click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Wednesday, December 18, 2019

Ronda Pulau Bintan D2..


Selasa 17 Disember 2017

T.Pinang adalah ibukota Kepulauan Riau, bandarnya besar, sausana tak banyak beza dengan bandar bandar Malaysia, kecuali agak kurang tersusun, dan tiada bangunan bangunan tinggi.  Kenderaan popular sebagaimana tempat lain Indonesia adalah Toyota Inova dan Avanza.  Jenama Suzuki  banyak juga.

Selasa pagi sesudah sarapan terus memulakan misi meronda pulau.










Singgahan pertama adalah ke kuburan pembesar dahulu.



 Sambil sambil tu berhenti bergambar disepanjang laluan bila melihat pelancong pelancong   bergambar di lokasi yang dikatakan menarik. Pelancong China ramai melawat Bintan.



Semenjak kerajaan Indonesia mengecualikan visa terhadap pelancong China, banyak resort resort dibina untuk menampung permintaan yang semakin bertambah..Cuma agak mengecewakan pelabor pelabor China langsung tidak menghormati budaya setempat..Paling ketara mereka lebih mengutamakan  tulisan cina berbanding tulisan bahasa Indonesia. 



Puas juga meronda mengelilingi pulau...Rancangan untuk mengelilingi keseluruhan pulau tidak kesampaian. Besar rupanya Pulau Bentan ini, 2 kali saiz Singapura.

Sesudah Pantai Trikora di timur, beredar ke
bahagian barat melalui kaki gunung Gunung Bentan menuju ke Tasik Biru dan Gurun Telaga Bintan..






Melawat Bentan untuk tengok tengok tempat baru ok...Tapi kalau datang untuk  melihat tempat cantik, itu bergantung kepada penilaian masing masing.

Kekadang rating diinternet terlalu berlebih lebihan sehingga menjadi indah khabar dari rupa. Gurun Telaga Bintan umpamanya adalah lombong tinggalan yang operasinya dulu dihentikan oleh pemerintah. . Pasir pasir lombong terbiar dipromosi sebagai suasana  digurun. Berbas bas pelancong datang melewat disebabkan keterujaan ingin mengetahui gurun yang dimaksudkan.

Mengingatkan penulis dengan lawatan Lombok dimana Banglow terbengkalai dipromosikan sebagai Villa Hantu. Berduyun duyun pengunjung datang ingin melihat villa tersebut.



Mujur bukan keindahan semata, yang penulis cari.

Yang mengujakan penulis dengan lawatan ini apabila kita cuba  mengaitkan dengan sejarah hubungan antara Bentan dengan Johor.  Laksamana Bentan yang menikam  sultan  dalam kesah Sultan Mahmud mangkat dijulang, berasal dari sini.

Melopong mendengar bila dikhabarkan bahwa orang Bentan akan muntah berdarah jika melawat Kota Tinggi sehingga tujuh keturunan, akibat sumpahan sultan ketika dibunuh.

Hang Tuah juga didakwa berasal dari Bentan...Kuburnya di didakwa berada di Gunung Bentan. Cerita cerita hikayat sebegini menambahkan minat untuk mengetahui kesan-kesan peninggalan sejarah selanjutnya .

 Anak anak seronok berkubang, walaupun sedar tandas tidak  jauh dari tempat bermandi manda..Alah bisa tegal biasa.






 Keenakan masakan makanan laut dengan harga yang murah memang penulis akui. Rakan rakan seangkatan turut bersetuju.   Ikan, sotong ketam dll SEKALI MATI yang membawa maksud  makanan laut yang  disediakan segar dari sangkar.





Menamatkan lawatan ke pusat pentadbiran Bentan di Dompok.

Keesokan hari kami bertolak ke Batam...19hb Khamis bakal kembali ke tanahair.

Tuesday, December 17, 2019

Ronda Pulau Bentan D1...


16hb Disember 2019

Bertolak 5pagi, setelah mengambil rakan 3 orang, solat di Petronas Sg Besi dan berhenti sarapan di RnR Pagoh dalam jam 8pg..Tiba di Terminal Feri Stulang Laut dalam pukul 10pg .

Urusan tiket dan imegresen ditingkat 2 bangunan zon bebas cukai sangat mudah. 



Kenderaan letak di kawasan parkir bertingkat, di zon bebas cukai..sehari rm3. Jika letak diparkir terbuka dihadapan zon bebas cukai dikenakan caj 15 sehari.

Pukul 1ptg menaiki feri. Penumpang hampir memenuhi kapasiti 98 org. Keadaan feri bersih, Tak sebagaimana feri  yang penulis pernah naiki sebelum-sebelum ini, tandas feri juga sangat bersih.
 Tiket 98 sehala, tidak termasuk cukai pelepasan rm21


 Yang tak best kafe tiada. sepatutnya kafe disediakan untuk makan makan atau minum mengelakkan kebosanan meredah lautan  hampir 4 jam.


Tiba di jeti Tg Pinang terus berunding dengan pengusaha kereta sewa bebas yang  banyak terdapat di kawasan jeti...Harga  pengusaha bebas pastinya lebih murah berbanding pengusaha syarikat. Sewaan berserta pemandu 3H2M sekadar sejuta rupiah.


Sebelah malam berurut refleksologi  kaki setelah seharian bermusafir.  Bisnes yang  bagus, pengunjung tidak putus putus datang, samada persendirian maupun pasangan.


Meronda di pulau, tidak sah jika tidak menikmati makanan laut...

Esok akan memulakan ronda-ronda Pulau Bentan.

Friday, December 13, 2019

Ronda Pulau Bentan dan Pulau Batam...


Jumaat 13hb Disember 2019

Bermula dengan ronda ronda ketika cuti raya Aidil Adha ke Pulau Kukup bulan Ogos 2019, terpandang destinasi Pulau Karimun di Jeti Kukup,  tengok- tengok di Utube mendapati Pulau Karimun   merupakan sebahagian dari pulau pulau yang  terdapat di gugusan Kepulauan Riau. Bermula dari situ menerbitkan minat untuk meronda ke kepulauan Riau.

Isnin 16hb Disember 2019, penulis bersama 3  rakan akan meronda ke Pulau Bentan dan sesudah itu 20hb Disember menyinggah di Batam semasa dalam perjalanan balik ke semenanjung.

Terdapat banyak sangat pulau pulau di Kepulauan Riau ini, dapat meronda di pulau-pulau utama sudah memadai. Selain tiga pulau disebut di atas,  Pulau Natuna dan Pulau Lingga seolah sudah memangil-manggil untuk datang ke sana.


Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang juga.

Pantun di atas sangat popular, rupanya Gunung Daik dan Pulau Pandan sememangnya wujud. Gunung Daik berada di Pulau Lingga. Hasil bacaan mendapati Pulau Lingga pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor- Riau. Bahasa tuturan disana masih asli melayu.

Gugusan Kepulauan Riau dikurun ke 18 dibawah jajahan kerajaan Johor Riau..Akibat perebutan kuasa antara putera sulong dan putera bongsu, wilayah terbagi dua. Putera bongsu memilih bernaung dibawah kerajaan Belanda diselatan manakala dibahagian utara si putera sulong memilih bernaung dibawah kerajaan Inggeris.. Apabila Belanda mengembalikan tanah jajahan kepada Indonesia dan Inggeris melepaskan jajahan kepada Malaysia, disinilah bermulanya terpisah wilayah kepada dua negara.

Tinggalan sejarah dan keterujaan untuk mengetahui keadaan sosio budaya tempatan yang menjadi tarikan penulis untuk ke sana.


Thursday, December 12, 2019

Titik Tengah Semenanjung, Temerloh Pahang...

Isnin 9hb Disember 2019

Selalunya bila sebut Temerloh akan segera teringat ikan patin.  Daerah yang selalu dipromosi sedemikian., sedangkan Temerloh memiliki lebih dari itu. Kini Temerloh memiliki mercutanda baru iaitu Monumen  Titik Tengah Semenanjung.

Penulis pun tak perasan wujudnya monumen ini sehinggalah rakan berkongsi foto semasa bercuti di daerah Temerloh.



Mercutanda ini memang  penulis tunggu-tunggu. Dahulu,  semasa bermotoran jalan jalan cari   makan di Temerloh,secara tidak sengaja terpandang papantanda Titik Tengah Semenanjung,  segera terdetik  agar  monumen mercutanda dibina.

  Kalau Tg Piai boleh dipromosi sebagai titik paling selatan asia, Tanjung Simpang Mengayau, Kudat Sabah  sebagai titik paling utara  Borneo, Titik Tengah Semenanjung pun boleh dipromosi sebagai destinasi pilihan yang akan memberi nilai tambah kepada daerah tersebut.

Cuma penulis tak pasti bagaimana mercutanda titik tengah dibina di Lancang, sedangkan seingat penulis, batu tanda terdahulu  berada ditepi Sungai Pahang. Walaupun daerah yang sama.

Tak kesah lah, yang penting impian terbinanya monumen mercutanda tercapai.

Singgahan jalan jalan cari makan kami di Temerloh Isnin, mendapati kini banyak tempat makan baru viral...Jika dulu pengunjung lebih tertumpu dikawasan Dataran Termerloh, kini banyak tempat makan baru di sepanjang Sungai Pahang..Perkembangan yang bagus






Kunjungan kesana sini tak perlu risau dengan tempat makan menarik..Semua maklumat dihujung jari...



Seusai menghantar famili ke Kuala Trengganu, keesokan hari penulis
kembali ke KL menaiki bas. Mereka berada disana seminggu, Harap harap anak sempat kebah demam untuk memandu kembali ke KL nanti.  Jika berseorangan, menaiki bas awam lebih menjamin keselesaan dan dan penjimatan.


Singgahan di RN R Gambang Barat, pekena lagi patin. Tak puashati dengan masakan semalam.  .  Semalam kuah tersangat pekat, segera terbayang tempoyak yang penulis tidak gemari.. Di RNR Gambang ini kombinasi masam, pedas, manis dan kelikatan kuah  bertepatan dengan tekak penulis.. Muahh. 

Jom jom kunjungan akan datang ke Lancang Temerloh,kita  singgah di Monumen  Titik Tengah Semenanjung. Sambil tu jangan lupa JJCM tempoyak ikan patin.

Sunday, December 1, 2019

Mesin Jahit Klasik Singer...




Generasi awal biasa dengan mesin ini. Boleh dikatakan setiap rumah memilikinya. Berbanding sekarang, ibu-ibu dulu hampir semua boleh menjahit.  Setiap kali musim raya sibuk mesin ni dikerjakan untuk  menyiapkan pakaian ahli keluarga.

Dulu mak kita yang jahit baju sendiri... Berpakaian sedondon ni  penulis  dah rasai sejak kecik lagi, sebab tu sekarang, penulis  tak berapa berkenan mengenakan pakaian  sedondon sebab dah puas berpakaian begitu dulu-dulu..Pelbagai warna pernah merasa biru..hijau..merah,  pink semua pernah.

Adik beradik 8 orang.. Baik lelaki maupun perempuan akan berpakaian sedondon..Senang beli kain sepapan.

Ibu dah lama tiada, sejak itu mesin tersadai.  Memanfaatkan mesin pusaka, penulis nak terus MENGERJAKAN mesin ni... Harap ibu dapat juga pahala hasil tinggalannya. Mesin masih berkeadaan elok cuma perlu diservis untuk berfungsi dengan baik. Penulis nak buka kiosk mini khidmat ubah suai seluar jeans dan  berkaitan.

Penulis sedang mencari tukang jahit mahir untuk berkhidmat di kiosk mini.

Siapa berminat jom jom jom...!




Saturday, November 30, 2019

Pekan Warisan Batu Arang, Selangor..

Jumaat 29hb Nov 2019


Rutin berjoging harini mengulangi riadah di Taman Tasik Elmina lagi. Jika kunjungan pertama dulu lebih kepada mengenalpasti trek, kunjungan berikutnya ini kita akan lebih faham keadaan trek, dimana harus bermula, berapa jauh perlu memanaskan badan, bila masa sesuai untuk berlari dsb menurut keupayaan sendiri.

Riadah adalah aktiviti yang perlu diperuntukkan masa bukan menunggu ada masa, sebab tu riadah biarlah ringkas untuk menjamin kelangsongannya, jika dibuat berdasarkan semangat nescaya tak akan kekal lama.



Duduk di Rawang, berjogging di Shah Alam dan bersarapan di Batu Arang.

Kelebihan bermotor, kita boleh pilih tempat riadah jauh dari rumah tanpa perlu risau kesesakan jalanraya maupun tol yang tinggi.. Sambil tu boleh memanaskan enjin motor. Sebagaimana manusia, kenderaan yang jarang diguna akan lebih segera mengundang kerosakan. 

Batu Arang cuba dipromosi sebagai pekan warisan. Pekan lama yang dulunya  sibuk dengan kegiatan ekonomi sebab wujudnya aktiviti perlombongan arang batu.

Berdasarkan pengamatan penulis, tiada usaha bersungguh  untuk mejenamakan Batu Arang sebagai pekan warisan. . Sepatutnya keseluruhan pekan dinaiktaraf..atau sekurang kurangnya dibaikpulih bangunan bangunan bersejarah. Landasan landasan keretapi  arang  batu dan stesen  perlu dibangunkan semula. Tak perlu panjang, sekadar gimik, selebihnya cukup dengan foto foto lama.  Muzium lombong perlu diwujudkan. 



Pihak Pelancongan Selangor dan penguasa tempatan sebenarnya boleh saja meniru konsep Muzium lombong bijih timah Sg Lembing.

Apa yang dilihat sekarang sekadar meletakkan batu tanda dan papanntanda Pekan Warisan..Ermm . Pelawat  berkunjung ingin melihat sesuatu lah wei. 



Wednesday, November 20, 2019

Kelayakan Piala Dunia 2022- Mal vs Ina

19 Nov 2019 Selasa.

Berbekalkan semangat kemenangan ke atas Thailand minggu lepas, peminat bola mengharapkan momentum kemenangan diteruskan. Tidak hairanlah kesemua tiket ke stadium habis dijual.

Bagi yang terlepas peluang ke stadium, skrin besar di dataran- dataran menjadi pilihan . 

Penulis turut meraikan semangat menonton di Dataran Merdeka. Bermotor saja malam itu, mudah untuk menyelit dan mencari tempat parking




Laluan di hadapan bangunan Sultan Abd Samad ditutup untuk melancarkan pergerakan orang ramai. Ramai anggota pasukan beruniform dikerah bertugas untuk mengawal keadaan.



Skrin gergasi menjanjikan siaran boleh ditonton dari kejauhan. Penulis memilih duduk ditangga di pintu masuk basemen.

Ramai  yang bersantai bersama keluarga dengan membentang tikar dipadang. Cuma keadaan padang agak becak kerana hujan sebelumnya.

Separuh masa pertama 1-0, gol hasil rembatan cantik 30m sepakan percuma Shafawi Rashid.



Sementara menunggu saparuh masa kedua bermula, ramai bersiar-siar disekitar dataran merdeka, menikmati keindahan di waktu malam.




Sambil tu  penulis turut melihat pemandangan indah Masjid Jamek KL, dipertemuan Sg Gombak dan Sg Klang. Wahh memang begitu mempersona. Cuma sesekali diaromakan bauan air sungai yang kurang mengenakkan.




Dikala siang warna air sungai coklat, diwaktu malam apabila disolek dengan pancaran lampu berwarna warni menyajikan pemandangan sangat cantik sekali... Lokasi waktu malam yang penulis kira paling cantik di tengah Kuala Lumpur ini. 



Diharap pihak DBKL membaiki kecacatan ini. Sebelah malam, mana yang huduh tidak begitu menyakitkan mata. Ibarat pondan yang disolek...Bila mengetahui keadaan sebenar..Ermm.

Keputusan penuh perlawanan..Malaysia 2- Indonesia 0. Jaringan kedua melalui rembatan kaki kiri  Shafawi Rashid juga.

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK