Saturday, August 31, 2013

Jom Melabur...bukan melebur...

Entry ini aku tujukan untuk anak-anak muda, terutama yang baru mulakan penghidupan.

Sana sikit, sini sikit bila kumpul jadi banyak. Tahun mula menghampiri penghujung. Satu demi satu pengendali saham amanah mula menghebahkan dividen .  ASW dah umumkan dividen 6.7 peratus. AS1M dijangka umumkan dividen September ni.. Pemegang syer Bank Persatuan pun dah terima pengumuman dividen 6 persen, turun berbanding 6.5 persen tahun lepas .. Hujung tahun ASB, awal tahun Bank Rakyat...Untuk orang awam nampaknya dividen Bank Rakyat masih mengungguli pemberian dividen tertinggi berbanding dengan yang lain. Walaupun dividen Bank rakyat tinggi tapi masih ketinggalam berbanding dividen kooperasi Felda atau LTAT. Namun saham Koperasi Felda dan LTAT tidak dibuka kepada orang awam.

Mungkin ada yang mendakwa saham-saham unit trust  memberi pulangan yang lebih tinggi disamping selamat ...tapi secara peribadi aku berpendapat untuk yang kurang rajin memantau perkembangan turun naik saham selain bijak membuat pelaburan, pengeluaran, pindahan dsb semada sendirian atau melalui ejen, lebih elok memilih saham amanah yang diuruskan pengurus saham ternama seperti PNB. Biarkan saja duit membiak dengan sendiri, sampai masa kemaskini buku pelaburan, walaupun dividen ada turun naik tapi ternyata tidak pernah gagal mendapat laba.

Aku punya pengalaman melabur dalam unit trust. Rasa tidak berbaloi kerana keuntungan diperolehi  tersangat sedikit kerana dibiarkan tanpa pemantauan.. Penyata semasa tidak menggambarkan nilai aset anda tapi nilai semasa pengeluaran yang lebih memberi gambaran sebenar.. Walaupun jajaran turun naik unit saham tidak sehebat saham biasa, tapi keuntungan atas kertas yang diperolehi akan menyusut ketika pengeluaran seandainya ketika itu harga unit saham  mengalami penyusutan. Pemberian unit saham percuma tidak begitu membantu melainkan unit trust disimpan untuk tempoh yang panjang itupun kekadang 'ditelan' dek nilai unit saham yang kekadang  terlebih menguncup. Pi mai pi tang tu...

Kita kena pelbagaikan sumber pendapatan. Pelaburan dalam saham-saham amanah adalah untuk pelaburan selamat yang dividennya boleh dituai secara tahunan. Kena juga ada pendapatan bermusim , pendapatan bulanan, mingguan bahkan harian.. . Kekadang rasa tak berbaloi seandainya duit hanya dilonggokkan dalam unit amanah atau mana-mana simpoanan tetap..  Melainkan anda memiliki simpanan yang banyak..Bayangkan dengan simpanan  RM 10000, kita hanya memperolehi RM670 setahun..! seandainya dividen tahun itu sebanyak 6.7 persen..ish jenuh menunggu banyak itu saja yang dapat..ermm ditolak dengan inflasi, berapalah nilai sebenar diperolehi. Sedangkan jika digunakan sebagai modal untuk perniagaan walaupun secara kecilan, aku yakin lebih dari itu boleh diperolehi dalam sebulan..!

Sebagaimana sebuah negara yang memiliki rizab minima  6 bulan import keperluan rakyat. maka kita juga kena memiliki rizab simpanan  minima  6 bulan untuk menampung kos sara hidup. Rizab sebegini yang perlu kita simpan dalam dana selamat tapi memberi memberi pulangan selesa setiap tahun. Selebihnya boleh digunakan untuk melabur yang sedikit berisiko tapi penuh berhemah. Lebih tinggi risiko, lebih tinggi pulangan namun jika  tersilap langkah lebih tinggi  kerugian...

Ok pilihan ditangan anda..Jangan bazirkan duit anda untuk pembelian yang bukan-bukan. Selamat melabur....














Wednesday, August 28, 2013

Lagi Berita Kemalangan Maut...

Arghh minggu lepas asyik terserempak kemalangan jalanraya saja. Dalam perjalanan ke utara, Ahad 25hb Ogos 2013 terserempak dengan empat kemalangan yang berjarak tersangat hampir antara satu dengan yang lain. Semua kemalangan berlaku di antara Bukit Beruntung dan Bukit Tagar. Dua melibatkan kereta dan dua lagi  nampak macam pick-up. . Keadaan hujan jadi tak berapa perasan.. 1 kemalangan ringan melibatkan pelanggaran kecil manakala 3 lagi teruk  kerana kesemua kenderaan terbalik samada terbalik sisi atau keempat tayar terbalik diatas.  Dua kenderaan terbalik sisi berlaku di exit Bukit Tagar dan satu lagi di laluan susur masuk lebuhraya di Bukit Tagar juga. Nasib mangsa tidak diketahui.

Laluan antara Tol Sungai Buluh sehingga ke Bukit Tagar memang bahaya terutama dikala  hujan. Jalan disini licin kesan tirisan air lori sampah yang sentiasa berulang alik dari pusat pengumpulan sampah di tepi lebuhraya berdekatan Taman Kipark Selayang  dan memasuki tol lebuh raya di Sg Buluh untuk ke Pusat pelupusan sampah di Bukit Tagar. Jika diperhati  keadaan dua lorong paling kiri lebuhraya, permukaan jalan berwarna kehitaman kesan tirisan air sampah sehingga membentuk lapisan nipis yang akan menjadi teramat licin terutama bila hari hujan...Mungkin ini salah satu faktor mengapa sering berlaku kemalangan di sepanjang laluan ini ..

 Dan petang tadi, setelah dimaklumkan rakan-rakan, aku tak sangka rupanya mangsa maut   melibatkan motorsikal kawasaki GTR di Lebuhraya Karak sebelum terowong Genting Sempah baru ni, aku pernah bersua dengannya kerana terlibat dalam projek yang sama di Puchong tapi tidak begitu mengenali beliau . Mangsa Dato' Majura adalah Juruperunding M & E projek pembinaan ibupejabat LKIM di Pulau Meranti Puchong.. Patutlah semacam aku kenal   tetekala menatap foto mangsa.

                                    

Dan gambar di atas pula adalah gambar anak sedara aku yang terlantar di Hospital Batu Pahat kerana terjatuh motor sewaktu mengambil selekoh  jam 2 pagi dalam perjalanan  dari Tongkang Pechah  ke Senggarang untuk menemui rakan.sehari sebelum hariraya lepas. Tulang peha kanan patah 3. Mujur sewaktu kejadian tiada kenderaan lalulalang dan sempat ke tepi jalan untuk membuat panggilan kecemasan ke  rakan dan famili. ..Memang sengaja mencari nahas, awal dinihari menonggang motor sendirian bertemu rakan. Macamlah tiada hari esok...

Salam takziah kepada yang terlibat dalam ujian ini. Nasib kita tidak diketahui..Sama-sama berdoa semoga terhindar dari malapetaka sebegini...Amin..

                       


                                   


                                     

Saturday, August 24, 2013

Kemalangan- Semua jenis kenderaan berisiko...!




Trailer terbabas ke dalam longkang, mangsa selamat.

Tarikh 18hb Ogos 2013, Ahad

Lokasi : Lebuhraya Elite selepas exit Putrajaya menghala utara

 Kereta terbabas ke dalam parit, Mangsa selamat
Tarikh 18 hb Ogos 2013, Ahad
Lokasi : Laluan Behrang-Sg Besar

 Kenderaan terbakar, Mangsa selamat
Tarikh: Rabu 21hb Ogos 2013
Lokasi: Lebuhraya Plus arah utara bertentangan kawasan rehat Rawang





 Pick up terjunam ke dalam sungai, Mangsa selamat.

Tarikh 23hb Ogos 2013, Jumaat

Lokasi : Jalan Rawang- Batu Arang, berhampiran simpang masuk Bdr Country Homes bersetentang dengan Stesen Minyak Shell

Kemalangan terburuk negara terkini tahun ini pastinya melibatkan bas masuk gaung di Genting Highland baru ni. Lebih 50 nyawa melayang. Kejadian kecil banyak., antaranya sebagaimana dipaparkan diatas. Kejadian dirakamkan sepanjang perjalanan kami dalam urusan seharian.

Apa mesej kejadian melibatkan pelbagai kenderaan ini...? Semua pengguna kenderaan berisiko menghadapi kemalangan...Apabila kemalangan melibatkan motorsikal, ramai yang bersuara bermotorsikal berisiko tinggi. Maka ramai yang  phobia menonggang motorsikal. Jika kemalangan melibatkan kapalterbang, ramai yang phobia menaiki pesawat. Begitulah seterusnya...phobia menaiki kenderaan tertentu mengikuti peristiwa yang berlaku.

Pengajarannya,   tak perlulah phobia menaiki apa saja kenderaan kerana semua kenderaan berisiko. Kita pun tak tau samada risiko itu akan terjadi terhadap kita atau tidak. Usah terlalu memikirkan risiko yang kita sendiri tidak pasti sehinggakan takut menaiki apa saja kenderaan. Yang penting hemahkan pemanduan/ tonggangan..selebihnya kita berserah kepada yang maha kuasa.


Friday, August 23, 2013

Berpantang Maut Sebelum Ajal 2...

 Lanjutan entry sebelum ini Berpantang Maut Sebelum Ajal 1dipaparkan gambar-gambar kemalangan yg sempat dirakamkan sewaktu melalui laluan tersebut.
Lokasi Kejadian : Laluan Behrang - Sg Besar.
Tarikh kejadian : Ahad, 18hb Ogos 2013

 Mangsa yang selamat...memandu berseorangan menuju ke Klang dari Tg Malim.

 Keadaan kereta yang terhumban ke dalam parit..


 Punca kejadian : x pasti, katanya cuba mengelak sesuatu..rasanya terbabas sebab kenderaan hilang kawalan dan membuang kerana keadaan jalan yang tidak rata, berkerikil dan belum berturap...

Malang tidak berbau..Semoga sama-sama berhati-hati sewaktu memandu....

Tuesday, August 20, 2013

Berpantang Maut Sebelum Ajal...

Cuba fikir balik...Semasa balik ke kampong beraya baru ini...maklumat manakah yang lebih banyak sampai ke telinga anda..? Si polan, si polan mendapat anak baru...atau si polan mengidap penyakit itu dan ini atau si polan-si polan meninggal dunia..? Kalau yang pertama sah anda dalam golongan muda dan kalau yang kedua dan ke tiga bermakna anda boleh terkategori muda atau tua ....haha...dan tak dinafikan aku lebih banyak mendapat berita bukan yang pertama ...

Seingat aku lebih 6 berita kematian dikalangan kenalan aku terima, lebih 4 melibatkan kemalangan jalanraya dan dua kerana sakit...Berita yang dapat penyakit , banyak...!  penyakit 3 serangkai menghuni carta teratas...kencing manis, buah pinggang dan jantung...Berita terbaru kematian adalah semalam. Geng berbasikal terlibat dalam kemalangan semasa sedang menguji superbike rakan di Bangi...Walaupun tragedi berlaku dibulan puasa, berita baru diterima semalam.Sehari dua sebelum itu dapat juga berita geng motor maut di Gerik.

Bila cerita pasal kemalangan, jangan ingat hanya penonggang motorsikal saja berisiko maut, semua pengguna kenderaan lain tidak terkecuali.. Namun jika ajal belum tiba naiklah kenderaan paling berisiko..anda tetap terselamat. Tapi jika saat itu telah tiba..di atas perbaringan pun nyawa seseorang boleh melayang...Tiada Tapi-Tapi atau Kalau... Disebabkan  ajal belum tiba, 3 kemalangan kenderaan yang kami temui hujung minggu baru ni  kesemua  pengguna terselamat.. Semua kemalangan melibatkan kenderaan terbabas dan memasuki longkang dan paling trajis adalah kemalangan ketiga dimana  keseluruhan kereta terperosok dalam parit dikawasan berpaya. Berapa banyak kes penguna lemas bila kenderaan terhumban kedalam parit...? Tapi tidak yang ini..

Berita- berita kemalangan  sedikit sebanyak mengganggu emosi semasa menonggang motor.  Walaupun cuba menenangkan diri, ajal maut ditangan tuhan...kekadang kegusaran tetap menyelinap dibenak fikiran. Berderau darah bila melihat mat-mat motor menyelinap dan mengikuti rapat kenderaan lain..lebih-lebih lagi ketika jalan licin.

Ya Allah selamatkanlah perjalanan kami...Amin.











Friday, August 16, 2013

Nampak senang tak semestinya senang....

Dalam keadaan harga kereta mahal, ramai yang memiliki banyak kenderaan. Kini 2 kereta sekeluarga seolah normal. Memiliki lebih dari itu mula menunjukkan trend.. Bersusun didepan rumah  seolah kedai kenderaan terpakai. Antara punca perkara  ini berlaku kerana harga  kereta terpakai semakin merudum dan hasil jualan tidak mampu menampung  baki pinjaman bank. Sementelah lagi kini terdapat pakej pembiyaan kenderaan tanpa duit muka dan tempoh pembiyaan sehingga melebihi 9 tahun. Daripada terpaksa mengeluarkan duit tambahan untuk melupuskan kenderaan, ramai  yang  berpendapat untuk terus menyimpan kenderaan tersebut. Tidak hairanlah ramai pelajar kolej kini membawa kenderaan sendiri untuk kegiatan seharian mereka...Kereta lebihan keluarga.

Kerana nilai kenderaan terpakai semakin rendah ramai yang terkilan sekiranya kenderaan yang hilang dijumpai semula, hehe sebagaimana keluhan  sahabat aku yang kenderaannya ditemui semula.. melepas untuk membuat tuntutan daripada syarikat insuran katanya. Yea mungkin kenderaan dimiliki sebahagiannya telah langsai hutang dibank, tapi kos mentenen yang semakin meningkat memeningkan kepala. Kejutan yang seolah tidak berkesudahan bila satu persatu kenderaan memerlukan  perhatian mentenen berkala dan   kehadirannya serentak dengan luputnya insuran atau cukai jalan . Lagi parah jika tayar, bateri juga perlu diganti.

Akupun terjebak dengan situasi ini..walaupun tak sebanyak orang lain tapi aku rasa dah cukup banyak. . Semalam  tukar bateri motor rm400, rasanya baru saja tukar sebelum ini..bila check rekod rupanya sudah hampir 2 tahun ditukar.. ( bagus juga ada rekod diblog sebegini, setidaknya kita boleh merujuk bila perlu) Seminggu sebelum tu bateri viva RM150, sekejap lagi kena beli bateri kereta tua yang dah seminggu tersadai tapi wajib dialih , Rasanya dekat RM400 bakal terbang.  Hujung bulan road tax dan insuran motor tamat tempoh , padahal masih terngiang ditelinga ejen insuran menuntut baki bayaran insuran motor yang satu lagi bulan lepas. Motor yang ni tayar dah wajib kena tukar. Mpv aku tu pun dah berdengung memerlukan  tayar baru, brek dan  suspensi yang bermasalah...

Hujung minggu ni anak-anak mula kembali ke asrama... duit lagi...!!

Nampak saja senang tapai sebenarnya bukan senang...huhu...






Wednesday, August 14, 2013

Pecah Rumah lagi...!

Kejadian pecahrumah di taman kami nampaknya semakin menjadi-jadi. Boleh dikatakan saban malam akan ada saja berita kejadian pecah rumah. Kejadian terhadap kenalan rapat  saja  melibatkan 4 buah rumah dalam tempoh tak sampai 2 minggu. Kalau dikira kejadian yang diluar pengetahuan kami mungkin bilangan terlibat berlipat kali ganda banyaknya.

Penjenayah tidak mengenal mangsa dan lokasi...kawasan lengkap berpengawal tidak terkecuali bahkan kekadang kekerapan kejadian lebih tinggi berbanding taman tanpa pengawal. Mungkin penjenayah mengambil kesempatan diatas kealpaan  penghuni yang  beranggapan  kawasan perumahan mereka benar-benar selamat kerana terdapat rondaan pengawal. Walhal penjenayah telah membuat perancangan bila akan bertindak.

Dalam kejadian terbaru  pada 1 syawal melibatkan kenalan rapat yang hanya berselang beberapa buah rumah dari rumah kami. Pencuri memasuki rumah dengan mengumpil tingkap tingkat atas  dan melepaskan diri melalui pintu utama, menggunakan kunci pendua yang digantung ditempat kunci. Yang peliknya pencuri hanya berminat dengan barangan kemas dan wang tunai. Habis satu rumah dan kesemua kereta  digeledah. Baiknya sesudah mengeledah kenderaan, kunci ditinggalkan didalam kereta..Hanya satu kenderaan dilarikan  namun ditemui semula di taman berhampiran . Dalam dua kejadian sebelum ini dikejiranan yang sama, kehilangan barang berharga yang hampir serupa dilaporkan. Mungkin melibatkan geng yang sama.

Dalam kejadian berasingan melibat geng samun kenderaan. Vellfire baru sahabat aku yang diletakkan berhampiran pondok jaga menjadi mangsa. Ini kali kedua beliau kehilangan kenderaan. Berbeza dengan sahabat ini yang  agak terkilan kerana kehilangan kenderaan buat kali kedua..., sahabat aku dalam kejadian terbaru yang kenderaannya dijumpai juga terkilan kerana beliau mengharapkan kenderaan itu terus tidak ditemui supaya boleh menuntut ganti rugi dari pihak insuran..haha...Teringin berkereta baru katanya...

Taktaulah... nasib orang sudah diketahui, nasib kita belum lagi..Sekiranya  mereka boleh menjadi mangsa, kebarangkalian  kita terkena mungkin ada.. Kepada Allah kami berserah...Semoga kami terselamat Aminn..






Wednesday, August 7, 2013

Betulkah hanya bangsa tertentu pandai berniaga...?

Peluang , pendedahan dan  kegigihan boleh menjadikan seseorang itu hebat ., tak kira apa pun bangsa sesorang itu. Sekiranya peluang samarata diberikan yang paling hebat akan menyerlah. Sekiranya  kriteria ini dinafikan bagaimana mereka mampu menonjol. Aku berpendapat kaum peribumi selama bergenerasi telah dinafikan hak itu oleh penjajah terutama dalam bidang ekonomi. Keadaan bertambah buruk  dengan permainan kotor oleh puak yang menguasai ekonomi . Semacam tidak logik, memiliki  komposisi kaum terbesar namun kek ekonomi dikuasai sepenuhnya oleh pihak minoriti. Benarkah peribumi tidak pandai berniaga...? Aku tidak fikir sedemikian..

Sekiranya persaingan diadakan dipadang yang sama rata, aku yakin peribumi juga akan  menyerlah.  Bukti...? Dulu sebelum kehadiran penjajah peribumi menguasai ekonomi bukan saja disini bahkan dipersada antarabangsa. Dengan kaedah pecah dan perintah, hak dan keyakinan  mula dirobek oleh penjajah  dan didoktrinkan bahwa peribumi adalah malas dan hanya  layak bertani secara kecilan dikampong-kampong. Pendatang asing yang berkelebihan tinggal dibandar dengan segala kemudahan mula merebut peluang membudayakan bisnes  dikalangan mereka seterusnya mengembangkan bisnes.

Kini setelah merdeka  apabila peluang dan pendedahan diberikan, peribumi juga mampu bangkit dan merebut peluang. Sedikit demi sedikit budaya berniaga mula bersemai  dikalangan mereka. Lihat saja di pasar-pasar malam, uptown, pasar tani , gerai-gerai ditepi jalan dsb siapa yang lebih ramai berniaga...? Tidak mustahil suatu hari nanti bumiputra pula akan menonjol.

Diperhatikan peribumi mula menyerlah dipelbagai bidang. Pendidikan, sukan dsb sukar untuk menafikan kehebatan anak-anak peribumi. Didalam peperiksaan utama siapa yang menduduki carta teratas...? Didalam sukan permotoran  siapa tidak kenal Zulfahmi, Shahrin ataupun  Azlan.? begitu juga dengan insan hebat Zulhasni Awang, Nurfatehah dalam lumba basikal. Sukan dunia yang selama ini dikuasai oleh mat-mat salleh ternyata boleh dipecahkan monopoli oleh anak-anak peribumi. Mereka  mampu memberikan persaingan dan menang. .Bangsa mana yang lebih menonjol dalam aktiviti lasak...? Meneroka ruang angkasa, menawan puncak dunia, berenang merentasi lautan, berekspedisi mengelilingi dunia...siapa...?! Semua ini mampu dilakukan sekiranya  peluang dan pendedahan diberikan.

Sekiranya aktiviti-aktiviti hebat seperti ini mampu dikuasai, dengan peluang dan pendedahan maka tidak mustahil,  bidang ekonomi juga dalam jangkauan anak peribumi. Aku yakin..Tunggu dan lihat.

Sempena bulan mulia ini aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin. Hati-hati di jalanraya...







Monday, August 5, 2013

Apakata Wujudkan Amanah Wakaf Nasional...

Duit raya seposen, dua posen, lima posen hatta seringgit ramai bebudak yang tak terliur untuk menerimanya semasa bertandang ke rumah anda semasa hariraya nanti. Tak caya..? cuba hulur sampul duitraya berisi syiling seposen ...Silap-silap ada yang bertempik dan memalukan tuan pemberi nanti. haha . Semuanya mengharapkan wang besar. Semua mengetahui tidak banyak boleh dibuat/dibeli dengan jumlah wang kecil. Tapi kita sering terlepas pandang kekuatan nilai yang  kecil. Air terjun yang maha hebat sebenarnya bermula dari setitis air matair. Namun bila bergabung dengan banyak matair, tiada apa yang boleh menghalang alirannya disepanjang laluan mereka. Kekuatan yang kecil bila digabung akan mewujudkan kekuatan yang sangat luar biasa. Itulah dia kekuatan jemaah...!

Diakui kita masih kurang memiliki kekuatan ekonomi individu berbanding bangsa lain. Tapi kita punyai kelebihan bilangan penduduk yang  ramai . Hampir 70 peratus penduduk adalah peribumi. Kita juga punyai sistem wakaf. Dua elemen ini jika digabung pasti menghasilkan kekuatan yang luarbiasa. Berdasarkan analogi air terjun diatas sepatutnya  tak timbul ekonomi negara hanya dikuasai oleh satu kaum saja. Kena cara dan gaya kaum peribumi boleh mencaturkan ekonomi negara  tanpa selalu sangat dipermainkan oleh  para kapitalis yang sememang sifat mereka suka  mengambil kesempitan dan menindas bila peluang muncul . Setiap menjelang raya barang kurang....setiap raya harga naik...Berbanding kapitalis, orang islam beriman tersangat waras bila berurus niaga. Mereka percaya setiap tindakan akan dipertanggungjawabkan diakhirat kelak.

Dengan penerangan berterusan, sumbangan wakaf akan berkembang subur. Setiap orang islam percaya harta/duit yang di wakafkan adalah amal jariah  yang pahalanya akan diterima berterusan sesudah mati. Sebab itu kesedaran yang semakin meningkat ini sewajibnya diambil kesempatan untuk mengukuhkan ekonomi orang islam. Wujudkan satu institusi khusus untuk menguruskan wakaf. Apakata wujudkan Amanah Wakaf Nasional. Atau AWAN. Jika diterajui badan yang telus, efesien dan berwibawa aku percaya ekonomi umat islam mampu menggegarkan dunia. Lihat saja PNB dan Tabung Haji..Majoriti pendeposit-pendeposit adalah orang kebanyakan tapi nilai simpanan yang digabungkan mencecah berbilion ringgit. Manakala simpanan disini lebih kepada keuntungan dunia, institusi wakaf lebih menjurus kepada saham akhirat yang sehingga kini masih belum diurus secara profesional. Disokong dengan pelaburan yang strategik nilai yang kecil menghasilkan impak yang luarbiasa.

Kerajaan juga mungkin boleh memikirkan untuk menggubal undang-undang mencairkan harta orang islam yang terlalu lama terbeku di Amanah Raya. Dikhabarkan duit yang tidak dituntut  telah mencecah  berbilion ringgit. Elok saja harta/duit itu disalurkan ke  institusi wakaf.  Daripada  dibiarkan tersimpan ditabung bukankah lebih baik digunakan  untuk menaikkan martabat ummah. Insyaalah si mati juga peroleh pahala.

Wallahualam.