Wednesday, March 30, 2022

Susah Juga Jadi Petani...

Baru tahu memang sukar menanam pokok buahan terutamanya durian. 4 pokok durian yang ditanam sebelum ni semua mati, berbanding pokok lain ternyata ia lebih manja. Sepokok mata kucing pun singkat hayat. Terdedah sangat dengan cahaya matahari tak boleh, daun pokok mudah layu dan berguguran.

Begitu juga dengan pokok kelapa, lebih 7 anak pokok yang subur diperkarangan rumah bila dipindahkan ke kebun bukit kesemuanya mati. Ada yang pucuk layu, ada yang tercabut dari tempatnya, mungkin gara- gara babi.

Pokok rambutan agak lasak. Pokok kantan yang dipindahkan sesudah disemai dalam polibeg pun ok. Yang terus ditanam dari benih tak mau hidup. Dapat tanam berbaris dalam 100 pokok dipetak khas sudah memadai. 

Harini mencuba lagi menanam beberapa pokok spesis duri hitam dan IOI dikawasan yang agak teduh. Pengairan menggunakan botol minuman yang ditanam dipangkal pokok dan dibuat lubang halus.

Tambah lagi pokok Durian Belanda 4 pokok. Beberapa pokok terdahulu hidup, cuma tumbesaran kurang memberangsangkan.

Selagi tiada akses sempurna dan dapat menyelesaikan punca air ke kebun, beginilah risikonya. Tidak dapat mengairi dan pergi dengan kerap untuk menjagai pokok-pokok yang ditanam. Nak angkut baja pun sukar.

Target ketika ini membersihkan dulu kebun sambil menanam pokok-pokok. Ikut rezekilah mana yang hidup.


Walaupun hanya berjarak 800m dari jalan utama, kebun berada dilapis yang ke 4. Rizab jalan ada, tapi belum dibina. Ketika ini akses menumpang tanah orang, kalau dibaiki sekalipun hanya sesekali dapat melaluinya menggunakan kenderaan empat roda bergantung kepada palang utama di kunci atau pun tak. Tuan tanah pula jarang berada di rumah. Mujur motor boleh tumpang diperkarangan rumah beliau.

Jika palang tak dikunci, pikap dapat sampai separuh jalan saja ke kebun kemudian sambung dengan motor. Ketika musim hujan motor pun tak boleh daki hingga ke kebun.

Nampaknya terdapat cahaya dihujung terowong. Pihak telekomunikasi DIGI hampir pasti menyewa bucu tanah untuk mendirikan menara pemancar. Pembinaan dijangka akan dimulakan seawal pertengahan tahun ini. Bila dah ada akses sempurna nanti mudahlah membawa keperluan kegunaan kebun.




Bila masa terluang, tidak lagi cuak untuk pergi lebih kerap walaupun seorang diri. Kebun dah lapang. Ketika ini masih mengharapkan pembantu untuk meneman.

Boleh membina rumah kebun dan bermalam di sana, anak isteri maupun rakan-rakan boleh ikut serta. Malam boleh berBBQ sambil memerhati pemandangan dari tanah tinggi.

Sekarang banyak masa terbuang dalam perjalanan pergi dan kembali. Kalau dah ada rumah kebun, sesudah subuh sudah boleh bermain embun, rehat bila matahari mulai tinggi dan sambung semula sesudah asar. Kebun tak luas, banyak aktiviti yang boleh dibuat dengan santai.

Sudah berkira kira..ayam pun boleh bela disana untuk dapat baja percuma.
Cuma kena fikirkan bagaimana ayam boleh hidup lebih berdikari dan bebas dari pemangsa.

No comments:

Post a Comment