click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Sunday, April 24, 2022

ATV Kebun...



Masa berangan untuk membeli kenderaan kebun, hampir saban hari melihat perkongsian Utube dan grup ATV FB. Setelah hampir 6 bulan memendam keinginan, atv kebun itu hampir pasti dimiliki. Deposit 40 peratus telah dibayar.

 Berbanding atv siap dipasaran, atv ini tidaklah seindah atv siap, tapi praktikal setelah mengambil kira pengalaman mengendalikan kebun sawit dan sawah. Atv dilengkapi dengan gear reverse dan gerabak boleh jongkit, sistem jongkit menggunakan kabel bukannya sistem hidrolik untuk mudah penyelenggaran. Selain tugasan menjongkit, kabel boleh digunakan untuk menarik atv ketika sangkut.

Walaupun menggunakan enjin motor bersesaran kecil, melalui pengubahsuaian sistem gear, atv mampu menarik beban sawit sehingga 800 kilo. Kekuatan ini diharap mampu menjinakkan laluan berbukit kebun.

Bila akan siap itu tak pasti, bersembang dengan ampunya bengkel, beliau tidak menjanjikan yang manis-manis. Pengubahsuaian lebih kepada hobi, hobi berbayar. Ini bukan tugas hakiki beliau, beliau mengusahakan kebun sawit dan sawah, menyiapkan tempahan hanya diwaktu lapang. Tambahan lagi terpaksa menunggu giliran, ada 3 lagi atv dalam pembikinan.

Penulis pun bukan terdesak sangat menggunakan atv kebun, masih banyak yang boleh dibuat sementara atv kebun siap. Sebenarnya tanpa atv pun tiada masalah, kebun pun bukan luas, tapi bila dah ada senanglah nak angkut macam-macam.

Thursday, April 21, 2022

Rumah Pokok...

Misi membuat rumah kebun perlu disegerakan tanpa perlu menunggu akses ke kebun siap, akan memanfaatkan saja pokok-pokok hutan dan buluh yang banyak terdapat di persekitaran kebun. Hanya sebahagian perlu dibeli dan diangkut sikit-sikit ke kebun.

Tanpa pondok rehat masa tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya kerana tergesa-gesa ingin balik, banyak masa terbuang di perjalanan sejam setiap kali pergi dan balik. Jika ada rumah kebun tengahari boleh tidur dulu, main masak-masak, membancuh kopi, solat dll atau boleh sambung lagi bermalam dikebun jika perlu.

Jika membakar sampah, tidak tergesa-gesa memadamkannya dan boleh dibiarkan sehingga petang. Petang mengumpul dan membakar lagi sampah atau membuat pemantauan pokok- pokok sebelum balik. Bila penjagaan dibuat kerap kebun akan lebih terurus. Rumah kebun sempurna boleh dibuat lagi nanti jika prasarana ke kebun telah ada.


Tanpa rumah rehat, melepak saja ditempat teduh.


Lokasi rumah kebun telah dikenal pasti. Di pokok ini akan dibina pondok di atas pokok, pemandangan cantik. Signal phone pun kuat


Kapak mini pun dah beli, untuk memotong pokok sebesar 4-6 inchi kapak besar akan dibeli juga. Chainsaw ada tetapi kekadang geram susah nak start. Bila susah nak start, guna saja kapak. Jangka masa panjang sedang berkira-kira untuk menjual chainsaw petrol dan diganti dengan yang cordless. Bila chainsaw hanya sesekali dipakai, berpeluh dan kekadang gagal untuk dihidupkan. Chainsaw cordless sentiasa bersedia jika ingin diguna, yang penting bateri telah dicaj.


Dah berangan nak tiru rumah pokok macam ini menggunakan bahan yang ada di persekitaran kebun. Walaupun hasil tak sesempurna ini tapi rasanya boleh buat sendiri bersama pembantu. Saban hari melihat perkongsian di uTube orang membina rumah kebun menggunakan pokok batang kayu dan buluh. Kita tak ada tempoh masa, berhenti bila penat sambung ketika rajin.

Monday, April 18, 2022

Tragedi Isnin...

Seperti biasa atas urusan kerja Isnin sesudah subuh bergerak ke Jengka, Pahang. Jika kebiasaan Isnin menonggang motor, harini menaiki pikap. Tidak banyak kenderaan di LPT , kita pun tiada urusan mendesak jadi memandu secara santai. Berbanding menonggang motor yang perlu lebih fokus, berkenderaan 4 ronda pemanduan lebih rileks, sambil mendengar radio mulalah kepala menerawang ..

Dari sebelum  keluar tol plaza Chenor lagi dalam kepala memikirkan dimana boleh mendapatkan tiang-tiang pagar konkrit di Jengka untuk dipasang dikebun bukit, perlu dalam 100 batang...Dah cari diatas talian, kos penghantaran, cukup mahal. Jadi tercari-cari dalam perjalanan ke tempat kerja. Lebih jimat masa dan wang..

Pagar konkrit atau besi angle, barbed wire atau chainlink bermain main dibenak pemikiran. Timbang- timbang mana lebih berbaloi untuk dimanfaatkan di kebun.
Yang lebih murah tak semestinya lebih bermanfaat.

Sepanjang perjalanan ke Bandar Pusat Jengka jalan agak lengang. Sambil otak menerawang, mata terpandang ke arah hardware tepi jalan  Jengka 17, dari kejauhan kelihatan seperti longgokan tiang konkrit pagar...

Tetiba bedebum...Argh ada kenderaan berhenti ditengah jalan, sempat mengelak sedikit, terlanggar bucu kereta yang berhenti untuk menyeberang jalan. 

Ermm tak boleh buat apa dah, pikap hilang kawalan,terus meluncur ke kaki tebing. Mujur dapat berhenti sebelum terperesuk kedalam longkang konkrit...

 
Semasa pikap ditarik keluar baru diketahui lower arm  tayar patah..patutpun langsung hilang kawalan sehingga meluncur ke tebing. Kereta wira dijangka mengalami kerosakan pada axle belakang kiri kerana kereta tidak boleh bergerak.

Alhamdulillah tiada kecederaan kepada yang terlibat.

Tiang- tiang inilah yang mencuri tumpuan semasa pemanduan. 

Urusan laporan kemalangan di balai polis Jengka selesai dan kenderaan berjaya ditarik dalam tengahari seterusnya dihantar ke bengkel panel insuran di Mentakab Pahang..Berdasarkan taksiran zahir,  pembaikan dijangka mengambil masa dalam 2-3 minggu..Ermm lepas raya juga nampaknya siap.

Balik ke KL menumpang rakan sekerja sebelum menyambung menaiki LRT/MRT/Grab.

Sementara kenderaan dibengkel siap, lebih kerap bermotor lah nampaknya Rwg-Jengka...

Friday, April 15, 2022

Hujan dan Jambatan...

Hujan dan jambatan memang tak dapat dipisahkan dengan mat motor. Bila hujan, tak ramai mat motor yang meneruskan perjalanan, bawah jambatan akan sendat dengan mat motor berteduh, ada ketika menutupi sebahagian lorong dan sangat berbahaya kepada mereka dan pengguna jalanraya yang lain. Banyak kes kenderaan merempuh mat motor yang berteduh.

Bila hujan tersangat lebat, memakai baju hujan pun tidak membantu, pakaian tetap akan basah selain merbahaya menonggang dalam keadaan jalan sangat licin dan jarak pengelihatan terhad.

Sepatutnya tempat berteduh khas disediakan disemua jambatan. Kita negara tropika mendapat purata hujan tahunan yang tinggi.

Ini salah satu tempat berteduh khas bawah jambatan di Lebuhraya Karak- KL. Beberapa jambatan sebelumnya tidak terdapat tempat berteduh khas.


Tempat berteduh disediakan namun sangat kesal dengan perangai pengotor mat motor. Penyediaan tong sampah bukan penyelesaian, sebaliknya perlu mengubah sikap dengan membawa balik sampah. Lupuskan ditempat sepatutnya.

Jom- jom kita berubah...

Thursday, April 14, 2022

Nikmat Membela Ayam



Nikmat yang sukar digambarkan apabila balik dari luar daerah dan menjengok reban terdapat banyak telur yang boleh dikutip.

Hilang penat membersih reban, mengolah makanan dan memberi ayam makan.

Tiap-tiap hari selalunya ada dalam 6-7 biji dari 12 induk ayam, kekadang mengutip telur dilantai tanah reban, tak menyempat ayam bertelur walaupun banyak sangkar disediakan, yang satu juga jadi rebutan.

Sesiapa ada tanah atau ruang, cubalah bela suka-suka...bela suka- suka supaya kita tidak stres bila projek gagal.
Banyak manfaatnya.

Telur memang dah tak payah beli..Kalau ayam dah banyak, ayam pun begitu.

Kalau dulu lebihan makanan keluarga memang berakhir ditong sampah, sekarang senang..campur saja dengan makanan ayam. Sedikit dedak dan jagung komersil diolah dengan segala macam daun/sayuran dari kebun. Manfaatkan juga empulur pokok pisang atau pisang hutan yang diracik halus.

Formula organik yang dibuat dari kulat nasi basi yang ditiru dari perkongsian utuber ternyata berkesan...

Campur cairan ini dalam makanan ayam...lalat dan bau reban hampir tiada sebab najis ayam mudah terurai.

Pembersihan laman rumah juga semakin mudah, segala macam daun, rumput, cantasan pokok semua di humban didalam pagar reban ..setelah hancur menjadi kompos boleh kutip dan tabur di bawah pokok yang ditanam.

Projek berikutnya nak cuba bela ayam beratus ekor secara suka-suka dikebun bukit. Mahu biarkan ayam berdikari memakan sumber makanan yang ada dikebun, jadi tak terikat dengan komitmen memberi makanan sangat...boleh tanam banyak pokok ubi dan ketum ayam sebagai makanan harian, cuma kena fikirkan bagaimana nak selamat dari pemangsa.

Pagar keliling kebun perlu dipasang, bukan saja untuk ayam tapi untuk tanaman juga., tak mengapalah kalau sebahagian kecil mati atau hilang.

Yang penting ayam dapat baja pun dapat...

Saturday, April 9, 2022

Nenas Yankee




Sikit-sikit lama kelamaan makin lapang lot kosong depan rumah. Daripada dibiarkan semak dan kena saman penguasa tempatan, mohon maaflah kepada pemilik kami usahakan.

Tanpa sedar hampir suku ekar juga yang dah lapang...Nak kata rajin sangat tak juga. Yang penting rajin jenguk tanaman  dan  jangan pasang angan-angan tinggi, nak buat itu ini, cukup sekadar bawak parang...nanti tanpa sedar banyak kawasan semak yang ditebas.

Bila dah lapang mula lah nanti situ batas sini batas sebab kalau yang dah lapang tak diganti dengan tanaman lain semak akan tumbuh semula dan banyak kerja untuk membersih semak lagi...



Bila tanam pokok pisang , anak pokok cepat membiak keliling induk, nak buang sayang, jadi kena pindahkan.  Bermula dari 5 rumpun sekarang sudah ada lebih 20 rumpun. Lapangkan lagi kawasan baru. 



Pisang lemak manis..Kegunaan sendiri bukan untuk komersil tak kesah, terima saja seadanya . 

Untuk mendapat buah pisang cantik serumpun boleh maksima 3 pokok saja.

Sekarang ini bila tengok celah-celah antara baris pokok pisang  ada ruang kosong dan taknak  semak naik..mulalah berkira-kira menanam pokok nenas pula..Kini sudah terdapat berbelas pokok nenas pelbagai spesis yang ditanam dari jambul. Orang cakap  bila tanam guna benih jambul, ianya lambat berbuah.

Dah teruja mendapatkan benih nenas yankee dari sulur pula untuk ditanam di ruangan kosong lain. Dah pernah merasa nenas spesis yankee, buahnya lembut, manis dan airnya sangat banyak, meleleh hingga ke lengan. Harini berkesempatan berkunjung ke kebun nenas yankee di Kapar Klang.

Melihat keperluan ruang pokok nenas yang tidak begitu besar, rasanya banyak pokok nenas yang boleh ditanam. Penjagaan pun mudah.

Harap tuan tanah tak marah...

Thursday, April 7, 2022

Ole-Ole Kebun

Setiap kali balik dari kebun paling tidak dapat membawa ole ole kebun itu sudah cukup memberi kepuasan. Sambil beriadah, kita bawa hasil sampingan.


Pucuk manis untuk kegunaan sendiri sudah berlebihan. Pucuk muda dimakan, yang daun tua dicampur dalam makanan ayam.

Ubi-Fasa penanaman pertama telah mulai menuai hasil. Bila puasa ni teringin pulak makan lepat ubi...Di kebun tumpang terdapat pula dua pokok ubi yang telah rebah. Cukuplah untuk kegunaan sendiri.


Memanfaatkan batang ubi yang dituai  sebahagiannya ditanam semula di batas baru. Bila fasa pertama habis nanti, fasa kedua dah tak lama mengeluarkan hasil.




Pokok pisang tidak menghampakan. Bermula dengan 5 pokok, kini lebih 20 pokok ditanam. Satu dua ditebang, ada lagi yang mulai berbuah. Kan seronok tu...


Ketum ayam pun dah membiak., setelah dicantas sebagai makanan tambahan ayam, batangnya sedikit demi sedikit disemai lagi dalam polibeg. Nak buang begitu saja terasa rugi..Kotlah nanti ada yang berminat, boleh diberi atau dijual.



Anak-anak pokok kelapa ditanam didalam guni dulu sebelum dipindahkan ke kebun bukit. Percubaan memindahkan terus ke kebun bukit tanpa media tanah, telah menemui kegagalan.

Banyak kelapa tua yang telah tumbuh. Sayang jika anak pokok kelapa yang tumbuh tidak dimanfaatkan sebaiknya.


Fasa menanam sudah, fasa berikutnya merawat pokok yang tidak subur dan tidak berbuah. Ingin belajar perihal penjagaan dan pembajaan. Cemburu melihat kebun betik orang buah lebat menutupi batang pokok. Jika 9 pokok betik yang ada mengeluarkan hasil, rasanya setiap kali balik akan ada saja buah yang boleh dipetik. Di RnR sepotong betik RM 2.

Jom jom kita manfaatkan tanah lapang...

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK