Sayu..itu ungkapan yang dapat dinyatakan bila melihat harta pusaka tinggalan orang tua, rumah sepi tanpa berpenghuni, kebun semak terbiar. Inilah gambaran yang bakal kita lalui setelah kita berpindah alam, pewaris sibuk dengan kehidupan masing- masing.
Rumah pusaka pernah ada penyewa, namun telah keluar dan kini sedang mencari penyewa baru. Penyewa tak sama dengan pemilik asal, rumah akan kehilangan seri bila tidak dijaga sebagaimana rumah sendiri.
Sejak emak meninggal 2007 dan lebih- lebih lagi ayah 2022 memang kami jarang balik ke kampung. Adik beradik semuanya melainkan seorang, tinggal di merata tempat luar daerah/negeri.
Jika rumah dan tanah tapak rumah diwariskan ke kakak dan adik perempuan, kebun ini yang tidak jauh dari rumah pusaka diwarisi oleh penulis.
Adik beradik yang lain ada bahagian masing- masing . Tanah penulis berbelas tahun semak tidak diusahakan, kebun tak luas dalam 3/4 ekar, sekarang ini menjadi habitat kegemaran babi. Paling sesuai ditanam sawit kerana tanah berpaya, itupun cuma dapat dalam 50-60 pokok, sesuai sebagai tambahan keluasan kebun utama. Jika mengharapkan hasil dari kebun keluasan ini saja, modal dan hasil agak kurang seimbang, lebih lagi jika diusahakan dari jarak jauh memang tidak berbaloi.
Untuk tapak rumah memang sesuai, ada beberapa orang datang melihat semasa dibuka untuk jualan, cuma kedudukannya agak sedikit terkebelakang, mereka membatalkan niat.
Mau tak mau tanah perlu diusahakan, dah jumpa seseorang yang sanggup memajak tanah tersebut, sekarang ini dia yang mengusahakan kebun adik beradik yang lain. Biarpun tempoh yang dipinta memang lama sebelum dapat menikmati hasil sendiri, setidaknya kebun dimanfaatkan., harapnya dapat juga pahala ke orang tua yang dulu membanting tulang membuka kebun.
No comments:
Post a Comment