click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text
Showing posts with label YR Gunting... Show all posts
Showing posts with label YR Gunting... Show all posts

Tuesday, June 22, 2021

Kereta Lumba Kancil...

Kiosk Gunting Bas Mini tak boleh bergerak, tapi biarkan nombor kiosk gunting ini, bergerak ke merata tempat. Harapnya ramai teruja nak tahu apa istimewanya No 65 atau 28 ditampal di dinding pintu Kancil. Jika ada yang bertanya, mudahlah penulis mempromosi Kiosk Gunting Bas Mini.

Gimik pemasaran saja. Harapnya melekatlah dibenak penanya seterusnya berkunjung dan menjadi pelanggan tetap.



Kiosk Bas 65 beroperasi dilokasi baru bersebelahan Gerai MPS Bandar Country Homes, Rawang sejak 1hb Mei 2021. Genap sebulan beroperasi, menerima kunjungan penguatkuasa MPS dan disaman kerana beroperasi tanpa lesen. Permohonan telah dihantar namun belum diluluskan.

Walaupun disaman Rm1000, amaun boleh dirayu, masih dikira berbaloi kerana kiosk tidak disita. Ada harapan cerah untuk kiosk mendapat lesen beroperasi.

Sebulan beroperasi telah menarik ramai pelanggan datang mencuba dan hampir semua memberi isyarat bagus.



Ketika artikel ini ditulis, kedua-dua kiosk gunting bas, tak dapat beroperasi gara-gara covid19, apatah lagi khidmat gunting rambut tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu. 

Lebih parah, Bas No 28 di Jalan Ayer Keruh Setapak Kuala Lumpur telah disita pihak DBKL sehari sebelum Aidilfitri 2020 iaitu ketika pkp 1 lagi dan operasinya terpaksa digantung sementara.

Harapnya pengkelasan gunting rambut ditukar kepada perkhidmatan perlu dengan SOP ketat. Ramai yang menelifon mengadu rimas rambut panjang tidak bergunting. Masing-masing semakin stress.


Setelah ditimbang- timbang No 65 menjadi pilihan.

Cermin pula ingin di tinted gelap. Tak cukup menyerlah, badan kancil akan ditampal dengan stiker corak kereta lumba...

Sementara menunggu operasi kedai gunting kembali normal, biarkan Kancil meneruskan usaha promosi.

Jom jom jumpa di sana...


Friday, May 7, 2021

Kiosk Gunting Bas Mini...


1hb Mei 2021 bermulalah episod kiosk gunting bas mini beroperasi di lokasi baru..

Mengambil kesempatan beroperasi ditengah-tengah kesibukan orangramai membuat persiapan berhari raya. Pengenalan yang sedikit mudah kerana selalunya dalam tempoh ini orang ramai akan tercari-cari kedai gunting untuk berdandan rambut raya.

Ditambah dengan keunikan kiosk dan lokasi di simpang 3 yang sibuk, agak pelik jika orang ramai tidak menyedari kehadirannya.



Namun begitu, setelah hampir seminggu beroperasi, masih ada yang tercari cari kios gunting walaupun telah tiba dilokasi. Biarpun terpampang jelas stiker keliling bas, mereka memberi respond tidak menyangka bas boleh dijadikan kiosk gunting rambut.

Yea orang ramai masih belum terbiasa kerana tidak ramai orang mengusahakan cara ini.



Daripada kenderaan lama tersadai memenuhi depot -depot, kenderaan tersebut boleh dimanfaatkan dengan membuka kiosk berniaga kecilan. Yang paling penting keterampilan luar dan dalam kiosk mesti dijaga supaya tidak
menyemakkan pemandangan persekitaran.


Pihak Berkuasa Tempatan juga perlu lebih terbuka menerima idea- idea seperti ini.


Sambutan Alhamdulillah. Sebagaimana dijangka seorang tukang gunting tidak sanggup melayan pelanggan yang ramai berkunjung. Penat berdiri katanya. Perlukan seorang lagi untuk memberi khidmat terbaik.

Mengikut pengalaman, 2 orang tukang gunting juga sebenarnya tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan apatah lagi jika tukang gunting itu disukai.

Namun berdasarkan pengalaman juga, penulis tiada hasrat menempatkan lebih dari 2 orang dalam sesatu premis. Pelanggan setia selalunya akan menunggu atau membuat tempahan terlebih dahulu.


Setelah kanvas kuning bertiang merah dipasang nanti...wah wah walaupun lama, harap pelanggan tetap sabar menunggu...

Tuesday, April 27, 2021

Kiosk Gunting Bas Mini...


Kiosk Gunting Bas Mini kini telah berada dilokasi baru, Bandar Country Homes Rawang.

Walaupun belum mendapat lesen PBT, rasanya berbaloi mengambil risiko memulakan operasi. Bas diletakkan di tanah persendirian dan kebenaran tuan tanah sudah diperolehi. Jika beroperasi tanpa lesen sekalipun, hanya saman boleh dikeluarkan oleh PBT tanpa boleh menyitanya.

Setelah hampir setahun tersadai, kiosk gunting dijangka boleh meneruskan khidmat seawal pertengahan Ramadhan ini.




Terpaksa menggunakan khidmat dua tow trak. Trak pertama tidak berjaya menurunkan dan menyusun bas dilokasi dikhendaki kerana tersangkut ramp laluan masuk.


Trak lain dipanggil untuk memudahkan kerja. Sekejap saja bas dapat diletakkan dilokasi dikhendaki.

Trak penunda diusahakan anak muda tempatan. Menunda bas merentas daerah dikenakan caj RM600 dan trak tambahan RM150. Caj sangat berpatutan.

Hari yang sama bekalan elektrik disambung dipremis yang dikongsi dari jiran gerai. AC juga dalam proses pemasangan...


Bas dimandikan untuk membersihkan segala lumut dan kotoran maklumlah hampir setahun tersadai.

Stiker tambahan akan ditampal untuk lebih berketerampilan.

Kiosk akan terus dibuka tanpa menunggu kanvas bumbung siap, setidaknya boleh menguji pasaran..

Berdasarkan maklum balas rambang, mereka juga tidak sabar untuk mencuba bergunting disitu.

Bismillahi ArRahman ArRahim

Sahaja aku memulakan khidmat gunting rambut dilokasi ini kerana Allah Taala..

Allahuakhbar.

Tuesday, March 9, 2021

Kiosk Gunting Bas Mini Bakal Kembali...

Yea itulah harapannya..Setelah hampir setahun kiosk gunting terbiar begitu saja, nampaknya ada sinar baru jika segala yang dirancang menjadi kenyataan.

Memang tak sanggup melalui lokasi premis lama.. Dulunya meriah siang malam kini ibarat premis berhantu.

j
Kiosk gunting bakal berpindah ke lokasi baru.

Terlalu banyak liku perlu ditempoh untuk mengekalkan premis ditapak lama.

Halangan terbesar pastinya mendapatkan lesen PBT. Syarat-syarat yang tersangat sukar untuk dipenuhi.

Memperolehi kebenaran menduduki tanah rezab antara penghalang memenuhi syarat lesen. Siapa dan dimana harus dituju...Jika diketahui sekalipun tiada kepastian bila kebenaran boleh diperolehi melainkan kita kenal orang dalam.

Sebab itu malas memikirkan perkara ini dulu, penulis redah saja beroperasi tanpa lesen. Risiko pasti ada...tapi berbaloi dapat beroperasi hampir 3tahun sebelum premis disita. Itupun kesalahan berkaitan melanggar perintah PKP bukannya disebabkan beroperasi ditanah rizab tanpa kebenaran.

Cuma bila telah disita terdapat kesan psikologi yang menghalang untuk meneruskan operasi dengan aman damai di tempat sama...

Maka beralah itu lebih baik.

Belajar dari episod terdahulu, lokasi baru dikenalpasti dan penguasa tanah dijejaki.

Lokasi strategik dipinggiran jalan besar berkependudukan padat. Permohonan telah dikemukakan dan hasil perbincangan dengan pihak penguasa tanah, memberi tanda positif, maka lesen PBT In Sha Allah boleh diperolehi.


Harap-harap sebelum Ramadhan premis dilokasi baru boleh beroperasi...


Monday, February 22, 2021

Kenapa AC Berais...

Dulu penulis  sering cemas bila pekerja beritahu AC kedai tidak sejuk. Terbayang dah duit yang bakal terbang. Selalunya tak lari 3 hingga 7 ratus bila memanggil orang AC datang untuk menyelenggara 2 unit AC di kedai., bergantung kepada apa yang dicadangkan untuk diservis atau menukar alatganti. Bila ilmu tiada, kita main angguk sajalah.

Sejak belajar melalui utube dan mencuba sendiri menyelenggara AC dirumah dan berjaya, perasaan cemas itu dapat ditangani dengan sedikit tenang...

Bila budak mengadu atau kita sendiri merasai AC tidak sejuk, terus cuba mengenal pasti punca ketidaksejukan itu..Biasanya mintak kena servislah tu.

Kali ini seunit AC kedai terdapat lapisan ais pada permukaan sirip indoor unit..

Merujuk Utube disyaki unit terbabit mengalami perkara berikut

1. Keadaan penapis, sirip indoor dan outdoor terlalu kotor menyebabkan udara sejuk dan panas tidak dapat di bebaskan dengan lancar

2. Blower lemah untuk meniup udara sejuk keluar dari evaporater.

3. Sensor tidak lagi sensitif untuk memberi isyarat kepada kondensor untuk menghentikan kompresor dari terus berkerja. Mengatasi masalah ini, sensor dalam bentuk rod tembaga boleh digosok dengan kertas pasir atau jika masalah masih berterusan, elok ditukar rod sensor itu..

4. Kemungkinan gas kurang pun boleh menyebabkan terbentuknys ais. Selalunya jika gas kurang dalam sistem, selain permukaan sirip indoor, paip tekanan rendah dikondensor turut akan berais...

Setelah meneliti kebarangkalian diatas, penulis berat untuk menuju perkara 1. Bermakna penyelengaraan mencuci penapis, sirip dan evaporator dan kondensor sudah memadai.

Sejak pkp 1 AC belum lagi diservis

Pengalaman servis AC dirumah dan kini sejuk yang amat, sangat  menyuntik keyakinan menyelenggara AC dikedai pula.


Ditambah dengan anak menghadiahkan penyembur air tanpa wayar, berkobar-kobar seawal 8 pagi menuju kedai..


Setelah dibersihkan, AC masih tidak sejuk juga. Semasa membersihkan unit luaran/kondensor terpandang sambungan paip  basah dan  berminyak, memungkinkan ada kebocoran gas pada sistem. 

Memandangkan tiada peralatan dan kepakaran menambah atau mengganti gas maka terpaksalah memanggil orang AC datang. 

Apabila diperiksa dan menguji tekanan gas, sah dibagitau terdapat kebocoran gas pada sistem.. Setelah pembaikan dan gas ditambah, AC kini berfungsi dengan baik..

Walaupun terpaksa juga mengeluarkan wang membaikpulih setidaknya kita tau apa yang dibaiki.

Tidak rugi belajar ilmu baru di musim PKP..





Sunday, September 27, 2020

YR Gunting...

Ahad 27hb September 2020.

YR Gunting Desamas Rawang kini berubah wajah untuk memberi keselesaan kepada pelanggan. Pengubahsuaian dibuat setelah 7 tahun kedai beroperasi. 


Pandangan hadapan kedai sebelum diubah suai...





Kedai terkini...

Mengikut perancangan asal dulu...Kedai gunting hanya menduduki petak keluasan 22'x8' yang dibuat didalam kedai. Manakala bahagian luas luar  dijadikan cafe. Selain kedudukan kedai gunting agak tersorok rupanya cafe tidak boleh disekalikan dengan kedai gunting atas faktor rambut rambut bakal mencemari premis cafe.





Sejak itu ruangan luas cafe dijadikan kedai gunting dan petak gunting dijadikan ofis.

Oleh kerana ruangan gunting agak luas., sistem penghawa dingin perlu tip top untuk memberi keselesaan kepada pelanggan..tapi yang terjadi adalah sebaliknya...AC 1.5 dan 1.0HP tidak mencukupi untuk menyejukkan premis. Akibatnya kompresor AC berkerja keras sepanjang kedai dibuka 10pagi -10 mlm dan seterusnya menganggu prestasi AC. Tak sampai 3 bulan diservis prestasi AC kembali menurun.. bil elektrik pun melambung.




Berkat PKP, keputusan dibuat ruangan gunting dikecilkan dengan itu satu lagi petak 22'x8' dapat diwujudkan untuk disewa. 

Kedai yang sama kini dimanfaatkan untuk memberi nilai tambah kewangan, setidaknya nanti ruangan yang disewa dapat menampung bayaran keseluruhan bil utiliti kedai...

Didepan kedai pun nanti akan dibuat kiosk kiosk mini yang akan disewa. Hah
dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini segenap peluang harus dimanfaatkan sebaiknya. 






Saturday, August 22, 2020

Kiosk Gunting Bas Mini Di Sita..

23hbOgos 2020, Ahad

Penangan Covid19 memberi kesan secara langsung terhadap premis gunting penulis.


 Premis disita DBKL sehari sebelum hariraya aidilfitri dan urusan rayuan mendapatkan peralatan yang disita tidak terdapat tanda akan selesai dalam waktu terdekat.  

Kesilapan pekerja yang tak tahan  rayuan pelanggan  bergunting  hariraya,  mengengkari arahan PKPB tanpa pengetahuan penulis mengakibatkan premis disita.



Tidak sanggup membiarkan situasi seolah digantung tidak bertali oleh penguasa DBKL penulis memutuskan memindahkan sebuah premis ke lokasi lain,  jauh dari lokasi asal iaitu di Bukit Belimbing Kuala Selangor. Yang sebuah lagi sedang dicari lokasi alternatif berdekatan dengan tapak yang lama.





Premis ini walaupun tidak se gah mana tapi berjaya menarik minat media arus perdana TV3, The Star dan Bernama untuk diselitkan dalam berita mereka dek kerana keunikan kedai gunting yang diubahsuai dari bas mini terpakai. Penulis khuatir kuasa viral lebih banyak memberi mudarat, mengambil keputusan menolak permintaan tersebut. Selain  indah khabar dari rupa, penulis  bimbang tak mampu memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan setelah mendapat lonjakan liputan.

Di lokasi baru nanti walaupun agak jauh dari kawasan tumpuan diharap aura keunikan kedai gunting bas mini mampu menggamit pelanggan berkunjung dan bergunting...


 

Wednesday, February 12, 2020

PRO-RieZ@L -Kedai Gunting Lama Imej Baru

12hb Feb 2020

Huh sedar tak sedar sudah lebih setahun kedai ini penulis ambil alih sejak 28Sept 2018. Setahun lebih telah berlalu namun prestasi kehadiran pengunjung belum begitu memberangsangkan. Dulunya tak banyak yang penulis boleh lakukan kerana menghormati pemilik lama yang ingin terus bekerja disitu. Kini pemilik lama telah pencen sepenuhnya., sesuatu perlu dilakukan untuk menghidupkan kedai.

Penulis selaku pemilik baru masih ingin mempertahankan kedai ini...Secara zahirnya kedai ini tiada cacat cela, berbanding kedai-kedai penulis yang lain, lokasi kedai ini sangat strategik, dilaluan jalan utama, kawasan berpenduduk padat cuma hairan kenapa pengunjung tidak datang ke situ.

Percubaan berikutnya penulis memberi tempoh 6 bulan lagi, jika masih tiada perubahan, dengan berat hati ingin melepaskan saja kedai ini...Lebih baik berpindah ke lokasi lain daripada membuang masa dan saban bulan terpaksa mengeluarkan duit poket tambahan untuk menampong perbelanjaan kedai.



Kedai ini masih dibayangi pemilik lama. Dulu, kedai buka tutup tidak menentu.. Jumaat cuti, tiap hari kedai beroperasi setakat jam 6 ptg... Tukang gunting tambahan baru dibawa masuk silih berganti, tiada yang serasi dengan alasan tiada pelanggan bertandang. 


Banner baru digantung untuk menggamit pengunjung datang..

Setelah 2 bulan membawa tukang baru muda yang digajikan secara bulanan nampaknya macam ada sinar dihujung terowong.. Pengunjung lebih menerima tukang gunting muda berbanding tukang tua . Waktu operasi dibuka setiap hari dari  10pagi sehingga 10 mlm. Target kehadiran minima pelanggan hampir dicapai, diharap akan melepasi target dalam tempoh probasi 6 bulan.



Signboard lama akan diganti dengan yang baru untuk melupuskan bayangan lama. Dengan komitmen sebegini, jika masih tiada perubahan positif, nampaknya rezeki tiada disitu. Kita telah berusaha, selebihnya bertawakal sajalah..

Jom jom bergunting di

 PRO-RieZ@L
No 22 Jln 13/2A, Tmn Wilayah Selayang, 68100 Batu Caves Kuala Lumpur.


Friday, November 8, 2019

Sofa Lama..Sarong baru..


Salam Jumaat 8hb Nov 2019.


Rangka elok, cuma kusyen sudah lusuh dan koyak rabak. Nak buang, sayang.. Lagipun tiada khidmat pelupusan sofa sempurna.., jika  diupah orang, hampir pasti  ianya akan dilupuskan ditempat buangan sampah haram.

Ronda ronda di hardware semalam, mata terpandang stapler tembak, jenama Hotak, harga rm19.90...wah..! Memang  lama dah mencari bendalah ini. Murah plak tu. Segera teringat sofa  usang di kedai gunting.

Seusai membeli stapler terus mencari kain pembalut sofa tebal 4m. Rm10 semeter setelah diskaun harga asal hampir 40
semeter. Sebelah malam beli juga span 9keping rm27..gam dunlop 10, dan berus sapu gam rm3. Total belian alat ganti tak melebihi rm100.

Baikpulih sofa hakikatnya  menjadi sangat mahal apabila  phone terhempas  atas jalanraya ketika balik membeli span dan gam. Jalan gelap tak perasan, motor melambung melanggar bonggol dan phone  tercampak dari poket baju.huhu..Skrin pemuka pecah seribu. Tak pasti berapa harga untuk phone jenama ini, tapi dulu pernah menukar skrin phone jenama berbeza, harga lebih 300...Kalau dah nama bukan rezeki, cuba berjimat disatu bahagian, berlaku kebocoran di bahagian yang lain. Redha saja lah..

Ini lah sofa yang telah dibaikpulih. Kini pelanggan akan lebih selesa menunggu giliran bergunting.

Walaupun tak seindah buatan tukang sofa profesional, tapi boleh lah...

Barisan tukang gunting mahir kami sedia mengkacakkan anda.

Kepada orangramai yang belum mengetahui lokasi kedai jomlah bergunting rambut di ...


 YR Gunting
No 10 Jln DM 5/1, Tmn Desamas Rawang Selangor.

Kedai dibuka setiap hari.

10pg-10mlm

In sha Allah anda akan berpuashati dan bertambah hensem. Cubalah😁



Friday, November 1, 2019

Kiosk Gunting BMW 2...

 Jumaat 1hb November 2019



Alhamdulillah Kiosk Gunting BMW  2 yang dirancang sejak awal 2019 kini bersedia untuk menerima pelanggan. Walaupun masih ada sedikit penambahbaikan tapi memadai untuk memulakan operasi.

Sudah 2 Kiosk Gunting BMW beroperasi dilokasi sama maka lokasi akan dijenamakan sebagai Dataran Gunting BMW. (BasMini Wilayah), mode pengangkutan awam ikonik KL suatu ketika dulu.

Untuk keceriaan, persekitaran akan diindahkan dengan pokok -pokok bunga bak taman.   Walaupun dataran bas mini dikelilingi bengkel -bengkel IKS usang, dataran bas ingin menampilkan sausana berbeza supaya pelanggan menjadikan kiosk gunting bas sebagai pilihan tempat bergunting santai.

Dataran Gunting BMW bersebelahan kedai makan boleh dicari di Google Map dengan menaip.

 Kedai Makan Uniza

 (Kg Baru Air Panas Kuala Lumpur)

Sementara menanti giliran bergunting pelangan boleh makan-makan di kedai makan bersebelahan.

Kiosk Gunting dibuka setiap hari Jam 10pg-10mlm.

Jom Jom bergunting disana.

Wednesday, February 13, 2019

Kiosk Gunting Bas BMW...


12hb Feb 2019

Selalu orang cakap nak buka restoran kena tahu memasak, nak menjadi penternak  kena faham selok belok haiwan... Nak mengusahakan kedai barber wajib tahu menggunting rambut...Sebenarnya itu bukan syarat utama.. Jika memiliki skil tersebut hanyalah satu kelebihan.

Bermula dengan cadangan kerani pemaju perumahan semasa membeli unit kedai dahulu, kini penulis semakin seronok mengusahakan kedai gunting rambut . Jika pembukaan kiosk bas ke2 ini berjaya, 5 dari minima 7 outlet yang diangan - angankan berjaya direalisasikan...



Bersesuaian dengan modal yang tak seberapa, target market adalah orang kebanyakan.. Golongan ini lebih mementingkan nilai  berbaloi untuk setiap sen yang dibelanjakan. .. Penampilan kedai walau biasa- biasa itu  memadai yang penting servis bagus dan hasil guntingan menepati citarasa. 


Dah buat perbandingan outlet kabin dengan bas. Hati tetap terarah ke bas juga.. 

Pembelian bas kalini hanya badan tanpa enjin. 


Bas isuzu... Ermm tak jadi beli.. harga mahal lebih 6ribu

Percubaan awal menggunakan bas  sebagai kiosk gunting ternyata berjaya. Mengulangi jalan pintas menggamit pelanggan ke kiosk gunting, kiosk gunting bas ke2 bakal menemui pelanggan tidak lama lagi. 



Mercedes Benz.. Wow... Body cantik.. Harga ok 2 ribu tanpa enjin... 

Berbekalkan pengalaman terdahulu, perancangan kalini dibuat dengan lebih berhemat. Pengubahsuaian dalaman dan luaran akan dibuat secara minima...Luaran akan mengekalkan keadaan sedia ada... Mungkin akan diubah suai kepada 'Kiosk Gunting Bas Sekolah' dengan menampal sticker...
Berdasarkan anggaran kasar rasanya kos keseluruhan nanti tidak melebihi 10 ribu, separuh dari kos pertama dulu... 



Amacam ok tak macam ni... 😊


CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK