini jangan perlekeh duit syiling. Tahukah anda seseorang tidak layak digelar jutawan walaupun memiliki 999999.99 , kurang 1 sen untuk cukup sejuta.

Tapi aku sedih. Tabung aku telah hilang..Tabung yang aku beli di sempadan  Thailand/Myanmar semasa ride Segitiga Emas 2010 dikebas pencuri yang memecah masuk rumah dengan mengumpil gril pintu belakang ketika kami di Mekah baru-baru ini..Macam aku tulis di atas…masa syiling bersepah tak ramai terliur..bila dikumpul dan banyak, duit syiling yang berat ni pun turut dirembat. Korang congak-congaklah berapa nilai syiling dalam tabung buluh aku itu.. Tabung bergarispusat 7 inchi x 15 inchi tinggi. Berbaki 1 inchi untuk penuh…Aku rasa dalam 2 ribu mungkin ada…lepaslah untuk kapchai terpakai…

Walaubagaimanapun aku  bersyukur, mungkin dengan duit syiling itu  menyebabkan pencuri itu gembira. Setidak-tidaknya mereka keluar tidak dengan tangan kosong. Mungkin tanpa duit syiling itu entah apa-apa lagi yang akan diangkutnya.  Kunci MPV aku juga turut ditinggalkan saja di tepi pagar. Mungkin baginya sudah cukup berbaloi dapat merembat tabung syiling, PS3 dan ipod anak aku. Walaupun rumah aku habis digelidah, nampaknya tiada barangan lain yang hilang kecuali 3 barangan diatas…

Syiling oh Syiling …Aku kena jadi pengumpul syiling lagi…Nak beli motor…!





Thursday, December 5, 2013

Jangan Bertangguh Mendaftar Haji...

Bila badan sihat kita tidak akan merasai kepayahan walaupun terpaksa berulang alik ke masjid berjarak yang jauh. Dan jarak itu tidak termasuk berpusing-pusing mencari ruang kosong untuk solat yang kekadang perlu mengelilingi masjid. Bayangkan jika jemaah menghidap sakit lutut atau ghout atau lemah-lemah sendi atau pelbagai penyakit lain…pergh azab beb. Sebab tu disebabkan keuzuran surau di hotel atau masjid berdekatan dengan hotel kerap menjadi pilihan jemaah yang tak larat. Walhal kekadang terasa rugi kerana terlepas peluang berjemaah  di masjid yang nabi sangat anjurkan untuk bersolat di dalamnya  iaitu Masjidil Haram, Mekah, Masjid Nabawi, Medinah  dan Masjidil Aqsa di Palestine ..

Ramai jemaah berusia yang aku temui tidak dapat menyembunyikan penyesalannya kerana tidak menunaikan haji dikala usia muda.  Bayangkan jika pembesaran masjid telah sempurna nanti..lebih 5 juta jemaah akan berkumpul, sedangkan pada tahun ini dengan jumlah jemaah tidak melebihi 1.5 juta  keadaan sudah cukup sesak, sukar dibayangkan dengan bilangan jemaah melebihi tiga kali ganda nanti . Akan datang hotel penginapan pastinya akan semakin menjauh. Kes-kes jemaah tersesat pasti akan meningkat..

Suka aku  mengingatkan kepada yang belum mendaftar haji  silalah berbuat demikian..Jangan khuatir tempoh menunggu yang lambat. Yang penting niat. . Dikhabarkan pada tahun ini pihak Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa melarang jemaah membuat haji kali kedua dan seterusnya. Mungkin hanya kes-kes tertentu dipertimbangkan kot. Jika senarai nama menunaikan haji lebih dari sekali dikeluarkan dari senarai menunggu kemungkinan  nama yang mendaftar lewat akan tersenarai awal adalah cerah.

Apa tunggu lagi mendaftarlah segera...!






Tuesday, December 3, 2013

Jom kita jelajah dunia...!

Sewaktu di Tanah Suci dalam masa terluang kekadang dapat bersembang dengan jemaah haji dari negara lain. Walaupun kekadang terpaksa mengerutkan dahi untuk memahami setiap tuturkata mereka. Aku dapat rumuskan bahawa kos menunaikan haji jemaah Malaysia memang termurah dan teratur. Kebanyakan kos negara lain yang aku temui seperti Indonesia, India ,Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Thailand, Afrika Selatan, Filifina kos mereka adalah antara 15-20 ribu seorang untuk tempoh tidak lebih 40 hari. Dan lagi kos mereka tidak termasuk kos makan dan minum. Jemaah Indonesia dibekalkan RM 1500 riyal sepanjang mereka di Tanah suci. Bandingkan dengan kos jemaah haji Malaysia...Pertama kali pergi  hampir 10 ribu, kali kedua dan seterusnya hampir 15 ribu termasuk makan dan minum kecuali sarapan...Tempoh di Tanah suci  pula ada yang melebihi 50hari. Jemaah Malaysia lengkap dengan klinik-klinik dan para doktor..Aku tak pasti dengan jemaah haji negara lain samada perkhidmatan ini disediakan. Sebagai rakyat Malaysia adakah kita masih tidak bersyukur.. Aku cukup menyampah bila ada orang yang perli dengan ungkapan 'Syukur Malaysia masih aman..' sedangkan ini adalah nikmat yang tak ternilai yang Allah anugerahkan kepada rakyat Malaysia...

Kami juga berkesempatan bertemu dengan expatriate Malaysia yang haampir 10 tahun berkerja di sana. dan dimaklumkan kos perubatan maupun persekolahan adalah sangat mahal. Yea mungkin dia warga asing, tidak mungkin menikmati apa yang warga tempatan nikmati. Tapi kos ubatan di farmasi hampir sekaliganda dengan di Malaysia...Pergilah supermarket barangan dapur serba serbi mahal..Di sana yang ketara murah hanya kereta dan minyak saja.. Kami juga difahamkan kos insuran juga mahal dan difahamkan pemilik kenderaan diberi pilihan untuk menginsurankan kenderaan atau tidak...Mungkin diberi pilihan melanggan polisi insuran pihak pertama (1st party) atau pihak ke 3(3rd party)   tanpa mengira usia kenderaan.....sebab itu kenderaan disana jarang yang sempurna, mesti kemik sana kemik sini sebab kebanyakan tidak menginsurankan kenderaan mereka..ataupun mungkin kos repair lebih mahal dari membeli baru...aku pun tak faham dengan minyak serendah 30sen untuk dua liter sepatutnya semua barangan murah tapi ternyata tidak begitu .

Rakan aku menambah lagi warga arab sendiri kehairanan kenapa beliau sanggup bermastautin ke negara mereka sedangkan bagi warga Arab yang pernah mengunjungi Malaysia mengatakan bahawa Malaysia adalah syurga...! Negara aman, kos hidup yang tidak terlalu tinggi, cantik, penuh kehijauan, terdapat lautan, sungai yang mengalir...dsb.. Kebanyakan warga asing yang aku temui memang sangat memandang tinggi Malaysia. Tidakkah pelik jika terdapat rakyat Malaysia tidak menghargai apa yang dilmiliki, malah memperlekeh apa yang ada...

Benar untuk menghargai apa yang kita miliki, kita kena menjelajah dunia. Aku tambah semangat...memang aku ingin menjelajah dunia...Takler melopong  bila ada yang cuba mengelentong...Semoga ada kesempatan dan rezeki..Amin

Sunday, December 1, 2013

Musibah di Mina..Dekat tapi jauh...Mudah tapi susah...



Sepanjang 40 hari lebih kami di Mekah seingat aku cuma 4 solat fardu tidak diringi dengan solat jenazah. Dikabarkan tahun ini seramai 26 orang jemaah haji Malaysia meninggal di Tanah Suci.  Sungguh mudah meninggal di sana..Kekadang tu hanya mengidap demam biasa, dibawa ke hospital, tetiba dikhabarkan telah pergi selamanya.  Kalau dah  rezeki tiada, asebab yang kecil boleh menyebabkan kematian. Namun jika umur panjang, walau telah nazak  boleh  kembali sihat dan dapat mengerjakan haji seperti biasa, sebagaimana terjadi kat sahabat aku ini.

Sebagaimana yang aku ceritakan terdahulu, sewaktu di Mina  kami  menghadapi kesukaran  untuk kembali ke khemah penginapan. Dan bersama aku ketika itu dua orang jemaah yang salah seorang pernah menghadapi saat kritikal  di hospital. Rahsianya hanya diketahui ketika kepenatan mencari jalan pulang ke khemah. Sewaktu berwukuf beliau menaiki ambulan bertemankan doktor serta dikecualikan bermalam di Muzdalifah




 Jemaah menuju ke tempat melontar ..tempat melontar yng berjarak lebih 3km sehala dari khemah penginapan berada  di aras 3 Jemarat yang dikhususkan untuk jemaah dari asia tenggara .




 Sebelum tiba di Jemarat jemaah akan melalui terowong ini...

Dijadikan cerita, ketentuan pagi itu jam 3.30 pagi, setelah setengah jam tiba dari Muzdalifah, pihak tabung haji mengumumkan akan memimpin   jemaah yang ingin melakukan ibadah melontar  awal.    2 jemaah tadi sentiasa disisi aku untuk ke tempat melontar. Setelah melontar kami berpecah dari jemaah pimpinan tabung haji. Mereka  balik ke khemah sementara kami degil menuju ke tingkat bawah untuk bertahalul. Tidak mengetahui ini adalah punca kami menghadapi masalah. Setelah bercukur terus menyeberang jalan dengan melompat kon pembahagi jalan untuk ke masjid  bagi menunaikan solat subuh. Sesudah solat kami dapati eskalator dan lift  menuju ke tingkat 3  ditutup.  Untuk menyeberang semula ke tempat  bercukur tadi juga tidak mungkin kerana pihak polis berkawal di sepanjang kon-kon penghadang . Cakaplah pelbagai alasan mengatakan ingin keseberang jalan... yang dijawab  hanya  " Tariq..! tariq..! "  bermaksud jalan terus..jalan terus..



Kami berpusing-pusing  dicelah lautan manusia mencari jalan ke tingkat 3, Tanpa sedar  semakin tersasar jauh dari kawasan melontar. Polis dan pegawai yang bertugas langsung tidak membantu disebabkan masalah komunikasi. Atas nasihat petugas tabung haji  yang berjaya dihubungi melalui talifon mengarah kami untuk kembali semula ke masjid tempat bersolat subuh tadi.. Berpatah balik dalam sausana penuh sesak dan panas...?.! Berdasarkan mercutanda  kami dimaklumkan akan tersasar melebihi 10km sekiranya tidak berpatah balik ke tempat asal.
 
Ketika ini brader tadi memaklumkan masalah kesihatan beliau. Sistem saraf akan gagal berfungsi sekiranya terdedah lama dibawah terik matahari. Diceritakan lagi beliau pernah bertarung nyawa sebelum berwukuf di Arafah namun kesihatannya kembali pulih.  Jemaah berusia 38 tahun berasal dari Melaka, seorang guru mengalami masalah saraf. Hampir 4 tahun menghidapi penyakit itu. Sebelum itu beliau seorang yang aktif menyertai pelbagai aktiviti lasak seperti berkayak, memanjat gunung dsb...Apabila sistem saraf terganggu berpunca dari kepanasan, kepenatan, batuk dsb pesakit akan mengalami kekejangan. Sistem pernafasan akan terganggu. Jika lambat dirawat akan  mengundang maut.

Bersusah payah, alhamdulillah tiba semula di masjid sebelum waktu zuhor. Bantuan tak datang-datang..Selepas asar kami berdua mengambil keputusan meninggalkan cikgu tadi untuk mencari jalan pulang dan mendapatkan bantuan. Kawasan melontar sedikit lengang memudahkan pergerakan. Namun sistem pergerakan satu hala sungguh menyukarkan..Membuat pusingan U kekadang terpaksa menempuh jarak lebih 3 km...! Setelah puas berpusing, menghampiri waktu isya baru tiba dikhemah. Aduan dibuat namun tiada tindakan segera boleh dibuat disebabkan masalah logistik akibat kesesakan  teruk untuk menghampiri kawasan bantuan. Disebabkan bantuan tidak kunjung tiba  sesudah magrib cikgu bergerak sendirian. dan berjaya sampai ke aras 3 dimana ramai petugas tabung haji berada. Cikgu dimasukkan ke hospital dan terlantar selama seminggu di sana..

 Dekat tapi jauh...nampak macam mudah tapi susah...mencari semula laluan masuk ke aras 3, sikit punya azab...

 Kebanyakan pegawal jemaah di jemarat apabila  ditanya, menanya balik apa no tiang khemah..supaya dapat menunjuk arah dengan tepat...Manalah kami ingat dan tak tau pun no tiang ni sangat penting





Aduhai lebih 15 jam aku mencari maktab 95 ini...

 Mujur jemaah muda dan cikgu berpengalaman melakukan aktiviti lasak..kalau jemaah berusia dan uzur bagaimana..? alamat mati kering ler..huhu...