click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Saturday, July 30, 2022

Kereta Kancil ...

Kalau cadangan kenderaan lebih 10 tahun perlu dilupuskan diterima, Kancil ni antara yang akan jadi mangsa, berusia hampir 30 tahun. Penulis berpandangan cadangan itu sukar untuk dilaksanakan. Kini kebanyakan pembiayaan kenderaan sehingga 9 tahun, selepas setahun habis membayar kenderaan perlu dilupuskan dan sambung berhutang lagi membeli kenderaan baru. Mahu orangramai tak bising..

Kereta Kancil kalau penjagaan betul, walaupun tua iyanya masih segak dijalan raya...Comel gitu. Patutlah ada peminat. Satu hari ada orang datang ketuk  pagar bertanyakan samada Kancil mau dijual. Alamak kalau nak jual pun berapa sanggup beli, kereta ni penulis buat main- main saja, bawak pergi kebun  boleh, bawak ronda pun boleh, kalau tukar enjin satu Malaya pun steady boleh pergi. Harga tukar enjin taklah sampai rabakkan poket. 

Banyak dah keluarkan belanja untuk kancil ini, cat saja 2 ribu lebih, kalau jual nak dapatkan balik modal dah tentu pembeli tak sanggup. Jadi berilah alasan kereta bukan untuk dijual.


 
Adat kereta tua, ada jer yang perlu ditukar. Drive shaft bengkok, bila membelok kedengaran bunyi macam tayar nak tercabut, brake pula tak berapa mencengkam dan ECU aircond rosak. Mujur Kancil, abislah juga dalam Rm980.

Sekarang dah ok, ac dah sejuk boleh lah bawak atas hiway sambil layan lagu. Bestnya dengan Kancil ni bawak perlahan 60km sejam pun orang tak kesah, cuba bawak kereta lain mau kena hon berulang kali. Nak lagi ok pakai kopiah, owh atok.. bawak 30km sejam pun gerenti orang tak marah hehe...







Friday, July 29, 2022

Timun...

Peria katak dan kacang botor berjaya mengeluarkan hasil, 3 pokok setiap satu cukup untuk kegunaan sendiri, tiap hari memetik 3,4 biji sudah memadai...boleh terus buat ulam atau tak sempat terus dimakan sesudah dipetik.

Sekarang mencuba menanam timun pula, kalau menjadi nanti sebagaimana kacang botor dan peria, sebulan setengah sudah mula berhasil. 



Susah nak mencangkul batas di atas tanah, guna saja tayar terpakai dan timbus guna tanah bakar beli. 3 tayar cukup untuk semai 2 pokok setiap satu.

 Bila batas menggunakan tayar tak khuatir tertebas pokok tanaman semasa menebas rumput nanti. Atas batas akan ditutup dengan plastik sampah hitam, rumput rampai senang nak kawal.



Sejuk mata dan emosi bila yang ditanam hidup subur.

Nak tanam banyak tak cukup kudrat dan ilmu penjagaan, tanam sikit kegunaan sendiri cukuplah...


Daripada mengeluh itu ini mahal, luangkan sedikit masa InsyaAllah berhasil.

Jom jom berkebun...


 

Thursday, July 28, 2022

Jom Jogging, Cherating

Jam 6.30 pagi menuju ke pantai melalui jalan dan lorong-lorong persekitaran resort penginapan, sambil beriadah, meninjau kawasan pelancongan di sini. Banyak chalet-chalet  rupanya.


Kalau di Malaysia, Cherating boleh dikatakan destinasi popular, cuma bila dibanding dengan pantai popular negara jiran seperti Thailand terutamanya, kita tertinggal beberapa langkah kebelakang. Apa yang penulis rasai, destinasi popular mereka memang kita dapat merasai  berada di pusat peranginan/percutian sebab pengunjung sangat ramai. Gerai-gerai jualan di segenap lorong meriah. Walaupun tidak semuanya cantik, kebersihan premis dijaga, masing-masing cuba berhias cantik, untuk menggamit pengunjung datang. Mungkin tidak adil membandingkan keadaan sebelum dan sesudah PKP.

Penulis berpeluang meronda sana sini samada berkereta atau bermotor di negara-negara jiran, memang dapat merasai kekurangan itu bila melawat destinasi popular dalam negara. Itu yang frust, padahal keindahan negara kita sangat hebat.


Bila melihat sampah- sampah begini, lebih- lebih lagi bekas makanan dan minuman hati berasa sangat pedih, membunuh mood bercuti, padahal kalau lihat di utube kaedah pembersihan sampah pantai menggunakan traktor tersangat mudah, cepat dan sangat pasti murah. Traktor mega atau mini bergantung kepada kesesuaian dan keluasan kawasan.

Persoalannya kenapa  pihak PBT tidak cuba kaedah pembersihan pantai sebegini, kenapa masih lagi terkial- kial menggunakan kaedah lama secara manual.

Selagi tiada pembaharuan cara berfikir selagi itulah masalah  kebersihan sukar diatasi, diburukkan lagi dengan sikap pengotor lebih ramai  dari yang pembersih. 



Hakisan pantai pun nampaknya perlu diatasi.


Penanaman pohon- pohon rhu di tepian pantai nampaknya sedikit sebanyak membantu mengurangkan hakisan.


Walaupun premis agak uzur tapi unik...






Jom jom semua, kita jadikan negara kita indah, kunjungilah tempat-tempat percutian, supaya industri pelancongan domestik terus segar. Bila pengunjung ramai, pengusaha dan PBT boleh mendapat hasil melalui keuntungan dan cukai maka boleh disalurkan semula ke kawasan tersebut. Jika pengunjung tak cukup ramai, susah untuk mereka  bernafas apatah lagi mengindahkan lagi premis dan persekitaran.
 

Walaupun semangat sedikit lesu, jogging tetap diteruskan seterusnya bersarapan di chalet resort.

Minggu depan meronda di tempat lain...

Wednesday, July 27, 2022

Chalet Royale Chulan, Cherating...


Sesudah Temerloh meneruskan pemanduan ke Cherating, melalui jalan lama. Sejak ada lebuhraya memang jarang melalui jalan negeri,  teringin mengetahui perkembangan pembangunan sepanjang jalan dan pekan- pekan yang dilalui. 

Mendekati Gambang, kepala segera terbayang Gambang Resort City, sejak dibuka memang belum pernah ke sana, destinasi ini memang termasuk dalam senarai yang ingin dikunjungi.

Tiba di persimpangan masuk ke resort terdapat banyak kenderaan diletakkan dibahu jalan dan orang ramai berkumpul dipintu gerbang resort. Segera singgah untuk merungkai misteri. 

Berita pahit untuk ditelan, rupanya resort telah dihentikan operasi 3 bulan sesudah PKP lagi. Huhu tak sempat berkunjung dah tutup. Orang ramai yang berkumpul adalah pemilik unit-unit apartmen yang tidak berpuashati kerana unit mereka terbiar dan tidak menerima imbuhan pelaburan.

Menurut notis yang direntang di pintu gerbang, resort sedang diusahakan untuk dibuka semula secara berperingkat.

Dalam pukul 2 ptg tiba di Cherating. Alhamdulillah dibenarkan check in awal. Penginapan kami di chalet Royale Chulan.


Sementara menunggu malam dan jjcm, meronda  ke Pantai Mak Nik, Chukai. Tak jauh dari Cherating dalam 15 km. Sekarang boleh tahan meriah dipantai Mak Nik dengan pelbagai aktiviti pantai, gerai jualan, naik kenderaan berkuda, Atv, basikal dll


 Sebelum pulang ke Cherating makan-makan dulu seafood celup tepung, sup dan satar.
Singgah Chukai memang tak sah kalau tak makan satar..


Chalet penginapan kami penuh hujung minggu. Caj hujung minggu dalam RM270/hari termasuk cukai itu ini.

 Petunjuk yang bagus aktiviti pelancongan domestik mulai pulih pasca PKP. Sedih jika sektor ini berterusan longlai, banyak pihak akan terpukul teruk sebagaimana Gambang Resort City. Entah berapa ramai yang hilang pekerjaan.


Esok sesudah subuh berjoging di tepi pantai Cherating













 

Sunday, July 24, 2022

Taman Tasik Bandar Temerloh Pahang...

Kalau tiap minggu atau dua minggu sekali meronda satu tempat, banyak juga tempat-tempat menarik Pahang boleh dilawati sepanjang mempunyai tugas di Jengka Pahang yang berbaki 2 tahun lagi. 

Ronda-ronda kali ini adalah Cherating. Memandangkan pemanduan dari Jengka mengambil masa dan rasa tidak berbaloi setibanya nanti di Cherating ketika hari sudah gelap, maka menginap dahulu di Temerloh.

Meronda, jjcm dan beriadah pagi adalah pakej 3 in 1., Setelah meronda dan jjcm toksin yang terkumpul perlu dinyah toksik dari tubuh melalui riadah pagi. Jadi tempat yang dipilih selalunya terdapat kawasan rekreasi. 


Pagi itu kami beriadah di Taman Tasik Bandar Temerloh, lokasi yang sangat strategik di tengah -tengah pusat bandar Temerloh, 



Tempat riadah sangat luas lebih kurang Taman Tasik Shah Alam, Selangor, cuma dari segi keindahan dan fasiliti tidak setara antara keduanya. Rating Taman Tasik Temerloh 2/3 manakala Taman Tasik Shah Alam 6/7. Tasik Temerloh kini sedang dinaik taraf fasiliti dan sistem perparitan.


Pengunjung hujung minggu beriadah pun ramai, perubahan sikap yang bagus dikalangan orang ramai.


Setelah bermandi peluh, meronda tempat sarapan pagi. Carian internet membawa kami ke Warong Lempeng Bangau, Kampung Bangau Pinggiran Sungai Pahang. Kelebihan zaman internet, segala yang diwar-warkan di internet akan dijadikan rujukan, sebab itu lokasi sudah tidak begitu penting. Diceruk mana sekalipun jika rating yang diberikan pengguna tinggi, pengunjung lain akan berpusu pusu datang.


Kedai buruk 1/2 tapi makanan superb 5/6, ketika kami datang mat-mat motor telah ramai tiba, ketika makan bergerombolan lagi datang. Diharap apabila sambutan berterusan, tuan kedai meningkatkan lagi keterampilan kedai dan meningkatkan lagi mutu servis pelanggan, boleh ditiru sistem di restoran lain seperti di Go'Bang Maju Tol Temerloh. Aliran trafik begitu bersistematik. Telah mencadangkan kepada pengusaha supaya memperkenalkan sistem layan diri, sesudah makan pelanggan mengangkat sendiri pinggan cawan ke tempat disediakan, jadi pelayan lebih terarah membersih meja, mengambil  dan menghantar order.


Diperhatikan menu pilihan pengunjung adalah ubi rebus cicah kelapa parut dan lempeng kelapa bersama kuah kari kambing. Hehe kalau dulu zaman kecik-kecik antara menu yang cuba dielak, kini setelah tua rupanya menu itu yang menjadi pilihan orang ramai. Penulis percaya menu- menu tradisional jika diketengahkan semula akan mendapat sambutan orang ramai.


Bergerak ke Cherating dalm pukul 11 pagi...

Saturday, July 23, 2022

Tanah Aina Cafe, KL-Karak Hiway...

Ada tempat yang diletakkan harapan tinggi tapi mengecewakan, manakala sesetengah tempat yang langsung tidak diletakkan sebarang harapan, apabila singgah membuatkan hati berbunga.

Tanah Aina Cafe salah satu tempat yang penulis maksudkan, seringkali lalu namun tidak terpanggil untuk singgah, dari pinggiran Hiway KL-Karak sesudah Hentian Rehat Lentang,  persekitaran kelihatan sangat biasa-biasa, restoran langsung tidak kelihatan sebab terlindung dengan pokok pokok menjalar, hanya papantanda dan bendera- bendera cafe yang  mencuri perhatian.

Pertama kali singgah dulu memang superb. Restoran sangat luas dibina di kaki bukit tepian sungai, mengekalkan kehijauan. Ciri ciri yang penulis sangat suka. Susunatur cantik dan kemas, serba-serbi sedap dipandang mata dari segenap sudut, faciliti adalah kelas pertama. Rasanya bukan sedikit modal untuk menampilkan premis sebegini.



Walaupun agak tersorok, menurut staff cafe, premis ini sentiasa penuh dihujung minggu. Cafe sudah luas, semasa kami singgah kelihatan pekerja sedang menambah lagi platform makan- makan di tebing sungai, untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.



Melihat kepada suasana cafe, penulis percaya ramai pengunjung yang berulang kali datang. Walaupun  harga makanan sedikit premium, namun pengunjung tak begitu kesah  kerana mereka singgah bukan saja untuk menikmati makanan tetapi ambience yang menenangkan.

Makan tenghari/malam jatuh dlm 25-40 per kepala mengikut set makanan yang dipinta.

Sarapan pagi dalam 17-20/kepala



Teh-O Rm8


Set Roti canai 3 keping Rm10, 

Set Roti bakar Rm10

Kopi-O Rm5



Sambil makan sambil menikmati bunyi deruan air sungai...




Harga tak boleh bandingkan dengan RnR hiway, ini premis persendirian, jauh dari lokasi bekalan bahan mentah, lagipun makanan sedap premis pula cantik kira oklah sesekali berbelanja lebih sambil mengendurkan urat- urat tegang setelah lama memandu....

Jom jom singgah lagi...


Thursday, July 21, 2022

Bukit Tinggi Resort Pahang...

Setiap kali lalu lebuhraya KL-Karak, akan terpandang papantanda Berjaya Resort Bukit Tinggi, sering terdetik nak singgah di Tropicale Colmar Resort. Perkongsian gambar rakan- rakan dan carian diinternet telah memberi persepsi bahwa resort ini pasti gah meliputi kawasan yang sangat luas. 


Dari simpang utama KL-KARAK perjalanan menuju ke Apartmen Meranti, homestay penginapan kami, suasana agak sepi, ditambah dengan jajaran jalan yang berbelok- belok, jarak perjalanan walaupun tidak melebihi 20km terasa begitu lama sekali.

Ketika memasuki simpang hari sudah agak lewat petang, cuma sekali-sekala bertembung dengan kenderaan turun. 




Terdetik berkali-kali betul ker ini homestay penginapan kami, keseluruhan bangunan agak usang, sebahagian unit daun- daun tingkap menunggu masa untuk gugur ke bumi. Inilah bahana mencari rumah penginapan melalui internet, apa yang digambarkan jauh berbeza dengan keadaan sebenar. Hanya beberapa unit yang berpenghuni.  Mujur datang berdua, jika berseorangan memang akan berpatah balik. Rasa seramm.

Difahamkan hampir 60 peratus unit-unit di sini milik wargaasing Singapura. Lokasinya hanya beberapa KM dari Colmar Tropicale Resort.  Mungkin semasa mula dilancarkan dulu masing-masing tergoda memiliki rumah percutian tanah tinggi, kemudian dipajakkan ke pengusaha resort. Melihat kepada keadaan apartment terkini, rasanya penginapan disitu kurang mendapat sambutan. Homestay kami diuruskan oleh Berjaya Resort.




Dalam perjalanan ke  Apartmen Meranti tadi terdapat lot-lot banglow tanah tinggi. Banglow yang dibina kebanyakkanya semak tidak berpenghuni. Entah siapa lah yang membeli rumah jauh dari kemudahan awam. Gagal mendapat kebenaran pak guard untuk meronda kawasan bungalow, unit persendirian katanya. Hanya terdapat beberapa penghuni yang tinggal disitu.

Keesokan hari menuju ke kawasan resort sebenar Bukit Tinggi.

Dalam misi ronda-ronda Pahang, berpeluang singgah di situ ternyata mengubah persepsi yang terbina.




Resort terdiri dari 3 kluster utama, Tropicale Colmar, The Chateu Spa &WellnessResort dan Japanese Tea Garden. 

Tropicale Colmar lebih kepada cluster rumah kedai dan apartment/hotel yang ditatarias menurut facade Peranchis, Chateu Spa adalah hotel premium dan Japanese Garden adalah taman berkeluasan tidak begitu besar puncak tertinggi resort, semuanya jauh berbeza dari apa yang penulis bayangkan. 
Mungkin kesan PKP, persekitaran resort tidak sebagaimana resort-resort sepatutnya, landskap tidak cantik, kemas dan terbela. 


Bangunan pun sudah kelihatan kusam dan penat. Tak tau apa yang cuba ditawarkan kepada pengunjung untuk datang berulangkali ke sini.

Secara peribadi penulis hampa dengan kunjungan ini, mungkin tersilap meletakkan harapan yang sangat tinggi. Huhu..
























Saturday, July 16, 2022

Nikmat Bercucuk Tanam...

Mula tanam hujung bulan Mei, sekarang pertengahan Julai pokok kacang botor dan peria katak telah mula berbuah. 



Pokok yang ditanam pun hanya sesekali dijenguk,  Sejak ditanam boleh dikatakan kerap hujan jadi tiada keperluan menyiram. Pangkal pokok pun dihampar dengan plastik sampah hitam, kuranglah keperluan mencabut rumput. Harini baru perasan buah peria telah mulai membesar.

Benih timun dah beli, bertambah semangat nak tanam timun pula. 

 Dikala keperluan harian kini serba serbi mahal, dapat menanam pokok-pokok yang mudah hidup dan senang dijaga, banyak penjimatan boleh dibuat. Biarpun hasil tidaklah secantik di pasaraya, tapi kita tahu tanaman kita bebas dari racun. Duit jimat, makanan pun sihat.

Jom jom kita ringankan tangan.



Thursday, July 14, 2022

JJCM Temerloh..

Kalau JJCM ke utara boleh singgah ke Restoran Nasi Bamboo Sg Klah, Sungkai Perak, ke selatan Kari Kambing 40 hari, Jln Yong Peng-Ayer Hitam dan ke timur penulis berani rekomen GoBang Maju Tol, Temerloh. Mungkin banyak lagi tempat makan santai popular, tapi 3 premis dinyatakan sering padat dengan pengunjung setiap kali penulis singgah. 

Restoran Bamboo senonim dengan nasi kukus dalam batang buluh selain lauk pauk ala kampung beraneka jenis, Kari Kambing 40hari lebih kepada nasi briani gulai kari daging/kambing/ayam yang dihidang dalam dulang, manakala GoBang Maju pula sudah tentu dengan patin tempoyaknya. 


Restoran di atas bukan saja mempunyai menu unik dengan harga berpatutan tapi susun atur premis  membuatkan suasananya begitu teratur dan  santai. Walaupun pengunjung ramai servis tetap pantas.,itu sebab pengunjung suka datang.





Daripada 3 dinyatakan, penulis memberi rating tertinggi untuk GoBang Maju, aliran trafik di dalam restoran begitu tersusun sekali. Menu sedia terpamir di rak berkaca untuk mudah memilih, booth cashier banyak untuk melancarkan trafik, meniru konsep di tol plaza..Ambil troli, memilih menu, membayar makanan dan menjamu hidangan samada di ruangan terbuka atau berhawa dingin. Dekorasi kedai walaupun ringkas tapi nampak moden lagi ekslusif. 




Apabila mat motor atau persatuan kelab -kelab dah tau, jauh manapun mereka sanggup bergerombolan datang. Inilah kelebihan/kekurangan berniaga dizaman media sosial, baik atau buruk sesuatu premis itu mudah saja viral.


Premis cantik kemudahan surau ada, tandas pun banyak, cuma kekadang aspek kebersihan tandas kurang dititikberatkan. Mungkin nasib penulis kurang bagus, masuk tandas yang kotor, kotoran dah berkerak seperti lama tidak dibersihkan. Spoil mood haritu, segera mendapatkan kontek nombor pengusaha dan memberikan teguran. Alhamdulillah mendapat respond positif dan dimaklumkan akan segera menambahbaik tandas dan surau. Kekadang kita kena berterus terang daripada bercakap belakang dan tidak menyalurkan teguran disaluran yang betul. 

Selain dari insiden ini, yang lain penulis beri rating A+









CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK