click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Sunday, October 29, 2023

Khemah Jepun...

Siapp... Tak jadi nak beli khemah, yang lama elok tersimpan didalam stor.



Kalau cuaca elok, malam boleh tidur di dalam khemah. Jika suhu berbelas belas rasanya nyaman lagi tidur diluar berbanding di campervan. Malam boleh ngopi-ngopi berbumbungkan langit. 

Pergi ber 6, macam kurang selesa jika semuanya tidur di dalam campervan. Didalam biarkan ibu- ibu tidur disitu



 Baju thermal ngam-ngam tiba sebelum berangkat Selasa 31hb Okt. Malam berjaket tebal, berselubung lagi dengan beg tidur, kalau terasa tidak selesa juga akan cuba bayangkan penduduk Gaza, mereka tidur beralaskan runtuhan bangunan...!

Sunday, October 22, 2023

Ciku Mega...

Pokok ciku mega PKP mula mengeluarkan buah sulung, sebelum ini berbunga tapi tidak menjadi. Pokok seangkatan dengannya durian belanda juga telah berbunga banyak kali tapi belum mau lekat. Pokok lemon sebagaimana post terdahulu nampaknya sukar diselamatkan dari mati..



 Jiran sebelah cikgu cina menyarankan petua, mengikat pangkal pokok dengan kain/reben merah supaya buah lekat dan lebat. Tak pasti apa hubungkaitnya tapi boleh dicuba, kotlah menjadi...

Saturday, October 21, 2023

Lesen Memandu Antarabangsa...




Alhamdulillah jumpa...Selamat RM150. Dah selongkar sana sini, rupanya ada dipoket beg sandang. Lesen memandu antarabangsa untuk tempoh setahun masih sah sehingga bulan 2 tahun 2024. Dulu buat lesen untuk memandu di eropah, tapi di sana mereka tak tengok, cukup sekadar tunjukan lesen memandu Malaysia. Di Jepun tak pasti. Kita hanya bersedia.



Keluarkan semula jaket winter, sebelum ini ingatkan taknak bawa sebab bulan Nov baru awal winter, tapi laporan terkini cuaca Jepun, sesetengah kawasan Tokyo  telah pun turun salji..sarong tangan kena cari semula, begitu juga sarong kepala. Bila suhu sangat dingin rasa mencucuk bahagian kuping telinga, hidung dan hujung-hujung jari.. sakit seperti tertusuk jarum peniti..

Salah satu destinasi lain suhu mencecah bawah 0 darjah...yang menjadikan lebih sejuk bila berangin...Di Iceland dulu ada ketika suhu sehingga  -26 deg. Fuh sejuk giler..

Kita negara Khatulistiwa sangat bersyukur sebab cuaca kita seimbang sepanjang tahun...bila teringin merasai musim sejuk boleh pergi ke negara 4 musim..sesekali pergi oklah teruja..jika sepanjang tahun mengadapi perkara yang sama, penduduk tempatan sendiri ramai yang tak selesa menghadapi cuaca ekstrim begini.

Taktaulah bagaimana tidur di campervan nanti, ini pengalaman pertama. Tak tahan juga kena cari bilik hotel nampaknya...huhu

Friday, October 20, 2023

Tamu Hotel Kg Bharu, Kuala Lumpur

Hotel milik muslim di  Segitiga Emas Kuala Lumpur, penginapan yang sangat berbaloi, hotel 4 bintang, baru saja dinaik taraf... cantik. bersih  lagi selesa. 



Ini penginapan kali ke 2, pertama dulu ketika dapat harga promosi, kaliini percuma, menebus vaucar penginapan yang diberi ketika mendapat jemputan menyertai pakej penginapan Tamu Hotel.



Tidak terhad  Tamu Hotel, Kuala Lumpur, penginapan turut ditawarkan melalui kerjasama dengan banyak hotel-hotel di dalam dan luarnegara dengan harga istimewa. Di sini  bilik yang ditawarkan mempunyai panorama indah  KLCC, Menara KL dll. Terdapat pilihan bilik-bilik dengan pakej harga
6ribu+, 15ribu+, 30ribu+  samada tunai atau melalui ansuran flexi.

Tak mau berkomitmen diusia begini, kami tidak membeli mana-mana pakej. Tanpa apa-apa komitmen kita boleh memilih untuk menginap dimana-mana hotel. 

Walaupun tidak mengambil pakej, vaucar penginapan tetap boleh ditebus.



 Dari bilik hotel jelas kedengaran azan dari Masjid Kampong Bharu. 

Subuh terasa seperti di Mekah apabila melihat ramai jemaah berlegar diruang lift dan lobi hotel,  berjubah, berkopiah..Dering lift 'ting..! tong! ' mengembalikan nostalgia  Mekah/Medinah





Lepas bersolat kami bersarapan...Kampong Baru banyak pilihan tempat makan. Ini kelebihan Tamu Hotel.

Ketika wargakota kota mula berpusu pusu berpakaian ofis,  penulis masih berlegar-legar berkain pelikat...

Wednesday, October 18, 2023

Tenggek Burung & Bayam Brazil...


Orang suka ulam- ulaman mesti tau bayam Brazil dan tenggek burung. Bayam Brazil ni dulu ditanam sebelum pkp lagi,  benih  dibeli online RM5. Tanam  di bawah rimbunan pokok ubi pulut, sehingga kini membiak seperti rumput. Tiada penjagaan  rumit cuma sesekali rumput liar perlu dicabut dan   kena tebas  secara berkala dibuat  sesekali semasa menebas rumput. Pokok menjalar kangkung dan kaduk pun begitu, rasa macam sayang tapi setelah ditebas akan keluar pucuk-pucuk sihat baru. Untuk daun lebih segar taburlah baja lebihkurang...

Pokok tenggek burung tumbuh meliar, pokok kena rajin dicantas, sebagaimana pokok ubi pulut...lagi dicantas semakin galak keluar pucuk muda. Cantasan batang ubi yang dicampak ditanah turut tumbuh dan memberikan hasil..betapa suburnya bumi kita. Fuh dah tak terhabis makan..

Tak lama lagi pucuk kari dan pucuk jambu gajus pun sudah boleh dipetik dijadikan ulam.  Sejujurnya penulis taklah gemar sangat ulaman ataupun sesetengah  sayur  sebagaimana ubatan juga, tenggek burung tu rasanya kelat dan pahit. Kaduk, petai ermm..Pucuk kari rasanya sedikit unik.


Mengenangkan khasiat dan manfaat kesihatan yang banyak, kita pun telan sajalah.....


Tuesday, October 17, 2023

Pokok Pisang Rebah...

Ini rumpun ke 2, pokok pisang tanduk rebah ke bumi, dulu sepokok pun tumbang ketika usia sebegini, buah masih lagi muda. 


Dah periksa akar pokok sebahagiannya masih lagi utuh. Tak pasti mengapa hanya pokok pisang tanduk yang suka patah dipangkal, nak kata ada ambil benih di pangkal tidak juga, pokok yang tumbang ini tumbuh sendirian, mungkin dulu ketika ditanam tidak cukup kedalaman.


Pisang Serendah sempat ditongkat sebab sudah kelihatan condong.





Hah tak pastilah masih mampu hidup atau tidak... bertongkat ditiga penjuru



Satu pisang telah patah akibat terhempas ke bumi..

Kalau pisang serendah, buah muda boleh juga dibuat gulai, pisang tanduk muda  mungkin boleh direbus begitu saja atau cuba dibuat kerepek, jika cubaan mendirikan semula gagal menghidupkan kembali pokok.



Monday, October 16, 2023

Pokok Lemon Mati...


Inilah dilema membaja, harapan tak sama dengan hasil. Ada yang cakap baja organik lebih mesra pokok, kuantiti berlebihan tidak menyebabkan pokok panas. 

Lemon berusia lebih 3 tahun yang ditanam semasa PKP masih belum berbuah, teruja menabur baja  supaya bertambah subur, rupanya setelah ditabur baja kopi, daun pokok lemon mengering dan keguguran, sekarang dah botak,  potensi untuk mati sangat cerah. 

Nak kata tabur baja banyak, rasanya cuma 3 jemput hujung jari. Dah cuak dengan nasib pokok-pokok yang  ditabur baja sama di kebun bukit. Harapnya kematian ini disebabkan kesilapan  menabur baja dipangkal pokok sebab pokok lemon dikelilingi lantai batu bata, tapi pokok dikebun ditabur di luar kanopi daun. 


Atau mungkinkah pokok spesis limau lebih sensitif dengan baja..Dua lagi pokok ciku dan durian belanda nampaknya ok walaupun ditanam dengan kondisi sama.

Dulu pokok limau kasturi pun menerima nasib sama ditabur dengan baja organik taik ayam proses, pokok yang sedang berbuah terus menguning dan matii...


Dibaja salah, tak dibaja pun salah..huhu



Sunday, October 15, 2023

Keladi & Pucuk Manis


Bila gerimis pagi aktiviti paling seronok adalah berkebun. Kebun tumpang  hampir 3 minggu tidak dijenguk. Bila redup dan sejuk kerja membersih  tidak begitu memenatkan, kemudian menyulam pokok ubi  4 pokok dan memindahkan anak pisang tanduk 2 pokok. Tanah pun lembut dan mudah membuat batas baru. Tup tap tup tap sampai masa  berhasil. Kan best tu..

Semalam menuai ubi kayu 2 pokok yang telah tumbang,  hasil boleh tahan banyak dan besar, makan sendiri tak habis, bolehlah dikongsi bersama jiran,  minggu lepas jiran berkongsi nangka yang ditanam di bahu jalan depan rumah. 



Semangat berkebun seperti pasang surut air laut..adakala malas ada ketika rajin. Bertanam  pokok  yang  mudah dijaga yang penulis suka. Biarpun keliling pokok dipenuhi rumput, sampai masa boleh dituai.

Bila balik kebun biarpun tak banyak ada saja ole ole yang dibawa. Berjuadah batang keladi dan pucuk manis kita harini.

Jomlah berkebun...


Thursday, October 12, 2023

Setokin Jepun...


Kita bukan kerja ofis, setokin ni hanya perlu ketika pergi ke kebun atau berjogging.. bukannya tiada, ada berbakul, cuma semua tiada pasangan lengkap, kebanyakan sebelah lain. 

Isunya bila beli baru, yang lama tetap tersimpan, dan yang lama itulah paling selesa dipakai. Bukan setokin saja, pakaian lain pun begitu. Makin laa bertambah pakaian buruk dan lebih hairan pakaian-pakaian lama ni yang lebih mudah dijumpai di tempat simpanan pakaian berbanding pakaian baru..Yang baru ni kekadang setelah sekian lama baru terjumpa, itupun secara tak sengaja. Sudahnya pakaian lama juga yang diulang pakai..


Bila meronda jauh, waktu sesuai membeli kelengkapan baru seperti setokin atau tshirt. Sekarang setokin pun dah macam pakai buang, harga sepasang Rm2.40. 


Sesudah balik meronda nanti  kitaran sama berulang, tetap tak boleh dapat pasangan seragam... Biarpun berlainan pasangan bila dipakai tetap selesa, walaupun kekadang warna berbeza. Arghh janji pakai...

Wednesday, October 11, 2023

Parit Simin Semerah Batu Pahat Johor

Serius tak tahu walaupun bertahun  melalui laluan sama Batu Pahat -Muar, laut sangat hampir tak sampai 800m  dari jalan utama Semerah. Hari ini kebetulan terpandang papantanda pasar ikan segar Parit Simen, apabila menyinggah rupanya terdapat laut di situ. Terdapat juga warong-warong tepi benteng laut yang dibuka petang sehingga ke malam.

Ini kelemahan kita terutamanya PBT, papantanda kita tersangat kurang. Jika papan tanda terpampang merentasi jalan utama sebagaimana di Thailand nescaya ramai pengunjung singgah untuk bersiar- siar atau makan- makan 


Semasa kami ke Satun tepi pantai, ramai warga Malaysia makan-makan di sana..begitu juga dengan  Songkla, Patani, Naratiwat, tempat parking dipenuhi dengan kereta bernombor pendaftaran Malaysia.





Selain gerai-gerai, kemudahan asas tandas dan surau ada dilokasi , cuma mentaliti pembersih masyarakat masih sangat lemah, tandas tersangat kotor. Sudah tiba masa PBT mengenakan bayaran di semua tandas awam. Bila berbayar selalunya terdapat penjaga untuk membersih tandas. Apa guna percuma jika fasiliti tidak berfungsi, sedangkan bukan murah duit rakyat digunakan untuk menyediakan prasarana.



Membeli ikan dan udang segar dengan harga  sangat murah...





Fuh alangkah bagus jika terdapat restoran cantik dibina menghadap laut. 

Warga Malaysia memang suka makan -makan..Apabila berjalan, tempat pertama yang dicari pastinya tempat makan. Lokasi strategik dan pemandangan cantik memberi kelebihan jika  dimanfaatkan sebaiknya.


Kelebihan Malaysia, selain keindahan alam semulajadi, kos untuk makan- makan adalah lebih murah berbanding negara lain. Harga barangan berbanding pendapatan masih lagi setimpal. 


Tadi kami makan di muara sungai Parit Jawa Muar, set hidangan asam pedas siakap separuh tapi besar, sayur, telur dadar, sambal dan ulaman untuk dua orang makan sekadar dikenakan bayaran RM22, kalau di Siam baru ini, set begini hampir pasti tak akan kurang 600Baht atau RM80 setelah dikira tukaran wang semasa.


Nikmat apa lagi yang ingin kita dustakan..

Monday, October 9, 2023

Kita Hanya Menanam..

Yang ditanam diharap tumbuh, langsung tak menjadi, yang tidak disangka  hidup boleh pula hidup subur walaupun  di celah rekahan dinding batu. Cuba perhati bumbung rumah, ada tak tumbuhan liar di sana dan jika dibiarkan nescaya atap akan bocor ketika hujan.. akar pokok apabila mula menjalar, seteguh konkrit akan tewas jua.




Benih nangka yang cuba disemai di medium tanah  hanya sepokok tumbuh...huhu


Benih mangga yang dicampak begitu saja, tak disangka  hidup pula..
 

Gambar ihsan perkongsian awam fb, pokok kangkung yang tumbuh dicelah rekahan mozek lantai..Cuba kita menyemai di situ, hampir mustahil pokok akan tumbuh.


Inilah yang dikatakan, kita boleh menanam, tapi tidak boleh menumbuhkan...

Saturday, October 7, 2023

Pisang Lemak Manis...


Pisang lemak manis, pokok kurus tandan kecik, ingatkan tak perlu tongkat... rupanya rebah juga..mungkin petanda buah hampir matang.

Generasi terkemudian ini hampir semua pokok pisang di kebun tumpang bertandan kecil, mintak dibelai, tak pasti baja apa yang sesuai,  hariini main tabur saja baja taik ayam proses.

Sayang juga jika dibiarkan begitu saja, walaupun dibiarkan lebihkurang sampai masa pokok berbuah, antara tanaman yang senang dijaga

Harap bila diberi lebih sikit kasih sayang tandan  kembali  membesar..





Wednesday, October 4, 2023

Sambal Ulek...



Tup tap makin menghampiri 31hb Oktober, tarikh kami terbang ke Jepun bersama 5 orang sahabat lain. Ronda ronda bahagian selatan Jepun menaiki Campervan  selama 14 hari. Berbanding Jepun utara yang jauh lebih sejuk dimusim winter, persiapan pakaian tebal tetap disediakan..bersiap siaga itu lebih baik daripada tiada persiapan.


Bila  meronda di negara yang susah mencari makanan menepati dengan selera, kena bawak juga sikit sebanyak bahan mentah simple dari rumah, seperti sambal, serunding atau makanan peket lain.

Sambal peket Indon  sekarang banyak dijual di Aeon, kedai RM2 pun ada...nak buat nasi goreng atau mee goreng nanti senang..Bahan mentah lain biasanya senang didapati di supermarket di negara yang kita pergi...Perencah yang menepati selera kita itu yang tidak boleh didapati. 


Dikhabarkan di Jepun kini mudah mendapatkan makanan halal.  Berbanding eropah dan US, yang lebih mudah mendapatkan makanan mesra tekak kerana banyak premis menjual makanan Turki, Arab  atau IndiaPakistanBangla, negara seperti  Jepun, Korea China atau negara Indochina lain rasanya lebih sukar untuk mengadaptasi makanan mereka. Jadi makanan dalam peket sangat membantu.

Pergi bersama orang yang pernah bermastautin disana pastinya lebih mudah...otak lebih lapang kerana orang lain yang tolong memikirkan. Cuma  bercampervan bersama warga berusia pastinya lebih mencabar...maklumlah orang berusia masing- masing banyak angin...hehe

Japan tunggu kami datang...



Tuesday, October 3, 2023

Kasut Baru Kembara...

Tayar depan kanan  pancit kali ke 2, sebelum itu dah tampal, kebocoron pada dinding,  bukan dasar tayar. Pomen dah maklumkan bocor sebegini memang tiada jaminan tahan lama.  Bila tayar pancit lagi,  ingatkan kebocoran tempat sama., rupanya bocor di tempat lain..




Tayar pun dah nyaris botak tunggu masa diganti baru, sebab itulah mudah sangat bocor bila tertusuk benda tajam, jadi ambil keputusan tukar tayar. Elok diganti dengan tayar berbunga kasar sesuai untuk offroad.




Dah pusing sana sini kedai tayar rupanya tiada tayar offroad untuk tayar saiz standard Kembara, kena cari yang bersaiz lebih besar dan lebar. Lecehnya kena ubahsuai dulu rumah tayar, jika tidak.. sangkut pada mudguard.

Hishh...terpaksalah tukar dulu dengan tayar standard. 

Kita ubah suai lain kali..


Sunday, October 1, 2023

Jom Chumpon 23-ICT Pantai Penarik...

5H4M Siam melabuhkan tirai. Perancangan asal ingin kembali ke Malaysia melalui Takbai/Tumpat., semasa bersembang dengan tetamu hotel, dberitahu feri  Takbai/Tumpat sudah tidak beroperasi sejak PKP lagi, jika berkenderaan hanya boleh melalui Sg Golok/Rantau Panjang.





Sambil menuju sempadan menyinggah mengabadikan foto di Riverfront  Naratiwat.


Jumaat memasuki sempadan Golok/Rantau Panjang mudah, yang sedikit sesak di imigresen menghala ke Siam. Warga Malaysia mengambil kesempatan cuti Maulidul Rasul Khamis untuk berpusu -pusu ke Siam. Pekedai siam pun macam dah bersedia menerima kehadiran pengunjung Malaysia sempena cuti umum. 



Hujung minggu, Siam sering menjadi tumpuan Mat Motor...




Pagi bersarapan di Rantau Panjang, tengahari makan- makan  di Pantai Penarik Setiu, Trengganu. Premis makan-makan tumbuh bak cendawan semuanya berhias cantik dan meriah disini. Tak boleh lawan pantai Siam berbanding keindahan Pantai Penarik



Sabtu, memetik duku di dusun Marang. Musim buah duku tak termakan.. ..


Hajat  memanjat tak kesampaian, kudrat tak cukup power.. badan berat..bimbang memudaratkan jika dipaksa...



Serahkan ke budak-budak untuk memanjat, kita mengutip saja di bawah.






Ok sudah...Kita balik dulu..

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK