click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Wednesday, January 25, 2023

Kembara Kebun Buat Hal lagi

 

Hidup ini penuh dengan dilema. Ingin berhabis membeli kenderaan kebun yang luas tak seberapa, rasa tidak berbaloi, bila beli kenderaan tua ini pula jadinya. Kerap bertandang ke bengkel.

Kes terbaru, Kembara tetiba hilang power..menggigil bila  mendaki walaupun di jalan raya.

Apa yang disarankan pomen dan rakan dah buat.. fuel pump, kabel plug, fuel filter, drive shaft mounting. Mujur harga mesra poket, tapi kalau dah kerap sangat, demam juga. Dah tukar semua tu ada lagi simptom walaupun tak seteruk sebelumnya dan beranilah untuk dibawa ke kebun.



Dalam perjalanan ke kebun, kembali bermasalah, bukan enjin menggigil tapi jarum temperature mencanak ke garisan merah. Sebelum ini dah dibaiki masalah engine panas, tak berapa bulan terjadi lagi...Hati dah tak karuan nak menukar seketul enjin. Bila kenang banyak sangat dah dibaiki timbul dilema...engine half cut tak tau pula apa masalah nanti.


Seronoknya naik kembara, kenderaan kecik tapi berkuasa. Tak banyak kenderaan kecil yang ada 4wd

Boleh angkut macam- macam melalui laluan sukar ke kebun.


Jasa Kembara dapat menyiapkan lantai pondok. Pondok konsep terbuka dah 95 peratus siap. Berbaki siapkan pagar, tangga, salur air hujan dan beberapa kemasan kecil lain. Aras bawah boleh untuk ngopi- ngopi, aras atas untuk tidur atau mengendap babi.



Walaupun berada di pinggiran puncak, tapi boleh melihat sebahagian besar kebun. Kalau dapat dipuncak lagi bagus, pemandangan luas dan dapat merasai sepoi- sepoi angin, cuma dipuncak agak terbuka dan berbahang sebab tiada pokok rimbun besar.


Semasa balik dari kebun, Kembara semakin teruk, 3,4 kali berhenti untuk mengisi air radiator yang hilang. Besar kebocoran.



Tak mau mengambil risiko  panggil tow truck insuran. Rasanya ini tindakan akhir membaiki Kembara.. Jika terjadi masalah lagi, rasanya kena juga menukar enjin seketul. Huhu.. 

Monday, January 23, 2023

Ubi Kayu Rebus..


Pokok ubi banyak yang dah matang, ada yang daun mulai mengering, ada juga yang telah tumbang. Jika dibiarkan, dkhuatiri ubi akan membusuk. Banyak juga hasil dikutip dari 4 pokok yang dicabut. Batas baru akan disediakan, olah bersama taik ayam yang dah lama tak dikutip direban. Biarkan beberapa hari sebelum dicucuk dengan batang ubi baru. Pokok ubi senang jaga, sampai masa nanti tuai lagi.

Tak termakan kalau dimakan sendirian, jadi panggillah rakan- rakan untuk bersarapan bersama. Cicah dengan sambal tumis atau kelapa muda, fuh mengembalikan nostalgia. Kalau dulu tiap kali sarapan memang ubi rebus lah, muka sikit ceria jika ubi goreng.




Sekarang ubi pun dah mahal, dulu seguni 50sen. Ubi kayu dah jadi makanan eksotik, ramai yang menyerbu restoran maupun warong jika terdapat menu ubi kayu. Lempeng pun begitu. 



Terlupa harini awal Rejab, ramai jiran yang berpuasa. Ramai yang tak dapat datang sedangkan pokok yang dicabut banyak, sebahagian diberi mentah...mana yang dah terkopek teruskan dikukus untuk diberi yang telah siap masak..Tak terhabis untuk dihadap sendirian.



Dah alang-alang keluarkan pengukur kelapa, kukur sekali kelapa muda dan tua. Hampas boleh disejukbekukan. Banyak  buah tua menunggu masa gugur. Tak putus-putus  tiga pokok membuahkan hasil.




Sisa ubi kayu dimanfaatkan untuk ayam. Memang tak sia- sia membela ayam.



 

Jom jom sarapan dulu...



Sunday, January 22, 2023

Pontian Johor...


Cuti sekolah ditambah dengan cuti umum maka banyaklah dapat jemputan kenduri kahwin. 20hb Januari ke Pontian, keesokan hari 21hb  menghadiri majlis kahwin, jiran setaman berbesan dengan orang Benut. Bulan ini memang banyak kali turun naik KL-Johor, 9hb dah turun, hujung bulan ni 28hb turun lagi Yong Peng jemputan kahwin juga. 

Harapnya ketika itu jalanraya tidaklah se sesak seperti ketika balik cuti raya cina. Setibanya di Ainsdale, Seremban kenderaan bergerak macam siput, terdapat kemalangan di exit Port Dickson. Musim cuti kenderaan banyak, jika laluan terhalang, akan sesak berkilometer.



Majlis di Benut, menginap di Pontian, punyalah jauh, orang rumah yang uruskan, kita ikuti saja. Kesempatan menginap di Pontian bertemu dengan sahabat lama yang pernah berjiran di taman.

Sebelah malam, Pontian boleh tahan meriah, semua tempat makan-makan persisiran selat  dipenuhi pengunjung.


Biasanya di Pontian pengunjung akan ke Tanjung  Piai, yang sinonim dengan titik hujung benua asia dan Taman Negara Hutan Bakau Kukup. Oleh kerana dulu dah pergi jadi pusing -pusing di Pekan Pontian saja.





Keesokan pagi berkunjung ke kawasan  benteng pemecah ombak, keadaan  disini agak mengecewakan, walaupun tong sampah disediakan disepanjang benteng, pengunjung tetap meninggalkan sampah dicelah celah batu . Lemahh





Singgah di Dataran Diraja Pontian sebelum ke Benut. 

Sebagaimana bandar -bandar lain di Johor, penulis suka dengan Bandar Pontian, keadaannya agak kemas dan bersih.

Thursday, January 19, 2023

Pisang Tanduk Rebus...

Tak taulah kenapa pokok pisang kebun tumpang berpenyakit, dah beberapa rumpun, tumbesaran terbantut, daun mengering..,sebahagian pokok yang terjangkit teruk telah ditebang, namun anak yang awalnya sihat turut mengalami simptom sama. Fuh mujur tanam suka- suka, jika inilah sumber pendapatan, berpeluh dahi untuk memulihkan tanaman supaya sihat. Kena pula kebun berpuluh atau beratus ekar.

Bukan senang ingin jadi petani, perlu kental dan sabar lebih-lebih lagi kos racun dan baja terusan mendongak, hasil tani pula tak boleh dijual mahal.



Serumpun pokok pisang tanduk muda terkena jangkitan juga, buah muda lagi, pokok dah rebah. Mula-mula ingatkan nak racik bagi ayam. Tak ada kata putus sehingga terbiar lama di wakaf.

Dulu pisang serendah pun sama, kawan cakap tak sedap dimasak, itu yang lama terbiar, daripada terbiar busuk dan diberi ke ayam, sebahagiannya cuba dimasak gulai..dah masak baru tahu, sedap giler..


Kalau Pisang Serendah boleh, pisang tanduk muda pun akhirnya direbus...Bila dimakan dengan sambal bilis perghh ..Marvelous
 

Wednesday, January 18, 2023

Bukit Frazer...

Pejabat Imegresen terdekat untuk  urusan berkaitan passport warga Rawang adalah di Pekan Kuala Kubu Bharu. Tidak ramai berurusan di sini, sebab itu kami suka ke sini. Namun kini urusan berkaitan pasport perlu dibuat secara online. Lecehnya urusan online ni pasport tak boleh siap pada hari yang sama. Setelah permohonan online selesai akan mendapat temujanji untuk mengambilnya di kaunter pula. Dulu semuanya siap dalam masa beberapa jam sahaja. 

Mulanya  cuba terjah ke pejabat Imegresen untuk perbahrui passport, ternyata gagal dan disuruh juga memohon secara online. Kaunter hanya menyediakan khidmat untuk warga emas, pelajar dan beberapa kes tertentu. Walaupun urusan kaunter telah dihadkan, pada hari itu ramai yang beratur sehingga  melimpah keluar premis. Kalau boleh walk-in pun pasti mengambil masa yang lama. 

Dulu gambar ukuran pasport diambil dikaunter imigresen, kini perlu menyediakan  gambar sendiri, untuk mudah,  buat dikedai gambar, kebetulan kedai gambar di pekan KKBharu menyediakan khidmat memohon pasport secara online juga, sekali dengan gambar dikenakan caj Rm20. Sekejap saja selesai.



Urusan pasport pun dah selesai terus saja ke Bukit Frazer, tak jauh dalam 40km lagi untuk ke puncak. 8km terakhir  jalan berliku-liku tajam...Dulu bawak budak gunting ke sini, memang terkeluar muntah hijau.




Syoknya dipuncak, dapat merasai persekitaran nyaman, Kalau datang hujung atau awal tahun memang terasa kesejukannya, apatah lagi diawal pagi, lewat petang dan malam.




 Di puncak kami suka melepak di Ayda Cafe. Cafe cantik, pemandangan persekitaran ohsem. Makan sepiring nasi goreng dan secawan kopi, melepak berjam tak terasa waktu berlalu, sedar-sedar azan berkumandang di masjid berhampiran.



Sesudah zuhur melepak lagi di kafe bersebelahan  mercutanda bulatan Bukit Frazer. Fuh memang best, kalau keesokan hari Selasa bukan hari kebun nescaya sambung menginap di puncak, hari biasa caj hotel tak semahal hujung minggu.




Walaupun dah banyak kali datang, bergambar tetap ambil...hari biasa persekitaran memang agak lengang. Hujung minggu meriah sedikit. Mat motor dan mat basikal ramai yang hadir ke sini pada hujung minggu. Kaki hiking pun boleh tahan ramai..dulu Bukit Frazer menjadi port penggemar fotografi mengambil gambar burung- burung migrasi, kini tak pasti sebab sudah jarang melihat aksi mereka. 

Walaupun kehadiran pengunjung agak ramai dihujung minggu, tapi masih terkawal berbanding destinasi tumpuan lain. Kepada yang inginkan suasana tenang dan nyaman datanglah ke Bukit Frazer.



Saturday, January 14, 2023

Eropah Lagi...


Trip tahunan yang sangat ditunggu- tunggu. Setelah 3 tahun tak boleh ke mana- mana kerana PKP covid 19, harap angan-angan kali ini menjadi. Trip ke Eropah lagi mengambil kesempatan anak bongsu masih belajar di German. 45 hari keseluruhan. Trip paling lama dari trip-trip terdahulu. US-Canada pun cuma 30 hari. Bila berusia sudah tidak terikat dengan apa- apa komitmen maka tempoh masa kita tentukan.
Bajet saja yang perlu diteliti supaya tidak membakar simpanan.

Tempoh Febuari-April dipilih kerana tempoh ini menghampiri penghujung musim sejuk, cuaca sangat nyaman, manakala tempoh waktu malam dan siang tidak jauh beza seperti di Malaysia.  Tiket dah beli 19Feb -10April. Sebahagian trip berada di bulan Ramadhan.

Trip kali ini akan dibahagikan kepada 4 .

1.  Dalaman Germany/Austria-10hari 

2. Iceland.-10hari.

3. Lisbon/London-10hari

4. Aktiviti Ramadhan Germany.-15hari

Kos keseluruhan banyak dapat dikurangkan kerana menginap di kediaman anak.



Trip kali ini tak mau menempah hotel maupun kenderaan awal. Mungkin sedikit mahal tapi itu lebih praktikal. Bila berusia kena bergerak secara santai. Jika sudah menempah awal segalanya perlu menepati waktu, dikhuatiri terburu- buru.


Tempoh pemanduan 5 jam perlu menginap 2 malam...boleh nak lebih dari itu tapi sudah tiada kenikmatan meronda kerana terkejar-kejar dengan waktu. Trip dalaman German hanya bergerak berdua..anak tak dapat turut serta kerana sedang bersiap untuk peperiksaan akhir.

Trip ke Iceland saja yang perlu dibuat perancangan dan tempahan awal kerana melibatkan anak-anak yang terikat dengan jadual university, itupun hanya seminggu melibatkan jarak perjalan keseluruhan dalam 1400km..Tak berat sebenarnya.

 


Trip Lisbon Portugal, London sebahagiannya  berada di awal bulan ramadhan. Trip ini sekadar melepak di hotel atau bersiaran di persekitaran saja. Lisbon memang tak pernah pergi. Kalau bukan Ramadhan mau saja meronda ke Ireland namun dibimbangi kudrat tidak sekuat semangat..

 Semasa di London boleh berbuka puasa dan bertarawih di Masjid Hyde Park  London.

Ramadhan seterusnya akan berada di Germany sehinggalah balik 1Ohb April... 

Argh lamanya 19 February...

Wednesday, January 11, 2023

Pokok Durian Ekspres

 Walaupun ada yang cakap tak berapa bagus menanam pokok yang telah besar sebab akar lama tersimpul didalam polibeg akan membantutkan tumbesaran bila dipindahkan ke lapangan, penulis nak cuba juga, manalah tau membesar dengan jaya taklah lama menunggu pokok matang.  Macam tak sabar melihat pokok membesar. Berbanding dengan pokok nangka yang penulis tanam, tumbesaran pokok durian sangat lambat. 




Walaupun anak pokok murah, risiko anak pokok mati lebih tinggi berbanding dengan yang telah besar. Musuh pula banyak, baru ni  beberapa pokok dicabut sehingga ke akar-akar. Huhu..Tak taulah angkara babi atau monyet, walaupun dipagar dengan net hitam, net tak rosak, pokok tercabut.

Kebanyakan anak pokok pelbagai spesis boleh didapati pada harga dalam rm30-40, tapi MK  remaja setahun lebih dengan ketinggian lebih 4 kaki berharga Rm 120 lebih, manakala berusia 2.5 tahun ke atas berharga dalam Rm300 ke atas sepokok, tak pasti harga ditempat tempat lain.

 


Di kebun telah ditanam dengan spesis durian pelbagai usia, rata-rata bawah setahun, manakala yang setahun lebih ada beberapa pokok. Percubaan terbaru membeli 2  pokok MK berusia lebih 2.5 tahun ketinggian lebih 7 kaki dan menambah lagi sepokok MK setahun lebih berketinggian lebih 4'. 

Menanam pokok besar tetap berisiko, namun  melihat pokok dah besar seolah mendapat suntikan semangat untuk rajin ke kebun. Jika berjaya membesar dengan sempurna dapat mengurangkan tempoh menunggu. Jika tak berjaya ermm redho sajalah.

Masa lebih bernilai sekarang.




Kembara pelbagai guna, kecil diluar, besar didalam walaupun boleh disumbat dengan 3 pokok, trip kalini membawa dua pokok saja selebihnya akan datang, kalau dibawa semua susah pulak pembantu nak duduk nanti.

Tenang tenang saja...


 

Monday, January 9, 2023

Stadium JDT...


Bercamping diteruskan lagi, jika minggu lepas di utara, Gopeng Perak, minggu ini di selatan, Parit Raja, Johor. Dah lama bertangguh bertemu dengan anak buah. Anak buah tidak boleh   dibiarkan terlalu berdikari, jika demikian mereka akan sedikit demi sedikit  mulai berenggang dan akhirnya akan meninggalkan kita, sedangkan kita sangat memerlukan khidmat mereka.


Berkhemah diruangan kedai gunting, bila tidur di khemah tidaklah tersedut habuk maupun rambut halus. Bilik sediada sekadar selesa untuk anak buah tidur berdua. Menggigil bila aircond ON sepanjang malam.

Pakar gunting  yang diharap mengembalikan kegemilangan kedai setelah hampir 3 tahun ditutup akibat PKP covid19. 


Setiap kali melawat anak buah akan membawa mereka berjalan-jalan. Sebulan dulu melawat Desaru, kaliini ke Johor Bahru..Akan datang tak tau lagi  nak bawa ke destinasi mana. Sukar memenuhi citarasa budak- budak muda..,pastinya keinginan mereka tak sama dengan orang berusia.




 

Bukan saja anak buah teruja, kita yang berusia ni pun sangat gembira dapat menjejakkan kaki buat pertama kali ke Stadium JDT. Hebat stadium ini. Banyak stadium ternama dunia dilawati, penulis berani katakan stadium ini jauh lebih canggih dan cantik. Stadium kelab-kelab ternama dunia di Eropah seperti Manchester City, Manchester United, Liverpool, Barcelona , Napoli, Totenham  sekadar gah di tv, yang sebenar sangat biasa-biasa. 




Harapnya pihak pengurusan berterusan menjaga kualiti stadium bertaraf dunia ini.


Sehabis melawat stadium JDT, terus bergerak ke Hutan Bandar, Johor Bahru, kalau datang awal pagi boleh beriadah disitu, setibanya matahari telah menegak jadi singgah sekadar untuk makan makan di medan selera. Suasana sebenar hutan bandar masih menjadi persoalan kerana tidak sempat untuk meninjau kawasan keseluruhan. Akan mencari waktu yang sesuai untuk berkunjung ke situ lagi akan datang.






Singgahan berikutnya adalah Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Pertama kali singgah disitu.
Masjid bersejarah tersergam  dari kejauhan, rupanya bersaiz sederhana ruangan solat utama. . Terdapat ruangan terbuka disebelah luar untuk para musafir berehat.


Bersolat dan melelapkan mata sebentar sebelum meronda di tempat lain. Destinasi berikutnya adalah Legoland Malaysia, Bandar Madini, disana hanya melihat dari luar. Dari luaran persekitaran agak kurang ceria. Landskap tidak begitu kemas. Jauh berbeza dengan landskap di stadium JDT tadi.


 Mengakhiri ronda-ronda, memenuhi permintaan anak buah menikmat durian, di exit Ayer Hitam,  katanya  dah lama tak rasa durian. Menurut penjual ini buah Segamat hujung musim. D24 Rm20 sekilo, IOI Rm30...Makan sebiji D24 dan 2biji IOI, Rm130. Hah dah pesan awal- awal dengan anak buah, takkan cuma bawak perut saja, sesekali kena belanja, dahlah kita jadi supir sepanjang masa, mana aci camtu. Tapi tulah masa nak balik ke KL tak sampai hati mengetuk anak buah, terpaksa hulur semula apa yang dah dibelanja..Tak mengapa, bila dapat membeli jiwa, anak buah akan ingat dan berkerja dengan jujur walaupun dibiarkan berkerja beratus km  tanpa pantauan. 

Win, win...




CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK