Bila pasangan menginjak usia senja, tinggal berdua itu lumrah, anak- anak sudah mempunyai kehidupan masing-masing, pelbagai cara boleh dibuat untuk mengisi masa. Salah satunya adalah dengan meronda. Dari muda berkerja, masa tua inilah untuk menikmati apa yang dicari, tak payah fikir sangat apa yang nak ditinggalkan.
Untuk anak- anak dan orang muda ini masa mereka bertungkus-lumus, wargaemas nikmati kehidupan selagi badan sihat.
Destinasi ronda-ronda kali ini adalah Pulau Redang Terengganu. Walaupun kerap berulang alik Trengganu entah kenapa P.Redang tak pernah sampai ke sana.
Untuk ke pulau boleh melalui jeti di Kuala Terengganu atau Merang bahkan Kuala Besut. Kami melalui Jeti Taman Tamadun Islam, Losong. Jeti kebiasaan Shahbandar berpindah ke sini kerana sedang dinaik taraf.
Harap jeti ini terus dikekalkan disini, akses mudah, tempat parking banyak dan dalam masa sama dapat menghidupkan Taman Tamadun Islam yang agak lesu. 2 in 1
Pemandangan bandar Kuala Trengganu dari atas feri walaupun sedikit tercacat dengan pemandangan bangunan uzur, keseluruhannya memang sangat cantik. Bot- bot nelayan, Jambatan angkat ikonik dan bangunan-bangunan baru menghiasi persisiran air.
Gambar tidak secantik dengan yang sebenar sebab hanya menggunakan kamera phone tua.
Pemandangan laut lepas hanya kebiruan dan ketenangan langit dan laut, berbeza dengan musim monsoon, laut dahsyat bergelora, hujan atau langit mendung kelabu sehingga rentas laut hampir terhenti sepenuhnya selama 4 bulan bermula Oktober sehingga awal Mac.
Ramai penumpang yang tertidur sepanjang perjalanan.
Perjalanan ke pulau dari jeti TTI K.Trg mengambil masa sejam setengah menaiki
feri. Jika melalui Merang masa lebih cepat dalam 45 minit menaiki bot laju berbumbung. Jeti Kuala Besut bot berkapasiti lebih besar dan mengambil masa hampir sama sebagaimana jeti K.Trg.
Berpergian pertama kali, tidak mahu meletakkan harapan yang tersangat tinggi supaya tidak kecewa setibanya nanti, ternyata tepat. Apa yang tersaji bertepatan dengan bayangan dalam minda. Sebagaimana pulau dilaut lepas, pemandangan persekitaran memang sangat mempersona cuma setibanya dijeti pemandangan dicacatkan dengan bumbung jeti yang uzur. Lumrah bangunan dilautan luas, sentiasa terbadai cuaca buruk.
Setibanya di jeti utama Pulau Redang, pengunjung dijemput dengan bot transit untuk ke resort masing-masing.
Air laut kebiruan sangat jernih tapi minda masih lagi terbayang perkongsian gambar- gambar pengunjung di pulau-pulau sebelah Sabah di mana sampan- sampan kelihatan seperti terapong di awangan. Nampaknya kena pergi juga ke Sabah untuk melihatnya sendiri.
Berbeza dengan pulau- pulau lain, yang pernah penulis lawati, Pulau Redang terdapat banyak gugusan pulau- pulau berhampiran yang menjadikannya lebih menawan.
Tiba di resort dalam pukul 12 tengahari, mendaftar masuk dan diberi penerangan ringkas. Disajikan makan tengahari. Berehat sebentar dan dalam pukul 2.30 petang. Masa untuk enjoy... snorkeling...!