Thursday, July 29, 2021

Dusun Terjah Serendah...

Bila lama terkurung, otak semakin beku. Lega bila dapat peluang curi-curi ke kawasan hutan daerah berjiran.


Kawasan rekreasi awam masih ditutup sepenuhnya. Singgah disini sekadar menghirup udara segar. Sempat mengabadikan foto beberapa ketika, didatangi Jaga yang ditugaskan mengawasi kawasan disitu.

Minggu lepas sekumpulan anak- anak muda telah ditahan dan diangkut ke balai kerana mengengkari larangan berrekreasi ditempat awam. Ermm malas berbalah terus saja beredar dari situ.

Kami teruskan bergerak ke hulu hutan melalui laluan offroad sepanjang sungai. Berharap dapatlah bertembung dengan budak- budak orang asli yang tadinya masuk ke hutan mengutip hasil durian.

Beberapa kilometer kedalam hutan terperasan rumah agam yang rasanya kini kosong tidak berpenghuni.
 Kedudukannya memang sangat terpencil. Cekal betul pemilik yang sanggup tinggal jauh dihutan belentara... Rasanya mati kering pun tiada siapa yang akan perasan.

Menunggu orang asli yang ke hutan mengutip durian tak kunjung tiba, beredar keluar,  mujur dapat juga membeli buah durian yang dijual diperkampungan orang asli. 5 biji besar berharga Rm50...Oklah tu durian baru gugur dari pokok.

Dalam perjalanan balik teruja berkunjung ke rumah yang berada di puncak tanah tinggi dikelilingi hutan belentara yang boleh dilihat dari kejauhan.

Bertanyakan  penduduk orang asli segera bergerak ke sana. Percubaan sebelum ini gagal menemui arah untuk ke puncak.


Wow..Pemandangan dari puncak tanah tinggi rumah misteri. Sungguh indah saujana mata memandang. 

Meneruskan perjalanan melalui lorong sempit diapit pohon-pohon hutan.



Fuh tak sangka disebalik ketebalan hutan terdapat dusun terpelihara cantik sebegini.

Beberapa ekor anjing didapati mengawal dusun.



Kami bernasib baik bertembung dengan tuan dusun sewaktu  berkira- kira untuk pulang . Dijamu dengan buahan segar dari ladang.



Bersembang dengan tuan dusun yang berasal dari Banting dan kini bermastautin di Serendah, tanah dibeli lebih 20 tahun dahulu, berharga 70 ribu untuk 3 ekar..Hanya yang cekal mampu mengusahakan dusun ditengah hutan belentara.

Itu dulu..Kini seekar mencecah harga sejuta lebih, kerana permintaan tinggi disebabkan Serendah bakal menjadi hub pelabuhan darat KTMB dan ECRL. .

Melalui pemilik dusun itu, terjawab sudah misteri rumah dipuncak tanah tinggi. Ianya milik seorang  apik cina hindu . Jarang orang cina berugama hindu. Patutlah rumahnya memiliki kuil hindu.

Sunday, July 25, 2021

Biji Durian Rebus...

Biji cempedak dan nangka rebus, penulis pernah makan, yang goreng pun pernah, tapi biji durian tak pernah cuba.

Harini pertama kali makan biji durian rebus., setelah melihat perkongsian rakan di FB. Dulu di zaman anak-anak selalu dimomokkan makan biji durian akan tumbuh 'mata' ditapak kaki, jadi momokan itu terpahat sehingga dewasa. Mungkin ada yang tak berapa elok dengan menu itu...Orang dulu lebih suka berkias jika menyampaikan sesuatu kebaikan maupun keburukan. Wallahualam

Rasa biji durian tiada jauh beza dengan biji cempedak maupun nangka, sedap..., bezanya biji durian agak berlendir.

Selain  direbus, biji durian enak juga  digoreng bersalut tepung. Tak sangka ada yang berkongsi resepi di utube. Melalui perkongsian itu agak leceh terpaksa mengupas biji yang kecil itu...Boleh kot hiris begitu saja.

Eloklah  di tekala musim buahan, daripada dilupus merata, selagi boleh setiap bahagian dimanfaatkan.
 
Mujur kulit durian keras dan berduri, jika lembut, rasanya ada yang cuba memanfaatkannya juga, sebagaimana nangka dan cempedak. 

Jika buah nangka muda enak dibuat sayur,
kulit cempedak matang pula sangat enak digoreng. 

Cubalah...

Saturday, July 24, 2021

Reban Ayam Bertelur...




Dulu ayam pernah bertelur ditong yang disediakan ini, tapi entah kenapa kebelakangan ini tong tidak lagi menarik minat ayam-ayam bertelur di situ.
Mungkin panas, mungkin juga basah apabila hujan.  Lantai berjaring  reban berbumbung juga yang menjadi rebutan. 


Bumbung dipasang supaya tempias tidak mengenai sangkar. Nyamanlah kot bila bumbung telah dipasang.
Dengan penambahbaikan ini diharap ayam ayam berminat bertelur ditempat yang disediakan.


Tambahan 7 ekor ayam betina untuk telur nampaknya telah mula berhasil, 2 ekor telah mula bertelur sulung semalam, yang lain pun sedang galak bising untuk bertelur..

Keseluruhan 20 ekor ayam betina jika semuanya aktif bertelur, banyak juga dapat mengutip telur harian nanti.



Telur ayam masin pun sudah menjadi setelah direndam didalam air garam selama 20 hari..Rasanya ok setanding dengan telur itik, cuma kuning telur agak kurang menyerlah berwarna pucat berbanding telur itik yang kemerahan. Tekstur ayam juga lebih lembut berbanding itik.

Pkp.. pkp..pkp tambah lagi..

Saturday, July 3, 2021

Telur Masin Ayam Kacuk Kampung...

Sebagaimana diduga PKP dilanjutkan lagi sehingga 12hb Julai. Kes harian masih lagi tinggi melebihi 5000 jangkitan.

Jika kes harian berada dibawah 4000, baru fasa ke 2 pemulihan berkuatkuasa, untuk banyak sektor ekonomi lain dibenarkan beroperasi.

Disebalik pkp ada juga rahmatnya, jika selama ini banyak sangat kufur nikmat ketika ini berpeluang untuk kembali ke pangkal jalan. 


Pkp juga memberi peluang untuk kita mencuba sesuatu yang baru. Berkebun dalam bandar dulunya ramai yang tak ambil kesah, tapi kini ramai yang memperagakan kebun dan hasil tanaman di media sosial. Semakin bersemangat bila apa yang dibuat semacam menjadi.

Untuk penulis pula menambah induk ayam penelur, tak sangka ada pasaran untuk telur ayam kampung. Produk belum banyak tapi sudah ada yang menanya.

Kedai runcit, gerai pasar awam dan terbaru kedai jamu sentiasa terbuka untuk menerima tak kira berapa kuantiti telur yang ada.

Ada yang membeli nanti, bolehlah menampung sebahagian kos makanan ayam yang sentiasa menaik.



Kini induk telah ditambah 15 ekor lagi kepada 20 ekor. 5 ekor induk penelur sediada tidak memadai, untuk kegunaan sendiri pun belum mencukupi. 

Batch betina terdahulu mencukupi untuk kuantiti itu...Rasanya dalam sebulan dua lagi ayam dara ini sudah mulai belajar bertelur.


Sementara menunggu 15 ekor induk tambahan bertelur, belajar membuat telur ayam masin, mencari formula terbaik supaya telur masin betul-betul menjadi. Kotlah nanti telur tidak begitu laku, setidaknya telur yang banyak boleh diawetkan.