click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text
Showing posts with label Servis Motorsikal.basikal. Show all posts
Showing posts with label Servis Motorsikal.basikal. Show all posts

Friday, May 15, 2026

Servis Cub-cross

 




Setelah sekian lama tertangguh harini teringat, tanpa berlengah terus hantar motor ke bengkel untuk tukar minyak hitam. Pilih minyak paling sederhana Rm25.

Dengan penampilan yang begitu menjolok mata, tanpa lampu depan belakang, motor  hanya digunakan ke masjid subuh, atau ngopi ngopi berhampiran.

Jika kebun luas syok guna motor ini dikebun, sangat lasak. Biar pun berbulan tidak diguna, dengan sekali start enjin terus hidup..sejak ada atv kebun, motor ni dibawa balik kerana sukar beroda dua.. Rupanya Atv beroda 4 lagi banyak kerenah, tak sesuai melayan kebun berbukit, sekejap saja ada masalah timbul..Kini Atv  masih tersadai di kebun..


Saturday, August 24, 2024

Genset Pasar Malam...

Kekadang kita tau iklan tak logik, tapi disebabkan perangai ingin tau tetap ingin mencuba..dah cuba baru puas hati.


Beginilah kelengkapan yang dibeli untuk mencairkan logam sebagai pelekat yang dicanangkan sebagai sangat kuat.. begitu yakin mereka mempromosi di fb, melihat kepada sambutan/komen-komen, rasanya ramai yang membeli. 

Kita memang tidak yakin, tapi berpegang kepada pepatah tiada rotan, akar pun berguna, maka membelilah juga, harga tak mahal dalam Rm20 tak termasuk gas untuk mencairkan gam logam. Sekiranya dapat lekat sekejap pun jadilah untuk membawa atv berhati-hati ke bawah, dibawah nanti boleh  meminta jiran kebun menggunakan letrik di rumahnya untuk mengimpal komponen yang patah.

Bila dicuba langsung tak lekat..ini yang dinamakan sembang kencang.



Pilihan ke 2 membawa masuk peralatan kimpalan dan genset.. Genset pasar malam beli baru RM410, welding set meminjam rakan..kedua alatan ini memang ada dalam senarai peralatan yang akan dibeli. 

Rupanya genset pasar malam 750watt.,tak cukup kekuatan untuk kerja- kerja mengimpal..sebelum beli dah tanya tukang kimpal dibengkel , selain itu penjual pun maklumkan alat pengimpal mini memadai kekuatan genset 300 watt minima..mungkin welding set rakan berkapasiti besar..tak mengapalah genset tetap boleh digunakan untuk peralatan lain nanti..



Alternatif selanjutnya bukak komponen yang patah dan bawa balik kimpal di rumah rakan...



Sekejap saja setel.. Ahad akan pasang komponen semula di kebun...
 

Monday, August 12, 2024

ATV Kebun...

Alarm dah set pukul 4.30pg.., bercadang bergerak ke kebun pukul 5 pagi Ahad untuk menghantar ATV, awal pagi tak banyak trafik, rupanya alarm tak berbunyi, terbangun  pukul 6 pagi..Ermm..

Sepanjang pagi Ahad langit gelap nak hujan, walaupun berbelah bagi, ambil keputusan ke kebun juga..waktu ini terbaik  untuk bergerak ke kebun.. Dah cari laluan terbaik, melalui jalan potong dan kawasan perumahan, kurang sikit menghalang trafik atau bertembung dengan Abang Polis berbanding melalui laluan utama.

Bertembong dengan orang lalu lalang ramai yang membuka cermin..

Mantap bang...!

Rupanya tak lama, tetiba enjin padam...Ada rahmat terbangun lambat..Kalau berlaku awal pagi kan naya..

Servis dah buat, spark plug dah tukar, pomen dah maklumkan motor berkeadaan mantap...Itu yang berani bergerak jauh.., sekejap hidup sekejap padam. Dah panggil lori towing datang..

Sambil menunggu lama, motor boleh hidup, berpatah balik dalam hujan lebat dengan perlahan, walaupun kadangkala termati sempat tiba ke bengkel. 




Tukar kaburator, plug cooling coil dan tali minyak..Spark plug pun tukar baru lagi. Kerugian RM280

Dah alang alang lencun, sesudah menukar pakaian dan solat terus ke kebun lagi...



Serius mantap..selamba mendaki kebun dalam laluan licin. Pergerakan segenap penjuru kebun bakal diharungi dengan mudah, hanya sedikit penyediaan teres-teres dilaluan sukar.



Keseronokan tak lama..arm pula patah..Mujur berlaku di kebun dah..Kalau semasa penghantaran tadi gerenti bermasalah. Kerosakan begini boleh dibetulkan di bahagian yang rosak..Kalau enjin terpaksa dibawa keluar satu motor..

Komponen yang patah akan ditukar dengan kepingan besi  lebih tebal..Kiri dan kanan 


 Tayar hadapan akan ditanggal untuk dibaiki.. sementara itu bungkus dulu di kebun..

Wednesday, July 31, 2024

Brek Tambahan ATV

Brek atv dah ditambah, dah boleh dihantar ke kebun setelah rumah atv disiapkan, tak perlu canggih, cukup  sekadar berbumbungkan canvas. Penghantaran nanti terus ditonggang dijalanraya, cuma perlu bergerak seawal jam 5 pagi supaya tidak mengganggu trafik.

Cargo belakang akan dihantar kemudian..saiz cukup untuk dimasukkan ke dalam kembara..cuma tayar saja yang perlu ditanggalkan terlebih dahulu..



Servis dah dibuat, sesudah ini servis ringan seperti penukaran minyak hitam, minyak brake, plug dll akan dibuat dikebun. Honda Ex5 insyaAllah tidak mempunyai kerenah, sebelum ini Modenas pun ok jer tinggal dikebun,  2 minggu ditinggal tetap boleh saja dihidupkan.

Bila dah ada ATV, akan makin rajinlah ke kebun..Vrom vrooom..


Monday, June 10, 2024

BMW GSA1200...


Bulan Ogos ni genap setahun motor berselimut, langsung tak dihidupkan enjin sehingga bateri pun  dah kong. Dah tak teruja membawa motor.., faktor usia barangkali, semangat masih berbaki tapi kudrat tak berapa mengizinkan. Sakit punggong bila terlalu lama duduk di atas motor, tambahan kena penyakit gout ermm terus semangat memudar.

Setelah lama diiklankan untuk dijual, ada pembeli menunjukkan minat., kita pun persiapkan dulu motor supaya bila datang  merisik nanti terus berkenan untuk membeli. Bateri ditukar baru, begitu juga minyak enjin dan filter..Mana-mana kerosakan dibaiki. Walaupun enjin lama tak dihidupkan, apabila ditukar bateri, pulas starter  terus enjin mengaum.
Motor ini sepanjang penggunaan tidak memberi sebarang masalah..


Ikutkan sayang memang sayang..motor ini lah cinta pandang pertama. Mula berjinak dengan motor sekitar 2009 sangat berkenan dengan model ini, tapi motor ini berat dan tinggi, tak sesuai untuk mereka yang baru berjinak jinak dengan motor besar, pendamkan hasrat, .Setelah berpengalaman hampir 5 tahun bermain motor kembali mendapatkan model yang didamkan.





 Walaupun model baru telah beberapakali diperkenalkan dipasaran..model tahun pembuatan 2011 ini juga tetap dihati..rekabentuk lebih seimbang dan garang serta mampu bertahan lama...

Berbanding model baru, penjagaan juga lebih murah kerana model ini sudah menerima pebagai penambahbaikan  dan terbukti lasak.

Tengoklah bagaimana respond bakal pembeli nanti, terjual ok..tak jadi pun tak mengapa..sekarang sedang membina semangat untuk memulakan bermotor lagi walaupun tak mungkin  seaktif dulu...Gout pun sudah semakin sembuh...yahoo.

Monday, August 30, 2021

Motokebun...


Motokebun dijangka boleh digunapakai pada pertengahan September, bergantung kepada ketibaan aksesori yang dipesan.

1.
2.
3.

4.
Jumlah 1-4, RM 688

5. Tayar offroad depan dan belakang saiz 17

6. Absorber belakang

7. Sprocket 45/14

8. Rantai FKR

9. Pemotong rantai

10. Pembalut throttle

Jumlah 5-10,
RM 355

Jumlah Keseluruhan RM1043

Dengan aksesori ini dijangka dapat menyiapkan sebuah motokebun asas. Untuk lebih menarik boleh dilakukan solekan kemudian.


Walaupun cubcross yang cuba dibuat mungkin tidak secantik ini, tapi jika dapat hampir cantik kepada yang ini sudah cukup puashati. Kudabesi akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menjinakkan lembah,jurang dan bukit kebun.

Kos keseluruhan termasuk barang -barang sampingan lain dijangka dapat dikawal dibawah Rm1500 termasuk upah. Kos yang dikira berbaloi sebab semuanya di buat dengan mengupah pomen persendirian.


Sementara menanti dos vaksin kedua, sebelum kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, budak gunting diupah mengubahsuai motokebun.

 Harapnya skill mekanik motor sebelum berubah kerjaya sebagai tukang gunting masih mantap.





Tuesday, January 26, 2021

Mesin Pencacah Ranting(Shredder)

Antara perkakas eletrik domestik mudah difahami berfungsi adalah mesin basuh. Sistem utama adalah motor dan papan komputer.

Papan komputer kita tolak tepi kerana memerlukan kepakaran khusus...jika rosak yang ini lebih berbaloi menukarnya, selain ini sistem lain boleh dipelajari dengan mudah..Sebarang kerosakan kecil boleh cuba perbaiki sendiri.



Semangat berjaya membaiki kipas, otak segera terarah ke mesin basuh yang dikatakan oleh technician dah tidak berbaloi dibaiki...Badan mesin basuh kini dijadikan tong menyimpan guni dedak ayam..hehe.

Motor utama mesin basuh yang bermasalah, motor spiner dibagitau masih elok..Dah ada multimeter ni mudah untuk mengujinya, sah motor masih elok..dah lama ditanggalkan sebab dulu berangan nak buat mesin pencacah ranting/daun pokok menggunakan motor ini.

Idea ada tapi ilmu tiada...Bila belajar dan memahami serba sedikit bagaimana motor berfungsi semangat membuat mesin pencacah  menjelma kembali.

Membeli mesin pencacah siap bukan murah, ribu riban juga...Pening memikirkan nak membuang sisa ranting dan daun setiap kali mencantas rimbunan pokok keliling rumah..Duduk di taman awam mana ada kawasan membuang sisa-sisa pokok sebegini.. Menunggu orang Majlis kutip lambat sangat...

Berjaya membuat mesin nanti, ranting dan daun pokok-pokok  boleh dihancurkan menggunakan mesin ini, konsepnya sama macam blender atau pengukor kelapa kat dapur tu...Cuma yang ini bersaiz  besar dilengkapi motor lebih bertenaga untuk menggerakkan  pisau pencacah yang besar.

Sesudah dikisar, keringkan dan campurkan dengan  tahi ayam untuk dijadikan baja kompos...

Wah canggih gituu...


Saturday, January 23, 2021

Memahami Konsep Aliran Letrik di Litar.

Penulis  berpengetahuan hampir sifar berkenaan letrik. Kesempatan musim PKP mempelajari ilmu tersebut dan alhamdulillah sekarang boleh memahami bagaimana arus elektrik mengalir di litar. 

Penulis ingin berkongsi ilmu dalam episode pembelajaran membaiki kipas. Walaupun nampak mudah tapi memahami konsep aliran arus letrik dilitar akan memudahkan kita mencari penyelesaian sebarang kerosakan pada peralatan lektrik.. 

Diharap dengan perkongsian ini, ilmu yang dipelajari kekal melekat dikepala.

1. Loop/litar elektrik sama saja konsep seperti loop paip air...Jika membuka pili tapi air tidak keluar ditempat dikhendaki bermakna ada kebocoran sepanjang jalur itu...loop letrik pun sama. Pengujian arus letrik adalah menggunakan multimeter atau test pen.

2. Suiz bertindak seperti pili air untuk kawal arus letrik keluar dan masuk..

3.. Kapasitor ibarat tangki air..untuk menyimpan air/ caj elektrik..apabila air/letrik sentiasa tersimpan di sini , air/letrik akan segera memenuhi litar walaupun punca utama  air/letrik baru saja buka.

4. Kelajuan putaran  motor bergantung kepada kekuatan tenaga dijana oleh dynamo...lagi tinggi tenaga dibekalkan ke dinamo lagi laju kelajuan motor...

Untuk peralatan dengan pelbagai kelajuan seperti kipas, untuk meninggi/rendahkan tenaga bagi mencapai kelajuan dikhendaki, kabel akan dihubungkan di loop dinamo yang berbeza...

Kalau faham konsep ini kita akan sangat mudah mengenal pasti masalah walaupun kabel berselirat...yang penting cari jalur betul..

Selepas dari ini ingin belajar membaiki perkakas yang lain pula pula...Semangat hehe

Friday, January 22, 2021

Mari Belajar Berkaitan Elektrik...


PKP 2 bakal disambung lagi sehingga 4hb Feb 2021. Aktiviti kita diluar terbatas. Kita kena manfaatkan waktu terluang dirumah.
PKP kaliini penulis ingin mempelajari perkara berkaitan dengan elektrik. 

Pengetahuan penulis mengenai elektrik adalah hampir sifar. Pembelajaran bermula dari dasar. Belajar melalui Utube...

Sesudah faham bagaimana sistem  elektrik berfungsi, penulis ingin membaiki sendiri peralatan-peralatan elektrik domestik.



Untuk tujuan ini selain test pen, peralatan multimeter wajib di beli...Banyak perkara berkaitan bacaan elektrik perlu dibaca dan diuji menggunakan peralatan ini. 

Alat ini dibeli dengan harga RM25..untuk yang mahal beratus pun ada tapi untuk kegunaan santai beli yang murah sudah memadai.

Jika selama ini banyak peralatan letrik yang gagal berfungsi dibuang atau dihantar ke kedai untuk dibaiki, kesempatan kalini penulis ingin mengubah senario itu.

Banyak peralatan elektrik mudah dirumah yang boleh diperbaiki sendiri. Permulaannya perbaiki peralatan mudah seperti 'Extension' . Jika jahil, kita tak teragak-agak membuang dan membeli baru ketika mendapati extension tidak berfungsi walhal kerosakan adalah sangat minimal. 

Ditambah dengan harganya yang agak murah, ringan saja tangan untuk membakul sampahkannya.




Setelah belajar, banyak juga extension yang penulis berjaya kembalikan fungsinya.

Sesudah ini penulis ingin belajar memperbaiki barangan yang lebih advance seperti kipas dan begitulah seterusnya  perkakasan lazim seperti blender, mesin basuh, penghawa dingin dll. 

Bukan mudah tapi tiada yang mustahil jika bersungguh mempelajarinya.




Coretan akan datang ikuti bagaimana penulis berjaya membaiki kipas dinding melalui pembelajaran Utube...Kerosakan advance yang hanya boleh dibaiki jika kita hanya benar- benar faham konsep keseluruhan  kipas berfungsi...


Monday, June 1, 2020

Charger Bateri Motorsikal...


Isnin 1hb Jun 2020


Musim pkp bukan saja manusia jem, kenderaan bermotor pun banyak yang jem. Begitulah yang terjadi dengan motorsikal penulis, dari hari ke sehari tidak memanaskan enjin, bateri motor terus jem. Hayat bateri ini tidak pun melebihi setahun setengah tapi disebabkan motor lebih banyak berselubung, enjin terus tak boleh dihidupkan tetakala cuba meraikan pkpb baru baru ini.



Mau tak mau kena juga membeli bateri baru. Gila tak gila bateri yang biasa diguna telah naik sekali ganda kini berharga Rm690..Ini sudah mengalahkan bateri lori...

Terpaksa mencari alternatif jenama lain berharga Rm350., disamping itu membeli charger bateri juga berharga Rm350...Hah mujur  tidak tergesa gesa terus membeli bateri berharga 690 itu...Kini dengan harga yang serupa penulis dapat membeli dua barang.


Dengan adanya charger yang terus disambungkan ke terminal bateri motor, bateri akan kekal bertenaga walaupun motor tidak dipakai untuk tempoh yang lama. Yang bagusnya dengan charger ini bekalan elektrik akan terpotong dengan sendiri setelah kuasa bateri penuh, jadi bateri berada dalam keadaan selamat untuk tidak terlebih caj.

Ermm  bertambah malaslah nak bermotor lepas ini..


Monday, January 30, 2017

Motor Tua Honda cb90 1965


Melebihi setengah abad usia motor ini...Ibarat orang tua begitulah dengan motor ini...Sangat cerewet menjaganya...Keluar masuk bengkel itu perkara biasa..Pernah seketika hampir 3 -4 tahun tersadai di sudut rumah. Puncanya enjin sukar dihidupkan sebab bateri cepat lemah kerana terdapat masalah sistem mengecaj semula bateri...Lemah semangat seketika...Dah banyak berhabis untuk menjadikan motor ini dalam keadaan sekarang  .

Bila semangat datang kembali motor dihantar semula ke bengkel. Kes terbaru 'kick starter' dan pendawaian bermasalah...Hantar bengkel 2016..Awal Jan 2017 motor siap.


Bila tengok rasa sayang ..Bila bermasalah rasa geram pun datang...Rasa macam nk jual...!


Baru sehari  keluar bengkel, tayar dah pancit...Lecehnya menyorong motor tua ni, banyak mata tertumpu ke arah kita...Yang tersenyum pun ramai...Tak pasti lah samada senyum simpati atau perli...



Nampaknya motor untuk main-main dalam taman sajalah...sambil membonceng cucu...hehe

Saturday, June 18, 2016

HONDA CB90 1964....

18 Jun 2016

Sewaktu mula memiliki keadaannya sangat dhaif..Dibeli dengan harga RM2500. Atas nasihat penjual, motor dihantar ke Kuala Trengganu untuk dibaikpulih..Pomen disitu memang terkenal dalam membaikpulih motor-motor klasik.. Kos baikpulih boleh tahan mahal mencecah RM6 ribu selain mengambil masa yang amat panjang hampir 2 tahun!...pomen membaikinya hanya  apabila  mempunyai masa lapang...Di sebabkan bengkel teramat  jauh dan jarang dijenguk.. maka pomen menganggap tiada ketergesaan untuk membaikinya..Itu yang mengambil masa bertahun untuk siap.

Sebagaiman orang lama..motor ini juga perlukan belaian.....Kebetulan waktu itu penggunaan harian motor lebih tertumpu kepada skuter.  Dek kerana jarang diguna mulalah dia meragam.  Enjin langsung tak mau hidup...Maka tersadailah di bawah ampaian berbumbung...Hampir 5 tahunlah juga tersadai...

Semangat menggunakan motor ini tetiba menjelma kembali..Skuter pun telah lama dijual..Setidaknya daripada mereput disitu walaupun mungkin lambat siap biarlah dia mereput dibengkel.. Taklah menyemakkan pemandangan di rumah...Betul...Motor tersadai hampir 3 bulan dibengkel ..Sebagaimana pomen di K.Trg..pomen di Bt 16 Rawang ini hanya membaikiya diwaktu kelapangan...Disebabkan dekat kita bolehlah sering menjenguk dan  menanya bila motor boleh disiapkan...Lagipun baikpulih kali ini tidaklah seteruk dulu..Akhirnya siap dibulan Ramadan...Kos pun tak mahal tak sampai pun RM500 ..





Amacam...Mana satu yang tuan tuan berkenan...




Jom Jom ke bazar ramadhan...

Tin..tin...Pergh ramai pulak yang membunyikan hon...Hehe walaupun buruk rupanya ramai yang berkenan...


Monday, September 7, 2015

Jom jom Berbasikal lagi...

6 September 2015

Semangat berbasikal ni pun sama seperti permainan yoyo. Ada ketika naik adakala turun...Banyak faktor yang mempengaruhi semangat..Diri sendiri, rakan, persekitaran dan lain lain, ..Dulu pantang hujung minggu semangat membuak- buak nak masuk off road...Kawan takda, seorang diri  pun jadi..Tapi sejak tersungkur., ermm, semangat terus menjunam .Masa semangat turun nasib baik basikal tak dijual.. Basikal dibiarkan tersadai  disudut rumah. Sampai lepek tayar takda angin..Rantai mula berkarat. Bila dijengok adooi..terasa sayang pulak.. Bukan murah membeli dulu.

Sekarang semangat dah datang balik...Cuma semangat nak offroad  belum pulih sepenuhnya. Main ringan ringan offroad sekitar taman je lah...




Tukar tiub dan tayar.. Sejak dibeli 3 tahun dulu ini pertama kali menukar tayar luar., Kira berbaloi lah..Tiub dalam selalulah...Peralatan lain nampaknya masih ok. Pomen basikal pun beritahu begitu..Tak rugi dulu membeli mendengar nasihat rakan yang kaki basikal. Pakej lengkap..Tidak terlalu high end, tidak terlalu low end.. Tengah-tengah...Kalau mengikut kepala sendiri dulu alamat asyik nak upgrade peralatan lah...Grup set tak sesuailah, rangka beratlah.. Fork keraslah..Pendek kata bila dah berkumpul dengan rakan-rakan  ada saja yang tak kena..



Brek pad pun dah tukar, minyak hidrolik brek pun dah tambah...Tarik sedikit brek dah rasa mencengkam..Hanya keseluruhan setting perlu diservis supaya keadaan tip top ...

Jomlah jom kita berbasikal lagi...Pulihkan semangatmu..

Monday, June 29, 2015

Jom Jom Durian...

Musim durian datang lagi.. Sempena hujung minggu bersemangatlah mencari durian. .   Walaupun masih hujan diawal subuh..setelah berhenti hujan segera hidupkan enjin motor berdezup ke Temerloh melalui Batang kali juga Genting Highland.. Kiri kanan jalan kini banyak gerai-gerai durian didirikan.  Hajat dihati ingin mencari durian kampong atau durian tempatan.. Tak mau membeli durian import Thai. Bukankah viral di media sosial durian seberang direndam dengan bahan pengawet untuk menampakkan warna kulit yang menarik..?


Tak sempat sampai Genting motor sudah bermasalah...Setiap kali menukar gear menaiki bukit, rantai seolah terlepas dari gigi sproket... grek ..! grekkk..! .alamakk...Merajuk apa pulak motor nih...Ingatkan sebelum motor bertukar milik inginlah meronda kali terakhir bersamanya tapi tak kesampaian..Motor ini sudah pun dijual hanya belum diserahkan...

Berhenti di gerai tepi jalan Batang Kali- Genting. .. Terpaksalah membatalkan niat mencari durian dan diganti dengan memakan pisang goreng tepi jalan saja.  Diagnosa awal merumuskan sproket dan rantai perlu ditukar...Memang tak pernah tukar rantai sejak memilikinya 2010 dulu..Dah sampai waktu menukarlah tu...


Tak sangka digerai ini terdapat hostel.. Hostel terbuka. Pengunjung disediakan kemudahan asas seperti tempat mandi dan katil berserta kelambu... Satu kepala dikenakan caj RM10...Sangat popular dikalangan Mat Saleh menurut pemilik gerai...


Nampaknya menyambar motor lainlah aku...Tapi bukan yang ini..Ermm  mahal yang amat..


Tapi yang ini pun kira oklah... Janji ada motorrr.. Jom Jom ride..!

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK