Thursday, August 25, 2022

Timun...


Jika ada tanah kosong, elok dimanfaatkan. Namun jangan pula sesudah tanam, kebun dibiar tak terurus. Ramai yang sakit mata nanti. Kawasan kecil tak perlukan waktu lama sangat, sehari sejam untuk setiap kali kunjungan sudah lebih dari cukup, yang penting istiqamah.


Pokok kelapa ini tumbuh sendiri ditanah kosong, tak sangka berbuah lebat, dulu hampir mati kerana rumput menjalar menutupi hampir keseluruhan anak pokok ketika itu. Dibersihkan dan  sesekali dipotong rumput di persekitaran... alhamdulillah menjadi...

Pokok ketum ayam yang ditanam pun macam tak menyempat nak tumbuh pucuk baru walhal kerap dicantas untuk diberi ayam makan diwaktu petang.



Bermula dengan cuba- cuba, sekarang hasil tak habis dimakan sendirian. Pokok Pisang Serendah, penulis suka rasanya walau ramai yang cakap tak sedap, dah alang- alang mudah dijaga, 3 anak pokok serendah dipindahkan  ke tempat baru, tambah dengan dua lagi pokok pisang lemak manis meriah tanah kebun dengan pokok pisang...Sekarang ni hampir tiap minggu mempanen hasil pisang...

Peria katak dah, kacang botor sudah, timun pun dalam sebulan lagi Insya Allah berbuah, dari 6 benih yang disemai 2 saja hidup subur, benih yang tak hidup nak tukar dengn benih kacang panjang pula. 

Musim hujan sekarang  pokok senang tumbuh, pangkal pokok dilapik dengan plastik sampah hitam supaya rumput -rumpai mudah dikawal, sesekali dibubuh baja organik, sampai masa memetik hasil, kan best tu..

Jom jom berkebun..


Wednesday, August 24, 2022

Rumusan Ronda Pulau Redang...

 


Pulau Tioman Pahang✅

P.Redang Trengganu✅

P. Lang Tengah Trengganu❌

P.Perhentian Trengganu✅

P.Langkawi Kedah✅

P.Pinang✅

P.Kapas Trengganu✅

P.Rawa Johor❌

P.Pangkor Perak✅

P.Besar Melaka✅

P..Sembilan Perak❌

P.  Besar Johor❌

P.Bidong Trengganu❌








Banyak lagi pulau-pulau utama yang belum dilawati..Ini baru di semenanjung, belum lagi di Sabah dan Sarawak. 

Lawatan ke pulau yang terbaik adalah 3H2M. Lebih dari itu boring juga bila membuat aktiviti yang sama. Melainkan berpergian memang untuk melepak makan tidur, selain dari itu tempoh diatas ternyata mencukupi. Walaupun bersnorkeling dilokasi berbeza, pemandangan lebih kurang sama, lebih baik melawat pulau lain pula.

Setelah melawati beberapa pulau-pulau, Pulau Redang telah memberi aras tanda baru, bahkan jauh lebih cantik dari pulau-pulau negara jiran yang pernah penulis kunjungi. Kita menang dari sudut keindahan, cuma umumnya mutu perkhidmatan kita perlu dipertingkatkan.


Ronda- ronda pulau berikutnya adalah di Sabah atau Pulau Besar/Rawa di Johor...Teruja mengalami sendiri perkongsian pengunjung yang memberi rating tertinggi sehingga asyik membandingkannya dengan  Maldives. Walaupun Maldives penulis tak pernah sampai, cerita-cerita  dimedia sosial sangat mengagongkan keindahan pulau disana. Sebelum pergi tak mau meletakkan harapan tinggi, biarlah ketika ini Pulau Redang sebagai pulau tercantik yang pernah penulis lawati.



Monday, August 22, 2022

Pulau Lima...

 

Aktiviti di pulau- pulau percutian nampaknya sudah mulai normal sebagaimana sebelum pandemik covid 19. Walaupun hari biasa, pengunjung di resort-resort sangat ramai, bilik- bilik penginapan perlu ditempah awal kerana banyak yang penuh. 

Pulau-pulau disebelah pantai timur tidak sebagaimana di barat, tidak boleh dikunjungi sepanjang masa. Itu sebab promosi tahun ini hampir dipenghujung dan promosi tahun depan telah dibuka. Sepanjang tahun Okt-Awal Mac resort ditutup kerana musim monsoon.

Menurut pemandu pelancong, kunjungan terbaik adalah antara April-September kerana laut  tenang. Di awal pembukaan semula Mac ombak masih lagi kuat, laut bergelora, aktiviti snorkeling hanya diwaktu terpilih. Pemandangan pun tidak seindah hari tenang.

Snorkeling hari ke 2 sebelah pagi kami dibawa ke Teluk Mek Wan manakala disebelah petang ke Pulau Lima. Dinamakan Pulau Lima kerana terdapat 5 pulau dilokasi sama. .









Pulau Lima adalah lokasi snorkeling terbaik diantara 3 lokasi yang dibawa. Pemandangan terumbu karang dan hidupan laut disini sungguh mengasyikkan. Tak tersedar berenang jauh dari bot dan kelompok orang ramai sehingga pengawal terpaksa mengejar untuk dibawa kembali ke pangkal jalan.

Sesudah Pulau Lima  ke Teluk Taaras pula untuk bermain dengan penyu. Lawatan ke sini perlu membayar caj tambahan rm40 seorang kerana tidak termasuk dalam pakej asal. 




Penyu penyu besar dan kecil sangat jinak, boleh dibelai ketika diberi makanan.




Seharian bermain didalam air sehingga rasa tersumbat telinga, barangkali  taik telinga kembang lama sangat berendam dalam air laut. Hehe

Sunday, August 21, 2022

Pulau Ekor Tebu...

 2.30ptg masa untuk snorkeling. Mengikut iterinari sepanjang 3H2M setiap hari pagi dan petang, ada aktiviti ini, terpulang samada mau mengikuti atau tidak. Inilah percutian ke pulau di laut lepas, tiada istilah shoping, ini bukan Pulau Langkawi atau Pulau Pangkor.









Destinasi pertama Pulau Ekor Tebu, susah untuk jawab kenapa dinamakan sedemikian, pemandu pelancong yang bawa pun tak pasti bagaimana nama diperolehi.



Air laut tenang dan sangat jernih kebiruan. Dari permukaan air, dasar laut dihiasi dengan bayang warna putih dan kehitaman. Sekeliling pulau pula batu-batu gunung bersama kehijauan hutan semulajadi. Pulau- pulau kecil hampir tiada pantai berpasir.






Setelah terjun, memang terpegun menikmati keindahan dasar laut. Yg putih adalah pasir atau karang laut yang telah mati manakala bayangan hitam sebenarnya terumbu karang berwarna warni. Ada berkelopak seperti bunga, berbentuk cendawan, ranting, yang berambu- rambu melintuk-liuk seolah menari menurut alunan ombak. Terasa sangat berada didunia asing.


Pelbagai  spesis hidupan laut turut mewarnai kehidupan dicelah-celah karang laut. Ikan-ikan segera menyerbu apabila dihulurkan makanan..


Fuh..Sungguh mengasyikkan.

Friday, August 19, 2022

Pulau Redang Terengganu...

Bila pasangan  menginjak usia senja, tinggal berdua itu lumrah, anak- anak sudah mempunyai kehidupan masing-masing, pelbagai cara boleh dibuat untuk mengisi masa. Salah satunya adalah dengan meronda. Dari muda  berkerja, masa tua inilah untuk  menikmati apa yang dicari, tak payah fikir sangat apa yang nak ditinggalkan.  


Untuk anak- anak dan orang muda ini masa mereka bertungkus-lumus,  wargaemas nikmati kehidupan selagi badan sihat. 

Destinasi ronda-ronda kali ini adalah Pulau Redang Terengganu. Walaupun kerap berulang alik Trengganu entah kenapa P.Redang tak pernah sampai ke sana.


Untuk ke pulau boleh melalui jeti di Kuala Terengganu atau Merang bahkan Kuala Besut. Kami melalui Jeti Taman Tamadun Islam, Losong. Jeti kebiasaan Shahbandar berpindah ke sini kerana sedang dinaik taraf. 

Harap jeti ini terus dikekalkan disini, akses mudah, tempat parking banyak dan dalam masa sama dapat menghidupkan Taman Tamadun Islam yang agak lesu. 2 in 1











Pemandangan bandar Kuala Trengganu dari atas feri  walaupun sedikit tercacat dengan pemandangan bangunan uzur, keseluruhannya  memang sangat cantik. Bot- bot nelayan, Jambatan angkat ikonik dan bangunan-bangunan baru menghiasi  persisiran air. 









Gambar tidak secantik dengan yang sebenar sebab hanya menggunakan kamera phone tua.

Pemandangan laut lepas hanya kebiruan dan ketenangan langit dan laut, berbeza dengan musim monsoon, laut dahsyat bergelora, hujan atau langit mendung kelabu sehingga rentas laut hampir terhenti sepenuhnya selama 4 bulan bermula Oktober sehingga awal Mac. 

Ramai penumpang yang tertidur sepanjang perjalanan.

Perjalanan ke pulau dari jeti TTI K.Trg mengambil masa sejam setengah menaiki
feri.  Jika melalui Merang masa lebih cepat dalam 45 minit  menaiki bot laju berbumbung. Jeti Kuala Besut bot berkapasiti lebih besar dan mengambil masa hampir sama sebagaimana jeti K.Trg.


Berpergian pertama kali, tidak mahu meletakkan harapan yang tersangat tinggi supaya tidak kecewa setibanya nanti, ternyata tepat. Apa yang tersaji bertepatan dengan bayangan dalam minda. Sebagaimana pulau dilaut lepas, pemandangan persekitaran memang sangat mempersona cuma setibanya dijeti pemandangan dicacatkan dengan bumbung jeti yang uzur. Lumrah bangunan dilautan  luas, sentiasa terbadai cuaca buruk.








Setibanya di jeti utama Pulau Redang, pengunjung dijemput dengan bot transit untuk ke resort masing-masing.



Air laut kebiruan sangat jernih tapi minda masih lagi terbayang perkongsian gambar- gambar pengunjung di pulau-pulau sebelah Sabah di mana sampan- sampan kelihatan seperti terapong di awangan. Nampaknya kena pergi juga ke Sabah untuk melihatnya sendiri.





Berbeza dengan pulau- pulau lain, yang pernah penulis lawati, Pulau Redang terdapat banyak gugusan pulau- pulau berhampiran yang menjadikannya lebih menawan.

Tiba di resort dalam pukul 12 tengahari, mendaftar masuk dan diberi penerangan ringkas. Disajikan makan tengahari. Berehat sebentar dan dalam pukul 2.30 petang. Masa untuk enjoy... snorkeling...!