click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Sunday, January 16, 2022

Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur


Riadah hujung minggu telah menjadi rutin kami, sehingga pening kemana nak tuju sebab tak suka berkunjung ke destinasi sama, kalau boleh ingin ke destinasi berbeza saban minggu.  Jika taman rekreasi itu menarik barulah akan dikunjungi kerap kali.

Kekadang tu semasa berpergian, sambil memandu baru tercari-cari tempat yang ingin dituju. 

Apa yang tersenarai diinternet Lembah Klang kebanyakkannya telah kami kunjungi.  Berkesempatan, jika tempat itu tersenarai menarik dalam Malaysia akan kami kunjungi juga, tasik, pantai, hutan lipur dll.

Taman Tasik Titiwangsa memang selalu ke sini walaupun bukan sekadar riadah, tempat- tempat makan menarik  banyak di sini cuma setelah lama ditutup untuk dinaik taraf, kami beriadah di situ.



Kawasan riadah luas, tasik terbahagi  dua, tasik barat dan timur.












Trek berbasikal disediakan, trek berjogging pula panjang.


Walaupun tidaklah panjang,  canopy walkway dibina dikawasan tertinggi taman, untuk membangkitkan aura berjalan dalam suasana hutan.






Taman permainan kanak- kanak ada, jika ingin bersenam robik disediakan pentas dan dataran. Jika ingin bersantai bersama keluarga sambil menikmati juadah, kawasan redup berumput ataupun wakaf-wakaf pun banyak.




Kawasan mandi- manda kanak pastinya antara tarikan utama disini, cuma di musim covid19, seksyen ini ditutup.



Yang lemahnya aspek kebersihan dan mentenen di Taman Tasik Titiwangsa ini agak kurang, berbanding taman taman lain disekitar KL. Pokok hiasan taman tidak berjaga rapi dan kurang subur. Jauh berbeza dengan Taman Botani Kuala Lumpur.


Kelebihan Taman Tasik Titiwangsa terdapat spot terindah berlatarbelakangkan pencakar langit Kuala Lumpur.


Tapi sayangnya mentaliti pengunjung masih teruk...sekelumit tiada rasa bersalah melahap isi dan sisa ditinggalkan begitu saja.  
 



Penat rasanya membebel,  melihat keadaan ini masih jauh untuk kita berada  di landasan negara cantik dan bersih . Hilang mood beriadah harini.

Sunday, January 9, 2022

Jambul Ball...

Entah bila pokok jambu ni ditanam, tak ingat, yang pasti sudah lama, ditanam dari anak pokok. Dalam pada kita membersih daun- daun di laman rumah, tersapu buah jambu, terdapat kesan dimakan haiwan. Rasanya tupai atau pun tikus .

Puas juga mendongak dipokok  tapi tak kelihatan, mungkin sisa yang dijumpai, tupai yang bawak dari tempat lain. Di laman rumah memang selalu terdapat sisa-sisa buah mata kucing yang dibawa dari  tempat lain sebab kita tak ada pun menamam pokok mata kucing, pokok mata kucing liar ada tapi tidak pernah berbuah. 


Pandang punya pandang terpandang buah ini. Sahlah pokok jambu yang berada didalam pagar reban ayam ini telah mulai belajar mengeluarkan hasil... Alhamdulillah.

Puluhan tahun tidak merasa jambu ball ini. Dulu di kampung berjiran ada beberapa pokok, jika berbuah, ramai orang kampung membeli disitu. Masa tu murah, seguni 50 sen.

Semangat untuk mencambah lagi pokok ini...Cubaan terdahulu mencangkok pokok ini berjaya mengeluarkan akar, tapi bila dipindahkan ke dalam polibeg, pokok kering dan mati. Kalau berjaya boleh lah dipindahkan ke kebun bukit. Biarpun lama lagi berhasil tak kesahlah..rezeki orang terkemudian...

Pokok rambutan ini pun baru belajar berbuah lagi setelah sekian lama tak berbuah... Dulu berebut kawasan dengan pokok mangga, setelah dahan mangga dicantas barulah daun kelihatan rimbun. 

Macamnilah bila laman rumah sempit, bermacam pokok ingin ditanam,   tak semua mampu hidup dan berhasil. Berbuah  pun comel -comel. Dengan adanya kebun bukit harapnya pokok yang ditanam hidup subur dan mengeluarkan hasil lebat lagi besar


Hasil kelapa 3 pokok kelapa di laman rumah pun dah tak termakan, dah ada tanah sendiri ni bolehlah dipindahkan..begitu juga dengan pokok kantan. Tak payah beli benih luar, pokok yang dah ada boleh dicambahkan lagi...

Kebun bukit sudah jadi kebun rojak, semua pokok ada hehe .

Thursday, December 23, 2021

Tragedi Janda Baik...

Sabtu 18 Disember 2021 akan menjadi ingatan dalam lipatan sejarah.

Berkumpul bersama ahli keluarga seramai 40 orang di Janda Baik Pahang. 



Cuma teralpa bulan Disember adalah musim hujan terutamanya di negeri pantai timur. Tapi hujan harini sungguh luar biasa. Bermula dari pagi hujan tidak berhenti.

Adat berkumpul beramai-ramai acara bbq dah tentu tak tinggal.

Chalet yang di jadikan venue betul -betul berada di tebing sungai. Jika hari biasa tempat sebegini menjadi lokasi pilihan kerana air sungai jernih mengalir tenang, boleh mandi sungai, air hanya separas betis. Namun hari  itu air keruh, hujan di hulu membawa lumpur bersama.

Semakin lama air semakin naik, sehingga memenuhi laman bbq sedangkan kawasan perkelahan kami berada di tanah tinggi. Menurut pengusaha chalet tak pernah berlaku kejadian sebegini.

Melihat terjahan air, sungguh menggerunkan.


Keputusan diambil berpindah ke bangunan lain di tempat lebih tinggi dan jauh dari tebing sungai.

Hujan sesekali berhenti diikuti dengan hujan  lebat. Begitulah kitaran sepanjang malam.

Awal pagi meninjau persekitaran. Air di sungai sudah surut. Mendapat perkhabaran chalet-chalet ditanah lebih rendah banyak yang teruk dibadai air  sehingga paras bumbung. Yang tak mampu bertahan terus rebah bersama arus deras. Kenderaan ditenggelami dan ada yang dihanyutkan air. Giler penangan air. Bagaikan tsunami

Setelah keadaan tenang, meninjau keadaan sepanjang laluan Janda Baik. 

Banyak tempat pokok tumbang dan cerun runtuh



Akses Janda Baik Genting Sempah terputus sepenuhnya kerana tanah runtuh. Trafik terpaksa dihalakan ke Kg Baru Bukit Tinggi Bentong.




Antara sisa kenderaan yang ditemui.


Baru faham kenapa batu sungai berbentuk bulat, bukan saja hakisan air tetapi hakisan sesama sendiri. Ngeri mendengar batu berlaga sesama sendiri semasa dihanyutkan air deras. Apabila air mulai tenang maka berkumpullah batu- batu di satu kawasan sehingga mewujudkan jeram yang indah..begitulah proses alam membentuk diri. 

Tragedi 18 Disember ini rupanya bukan saja terjadi di Janda Baik bahkan di banyak tempat lain juga.. di Lembah Klang, hujan kawasan bukit di hulu membawa air deras ke lembah, bertebung pula dengan fenomena laut pasang besar sehingga menenggelami banyak kawasan penempatan. Pastinya banyak kemusnahan hartabenda dan jiwa. 

Sehingga post ini ditulis seramai 41 orang telah menjadi korban bencana banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang , ramai lagi yang masih belum ditemui.


CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK