Wednesday, December 28, 2022

Cabaran Berkebun...

Masa membeli dulu semuanya indah, kebun berjiran bersih sehingga dari kejauhan boleh nampak kebun yang ingin dibeli, kini kebun itu seolah terbiar, sayang dulu dia dah berhabis melapangkan kebun, membuat teres , bukan sedikit dibelanjakan. 


Dulu akses ke kebun dikhabarkan melalui rezab jalan tambahan atau lot tidak bergeran, hanya sebahagian terpaksa melalui kebun orang yang boleh dilalui tak kira masa. 

Bila urusan pembelian selesai, baru tau jalan rizab sebenar, terpaksa melalui jurang dan puncak yang curam, tak taulah macamana semasa penyediaan lot lot kebun dulu, rizab jalan sebegini  boleh diluluskan. Bukan tak boleh bina, tapi kos pastinya  tinggi. Atas sebab akses yang sukar inilah syarikat penyedia telekomunikasi membatalkan rancangan menyewa tanah untuk membina menara pemancar dikebun.


Kini ke kebun terpaksa mengharap ihsan semua jiran kebun terutamanya jiran dipintu masuk utama. Dia tidak tinggal disitu sepenuh masa, setiap kali ingin kekebun terpaksa memberitahu awal supaya palang tidak dikunci, nampaknya kena berbincang lagi supaya boleh dapat kunci pendua. Awal awal dulu dia agak keberatan untuk memberi. 


Jiran itu sudah agak berusia, walaupun sedikit sukar tapi dapat saja kerjasama menggunakan akses, cuma sesekali dia tak sempat membuka palang bila ada urusan diluar kawasan. Kita bimbang dijual kebunnya dan dapat pemilik yang lagi tak boleh berkongsi akses. Anak- anak jiran itu berkerjaya diluar kawasan dan sudah pasti sukar menguruskan kebun.




Semangat membeli plywood untuk menyiapkan lantai pondok. Daripada 4 keping diperlukan kebetulan hanya berbaki stok sekeping...



Dah sampai ke pintu masuk kebun inilah yang terjadi, palang berkunci walaupun sehari sebelum itu dah ingatkan lagi ke tuan tanah setiap Selasa akan ke kebun. Dia tak sempat kembali kerana ada urusan di KLIA sehingga lewat malam.



Fuh mujur cuma ada stock sekeping, terpaksalah menapak hampir 1KM untuk mengangkut barang ke kebun.


Ingatkan bawak  pembantu tambahan bolehlah menolong membaja, membersih pangkal pokok, menebang pokok besar yang menghalang akses ke kebun, manakala pembantu biasa akan menyiapkan pondok kebun. 

Dah kenderaan tak boleh lalu terpaksalah meninggalkan guni baja dan barangan lain di Kembara saja, tak sanggup memikul banyak barang. Pembantu cakap macam nak patah tengkuk Huhu

Thursday, December 8, 2022

YR Gunting Kayu Ara...

Pencarian premis gunting ideal memang sukar. Banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum mengambil keputusan menyewanya. Antaranya lokasi dipilih mesti strategik dan tidak terlalu banyak persaingan. Keluasan premis yang ditawarkan walaupun sederhana harus mempunyai bilik dan tandas. Jika keluasan tidak mencukupi, bilik sewa mesti mudah diperolehi dilokasi berhampiran

Sewa kedai mesti tidak tinggi. Berbeza dengan premis sendiri, premis sewa berisiko dengan kenaikan kadar sewa, jika koleksi bulanan tidak mampu membayar sewa kedai dan bil utilities, peluang untuk berkubur sangat tinggi. 






Pantang dengar kedai berpatutan untuk disewa, terus berunding dengan pemilik. Serendah Hulu Selangor, Wangsamaju Kuala Lumpur, Sg Choh Hulu Selangor, Bukit Sentosa Hulu Selangor, Damansara Petaling Jaya akhirnya  dapat juga premis di Kayu Ara Petaling Jaya.


Berbeza dengan premis premis lain yang cuba dirunding, urusan premis di Kayu Ara sangat mudah. Menelifon pemilik, bertemu, berunding, seterusnya membayar deposit . Urusan ubah suai dengan kontraktor selesai pada hari yang sama.




Jika tiada halangan, seawal pertengahan Disember kedai sudah boleh beroperasi.



Alamat kedai: YR Gunting, Jalan Chempaka,
Kg Sungai Kayu Ara, 47400 Petaling Jaya Selangor

Jom jom bergunting disana

 

Wednesday, December 7, 2022

Rehat Bela Ayam...


Dah tiba masa reban dikosongkan sedikit demi sedikit. Ayam pun dah tak produktif, tak lagi kerap bertelur. Manakan tidak ayam berusia lebih 2 tahun, jadi perlukan generasi baru.


Reban pun dah uzur, perlu penambahbaikan, walaupun ditampal, jaring pagar reput mudah  berlubang sana sini, pantang lambat beri makan ayam menerobos dan berkeliaran di luar, habis laman dipenuhi dengan taik ayam.  Mana ayam yang pandai cari lubang keluar reban itulah  yang kena sembelih dulu.

Nak rehat dulu beberapa bulan dari membela ayam. Sementara stok ayam baru dibawa masuk, jaring pagar perlu diganti baru. Reban dan tiang tiang pagar yang dah uzur perlu dibaiki atau diganti. Jaring akan guna yang tebal, mahal sikit ok tapi kukuh. 


Dah banyak tahun berpengalaman membela ayam diruangan sempit, rasa sayang untuk berhenti. Banyak manfaatnya,  sisa makanan domestik, rumput, daun-daun laman boleh dijadikan kompos di dalam reban. Penjagaan pun mudah, setakat membela sehingga kini tak dengar lagi jiran- jiran atau tetamu merungut bau busuk atau lalat banyak. 

Penyediaan makanan pun tak susah, beli seguni jagung dan beberapa kilo dedak sampai berbubuk untuk menghabiskannya. Dengan sedikit kerajinan campur  dedak bersama daun-daun tanaman kebun, batang pisang untuk diperam menggunakan cecair organik. Reban akan sifar bau dan lalat.  Pokok ubi, ketum ayam sudah terlalu banyak, pokok pisang hutan macam tak menyempat tumbuh, sisa makanan domestik pun selalu ada.

Jadi apa lagi..jom bela ayam...






Monday, November 28, 2022

JJCM Kuala Pilah...

Jjcm sebenarnya bukan ingin makan sangat, ianya lebih kepada meronda- ronda dan terdapat selingan makan-makan. Olehsebab tu selalunya destinasi makan-makan yg jauh sering menjadi pilihan samada oleh orang persendirian atau bersama kumpulan. Jika sekadar untuk makan apa perlunya pergi ke tempat yang jauh.

Ronda-ronda kali ini adalah Kuala Pilah, teruja dengan perkongsian netizen mengenai satu tempat makan menarik yang menyajikan lauk pauk beraneka jenis di premis ala- ala resort tepian sawah. 




Rugi jika berpergian sekadar menuju tempat makan.  Sambil mencari tempat makan, destinasi menarik lain turut dicari. Sedang eloklah menyinggah ke Muzium Istana Sri Menanti, Kuala Pilah.

Dalam perjalanan ke Kuala Pilah, melalui Hiway Temiang yang pernah viral sebelum ini. Walaupun dipanggil hiway ianya sekadar jalan biasa baru  selorong membelah banjaran tanah tinggi, menyajikan pemandangan berbukit bukau yang cantik.   Ketika mula viral dulu, bahu jalan sepanjang spot menarik  dipenuhi dengan orang ramai dan kenderaan.  





Istana lama yang dulunya pernah menjadi kediaman rasmi sultan seterusnya dijadikan pelbagai pejabat agency pentadbiran sebelum diserahkan ke pihak muzium  pada tahun 70an.


Replika Batu Bertikam ini adalah contoh asal yang terdapat di Kecamantan (kampong) Lima Kanun Batu Sangkar, Sumatera Barat Indonesia. Batu ini dikaitkan dengan bekas tikaman keris oleh Datuk Pepatih Nan Sebatang tanda sumpah setia perdamaian sebagai mengakhiri perselisihan faham dalam hal pemakaian Sistem Adat Koto Piliang yang dicetuskan oleh saudaranya Datuk Katumanggungan.

Menurut cerita bahawa Datuk Katumanggungan juga telah menikam sebuah batu dengan kerisnya dan keris tersebut telah ditempatkan di Sungai Tarap VIII Batu (Bungo Sotangkai, Bulokan Sungai Kayu Balukan Sungai Kayu Batarok) yang dijadikan sebagai Pusat Pemerintahan Koto Piliang dengan mengamalkan sistem adat selain dari Sistem Adat Caniago tersebut dan ia telah dipakai sama oleh kota-kota yang lain di sekitarnya. 

(Petikan dari maklumat papan kenyataan)




Dalam banyak bahan pameran, maklumat ini yang lebih menarik perhatian. Gabungan Luak-Luak inilah terbitnya nama Negeri Sembilan. Asalnya N9 terdari 9 Luak, kini hanya tinggal 5, tak sangka rupanya Kelang Di Selangor, Segamat di Johor, Naning di Melaka dan Kenaboi Hulu Pahang, merupakan sebahagian jajahan N9..Akibat campur tangan penjajah, luak luak itu berpindah tangan.



Selain dari Luak, material bumbung ini turut mencuri tumpuan, dari kejauhan kelihatannya seperti bumbung tanah liat, rupanya diperbuat dari kepingan kayu cengal.




Bahagian tingkat ke 3 Istana  dihubungkan dengan tangga yang hampir menegak.








Rumah tukang yang membina istana turut diabadikan untuk tatapan sejarah.


Persekitaran istana dikelilingi kehijauan gunung-ganang.


Kemuncak ronda-ronda adalah makan- makan. Restoran yang bermula dari gerai/ warong tepi jalan kini berpindah ke lokasi lebih selesa dengan kerjasama kerajaan negeri.

Kehadiran pengunjung dihari cuti umum tersangat ramai sehingga terpaksa berpanasan sebelum mendapat giliran memilih hidangan.

Kecekapan perlu dipertingkatkan. Pengunjung sepatutnya boleh terus memilih hidangan yang telah disiapkan tanpa mencedok sendiri. Lauk pauk yang banyak menyebabkan pengunjung rambang mata, berlegar-legar sebelum memutuskan menu apa yang dipilih. Ini mengganggu aliran trafik.


Dah alang alang jjcm jauh, kalau boleh segala menu yg ada ingin dicuba.
Makan berdua dengan hidangan gulai lemak daging salai, ikan bakar, rendang itik, sayur lemak pucuk paku, sayur ala ala kerabu, ulaman berserta air dikenakan caj RM61. 

Boleh lah tu...
 

Saturday, November 26, 2022

Inap Dusun Frazer Valley Kuala Kubu Bharu...


Sabtu berpeluang berziarah ke Inap Dusun Frazer Valley Kuala Kubu Bharu, Selangor.


Pertanian adalah satu perniagaan. Pelbagai aktiviti ekonomi boleh dijana dari kebun, tidak lagi terhad hanya dengan hasil kebun.


Sesiapa yang memiliki  dusun boleh tiru konsep ini, sambil menginap, pengunjung boleh memakan buah-buahan sepuasnya secara percuma, membeli untuk dibawa balik sahaja.

 Pemilik dusun adalah dari keluarga  3Q Equastrian,  pastinya ramai yang kenal penunggang kuda negara dari keluarga Ambak. Dusun lebih 100 ekar, termasuk tasik, keluasan tapak khemah dusun tak melebihi seekar...

Jika cuaca mengizinkan pengunjung akan dibawa menaiki kenderaan 4WD ke dusun utama yang mempunyai lebih 200 pokok durian MK, IOI dan D24 dan pelbagai pokok buahan lain.

 Kadar penginapan khemah diantara Rm200-Rm1000 satu mlm bergantung kepada keluasan khemah. Adat berkhemah, tandas tidak disediakan dikhemah sebaliknya terdapat tandas awam yang cantik lagi bersih.

 Sesuai dengan kedudukannya dipinggiran tasik pengunjung boleh memancing ikan di tasik. Hasil tangkapan boleh dimasak didapur terbuka yang disediakan untuk  para pengunjung. 



Khemah- khemah disediakan dengan penghawa dingin juga kipas. 






Penambahbaikan fasiliti dusun antaranya restoran sedang dibina. Sesudah siap kelak pastinya memberi pilihan kepada pengunjung yang gemarkan JJCM.




Pelbagai aktiviti boleh dilakukan semasa menginap disana, berBBQ, berbasikal keliling dusun, berkayak ditasik atau sekadar bersantai dibawah rimbunan pohon- pohon dusun. Pastinya menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang sukakan aktiviti luar.

Jika aktiviti itu belum cukup mencabar boleh saja menginap disini dan di awal pagi terus menuju ke  Santuari Ikan Klah di Sg Chilling Kuala Kubu Bharu yang tidak begitu jauh, boleh  berkelah dan mandi-manda di air terjun, namun perlu meredah denai  sambil bermain dengan ikan klah yang jinak sepanjang sungai.. Setibanya di air terjun yang berjarak 2km dari pintu masuk pengunjung akan takjub dengan pemandangan air terjun, berbaloi berpenatan untuk tiba ke destinasi ini.


Hah apalagi, jika berkunjung ke Kuala Kubu ambil lah peluang  menginap disini yang menyajikan suasana aman  damai dan bersih. 

Tuesday, November 22, 2022

Kembara, pembelian berbaloi...

Keseluruhan hampir 2 ribu juga berbelanja untuk menambahbaik Kembara kebun ini. Sesudah membeli dulu terus menukar long shaft, servis enjin, tukar minyak gear box, bil dalam Rm500

Hantaran kedua menukar shaft pendek gear 4wd dan beberapa pembaikan sana sini bil dalam Rm350

Apabila kedua shaft telah ditukar, pemanduan lebih lancar tanpa bunyian seperti bas berusia.

Dan harini menghantar lagi ke bengkel untuk mengatasi masalah enjin terlebih  panas. Apabila berada dalam kesesakan atau berhenti, jarum meter suhu segera bergerak ke penanda merah. Puncanya putaran kipas tidak cukup pantas untuk sistem sejukan enjin radiator berfungsi dengan baik, selain pam air juga agak uzur. Terus menukar juga timing belt dan membuat  pembaikan lain. Bil dalam Rm730. . Jadi jumlah keseluruhan Rm1580.



Sekarang keadaan enjin sudah tip top. Cuma biasalah apabila CC kenderan hanya 1.3cc, dan berteknologi lama, deruman enjin agak mengaum. Keterampilan luaran juga kelihatan uzur.



 Untuk lebih berketerampilan, berangan  membalut lapisan stiker menggantikan cat. Namun tidak cukup kesabaran dan skil untuk membalut kenderaan dengan lapisan itu, jadi buat sementara ni biarlah Kembara dalam keadaan sediakala, kemudian hari apabila modal mencukupi, luaran memang perlu dicat baru.


Kembara memang pembelian sangat berbaloi, telah beberapa kali menguji mendaki laluan licin offroad, ianya tidak mengecewakan. Sistem 4wd masih berfungsi dengan baik. Kembara adalah ringan, jadi mudah mengatasi laluan sukar berbukit. Ketika ini masih menggunakan tayar standard, jika ditukar dengan tayar berbunga kasar nescaya lebih mudah mengatasi laluan sukar, cuma penggunaan minyak agak tinggi. 

Keseluruhannya sangat berpuashati..