Wednesday, July 31, 2024

Brek Tambahan ATV

Brek atv dah ditambah, dah boleh dihantar ke kebun setelah rumah atv disiapkan, tak perlu canggih, cukup  sekadar berbumbungkan canvas. Penghantaran nanti terus ditonggang dijalanraya, cuma perlu bergerak seawal jam 5 pagi supaya tidak mengganggu trafik.

Cargo belakang akan dihantar kemudian..saiz cukup untuk dimasukkan ke dalam kembara..cuma tayar saja yang perlu ditanggalkan terlebih dahulu..



Servis dah dibuat, sesudah ini servis ringan seperti penukaran minyak hitam, minyak brake, plug dll akan dibuat dikebun. Honda Ex5 insyaAllah tidak mempunyai kerenah, sebelum ini Modenas pun ok jer tinggal dikebun,  2 minggu ditinggal tetap boleh saja dihidupkan.

Bila dah ada ATV, akan makin rajinlah ke kebun..Vrom vrooom..


Monday, July 29, 2024

Compressor AC Kancil


Perbaiki  AC tak sampai 2 hari dah masuk bengkel semula.. langsung tak sejuk., rupanya compressor AC bocor. Sebelum ini buat flushing dan tukar piping saja. 

Compressor beli online RM150 termasuk pos..beli di kedai alatganti hampir Rm500 tak termasuk upah pasang..cuma risiko beli online ni lecehnya nanti jika ada masalah walaupun ada waranti setahun..dengan perbezaan harga begitu ketara, berbaloi mengambil risiko, lagipun berdasarkan review pelanggan beratus memberi maklumbalas positif.

Bila AC sejuk barulah syok melenjan Kancil..

Monday, July 22, 2024

Puncak Kebun...

Misi Kembara ke puncak kebun hampir tercapai, seksyen paling sukar telah disiapkan dan telah diuji, hanya perlu sedikit penambahbaikan supaya pendakian lebih lancar dalam apa juga keadaan cuaca. Tak boleh berpatah balik kerana tiada tempat berpusing, mengundur ketika licin berisiko terperosok ke cerun kerana akses sempit dan bertebing.

Permukaan akses mula ditabur dengan sisa bahan binaan., sisa terkumpul lebih dari mencukupi, bahkan masih banyak yang boleh diangkut ke kebun







Kedudukan rumah kebun dianjakkan lagi ke atas bukit untuk lebih panorama. Akses ke situ sudah tidak begitu sukar hanya perlu mengorek dan meratakan teres. Berbeza di seksyen paling sukar, pembinaan menongkah arus cerun, melibatkan penggalian dan menimbus cerun.



Bila disorot kembali semasa mula mengusahakan kebun, cabaran utama adalah menyediakan akses sehingga ke kebun. Akses menumpang kebun jiran kerana akses melalui rezab jalan tak tau bila boleh dibina. Anak panah hijau adalah laluan rizab jalan..barangkali semasa menyediakan lukisan tidak disesuaikan dengan mukabumi sediada..rizab jalan melalui laluan mendaki dan menuruni lembah yang curam..Kos pembinaan gerenti mahal.

Anak panah biru adalah akses tumpang.


Awalnya akses tumpang hanya boleh dilalui sehingga tanah berjiran, kebun jiran ni dulu bersih, sudah dibina teres- teres untuk tanaman durian..,tangki besar pengairan juga sudah disediakan.., atas sebab itu kita tertarik membeli tanah di sana..rupanya diusahakan sekerat jalan . Kini menjadi belukar semula..

Akses ke kebun dibina laluan baru berwarna merah...dari situ laluan disambung sehingga ke puncak.

Lambat tak mengapa janji matlamat tercapai..Laju-laju takut pancit di tengahjalan..

Sunday, July 21, 2024

Kancil Basahan..




Kancil sangat selesa dipakai sebagai kereta basahan, berbanding kereta famili atau Kembara Kebun, Kancil basahan  kita tak khuatir pakai dengan lasak, tak kesah jika badan berpeluh  berjogging, boleh sumbat barang basah pasar, senang menyelit parking di masjid/surau..terlanggar lubang hati masih tenang, paling penting minyak jimat, rm 30 boleh tahan lebih seminggu...


4WD Kembara Kebun  biarpun kecil tapi terasa berat dan kuat makan minyak.


Mentenen Kancil juga mesra poket, cuma bila kena baik pulih  major, barulah berbelanja lebih. 


Untuk mengekalkan keselesaan dan keterampilan, AC ditukar set baru..begitu juga dengan lampu utama, yang lama dah uzur kekuningan..Biarpun badan bersih berkilat, kereta tetap nampak buruk..Bila dah tukar  lampu, penampilan lebih segar.. Wiper depan belakang, radiator  dan gasket enjin turut ditukar kerana bocor  yang serius...kerugian dalam RM1300. 


Kereta tua geran ditangan sesekali kenalah berbelanja lebih...


 

Friday, July 19, 2024

Jambu Bol...

Pokok ni tahun ke 3 berbuah. Mula mula belajar berbuah dulu kecil sebesar bola pingpong, kini alhamdulilah saiz buah semakin membesar, mungkin kena rajin dibaja untuk lebih besar dan lebat.

Tak rugi bertanam dulu, tanpa sedar lebih 10 tahun baru merasai hasil. Lagipun penjagaan pokok mudah langsung  tiada pengawasan.




Fuh buah masam-masam manis,  sambil memejamkan mata  menikmati kelazatan buah..merecik saat mengigit buah yang lembut ..


Dapatlah merasa rakan-rakan berjiran..Buah perlu dipetik supaya tidak busuk dan gugur..


Inilah kelemahan bertanam keliling rumah, bila pokok semakin membesar dan meninggi daun kering, buah busuk mengotori laman, meninggalkan kesan hodoh berbelak pada lantai. Sehabis musim nanti pokok akan dicantas sedikit supaya tidak terlalu tinggi, hanya berisiko pokok merajuk dari berbuah..ini yang terjadi pada pokok mempelam dan jambu air.

Pokok  yang dicantas mabuk daun dan lama tidak berbuah..jadi satu kerja pula megurangkan rimbunan daun..

Namun manfaat mengatasi  keburukan. Jadi apa lagi jomlah bertanam keliling laman. Banyak pokok boleh ditanam. Kalau membeli nenas tanam lah jambul kat tanah.. jika tiada ruang bertanah, manfaatkan pasu yang berlebihan.

Sampai masa nanti adalah hasilnya..Seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama..


Jom jom jomm..Semangat

Thursday, July 18, 2024

Kerbau Gagah...

Ini baru betul-betul kenderaan pelbagai guna..kegunaan liburan boleh, basahan  ok, dijadikan kerbau kebun pun mantap...yang penting keterampilan dijaga sesuai dengan keadaan..jangan mentang-mentang Kembara kebun, penampilan dalaman langsung berkeladak, cat luar berkurap dan kemek sana sini. 

Seusai membawa barangan kebun kita bersihkan segala habuk dan sampah..Jika selalu dibersihkan tiadalah keladak berkumpul di kabin..Sesekali untuk bercamping kita polish dengan pengilat..tiada siapa perasan  yang ini adalah Kembara kebun.



Tiang pagar 6 kaki dengan mudah dibawa dengan Kembara..Kuantiti disesuaikan dengan keadaan, memandangkan kebun di puncak bukit tidak banyak yang boleh diangkut, berbeza jika tanah rata rasanya banyak boleh disumbat di dalam kabin..panjang bahan sehingga 8 kaki boleh diangkut, hanya  perlu ditompang di dashboard.


Fuh best setelah bermandi peluh menikmati bekal, sambil mata melihat tanaman kebun dari tempat tinggi..berligar dikepala apa penambahbaikan yang boleh dibuat di kebun.

Sepucuk jambul nenas MD2 akan mula ditanam. Banyak ruangan keliling pagar yang boleh dimanfaatkan. Harapnya tidak diganggu binatang liar, sementara pagar siap, penggera anjing garang dan penembak tepat nampaknya bertugas dengan cemerlang..pokok pisang yang ditanam mulai mengeluarkan daun lebar...

Nanti setelah dipasang pagar elektrik siapa yang mengacau terimalah padahnya. Semangat..

Jom jom berkebun..




Monday, July 15, 2024

Pengasah Rantai Chainsaw

Jika sebelum ini hampir melecet jari menekan grinder bulat supaya mata rantai tajam, kini dipermudahkan lagi dengan adanya grinder yang dipasang di driller elektrik..mengasah menjadi lebih mudah dan mata rantai lebih tajam.




 Memotong atau menebang pokok semakin senang bila mata rantai tajam. Jika tumpul rantai berapi dan mudah kendur. 

Jom- jom kita asah rantai..


Thursday, July 11, 2024

Alarm Kebun Part 2

Sementara pagar kawat berduri dan elektrik siap kita gunakan khidmat pemburu dan anjing tiruan. Nak bela anjing betul, sukar memberi makanan jadi kita bela anjing tiruan ..Halal tanpa perlu menyamak.

Ada kesilapan pembelian, sepatutnya berkuasa solar tapi yang datang berkuasa bateri boleh caj. Dah check semula pakej pembelian, ini merupakan produk terdahulu sebelum ditingkatkan kepada kuasa solar. Barang dah beli dimanfaatkan juga dikebun, cuma leceh nanti terpaksa dibawa balik untuk mengecas bateri. Bateri tak pasti mampu bertahan berapa lama...






Penggera dipasang disudut strategik yang sering menerima kunjungan haiwan liar..di kawasan ini pokok tanaman sering dirosakkan. Apabila pengera mengesan pergerakan dalam lingkungan 5 meter penggera akan menyala serta mengeluarkan suara tembakan dan anjing menyalak yang tersangat nyaring. 

Harapnya berkesan menghalau haiwan liar dari menghampiri kebun dan  tanaman.

Kita berusaha selebihnya bertawakal...


Sunday, July 7, 2024

Alarm Kebun...

 


4 unit alarm kebun kuasa solar dan bateri boleh caj dah sampai. 4 unit berharga RM175. Sementara tunggu pagar kebun siap, kita ikhtiar kaedah penggera bersensor  yang dipasang di lokasi strategik...Bila mengesan pergerakan, penggera akan berbunyi nyaring suara tembakan dan salakan anjing...harap penceroboh bertempiaran lari kerana terkejut. 

Sedih melihat pokok yang ditanam musnah..yang terbaru adalah pokok pisang..4 dari 5 pokok yang baru mula berdaun musnah total. Sepokok itu pun mungkin tak perasan sebab dikelilingi semak..

Baru bercadang memagar pokok dengan guni ermm tak sempat.

Inilah dugaan berkebun...

Saturday, July 6, 2024

Mentenen Akses Kebun...

Sampah untuk orang, emas untuk kita
Lebih lagi jika bajet terhad.
 
Akses ke kebun perlu sentiasa dibuat mentenen, lebih lagi ketika musim hujan, permukaan jalan terhakis, jika tidak dibaiki segera akan membina alur air yang semakin membesar. Masa ini alur terbina ditabur dengan sisa bahan binaan. 

Paling mudah memang membeli, batu jalan kitar semula jalanraya satu lori dalam Rm500, isunya adakah begitu terdesak sehingga perlu membeli sedangkan banyak bahan kitar semula percuma  yang boleh dimanfaatkan. Sekiranya ingin diratakan perlu kos tambahan  menyewa jentolak. Tak mungkin berkudrat meratakan secara manual.

 Jika beli  kemudian dijadikan stok dan ditabur bila berkesempatan, apa beza dengan memanfaatkan bahan kitar semula percuma yang lain, diangkut bila berkesempatan.

Ini sebahagian sisa binaan yang dikumpulkan ketika jiran setaman membuat renovasi rumah..Berguni guni dapat dikumpulkan. Belum lagi yang diperolehi  di pinggiran jalan sunyi yang dibuang secara haram.


Kontraktor rumah turut memberi baki batu konkrit dan pasir. Kita pula sedang dalam fasa membina rumah kebun, cukuplah untuk membuat asas tiang dan lantai konkrit tandas maupun dapur... besi  pun lebihan orang.

Baru ini penulis berjumpa dengan pengetua sekolah OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat..menyatakan minat membeli kayu terpakai. Asrama JKM sedang dinaik taraf, bumbung lama ditukar baru..,banyak kayu bumbung lama yang masih boleh dimanfaatkan.  Pihak Pengetua akan memaklumkan sekiranya kelulusan melupus diperolehi..

Tak pasti berapa harga..tapi sepatutnya tidak mahal kerana bahan ini perlu dlupuskan juga akhirnya melainkan pihak sekolah ingin memanfaatkan untuk kegunaan lain..

Dah terbayang, selain rumah kebun, pondok kebun sediada  boleh dinaik taraf, menggantikan kayu-kayu kebun..Kayu kebun perlu sentiasa dilumur minyak, setelah ditukar nanti kuranglah sikit mentenen..


Jom jom berkebun...

Friday, July 5, 2024

Atv Kebun...

Yang dinanti-nanti telah tiba, Atv Kebun..lebih 2 tahun juga menunggu ATV siap. Hampir merelakan jika atv tidak diterima kerana nombor penjual pernah seketika tidak boleh dihubungi, rumah pula terlupa alamat..

Selain pkp, penjual ditimpa musibah isteri dimasukkan ke hospital kerana sakit kanser. 





Kalau memang dah rezeki, setelah begitu lama menyepi, tetiba nombor aktif semula dan wasap berjawab..selebihnya tinggal kenangan dan Alhamdulillah harini sesudah Jumaat ATV alamat sampai..




 Atv ini salah satu pembakar semangat untuk rajin datang ke kebun, masa kecil mana pernah berpeluang bermain dengan motor beroda empat begini. Di kebun banyak manfaat, boleh angkut barang, segenap ceruk boleh didatangi..Berbanding motor roda 2, motor roda empat boleh berhenti tanpa memikir dimana untuk menongkat motor. . Cuma akses perlu disiapkan dan cukup lebar untuk atv.

Atv menggunakan motor Honda ex5 yang diketahui sangat kuat dan lasak, namun tidak boleh juga dilenjan sesukahati dikhuatiri sukar untuk dibawa keluar untuk dibaiki.

Kita akan layan dengan penuh kasih sayang...

Wednesday, July 3, 2024

Grafting/Cantuman Pokok Avocado

Bila bergerak solo, kita tidak terikat dengan banyak kekangan, boleh mencuba waktu terbaik untuk pergi ke kebun. Pagi tadi bergerak seawal 5.30 pagi dan singgah solat subuh di surau dalam perjalanan. Cun,  banyak penjimatan masa kerana trafik awal pagi tersangat lancar..Seawal 6.30 sudah tiba di jalan masuk ke kebun..masih lagi gelap gelemat, sementara tunggu sedikit cerah 6.45, bersarapan dulu dengan bekal yang dibawa..Sedang elok sebelum  7.00 tiba di kebun dan memulakan kerja.

Kerja ketika  suasana berembun seronok..matahari mulai terik sekitar jam 10-11 dah boleh berhenti . Seminggu datang 2 kali rasanya banyak aktiviti yang boleh dibuat...

Pagar, akses Kembara ke puncak, Rumah kebun, sistem pengairan, teres-teres pejalan kaki/ ATV selain rutin penjagaan pokok dan pembersihan kebun. Semua boleh dibuat secara manual, berbeza dengan mengambil upah kebun orang, aktiviti di kebun sendiri bokeh dibuat secara santai..
 




Hari ini turut dikunjungi rakan kebun yang melakukan grafting/cantuman terhadap 5 pokok avocado yang ditanam dari biji, menggunakan pelbagai scion/pucuk dari kebunnya..setiap pokok dicantum dengan pelbagai spesis avocado.

Akses ke puncak kebun walaupun tersasar dari jangkaan siap, itu tidak mengapa, tiada ketetapan waktu ditetapkan..Tak mau berhempas pulas sehingga membunuh semangat ke kebun, berhenti kerja ketika semangat masih membara..jadi teruja untuk datang lagi. 

Penandaan penjuru-penjuru tapak rumah mini kebun juga telah disempurnakan..rakan kebun turut bersetuju dengan lokasi yang dipilih..


Tersangat lega lori 4wd hardware boleh tiba sehingga separuh perjalanan untuk menghantar tiang pagar konkrit dan lantai simen.  . Jarak berikutnya hanya boleh diakses dengan kenderaan kecil, sedikit demi sedikit bahan ini akan diangkut menggunakan Kembara. 

Belian bahan berikutnya akan bertambah mudah...Drebar lori sudah tau lokasi..jadi hanya perlu memberitahu tarikh penghantaran tanpa perlu berhubung sebab dikebun line telefon sekejap ada sekejap hilang..susahh...



Tuesday, July 2, 2024

Gergaji Bulat Tanpa Kabel

 


Serius tak ingat...ingatkan belian gergaji bulat terdahulu   jenis elektrik berkabel 7 inchi.. dah lama beli tapi tak pernah guna kerana tak berfungsi..itula risiko beli barangan online..jika terdapat kecacatan nak dihantar kemana pun tak tahu biarpun ada waranti....tak silap gerjaji ni beli direct dari China..


Bila terdapat keperluan  maka dibeli gergaji baru  tanpa kabel untuk mudah digunakan di kebun..Bila barang sampai dan cuba membandingkan saiz, laa..rupanya  kedua- duanya tanpa kabel dan bersaiz sama 5 inchi..Mujur belian terbaru Rm150, dilengkapi dengan 2 unit bateri,  mesin berfungsi..Yang lama kena baiki dulu  dipusat servis mesin ..harapnya dapat dikenal pasti kecacatan dan boleh baiki...jika dapat dibaiki boleh dijadikan gantian...Cuma kekadang tak berbaloi membaiki kerana kos sangat mahal berbanding membeli baru..


Seronok bertukang bila alatan lengkap, mutu kerja pastinya lebih kemas, kerja lebih pantas dan pemotongan bersiku lebih tepat berbanding menggunakan gerjaji biasa.

Ada banyak lagi alatan bertukang yang ingin dibeli... Antaranya penembak paku . Macam best saja melihat demo  perkongsian pembeli..senang nak memasang kepingan siling tap.. tap ..tap..dah lekat hehe...