Wednesday, March 30, 2022

Susah Juga Jadi Petani...

Baru tahu memang sukar menanam pokok buahan terutamanya durian. 4 pokok durian yang ditanam sebelum ni semua mati, berbanding pokok lain ternyata ia lebih manja. Sepokok mata kucing pun singkat hayat. Terdedah sangat dengan cahaya matahari tak boleh, daun pokok mudah layu dan berguguran.

Begitu juga dengan pokok kelapa, lebih 7 anak pokok yang subur diperkarangan rumah bila dipindahkan ke kebun bukit kesemuanya mati. Ada yang pucuk layu, ada yang tercabut dari tempatnya, mungkin gara- gara babi.

Pokok rambutan agak lasak. Pokok kantan yang dipindahkan sesudah disemai dalam polibeg pun ok. Yang terus ditanam dari benih tak mau hidup. Dapat tanam berbaris dalam 100 pokok dipetak khas sudah memadai. 

Harini mencuba lagi menanam beberapa pokok spesis duri hitam dan IOI dikawasan yang agak teduh. Pengairan menggunakan botol minuman yang ditanam dipangkal pokok dan dibuat lubang halus.

Tambah lagi pokok Durian Belanda 4 pokok. Beberapa pokok terdahulu hidup, cuma tumbesaran kurang memberangsangkan.

Selagi tiada akses sempurna dan dapat menyelesaikan punca air ke kebun, beginilah risikonya. Tidak dapat mengairi dan pergi dengan kerap untuk menjagai pokok-pokok yang ditanam. Nak angkut baja pun sukar.

Target ketika ini membersihkan dulu kebun sambil menanam pokok-pokok. Ikut rezekilah mana yang hidup.


Walaupun hanya berjarak 800m dari jalan utama, kebun berada dilapis yang ke 4. Rizab jalan ada, tapi belum dibina. Ketika ini akses menumpang tanah orang, kalau dibaiki sekalipun hanya sesekali dapat melaluinya menggunakan kenderaan empat roda bergantung kepada palang utama di kunci atau pun tak. Tuan tanah pula jarang berada di rumah. Mujur motor boleh tumpang diperkarangan rumah beliau.

Jika palang tak dikunci, pikap dapat sampai separuh jalan saja ke kebun kemudian sambung dengan motor. Ketika musim hujan motor pun tak boleh daki hingga ke kebun.

Nampaknya terdapat cahaya dihujung terowong. Pihak telekomunikasi DIGI hampir pasti menyewa bucu tanah untuk mendirikan menara pemancar. Pembinaan dijangka akan dimulakan seawal pertengahan tahun ini. Bila dah ada akses sempurna nanti mudahlah membawa keperluan kegunaan kebun.




Bila masa terluang, tidak lagi cuak untuk pergi lebih kerap walaupun seorang diri. Kebun dah lapang. Ketika ini masih mengharapkan pembantu untuk meneman.

Boleh membina rumah kebun dan bermalam di sana, anak isteri maupun rakan-rakan boleh ikut serta. Malam boleh berBBQ sambil memerhati pemandangan dari tanah tinggi.

Sekarang banyak masa terbuang dalam perjalanan pergi dan kembali. Kalau dah ada rumah kebun, sesudah subuh sudah boleh bermain embun, rehat bila matahari mulai tinggi dan sambung semula sesudah asar. Kebun tak luas, banyak aktiviti yang boleh dibuat dengan santai.

Sudah berkira kira..ayam pun boleh bela disana untuk dapat baja percuma.
Cuma kena fikirkan bagaimana ayam boleh hidup lebih berdikari dan bebas dari pemangsa.

Friday, March 25, 2022

Usaha Sedikit, Hasil Lumayan...


Selesai kuarantin umrah, hati bergelojak ingin menjenguk kebun bukit. Hampir 4 minggu kebun ditinggalkan sejak sebelum ke umrah lagi.



Keseluruhan kebun ok, melainkan ada juga pokok yang ditanam mati, ada yang tercabut, tak pasti gara-gara apa..babi dan monyet pun mungkin.
Sikit lagi keseluruhan kebun dilapangkan. Ketika ini membakar sampah-sampah dan pokok kering.



Sedikit demi sedikit kawasan yang telah dilapangkan ditanam dengan pokok buahan...Kalau menunggu seluruh kawasan dibersihkan baru nak ditanam, dikhuatiri semak samun bermaharajalela semula.

Bila sebahagian kawasan telah ditanam dengan pokok, tidaklah rasa luas membersihkan lorong lorong yg tidak bertanam. Ingin mengelakkan penggunaan racun rumput. Kebun pun tak luas, memotong menggunakan mesin rumput tak lama, tak lebih 3 hari selesai.

Ikut rezekilah mana pokok-pokok yang ditanam. Hidup alhamdulillah, mati disulam baru.. Memang prasarana tidak sempurna..Tanaman ketika ini mengharapkan seratus peratus air hujan. Punca air permukaan langsung tiada. Rancangan mengorek telaga bawah tanah belum kesampaian.



Seronok balik berkebun berendam di air terjun. Sengaja menggula-gulakan pembantu anak muda supaya rajin diajak ke kebun.




Usaha yang tak seberapa tapi mendapat hasil yang tidak mengecewakan. Pokok ubi dan halia yang ditanam di tanah lapang hadapan rumah telah boleh dituai...sebahagiannya telah rebah. Halia adalah tuaian ke 2...Tuaian pertama pun masih ada lagi dan disejukbekukan...




Pokok pisang pun sama. Sebahagian lagi sedang mengeluarkan jantung.



Ayam yang ditinggalkan berminggu ingatkan kurus kekurangan makanan, rupanya bertambah gemuk, dan tidak berhenti bertelur. Ketika ini sebahagiannya dalam fasa mengeram, jadi koleksi harian telur menurun, jika tidak dalam sehari dapatlah mengutip 8-10 biji daripada 12 ekor induk.


Rakan setaman bergilir menolong memeriksa tong makanan ayam, jika terkurang, tambah, sebagai upah ambiklah telur yang ada. Jika kebiasaannya dedak dan jagong seguni mengambil masa berbulan untuk habis, bila diisi didalam tong, 2 minggu, lebih setengah guni habis..bekas makanan memang sentiasa penuh. Tak mengapa, sesekali saja...

Pokok ubi, halia, kunyit dan pisang dah di tanam di batas baru...Nenas pun sedang elok membesar..

Wah.. wah.. wahh..






Umrah22-Kembali ke Tanahair...


Sabtu/Ahad

Setiap yang bermula akan berakhir. Umrah 22 juga akan melabuhkan tirai. Sekitar 9.30 Sabtu malam bergerak ke Airport Jeddah. Penerbangan pulang pukul 3.30 pagi Ahad.

Sememangnya telah menyemaikan azam untuk tidak membeli banyak di Mekah dan Medinah. Ole ole pun sekadarnya. Lagipun setiap jemaah hanya diperuntukkan 23 kilo seorang, jadi tak banyak yang boleh dibeli. Kalau setakat kurma, pengedar Yussof Taiyob pun dah banyak membawa masuk kurma pelbagai jenis ke tanahair

Setiap jemaah dibekalkan 5 liter air zam zam, ramai juga yang mengumpul sendiri air zam zam ketika di Mekah. Cuma masalahnya adalah bagaimana untuk dibawa pulang.


Penguasa airport Jeddah tidak membenarkan air zam zam diisi didalam botol dan disumbat di bagasi. Kaedah yang kami cuba adalah memindahkan air dibotol ke dalam bekas plastik yang ada dijual di supermarket..sebotol 5 liter dipindahkan kedalam dua bekas plastik, jadi masih terdapat ruang untuk air bebas berkocak ketika bagasi dihempas. Bekas plastik kemudiannya dibalut pula dengan kain ihram.

Alhamdulillah kaedah ini selamat.

Airport Jeddah

Setibanya di Klia, para jemaah disaring ujian pcr dan dipakaikan gelang digital yang fungsinya memantau pergerakan dalam tempoh kuarantin. 2 hari sebelum bertolak balik jemaah diuji juga di Mekah.


Walaupun pemantauan ketat, 19 orang daripada 21 jemaah, didapati positif covid 19. Kebanyakkan tidak bergejala atau bergejala ringan. Mungkin berjangkit ketika didalam pesawat. Ataupun ketika di Mekah lagi. Wallahualam.

Kini jemaah diberi pilihan untuk dikuarantin di rumah dengan kriteria tertentu., Bilangan isirumah, jumlah bilik, bilik air dsb agar kuarantin betul-betul berkesan.

Keputusan pcr hanya diketahui pada hari ke empat kuarantin, maka kuarantin wajib yang sepatutnya selesai setelah 5 hari, dilanjutkan lagi selama 3 hari menjadikan keseluruhan kuarantin kepada 8 hari.


Setiap hari jemaah perlu melapurkan keadaan kesihatan masing masing kepada kkm.

Alahamdulillah semua jemaah diistiharkan bebas dari covid19 setelah menjalani tempoh 8 hari kuarantin.

Monday, March 21, 2022

Umrah 22- Tawaf Wada'

Tup tap sedar-sedar dah nak balik, sesudah asar Sabtu kami membuat tawaf wada atau tawaf selamat tinggal. Dulu tawaf wada' dibuat disaat akhir ketika ingin meninggalkan kota Mekah, kini dengan pelbagai kekangan dan halangan tawaf wada' dibuat lebih awal. 

Bukan 10H12M rupanya cuma 9H11M, waktu sebenar di Medinah dan Mekah cuma 8 hari selebihnya adalah perjalanan. Singkat tapi memadai dengan harga yang ditawarkan.

Ketika musim covid, sementara belum ramai jemaah berkunjung, banyak hotel berdekatan masjid menawarkan pakej menarik.



Hotel yang kami huni di kawasan menara jam, jika dimusim haji hanya mampu tengok. Bilik berdua, harga berpuluh bahkan beratus ribu., Untuk umrah harga tak sampai 10 ribu. Yea benar musim haji tempoh penginapan lebih lama oleh itu harga pastinya jauh lebih mahal.


Selalunya yang menentukan harga mahal atau murah lebih terarah kepada jarak ke masjid dan jangkaan bilangan jemaah yang bakal hadir. Standard hotel tak jauh beza.

Pakej harga umrah bulan Ramadhan lebih mahal dari bulan biasa, semakin hampir dengan penghujung Ramadhan harga semakin meningkat.

Untuk pakej haji muasasah TH selalunya hotel berjarak lebih 500 m..Itu dulu, kini pastinya bertambah jauh lagi jika ingin mengekalkan harga RM9980 ribu untuk peserta pertama kali menunaikan haji, penginapan lebih 30 hari. Kuota sentiasa penuh dan perlu menunggu giliran yang lama.

Jika tidak mahu menunggu giliran dan mempunyai rezeki lebih pilihlah pakej selain itu dengan harga puluh-puluh maupun ratusan ribu.


Beginilah pemandangan ruangan tawaf ditingkat satu. Untuk satu pusingan boleh selesai membaca surah yassin. Jika badan tidak fit memang sengsara menghabiskan tujuh pusingan. 



Ditingkat 2 pula disediakan ruangan khas bertawaf menggunakan skuter. Terdapat juga laluan bersaei menggunakan skuter.

Jika ingin bertawaf sambil beriadah gunalah laluan tingkat 1 dan jika ingin bertawaf atau bersaei santai gunalah laluan khas ditingkat 2. Sediakan duit saja.

Skuter boleh disewa dengan bayaran SR58 single atau SR115 untuk yang boleh dinaiki berdua...

Melihat kepada suasana terkini janganlah bertangguh menunaikan haji dan umrah. Masjid semakin besar, orang semakin ramai, jangan tunggu ketika usia lanjut dengan alasan muda banyak komitmen lain. Ramai yang menyuarakan kekesalan bertangguh membuat haji dan umrah.

Penulis berpeluang hadir ketika usia 30an, 40an dan 50an dapat merasai perbezaannya, sangat ketara..sebab itu berani katakan, lagi lama bertangguh, badan semakin tak larat, apatah lagi ibadat haji lebih banyak rukun haji yang perlu dilaksanakan, memerlukan banyak tenaga dan terpaksa bersesak dengan orang ramai. Tempat melontar jamrah bukannya dekat..

Disebabkan badan pun tak kuat, ditambah dengan jarak hotel dan masjid yang jauh ramai jemaah yang hanya bersolat dibilik. Sangat merugikan..








Sunday, March 20, 2022

Umrah 22- D9D10

Hari Jumaat Masjidil Haram sesak. Sejak Khamis lagi berpusu- pusu warga luar dan tempatan berkunjung ke sini untuk membuat umrah.


Paparan tv di bilik hotel yang menyiarkan secara langsung aktiviti di Masjidil Haram. Sepanjang malam Jumaat dataran kaabah tidak putus- putus dipenuhi dengan jemaah umrah  bertawaf.


Subuh Jumaat  jika tidak ingin bersesak dengan jemaah lain terus saja menuju ke tingkat bumbung. Di tingkat teratas masih lagi boleh menjaga penjarakan fizikal. Di tingkat lain pantang ada ruang kosong akan ada yang menyelit.

Nikmat bersolat subuh Jumaat dipimpin imam yang sungguh lunak lagi merdu bacaannya, sungguh  menusuk  kalbu. 

Surah Sajadah rekaat pertama dan Al Insan rekaat kedua walaupun panjang terasa begitu singkat, lebih-lebih lagi apabila kita sedikit sebanyak faham makna disebalik ayat-ayat yang dibaca.

Ramai imam masjid tanahair yang membaca surah ini di setiap subuh Jumaat, jadi kita mudah mengingati makna disebalik ayat-ayat tersebut. 

Solat fardu di Masjidil Haram memang mengasyikkan terutamanya solat yang dikuatkan bacaan. Berbanding Medinah, bacaan imam di Mekah lebih merdu. Balik nanti ini antara kehilangan yang bakal dirasai.


Suasana sesudah subuh Jumaat. Jemaah lebih ramai berbanding hari lain kerana ramai warga tempatan berkunjung ke sini sempena cuti hujung minggu.


Jemaah Malaysia dan Indonesia bab membeli ole- ole memang handal, sebab itu tidak hairan di Mekah dan Medinah Bahasa Melayu/Indonesia adalah lingua franca ke dua sesudah Bahasa Arab. Semua pekedai fasih berbahasa melayu. 

Mari mari.. singgah singgah.. murah murah
Malaysia Indonesia baguss...

Polis maupun tentera memberi arahan juga dengan Bahasa Melayu/Indonesia.






Trend ole ole terkini di Mekah...sejadah yang dituliskan nama si penerima.

Sabtu kami membuat tawaf wida'/ tawaf selamat tinggal..sesudah isya meninggalkan Mekah ke Airport Jeddah untuk kembali ke tanah air ..rasa baru sampai rupanya umrah 22 sudah dipenghujung...huhu

Umrah22- D7


Hari ke 7 Khamis, jemaah dibawa ziarah luar lagi sambil membuat umrah ke 3. Dua hari berturut-turut membuat ziarah luar seterusnya melakukan umrah.

Semalam hari ke 6 umrah ke 2 bermiqat di Muzdalifah, manakala umrah ke 3 di Miqat Masjid Hudaibiyah pula. Sebelum melakukan umrah dan bermiqat, jemaah dibawa melawat muzium persendirian.


Sepanjang tempoh pakej umrah 10H12M, kebanyakan jemaah berkesempatan membuat 3 kali umrah, melainkan mereka yang membuat umrah sendirian boleh saja memohon membuat lebih dari itu. 

Setelah umrah ke 3, Jemaah hanya mempunyai baki beberapa hari sebelum pulang ke tanahair pada Sabtu/Ahad jam 3.30 pagi.

Hari Jumaat tiada ziarah luar kerana masa tersangat suntuk untuk solat jumaat, manakala Sabtu siang jemaah telah sibuk bersiap sedia berkemas untuk pulang ke tanahair di sebelah malam.

Berkesempatan bersembang dengan jemaah Indonesia semasa sarapan pagi di hotel. Musykil juga melihat jemaah dari sana yang begitu ramai. Cuba menyelidik latarbelakang jemaah. Kebanyakkannya adalah orang kampung, menyimpan wang hasil kerja bertani/berkebun. Ada juga yang berniaga. Perbelanjaan mereka tidak murah 35-40 juta rupiah bersamaan 12-15 ribu juga, belum lagi duit poket untuk berbelanja ketika di Medinah-Mekah.




Sepanjang tempuh 10H12M itu 5 hari adalah kuarantin wajib di Saudi, berbeza dengan jemaah Malaysia yang tidak dikenakan kuarantin wajib di Saudi. Jadi mereka hanya mempunyai baki 2 hari di Medinah dan 3 hari di Mekah. Besar pengorbanan mereka di musim covid ini.


Selesai tawaf umrah. Tawaf di dataran kaabah yang dikhaskan untuk mereka yang mempunyai permit tawaf umrah sahaja mengambil masa dalam 30 minit. 

Tawaf sunat biasa, buat ditingkat satu atau tingkat 2 jika menggunakan skuter.

Jumaat tiada ziarah luar, jemaah membuat aktiviti bebas ..