Sunday, May 30, 2021

Kucing Betina Pemburu Hebat..

Ini baru betul-betul kucing, cekap berburu. Tidak sebagaimana kucing peliharaan lain yang dah tak tau berburu sebab sudah termanja makan minum terhidang.


Harini anak burung merbuk menjadi mangsa, mujur terperasan dan sempat lagi menyelamatkan mangsa. Sebelum ini mengkarung dan tikus.

Burung akan dibela..Kotlah nanti boleh jinak, segera datang bertenggek atas bahu bila dipanggil.



Yang lecehnya mangsa buruan diangkut ke dalam rumah. Tikus dewasa yang diburu sebelum ini berlumuran darah mengotori lantai bawah meja makan. Mangsa tidak dimakan cuma dibiarkan mati begitu saja. Mujur kami perasan, jika tidak sudah pasti bangkai terbiar membusuk .

Mengkarung pun cuma dibunuh dan ditinggalkan begitu saja, sehingga kering baru perasan.

Harap-harap lepas ni Cik Tam berburu tikus dikeliling reban..

Friday, May 28, 2021

Tumbuhan Liar...

Bila persekitaran berpokok, burung- burung banyak bertandang. Pokok Salam menjadi salah satu destinasi favorit. Keliling rumah kini banyak sangat benih pokok salam.

Selain itu benih pokok betik pun banyak.

Ditempat tak bertanah begini pokok betik ingin memulakan penghidupan, daripada hidup segan, anak pokok betik dipindahkan ke kawasan tanah lapang, kebun tumpangan penulis.


Pokok betik ini pun tumbuh sendiri, disini memang terdapat banyak tanah kompos hasil reputan buangan daun-daun dan rumput jiran- jiran. Sepohon pokok kelapa pun ada tumbuh dengan sendiri yang tak lama lagi boleh mengeluarkan hasil.

Sejak ada kawasan lupusan baru kawasan ini segera penulis jaga. Bersihkan dan potong rumput persekitaran.



Melihat kepada rupa, mungkin ini pokok letup-letup yang begitu subur tumbuh sendiri, telah dipilih pokok mana yang akan dibiarkan membesar. Selainnya dicabut

Pokok senduduk pun banyak. Putih ada, merah pun ada. Dah tak perlu pergi jauh untuk mencari pokok senduduk..Boleh dijadikan adunan bersama serai wangi untuk dijadikan air mandian.


Terung pipit ni pun tumbuh sendiri, 2 pokok ini adalah pilihan dari berpuluh pokok tumbuh yang lain.


Betik ini hasil pokok benih yang tumbuh liar..dibela dan dibaja. Baru belajar berbuah, buah tak besar tapi oklah untuk kegunaan sendiri.

Seronok bila setiap hari ada saja hasil dikutip dari kebun sekangkang kera ..

Wednesday, May 26, 2021

Jeruk Mangga Traffic Light...

Sekarang dah berbelah bagi, nak cantas atau biarkan saja dahan-dahan pokok. Dari bawah kelihatan ada 3 biji, bila dah panjat rupanya banyak buah yang tersembunyi disebalik daun.

Dah alang alang memanjat semua buah ditempat tinggi dipetik. Buah yang boleh dicapai menggunakan tangga dibalut dengan kertas dan dibiarkan masak diatas pokok. 14 biji yang telah dibalut.

Buah yang tinggi tak sanggup untuk membungkusnya.

Pokok ni pernah berbuah tapi bertahun lawas. Mengikuti petua orang ramai, batang dan dahan dilukakan dan alhamdulillah berkesan.



Melihat kepada daun yang rimbun, nampaknya sebahagian dahan  perlu dicantas. Sekarang ni pokok mangga berebut ruang dengan pokok rambutan.

Pokok rambutan pun sudah terlalu lama tidak berbuah. Sayang pokok yang dah matang tidak diberi perhatian. Sedangkan jika diberi penjagaan dan pembajaan yang betul, buahnya makan tak habis.


Usaha menyuburkan pokok, paip berongga ditanam di keliling pangkal pokok supaya baja yang ditabur meresap ke dalam tanah dan tidak terbuang ketika hujan.

Harapnya berkesanlah...


Oklah juga dapat dalam 10 kg..purata berat dalm 700gm. Yang berbalut masih ada lagi dipokok lebih kurang banyak ini juga.


Buah yang dipetik tua boleh di biarkan masak, yang muda boleh dibuat kerabu mangga..atau jeruk traffic light. Hehe ambik nama sempena jeruk yang ramai berjual dipersimpangan lampu isyarat..

Tak rugi berbudi pada tanah...

Tuesday, May 25, 2021

Halia PKP 3...

PKP3 diperketatkan lagi. Bermula hariini, 25hb ini kegiatan ekonomi dibenarkan berjalan seperti biasa tapi tempoh operasi disingkatkan antara 8pg-8mlm.

Alhamdulillah walaupun singkat, banyak sektor masih boleh bernafas berbanding PKP 1 dimana hanya kegiatan ekonomi perlu dibenarkan.

Sepanjang tempoh berkurung ini Utube nampaknya akan sentiasa menjadi teman penulis, mencari lagi sumber inspirasi perkongsian pekebun laman rumah seluruh dunia..

Ada yang menceritakan bagaimana dengan hanya keluasan tanah setengah ekar mereka berjaya menghasilkan 80 peratus keperluan seharian. Baki 20 persen dipenuhi dengan membeli, melalui hasil jualan tanaman atau mengamalkan sistem barter trade sesama penduduk setempat.

Terinspirasi, segenap ruang keliling rumah penulis, dimanfaatkan dengan tanaman. Dapat memenuhi sebahagian kecil keperluan dapur, itu sudah memadai.


Ruangan sempit ini sebelum ini ditanam dengan serai, setelah tempoh matang dan serai kelihatan tidak lagi bermaya untuk hidup subur, keseluruhan pokok dicabut.

Mungkin keluasan terhad untuk tumbesaran sempurna, tapi oklah ada juga hasil dengan usaha yang tak seberapa.

Setiap bahagian serai dimanfaatkan bermula dari akar sehinggalah daun. Rebusan daun dan akar diguna untuk mandi ala sauna.

Supaya kesuburan tanah dimanfaatkan secara optimum, ruangan itu kini ditanam pula dengan halia.


Disebelah tanaman halia, pokok kantan yang dikembang biak sejak pkp 1 nampaknya mula hidup subur disitu..


Rumpun kantan asal ini, kini telah dikembang biakkan di 4 kawasan lain. Hasilnya sudah melangkaui keperluan sendiri, dikongsi sesama jiran maupun rakan.

 Dengan beberapa rumpun tambahan dijangka hasilnya boleh ditukar dengan barang lain dikedai runcit berdekatan.


Daun pucuk manis tua dan kaduk yang memenuhi sebahagian ruang lain dikutip untuk digaul dengan makanan ayam.

Argh kalau lah aku miliki tanah yang luas...

Sunday, May 23, 2021

Cara Mengatasi Reban Becak...

Bila musim hujan, reban akan becak, bau reban cepat saja mula semerbak.

Salah satu cara mengurangkan masalah ini adalah dengan menabur potongan rumput.




Sedang eloklah dapat empat karong plastik potongan rumput laman rumah jiran. Bila Mat Pakistan ingin melupuskan rumput itu, segera kita memintanya.


Gembira ayam ayam dapat bercakaran mencari serangga.


Untuk sementara waktu ni becak dan bau reban dapat diatasi.

Setelah mereput beberapa hari nanti reban akan dibersihkan bersama campuran taik ayam untuk dijadikan baja kompos.


Wednesday, May 19, 2021

Dulu Gelandangan Kini Disayang..

Huhu semalaman si Abu tak dapat dikesan, tak reti mencari jalan balik setelah bersembunyi dibelukar belakang rumah. Naluri mencurigai kelibat asing masih tebal disanubari si kecik ini...




Puas si ibu mengiow memberi isyarat selamat, si kecik tetap segera menyelinap ditempat persembunyian.




Mengiow-ngiow si ibu keluar masuk rumah mencari si anak


Hah jumpa kau di salur air bumbung dapur keesokan petang harinya. Terperangkap disitu tak reti turun. Mungkin semasa mencari jalan pulang terlompat ke bumbung dapur. Belukar dibelakang rumah memang hampir sama paras dengan bumbung dapur.

Mujur bumbung boleh di akses melalui pagar tepi rumah. Setelah di umpan dengan makanan, anak perempuan berjaya membawanya turun.




Dulu gelandangan kini disayang.

Pucuk Ubi Pulut...

Kita sangat bertuah tinggal dibumi subur, dengan sedikit usaha tanaman mudah hidup. Jadi agak pelik jika tinggal dikampung dengan tanah persekitaran luas, terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk membeli keperluan dapor.

Bahan asas seperti halia serai bawang kunyit dll tak kan tak boleh ditanam sendiri. Sepatutnya ikan ayam daging dan buahan pun tak perlu dibeli, melainkan ingin merasa sesuatu yang tidak diusahakan sendiri.

Serai 3 batang seringgit kelihatannya tak membebankan, namun jika serba serbi perlu dibeli, banyak juga duit habis untuk membeli keperluan dapur lain.

Baru ini rakan fb mengeluh harga halia hampir Rm11 sekilo..Duduk dikota alasan itu masih boleh diterima, tapi jika duduk dikampung sukar untuk mencerna keluhan serba serbi barang dapur melambung harga.


Jika di bandar pucuk ubi, pucuk paku, pucuk manis secekak entah berapa batang dah mahal harganya sedangkan dikampung sayuran ini nak tengok pun tak lalu.


Menyedari hidup dikota serba serbi mahal, penulis mengambil inisiatif menanam sendiri beberapa pokok ubi pulut...



Pucuk diambil untuk sayur, daun yang tua dijadikan sebahagian campuran makanan ayam.

Batang dan sisa lain dicincang halus untuk ditaburkan dipangkal pokok.


Kelihatannya ayam -ayam sangat suka memilih daun ubi yang telah dicelur air panas, digaul dengan campuran makanan lain.

Biar pun agak lambat membesar, tak mengapalah kita membela suka suka untuk kegunaan sendiri. Sementara menunggu ayam matang, tetap boleh memanfaatkan taik yang terhasil.

Tuesday, May 18, 2021

Kencur/cekur dan Lengkuas...

Harini membuat percubaan lain. Semai bendi dan pindahkan pokok cili padi dari tong ke tanah. Percubaan tanam bendi dan cili dalam tong gagal. Mungkin campuran media tanah dan pembajaan tak berapa betul.

Tanam atas tanah nak manfaatkan baja tanah sediada yang belum bertanam apa-apa kecuali semak samun. Musim hujan pula ketika ini, diharapkan pokok cepat membiak.


Pokok kencur/ cekur sebelum ni pun tanam dalam tong..juga tak mampu bertahan., Bila dipindahkan atas tanah, dan ditabur baja tahi ayam, nampaknya menjadi, dah dapat merasa tuaian pertama, sebahagiannya dicambahkan lagi di 2 batas mini lain.


Cekur dan lengkuas.

Keseronokan bercucuk tanam ialah bila mendapat hasil tuaian. Tanaman yang dipantau ala kadar masih mampu memberikan hasil yang memberangsangkan.

Sebagaimana pokok kantan, lengkuas memang terlebih banyak tumbuh di sudut laman rumah. Penggunaan pun tak banyak.


Semangat nak menanam halia bentung pula. Dapat tanam diatas 2,3 batas mini cukuplah...

Sunday, May 16, 2021

Khasiat Serai Wangi...

Tiap kali anak bersalin, kita yang dikerah mencari serai wangi, daun senduduk, pucuk mengkudu dll
untuk dijadikan ramuan herba mandian. Petua turun temurun yang dikatakan dapat menyegarkan badan sesudah bersalin.


Dah alang-alang  mencari stok serai, Sebahagian yang diperolehi ditanam supaya memiliki stok sendiri...Alhamdulillah, kini pokok hidup subur.

Ingin memanfaatkan pokok yang merimbun, dicari maklumat khasiat serai wangi di internet..rupanya banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan bukan khusus untuk wanita bersalin.

Khasiat paling mudah, air rebusan serai wangi tanpa campuran herba lain boleh terus dibuat air mandian.

Penulis nak cuba yang mudah- mudah. Mencuba yang renyah takut hanya rajin sekerat jalan.


Untuk menjamin stok sentiasa ada, serai wangi ditanam lagi. Manfaat secara langsung, bila banyak gugusan serai wangi dikebun iyanya dapat menghindari serangga perosak.


Ruangan kosong pun banyak lagi...Bila pokok banyak ditanam, rumput yang nak dipotong atau ditajak tiadalah banyak sangat.



Anak pokok pisang pun dah mula banyak yang boleh dipindahkan dari induk.


Serai makan yang dicambah sebelum ini pun sudah mulai berpucuk..


Bermula dari akar, batang dan daun semuanya mempunyai khasiat. Paling mudah membuat minyak urut dengan merendamkan lumatan serai wangi dalam minyak kelapa atau zaitun selama sebulan.

Untuk lebih tulin, air rebusan serai wangi disuling untuk mendapatkan pati minyak serai wangi. Perlukan kuantiti yang banyak. Melihat perkongsian di Utube sulingan air rebusan 500 kg serai hanya mampu mendapatkan 3-5kg pati minyak...huh setakat secekak serai rasanya dapat bayang kilatan minyak saja.


Serai masak berwarna putih, serai wangi berwarna perang.

Campuran air serai putih, limau nipis/kasturi dan asam boi.. hah sangat menyegarkan diminum sejuk berais.

Dengan tanaman yang ada cukup rasanya stok untuk kegunaan herba mandian sebulan sekali. Untuk memperoleh manfaat kesihatan, mandi ala-ala spa perlu dilakukan secara istiqamah...Harapnya lenguh-lenguh badan dapat diatasi bila mengamalkan mandian herba ini...

Cuma bimbangnya sekadar hangat hangat taik ayam hehe...

Thursday, May 13, 2021

Tragedi 1 Syawal


Hidung tetiba terhidu bau sedikit menyengat. Nak kata bau dari reban macam bukan. Kenal dah bau reban macamana...

Sejak membawa masuk batch baru anak ayam, bau reban memang sedikit mengganggu. Untuk tempoh sebulan ni anak ayam diberi makan dedak seratus peratus supaya cepat membesar. Bulan berikutnya sudah boleh diberi diet ayam dewasa olahan sendiri dan dilepaskan berlegar dalam reban terbuka atas tanah. Jadi bau dapat dikurangkan. 

Sementara anak ayam terkurung dalam sangkar, bau dedak dan najis ayam hasil makan dedak saja menghasilkan bau yang agak menyengat. 

Macam menyesal pulak membawa masuk anak ayam seminggu sebelum hariraya. Mujur musim pkp tetamu tidak dibenarkan bertandang. 



Bila toleh dalam kolam, tudia..rupanya bau dari bangkai ikan. 7 ekor ikan selebar  tapak tangan 4 jari terapong tidak bernyawa. Rasanya baru saja mati sebab keadaanya tidak membusuk sangat.

Dah beberapa kali  ikan mati tanpa diketahui punca. Nak kata air terlalu bertoksik, hampir tiap petang hujan, air dikolam secara automatik bertukar baru. 

Mungkinkah  keracunan sebab semalam membasuh lantai beranda dan airnya mengalir ke kolam. Ini pun tak pasti sebab membasuh lantai tanpa menggunakan bahan pencuci, hanya penyembur waterjet saja.

Tak mau membazirkan sumber protin, ikan direbus untuk dicampurkan dalam makanan ayam...

Inilah untungnya membela ternakan...segala  yang ada boleh diolah dan dimanfaatkan...




Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin pengunjung...

Tuesday, May 11, 2021

Kucing Gelandangan...

Tak terkira dah berapa banyak kucing gelandangan atau kucing tersesat bertandang ke rumah.

Melainkan anak-anak,kami tidak begitu berminat membela kucing disebabkan trauma kucing melepaskan hajat di merata tempat..Paling trajis berak di atas katil.

Kerana itulah kami tak mau terlebih bermesra dengan kucing yang bertandang, kucing pun seolah dapat membaca kita tidak menyukai kehadirannya dan hanya melepak diluar rumah.

Yang geram tu halaman rumah menjadi tempat melepaskan hajat. Habis berbelak rumput, kekuningan mati sebab baru ditabur baja panas. Yang terlebih subur menghijau setelah beberapa minggu dibaja pun ada. Bau menyengat tak usah cerita lah..

Ini antara kucing cantik gelandangan yang bertandang ke rumah. Nampak macam bertuan dan tersesat..Baik saja perangai, apa saja diberi dimakan, tidur pun diruang kosong luar rumah...Sesekali cuba menyelinap masuk..

haippp..!! 

Dijerkah terus keluar semula..Selepas berbulan bertandang tetiba hilang tak tau ke mana..Merajuk barangkali.


Anak kucing ini berusia berusia dalam 5-6 minggu..Dah lama si ibu sembunyikan si anak. Baru seminggu dibawa keluar..Masa beranak sekitar penghujung Mac ada 3 ekor, 2 lagi umur tak panjang..
Ibu dan bapanya juga gelandangan. Dulu pantang nampak kelibat orang terus bertempiaran lari.

Sejak anak- anak berbuat baik terus melekat di rumah. Sekarang si ibu dah mengalahkan tuan rumah..Tidur terbongkang tak mengira tempat.

Si ibu hitam putih diberi nama Cik Tam.. Jantan tak bernama belang kelabu.
Dapat anak jantan kelabu seluruh badan diberi nama Abu..

Sekarang si ibu dah sibuk mengekori jantan lagi..
Itu yang tak sanggup membela kucing...huhu

Monday, May 10, 2021

Kenangan Ternak Ayam Komersil...


15 ekor batch ke 5 anak ayam bela suka- suka dibawa masuk harga RM3.5 seekor, sebagai pelapis ayam batch ke 4 yang makin membesar..


Harga Rm3.5 seekor teringat kenangan
hampir setahun dulu, penulis pernah mencuba memulakan menternak ayam kacuk secara komersil, namun tak sanggup meneruskan atas beberapa faktor.

Faktor utama adalah kos anak ayam dan makanan...faktor sampingan kos buruh, ubatan dll

Bajet benih asal Rm 1.8- 2 seekor..beli kuantiti banyak tak mungkin sama dengan harga beli kuantiti kecil, tapi yang diperolehi adalah RM3.5., merata mencari anak ayam umur sehari (DOC) namun kekurangan bekalan ketika itu, terpaksa mengambil anak ayam yang dikatakan berusia lebih 25 hari. Masa hadir memang kelihatan besar, berat dalam 400-600gm. Daripada lebih 2500 target asal hanya dapat 1600 ekor.

Andaiannya ayam batch pertama itu akan mencapai usia 2 bulan lebih dan sedia untuk dijual ketika hariraya aidil adha ketika itu...

Berdasarkan bacaan dan pengalaman rakan rakan, ayam berusia 2 bulan ke atas mampu mencapai purata berat 1.5-1. 8 kg seekor., Dan berdasarkan pengalaman berternak skala kecil, penulis turut bersetuju.

Sepanjang tempuh ini untuk mencapai tumbesaran itu seekor ayam memerlukan makanan 1.5-2 kg.

Harga dedak ketika itu rm2.5 sekilo...

Sesuai dengan penternakan komersil skala kecil
Sekiranya dapat kembalikan modal berperingkat disamping sedikit keuntungan itu sudah memadai.

Apa yang berlaku adalah tumbesaran ayam tersangat lambat dan gagal mencapai berat ideal untuk dipasarkan semasa aidil adha disamping jumlah kematian yang agak banyak.

Melewati bulan ke 3, masih banyak ayam tak melepasi berat 1.0 kg. Dah congak- congak kos dedak bakal melebihi harga jualan ayam perkilo dari ladang

Tumbesaran pula tak sekata, ayam tak boleh ditolak secara borong...jika ditolak secara runcit kos makanan dan kematian bakal melonjak.

Harga jualan mahal orang tak beli, harga murah penternak pula yang rugi...

Pengeluaran modal untuk dedak langsung tak sepadan dengan duit yang bakal masuk.

Kos reban, DOC, ubatan pengangkutan dll, bukan sedikit yang telah dilaburkan.

Daripada kerugian semakin meningkat, lebih baik cantas segera, dengan menyerahkan saja ayam-ayam yang ada kepada yang membela ..

Mencuba sesuatu yang baru penulis dah terapkan dari awal, perlu redha dengan modal yang keluar untuk hangus. Menjadi, syukur, tak jadi redha..Tak mau pening-pening

Menternak secara komersil tak sama dengan menternak suka-suka, setiap sen untung rugi harus diambil kira..

Banyak faktor diluar kawalan itu yang leceh.

Sekarang ni hepi membela suka-suka dicelah rumah...



Saturday, May 8, 2021

Sayur Batang Keladi...

Berbudi pada tanah dapatlah hasilnya. Ditambah sekarang saban petang hujan, cepat saja pohon merimbun. Rumput rampai pun sama galak naik. Tapi kawasan sekangkang kera, tak sampai sejam dah lapang dikerjakan. Lencun baju dibasahi peluh beraktiviti menajak sesudah subuh.

Cuma adat menumpang tanah orang kita tak pasti samada pokok yang ditanam mampu memberikan hasil berpanjangan. Bila- bila masa tuan tanah akan mengambil semula tanah.

Tapi tak kesahlah, kalau terlalu sangat memandang jauh ke depan serba serbi takut untuk memulakan sesuatu. Setidaknya tanaman jangka pendek puas juga dinikmati.

Sekarang ni terdapat 10 pokok pisang sedang membesar. Tadi memindahkan anak pokok yang tumbuh dipangkal. Makan tak habis kalau berbuah nanti. Semangat


Pokok betik telah belajar berbuah..Buah sulung ni tak berapa besar. Pucuk ubi, sabung nyawa dan bayam Brazil dah tak terhabis makan. Pucuk manis pun sama. Mujur ada ayam direban, daun yang tua dicincang halus dan dicelur dalam air panas, daun- daun ini yang jadi rebutan.

Serai, pandan, limau kasturi nampaknya pun dah mula berlebihan. Boleh lah dihulur-hulur ke jiran dan rakan.

Harini mencambah lagi serai...supaya bekalan tidak terputus. Serai ni bila telah sampai jangka hayatnya, nak hidup pun macam tak bermaya.

Kunyit dan halia pun cuba ditanam ditanah..yang ditanam dalam pasu macam hendak tak hendak tumbuh.


Kelapa yang ditanam dibahu jalan. Bolehlah diguna buat rendang masa raya nanti.

Sebiji lagi rasanya dah jatuh dilongkang dan dan dihanyutkan arus deras.



Musim pkp ni apa nak buat..berkebunlah kita..

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK