Saturday, August 22, 2020

Kiosk Gunting Bas Mini Di Sita..

23hbOgos 2020, Ahad

Penangan Covid19 memberi kesan secara langsung terhadap premis gunting penulis.


 Premis disita DBKL sehari sebelum hariraya aidilfitri dan urusan rayuan mendapatkan peralatan yang disita tidak terdapat tanda akan selesai dalam waktu terdekat.  

Kesilapan pekerja yang tak tahan  rayuan pelanggan  bergunting  hariraya,  mengengkari arahan PKPB tanpa pengetahuan penulis mengakibatkan premis disita.



Tidak sanggup membiarkan situasi seolah digantung tidak bertali oleh penguasa DBKL penulis memutuskan memindahkan sebuah premis ke lokasi lain,  jauh dari lokasi asal iaitu di Bukit Belimbing Kuala Selangor. Yang sebuah lagi sedang dicari lokasi alternatif berdekatan dengan tapak yang lama.





Premis ini walaupun tidak se gah mana tapi berjaya menarik minat media arus perdana TV3, The Star dan Bernama untuk diselitkan dalam berita mereka dek kerana keunikan kedai gunting yang diubahsuai dari bas mini terpakai. Penulis khuatir kuasa viral lebih banyak memberi mudarat, mengambil keputusan menolak permintaan tersebut. Selain  indah khabar dari rupa, penulis  bimbang tak mampu memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan setelah mendapat lonjakan liputan.

Di lokasi baru nanti walaupun agak jauh dari kawasan tumpuan diharap aura keunikan kedai gunting bas mini mampu menggamit pelanggan berkunjung dan bergunting...


 

Bertelur Sebiji Riuh Setaman




Setelah beberapa hari riuh rendah, sempena Maal Hijrah 1 Muharam bertelurlah seekor ibu ayam telur sulung.. Dalam 5 ekor induk tak sangka yang paling kecil bertelur dulu, bermakna bermulalah  fasa ayam induk mengeluarkan hasil setelah 3 bulan dibela. Induk yang lain pun telah riuh rendah memberi tanda untuk bertelur.



Setelah beberapa kali bertelur nanti akan dipilih telur yang sesuai untuk dieramkan.

Sementara itu untuk memastikan rantaian peliharaan tidak putus anak-anak ayam akan dibeli...Kesihatan juga sedaya mungkin akan dijaga.



Sangkar kuarantin disediakan untuk merawat anak anak ayam yang tidak berapa sehat. Batch ke 3 ini jika boleh ingin merekodkan kematian sifar . 


Walaupun seekor anak ayam mati, terasa benar sayangnya bila membayangkan ayam sekecil ini boleh membesar dewasa dan  sihat sebab itu setiap yang sakit diberikan rawatan herba saban hari. Sebelum ini beberapa ekor anak ayam berjaya diselamatkan dan membesar dengan sihat.

Jom jom manfaatkan segala ruang yang ada ..




 

Wednesday, August 12, 2020

Pengisar Sayur dan Daging

12 hb 0gos 2020

Bila dicongak-congak banyak juga penulis dah berhabis menyediakan kemudahan untuk menternak suka-suka. Peralatan yang dibeli ada yang boleh diguna dan ada juga yang tidak praktikal. Semasa pkp dulu pernah membeli secara online alatan mini untuk membuat dedak secara manual, bila diterima ianya sangat sukar diguna, penulis tak cukup gigih menggunakannya dan kini hanya disimpan di stor... Mujur harga cuma rm40.

Dua minggu lepas membeli pengisar sayuran dan daging secara manual harga RM99, juga dibeli online, bila diterima saiz kotak terlalu kecil apatah lagi isinya tak ubah seperti mainan kanak kanak...ermm di nasihatkan penghantar  supaya tidak membuka kotak dan terus dipulangkan semula kepada penjual..Mujur bayaran belum dibuat..


Pengisar lama  bersaiz 0.8L ini dah lama tak diguna, bila digunakan  hanya mampu berfungsi seketika, sudahnya dibuang.


 Harini menerima pengisar elektrik sayuran dan daging bersaiz 2L...Mujur barangan yang dibeli menepati jangkaan. Harga pula sangat berbaloi rm89, lebih murah daripada yang manual. Beginilah membeli barangan hanya berpandukan gambar dan video, apa yang dipaparkan kekadang jauh berbeza dari realiti.

Bila dah ada pengisar ni mudahlah mengisar sayuran dan herba untuk makanan ternakan...Kelebihannya bahan yang dikisar menjadi halus, jadi ayam tiada pilihan selain melahap apa yang dihidangkan, tiadalah berlaku pembaziran.

Untuk mendapatkan rasa daging berperisa bolehlah kita mencampurkan perisa pilihan dalam adunan makanan ayam yang dikisar...

Tak taulah apa rasa daging ayam nanti, makanan ayam penulis banyak dicampurkan segala jenis de
daunan herba hehe... 






Sunday, August 9, 2020

Anak Ayam Batch ke 3

Ahad 9hb Ogos 2020.


Dalam usaha mewujudkan kitaran bekalan ayam berterusan, belian benih anak ayam diteruskan... Ini merupakan batch ke 3...

Batch pertama seekor jantan dan 5 betina berusia dalam 3 bulan, kini telah dewasa dengan berat antara 2.3 -2.9 kg. Ayam jantan sedang meniti usia dewasa  galak berkokok siang dan malam...Ada ketikanya seawal 12 pagi telah berkokok. 

Kelihatannya yang betina sedang bising seolah mau bertelur tapi rasanya mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum boleh menghasilkan bekalan anak ayam sendiri.

 Batch ke 2 berusia sebulan... Tumbesaran batch ke 2 ini agak kurang seimbang,  yang betina ada yang telah mencapai berat 900g ada juga yang baru mencecah 500g. Daripada 14 ekor dibeli 5 ekor telah mati...Musim hujan baru ni anak ayam mudah dijangkiti penyakit. Baki 9 ekor nampaknya sihat dan cergas., lagipun kini ayam telah dilepaskan dilingkungan pagar menjadikan mereka lebih ceria dan sihat. 

Batch ke 3 berusia dalam 3 hari. Belian kalini cuma 10 ekor saja. Jumlah keseluruhan belaan dalam 25 ekor. Walaupun boleh membela lebih tapi ingin mengekalkan kuantiti bawah 30 ekor untuk mengawal bau dan lalat. 

Seronok membela ternakan... dapat menyaksikan gelagat selain melihat  ternakan membesar dengan pantas. Dalam kita bermalas-malasan, ayam di reban dan ikan di kolam terus membesar. Dengan 5 induk rasanya bekalan telur ayam untuk kegunaan sendiri agak lumayan nanti. Jika teringin menikmati daging ayam mirip ayam kampung pula, ambil pisau dan sembelih hehe... 

Sunday, August 2, 2020

Longkang Ikan

Langit tak selalunya cerah, begitu juga dengan semangat..Ada kalanya naik dan ada ketikanya merudum.




Ketika semangat sedang mencanak naik dulu, longkang konkrit tepi rumah nih mempunyai pelbagai fungsi, sebagai longkang  aliran air hujan juga sebagai longkang hiasan membela ikan. Longkang sentiasa dipenuhi air mengalir menggunakan pam. Pokok kiambang memenuhi sebahagian ruangan longkang.

Apabila terdapat kebocoran, longkang konkrit dibiarkan kering sekadar berfungsi sebagai longkang biasa. Usaha itu terbengkalai...Kini setelah hampir 10 tahun, semangat itu menjelma kembali dan ingin mengembalikan dwifungsi  longkang. 


Pagar keliling reban anak ayam ..

 Reban ayam dewasa


Semangat terbit semula setelah dua reban ayam berfungsi sepenuhnya dan ingin mewujudkan suasana taman mini dengan pelbagai binatang peliharaan darat dan air selain burung-burung liar... 

Kawasan kebocoran longkang telah dikenal pasti. Keseluruhan longkang akan disembur dengan  cecair  kalis air yang dibeli atas talian. Melihat kepada paparan iklan, cairan itu In Sha Allah berkesan mengatasi kebocoran lagipun dulu kebocoran tak begitu teruk..air meresap dengan perlahan dan air longkang mengambil masa agak lama untuk kering.

Bila siap nanti boleh lah melayan perasan  diwakaf sambil memerhati flora dan fauna taman..

Wah. wah.. wah..