click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Tuesday, August 31, 2021

Pisang Sudah Berbuah...




Sepatutnya pokok pisang ini telah lama berbuah, sedang pokok galak membesar, tumbesaran terencat sebab tuan punya tanah membersih dan menebang pohon pohon liar yang tumbuh di tanah lot miliknya setelah mendapat notis saman majlis perbandaran. Mana mana pokok yang boleh diselamatkan, dipindahkan. Mana yang sukar dipindah, disodok begitu saja. Nangka madu antara yang jadi mangsa. Adat menumpang, kita bergantung sepenuhnya diatas ikhsan pemilik tanah. Risiko yang perlu ditanggung.



Setelah dilapangkan hanya sebahagian daripada 15000 kps lot kosong hadapan rumah dimanfaatkan untuk ditanam semula pokok-pokok jangkapendek. Sebahagian lagi terbiar semak. Tak sanggup mengusahakan tanah selebihnya, dikhuatiri episod lama berulang.

Deretan pokok ketum ayam memenuhi sebahagian tanah kosong yang dulu terbiar semak.

Kini setelah memiliki kebun sendiri, daripada mengusahakan tanah yang hasilnya belum pasti lebih baik tenaga itu dimanfaatkan dikebun sendiri. Segala apa yang terdapat dikebun mini ini turut akan ditanam dikebun bukit.

Jika dikebun orang, kita agak ragu mengeluarkan modal untuk menambahbaik infrastruktur seperti sistem pengairan musim kering, kini penyediaan sistem itu tidak terhalang. Macam-macam model pengairan boleh dicuba dikebun sendiri.



Bila sepokok telah mula berbuah, memberi petunjuk, pokok pisang yang lain pun turut akan berbuah..Lebih 12 pokok ditanam, tak termasuk anak- anak pokok yang turut mulai membesar.

Pisang serendah, tanduk dan lemak manis. Wah banyaknya...Nampaknya pagi petang siang malam asyik makan pisang, pisang dan pisang.

Ubikayu pun tak lama lagi boleh dituai ...Inilah syoknya berkebun. Jom.. jom.. jom.

Monday, August 30, 2021

Motokebun...


Motokebun dijangka boleh digunapakai pada pertengahan September, bergantung kepada ketibaan aksesori yang dipesan.

1.
2.
3.

4.
Jumlah 1-4, RM 688

5. Tayar offroad depan dan belakang saiz 17

6. Absorber belakang

7. Sprocket 45/14

8. Rantai FKR

9. Pemotong rantai

10. Pembalut throttle

Jumlah 5-10,
RM 355

Jumlah Keseluruhan RM1043

Dengan aksesori ini dijangka dapat menyiapkan sebuah motokebun asas. Untuk lebih menarik boleh dilakukan solekan kemudian.


Walaupun cubcross yang cuba dibuat mungkin tidak secantik ini, tapi jika dapat hampir cantik kepada yang ini sudah cukup puashati. Kudabesi akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menjinakkan lembah,jurang dan bukit kebun.

Kos keseluruhan termasuk barang -barang sampingan lain dijangka dapat dikawal dibawah Rm1500 termasuk upah. Kos yang dikira berbaloi sebab semuanya di buat dengan mengupah pomen persendirian.


Sementara menanti dos vaksin kedua, sebelum kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, budak gunting diupah mengubahsuai motokebun.

 Harapnya skill mekanik motor sebelum berubah kerjaya sebagai tukang gunting masih mantap.





Sunday, August 29, 2021

Dusun Sentosa...

Bermulalah episod mengumpul anak- anak pokok. Kebun Sentosa akan ditanam dengan pelbagai pokok buahan maupun herba.

Tiap satunya tidak mau ditanam banyak, cukup sekadar beberapa pokok, walaupun kebun tak luas banyak tanaman boleh ditanam. Pokok pokok yang ditanam terjurus lebih untuk kegunaan sendiri bukannya komersil.

Sehingga kini benih benih berikut telah diperolehi.

Musang king, Black thorn, Udang merah , Manggis master/ mestar Jepun , Tampoi, Lemon tanpa biji, Nangka Madu, Cengkih, Duku Trengganu..

Asam gelugur, Petai Belimbing buluh, Mahkota dewa, Nona, Tembaga suasa.

Banyak lagi anak- anak pokok sedang dicari. Pendek kata selagi boleh tanam, akan ditanam.




Pokok-pokok menunggu masa untuk dipindahkan. Dapat memindahkan 2,3 pokok untuk setiap kali kunjungan sudah memadai.





Sesuai dengan berkebun suka- suka, kebun tidak akan dibersihkan sekaligus, cukup tempat yang ingin dimanfaatkan akan dibersihkan. Jika terlebih semangat menebang pokok-pokok belukar, dikhuatiri rumput-rumput rimbun akan mengambil alih dan tersangat sukar membersihkannya kemudian.





Memandangkan kebun tiada punca air, pengairan ketika ini bergantung sepenuhnya dengan air hujan. Sedang eloklah memindahkan pokok bermula bulan ini kerana bulan-bulan mendatang adalah musim hujan.

Diharap setibanya musim kering sekitar Mac nanti pokok-pokok telah serasi dihabitat baru.

Akan datang beberapa kolam takungan akan digali, untuk menghadapi musim kering.




Kuda kebun memang wajib disegerakan. Ketika ini kereta diletakkan agak jauh dari kebun kerana akses curam. Tenaga terbazir sebelum sempat berkebun, apatah lah terpaksa mendaki sebelum tiba kebun dipuncak bukit.
Sementara tiada 4wd, apa yang ada dimanfaatkan.


Thursday, August 19, 2021

Apa Yang Boleh Dibuat Dengan Lupusan hartanah ...

Selalunya ada beberapa pilihan yang penulis pertimbangkan jika melupuskan hartanah.

Pertama,

Sebahagian besar modal dipusingkan semula membeli hartanah lelong lain dan sebahagian lagi berbelanja.

Kedua,

Menebus baki hutang-hutang yang ada, sebahagian lagi berbelanja.

Ketiga,

Memperelok kediaman sediada, sebahagian simpan dan berbelanja.

Ke 4,

Sebahagian besar simpan dan berbelanja.

Pilihan pertama entah kenapa agak sukar diperolehi, puas membelek laman- laman hartanah lelong, tiada yang menepati bajet ditetapkan.

Seterusnya hati berat ke arah pilihan 2, 3 dan 4. Ditambah disaat meniti usia pencen ini, semacam malas menambah koleksi rumah lelong untuk disewa. Musim pkp ini sangat sukar mengutip duit sewa bahkan ada yang langsung tak mampu membayar sewa.

Pilihan ke 4 paling tidak digemari. Biasanya duit akan lebur dan jenuh mengingati ke mana duit dibelanjakan, seolah harta yang dilupuskan hangus begitu saja.

Diharap pilihan ke 5 membeli kebun, pertimbangan yang biasanya tiada dalam senarai pilihan, pelaburan yang berbaloi, walaupun terpaksa menambah bajet sebab hasil lupusan tidak mencukupi melunaskan kos belian kebun.

Musim covid19 ini mahu atau tidak, kita perlu hidup didalam norma baru. Landskap kehidupan telah berubah, tiada kebebasan pergerakan seperti dahulu. Dengan adanya kebun, pergerakan yang terbatas boleh dimanfaatkan dikebun.

Selain pokok buahan, hanya pokok-pokok yang mudah dijaga akan ditanam disana. Jadi tiada masalah walaupun kebun ditinggalkan untuk tempoh waktu yang agak lama.

Setelah mengkaji perkongsian pekebun di utube, pokok kantan dan buluh madu boleh ditanam dengan kuantiti yang agak banyak dikebun nanti. Permintaan sentiasa ada dan harganya pun sangat stabil.

Walaupun sangat berminat mengembangkan ternakan ayam sediada selain menambah koleksi spesis seperti itik, angsa, ayam belanda dll, menyedari kedudukan kebun yang agak jauh selain memerlukan komitmen yang tinggi, hasrat ini terpaksa dipendamkan. Tak mau usaha tersangkut ditengah jalan. Untuk ini kelulut akan diternak dikebun.

Dengan keluasan kebun sekadar 1.2 ekar, memperuntukkan masa sekitar 3-4 jam setiap kali kunjungan sudah memadai. Jika tidak sempat sekalipun, boleh disambung dikunjungan berikutnya. Lagipun bila pokok bermanfaat telah ditanam, keluasan membersih tidaklah banyak dan sukar.

Foto ehsan pekebun kantan FB..


Wah...Sudah terbayang keseronokan berkebun, bercucuk tanam lebih kurang, selebihnya melepak dipondok kayangan puncak bukit.

Bosan berkebun layan cubcross menerjah laluan offroad berbukit bukau.



Keadaan mukabumi kebun berdasarkan andaian awal...
Gerenti syok...


Jom jom berkebun...




Tuesday, August 17, 2021

Nilai Sebuah Tong Air...

Segalanya bermula di sini. Petunjuk  yang menjadi asebab hati teruja memiliki kebun yang penjual ingin lepaskan.


Daripada pinggiran jalan, tong air jelas kelihatan untuk menjadi petunjuk lokasi kebun. Tong ditempatkan disitu untuk mengairi tanah jiran hadapan.

 Ditakdirkan tong  tiada disitu atau kebun berjiran hadapan masih berhutan, tak mungkin hati tergerak memiliki kebun tersebut kerana sudah terbayang kesukaran selain modal untuk menyediakan akses ke kebun.


Sejak mula menjejakkan kaki di stor landskap pinggiran jalan untuk melihat-lihat tanah berpotensi untuk dibeli, hati terus terpaut.

Kini proses memiliki tanah sudah diserahkan ke peguam.

 Sehingga kini telah 5 kali melawat kebun untuk mengenal lebih dekat karakter  mukabumi kebun.


Kedudukannya lebih kurang 6-700 m dari jalan utama.

Lawatan ke 5 masih menghadapi kesukaran menentukan pancang sempadan kerana  permukaan mukabumi berbukit-bukau ditambah lagi dengan keadaannya yang semak.




  Setelah berjaya mengesan pancang, segera membuat rintis sepanjang sempadan supaya akan datang mudah mengenalinya lagi.

Setelah dirintis, mendapati terdapat puncak tertinggi iaitu pada ketinggian RL103 dari aras laut, sebelum cerun menurun disegenap arah.

 Terdapat cerun ekstrim  kecuraman lebih 75 darjah berhampiran puncak tertinggi. Mujur kedudukan cerun curam ini berada direzab jalan. Terdapat juga cerun pada kecuraman tahap sederhana-sukar., namun sebahagian besar berada pada tahap mudah - sederhana curam...

 Untuk misi ke kebun sebuah jentera lasak perlu disediakan. Ketika ini berkenderaan 4 roda hanya boleh sampai ke kebun jiran. Untuk sampai ke kebun atau bergerak di dalam kebun, kenderaan lasak 2 roda adalah pilihan terbaik.

Dah jumpa pomen motor, kapcai sediada boleh diubah suai menjadi cubcross. Sebagai permulaan, dia sarankan tak perlu modifikasi berat, cukup sekadar menukar tayar depan dan belakang saja. Mungkin sprocket pun perlu tukar.

Setelah mahir ber cubcross  dilaluan berbukit bukau kebun nanti baru ubah suai motor menurut selera.


Yea yea segera teringat gambar motor cubcross ini. Seorang kawan telah mula menunjukkan minat untuk mengubahsuai motor kapcai juga.

Bagus juga, sambil berkebun, sambil ajak kawan-kawan bermain motorcross, paling tidak berteman dikebun nanti...Masih tak sanggup berkebun bersorangan dalam keadaan kebun bersemak samun dipinggiran hutan.

Yeahh..Jom jom berkebun..



Saturday, August 14, 2021

Jom Tanam Kantan...

Permulaan yang baik. Untuk kegunaan sendiri sudah lebih dari cukup, jiran-jiran pun sudah merasa.


Jika lewat lagi dituai bunga akan semakin kembang. Segera menawarkan ke kedai runcit rakan. Argh memang kebetulan bunga kantan dikedainya sudah kehabisan.


Bunga yang mula mengembang begini pun disuruh tuai. Biar betul...

Walaupun cuma serumpun ditanam dipenjuru laman dapatlah juga 10 kuntum., Yang sedang memutik pun ada lagi.  Bolehlah ditukar barang.

Membeli barang berikut...

Sebiji nenas 3.50
Betik 5.50
Mentimun 2.0
Jumlah rm 11

Setelah tolak bunga kantan hanya perlu tambah RM 2. Sudah lebih dari bolehlah tu...

Penanaman pokok- pokok sebegini yang penulis suka. Tanam sekali namun boleh dimanfaatkan berulang-ulang kali. Penjagaan pun sangat mudah.

Kebun Bukit sentosa nanti memang banyaklah rumpun kantan yang akan ditanam. Ketika ini spesis pokok yang hampir sama banyak tumbuh dikebun, Bermakna habitat yang sesuai untuk pokok kantan juga.

Kelebihan bercucuk tanam di tanah tinggi adalah kelembapan tanah dapat dikekalkan walaupun bukan musim hujan kerana tanah tinggi akan sentiasa berembun berbanding tanah rendah, apatah lagi persekitaran masih lagi berhutan.

Wah Semangat.. semangat...


Friday, August 13, 2021

Chainsaw Mini dan Midi

Huhu setelah 3 kali mencuba baru memperoleh gergaji mini yang diingini.

Belian pertama barang tak sampai walaupun duit telah dibayar. Tak silap bayaran dalam 80USD, diiklankan jenama Stihl.


Belian kedua barang sampai tapi tidak sebagaimana yang diiklankan, harga rm150. Kita maukan gergaji mini, yang tiba pula adalah aksesori gergaji mini, perlu dipakaikan di mesin grinder.

Menyedari penggunaan mesin grinder sangat berbahaya untuk memotong kayu, kerana tiada ciri keselamatan mengawal kelajuan, aksesori itu kini tersimpan didalam stor.




Dan semalam tibalah gergaji mini yang diidam- idamkan RM255. Dah cuba memang sangat comel, ringan namun berkuasa. Memilih set yang mempunyai 2 bateri untuk standby. Tak perlu risau kehabisan bateri ketika sedang asyik bergergaji.

Kegunaannya lebih untuk memotong pohon mini atau dahan ditempat sukar atau tinggi bergarispusat dalam 2-3 inci...

Untuk menebang atau memotong pohon mini tempat mudah lebih baik menggunakan kapak atau parang atau gergaji berantai midi.


Peralatan sesuai menebang maupun memotong memang perlu dibeli lagi. Mesin berantai midi seperti Stihl 16 inci, termasuk dalam senarai peralatan yang wajib dimiliki apatah lagi kini telah memiliki kebun sendiri.

Tak sabar menanti pkp berlalu, gergaji dibeli secara online RM628.

Jom jom berkebun.

Tuesday, August 10, 2021

Kebun Bukit Sentosa, Hulu Selangor......

Semangat membeli tanah bersemarak semula hasil terjahan dusun di hutan Serendah, Hulu Selangor baru -baru ini
. Terpesona dengan keindahan dan kegigihan tuan dusun mengusahakan kebun jauh di pendalaman.


Pemandangan dusun berbukit bukau begitu memukau.

Balik saja terus membuka iklan- iklan jual beli tanah di FB...Kot lah ada tanah mampu milik yang boleh dibeli.

Niat membeli tanah sudah lama, setelah rumah flet terjual, tapi terpendam begitu saja sebab duit pun tak diperolehi lagi., lebih- lebih musim pkp ini, serba serbi lambat.

Terjahan Dusun Serendah menyuntik semula  semangat mencari tanah.

Peguam jualan rumah pula memaklumkan urusan pembayaran duit sudah diperingkat akhir. Semakin lajulah membelek iklan- iklan.

Yang dicari sudah ditemui. Jika segalanya berjalan lancar, hasrat memiliki tanah bakal tercapai.

Sebahagian besar ciri-ciri idaman, ada pada tanah yang ingin dibeli ini.

Harga yang telah dirundingkan ok.

Berbanding dusun terjah Serendah yang agak terpencil, tanah ini sangat hampir dengan penempatan, hanya 600-700m dari jalan utama yang berpenghuni.

Keluasan 1.2ekar memadai, memang taknak cari tanah yang luas sangat, cukup untuk beraktiviti separa masa.

Jarak dari kediaman sekarang pun ok, dalam 30-45 minit perjalanan.


Akses ke kebun pun ok dan yang paling mengujakan kebun berada dipuncak bukit kedua tertinggi pada ketinggian RL103 dari aras laut dengan pemandangan cantik lembah dan gunung- ganang.. Pemandangan 270darjah persekitaran.


Kurang dari 20 peratus berpokok besar yang memerlukan mengupah orang lain untuk menebangnya. Pohon-pohon kecil boleh ditebang sendiri bila perlu.

Penebangan pohon-pohon sedia ada tidak akan dilakukan serentak, hanya kawasan yang diusahakan saja akan dibersihkan. Jadi kebun tidak akan semak walaupun lama ditinggalkan.


Keadaan cerun juga tidak ekstrem, tiada keperluan membuat teres- teres pada tanah.

Tanah tak sah jadi milik, lakaran rumah kebun dah dibuat. Tiang, beluti dan papan boleh menggunakan anak balak yang ada. Lebih dari cukup pokok-pokok yang sudah dikenal pasti dikebun. 

Kaedah membelah balak cara mudah pun telah dipelajari di utube..Chainsaw, Circularsaw bersama alat bantuan membelah balak tanpa memerah kudrat, boleh dibeli di Shopee maupun Lazada. Dah alang-alang berkebun peralatan berkebun bermutu tinggi  perlu dimiliki.
Semuanya boleh diusahakan tanpa terburu-buru. 

Berangan memiliki tanah berada diperingkat tertinggi. Berangan kan percuma.


Kebetulan ada 6 benih kelapa dirumah, terus dibawa dan ditanam terutamanya di pancang sempadan...Tak kesahlah ditakdirkan perancangan sangkut .

Cempedak dikebun jiran. 

Ini yang penulis suka. Tanam dan tinggal, nasib baik berbuah juga...apatah lagi jika dibelai dan dibaja.

Bersama rakan yang turut memiliki minat berkebun yang sama. Otai memiliki 6 ekar tanah...tapi nun jauh dari rumah kediaman...

Setelah mengesahkan geran dan batu sempadan dengan pemilik dan juruukur pejabat tanah nanti, In Sha Allah duit tunjuk minat akan bertukar tangan melalui peguam.

Sempatlah tu untuk melunaskan duit baki tanah, menggunakan duit rumah yang terjual.
Sebulan dua lagi bukannya lama....


CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK