click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Wednesday, May 31, 2023

Akses Kebun Disempurnakan..

Buat sedikit tapi istiqamah tu jauh lebih  baik dari hangat- hangat taik ayam. Semangat tak hingat dunia hanya dipermulaan  tapi pancit dipertengahan jalan.

Hari ini 31hb Mei 2023 genap setahun barulah akses kebun disiapkan sepenuhnya setelah dibina sedikit demi sedikit. Kini Kenderaan 4wd boleh dipandu sehingga  ke pondok. 

Berbekalkan parang, chainsaw dan cangkul akses dibina secara sambilan bersama aktiviti kebun lain menumpang kebun jiran, mujur tanah sangat gembur..Membina akses mendaki puncak terpaksa mencari topografi sesuai supaya pendakian tidak terlalu curam yang sukar didaki terutamanya dimusim hujan..walaupun jarak kebun dan jalan utama tidak lebih 1 km..tetapi laluan kebun berlingkar- lingkar.. hampir tiga perempat akses menumpang laluan sediada, baki satu perempat yang dibina sendiri..

Mulanya dulu hanya membina akses kecil motorsikal atau berjalan kaki, namun untuk jangka masa panjang akses demikian tidak memadai . Mengharapkan akses melalui rizab jalan tak tau bila boleh direalisasikan. Menggunakan motor, pembonceng lebih banyak berjalan kaki kerana akses teruk selain tak banyak peralatan atau barangan yang boleh dibawa ke kebun.




Beginilah laluan sempit dicelah- celah pokok...pokok liar besar yang menghalang laluan, terpaksa dikorek sehingga akar ...Tebing -tebing cerun terpaksa dibina benteng penahan menggunakan bahan terpakai antaranya kotak polisterin yang diisi tanah...Ini yang mengambil masa lama untuk disiapkan.


Apabila laluan telah siap banyaklah barangan boleh dibawa ke kebun. Mengangkut bahan binaan lain akan  lebih mudah...boleh ditambahbaik kemudahan dikebun ..membina pagar, tandas, stor dll


Dulu terpaksa menarik mengunakan kereta sorong atau memikul. Masa dan tenaga  banyak terbuang begitu saja. Kenangan manis bila mengingati sejarah silam.


Tiub motor yang banyak manfaat kepada pekebun...Apabila ke kebun lebih senang, masa yang dijimatkan boleh dimanfaatkan membuat kerja lain seperti membersih kebun dll


Baki akses terakhir yang disiapkan. 


Pembantu setia, kepenatan menyiapkan akses. Walaupun tanpa kipas, suasana atas bukit begitu nyaman..syok untuk tidur sehingga mendengkur


Menara telco dikebun jiran diperingkat akhir penyiapan...Apabila tenaga letrik disambungkan sehingga ke menara...keperluan letrik ke kebun turut boleh  mohon...hanya memerlukan beberapa tiang saja untuk sampai ke kebun.




Kenderaan akhirnya tiba juga ke pondok kebun..Momen ini yang sangat dinantikan..Successs...

Tuesday, May 30, 2023

Servis Kembara...

Mileage Kembara terkini 120ribu km. Tak pastilah betul atau tak...Kalau ikutkan tahun dibuat 1998 macam tak logik..tapi tak kesahlah, selagi masih berkhidmat dengan baik, biar setinggi manapun mileage, itu sekadar angka... 

Adat kenderaan tua, pasti akan ada kekurangan, jika kerap diguna selalunya akan kurang memberi masalah..  tidak sebagaimana tanggapan, kenderan yang jarang digunakan akan lebih memberi prestasi lebih baik. Sama juga dengan manusia, jika asyik bermalas- malasan, akan lebih cepat memberi mudharat kepada tubuh badan.





Hari Rabu adalah hari kebun, baru teringat, Kembara perlu dihantar servis dan dibuat pemeriksaan...lampu aladin menyala, cermin tingkap jem dan kunci pintu sebelah pemandu pun sama..jem.

Bila ada lampu indikator menyala memang tak selesa membawanya, jadi sejak balik kebun minggu lepas Kembara hanya di parkir di garaj.


Bila diperiksa memang betul terdapat kekurangan minyak enjin kerana ada kebocoran yang agak serius. Huh mujur tak terus kering.


 
Ini yang syoknya menggunakan kenderaan kecil, kos servis dan baikpulih agak mesra poket. Roadtax dan insuran  murah. Cuma minyak Kembara yang agak kuat.. Oklah tu hanya sesekali dilenjan ke kebun dan dibawa ke destinasi berhampiran.

Biarpun kenderaan lama, keterampilan tetap dijaga, dah berangan akan di cat baru.. enjin biar tip top...aircond dipastikan sejuk...

Apa lagi mau..Kecik , Licik, Mantapp...






Saturday, May 27, 2023

Petai hibrid...

Penulis berkebun bukan bertujuan komersil., lebih kepada kegunaan sendiri sambil beriadah dan berseronok  melihat pokok yang ditanam hidup dengan cemerlang dan berhasil. Lagipun kebun tak cukup luas selain tidak mampu memberi komitmen  tenaga dan wang ringgit supaya apa yang diusahakan dapat memberi pulangan lumayan. Pertanian komersil bukan bidang penulis. Melihat perkongsian penanam komersil durian, nenas, pisang dll, melengkapkan kemudahan pengairan, semburan racun, membaja berkala, rawatan penyakit dsb huh rasaya tak terikut. Selayaknya mereka mendapat pulangan yang lumayan..


Sebab tak sanggup memberi komitmen itu, kebun kecil penulis ditanam dengan pelbagai jenis pokok. Yang cerewet sangat dijaga, kuantiti tanaman akan dikurangkan. Jika dalam kepala otak sudah tertanam untung rugi, semangat akan hilang bila yang diusahakan tidak sebagaimana diharapkan dan pengeluaran lambat menghasilkan pulangan. 

Namun ditakdirkan pokok- pokok berjaya mengeluarkan hasil dengan baik dan boleh dipasarkan, kenapa tidak dikomersilkan.. Jika dicongak- congak, pelaburan dalam  pertanian sebenarnya sangat berbaloi berbanding hanya memerapkan  duit dalam institusi pelaburan bank dsb. Namun sangat berisiko  melabur tapi tidak  memberi komitmen yang tinggi. Penulis mengambil pendekatan berhemah, melabur secara runcit. Biarpun lambat tapi selamat.



Jika minggu lepas menambah tanaman avocado dan nangka madu, minggu ini membeli lagi anak pokok petai, cukup dulu hanya 3 pokok bernilai hampir Rm60. Berjaya membesar dengan baik nanti akan ditambah lagi..Beli sedikit demi sedikit supaya tak terasa sangat mengeluarkan modal. Dah cuba tanam petai sepokok dan dilihat sangat serasi dengan tanah kebun. Penulis suka dengan pokok yang senang dijaga dan ada harga. 



Harini viral harga petai mencecah ratusan RM...tak taulah silap atau betul.. Durian yang lebih cerewet jaga pun pun tak semahal ini. 

Jangan pula ada yang menebang pokok durian dan digantikan dengan petai sudahlah, lagipun lambakan durian China bakal menyerbu pasaran.. Huhu..

Friday, May 26, 2023

Pokok Pisang Berbuah lagi...

Dalam Al-quran memang ada sebut, nikmat bertani apabila melihat pokok mengeluarkan hasil. Hati sangat berbunga.


Terpandang jantung pisang mula menjulur, hati girang bukan kepalang..




Ada juga yang menunggu masa untuk dituai.


Biarpun sebahagian bertandan tidak berapa besar, itu tak kesah..pisang lebih untuk kegunaan sendiri.



Pokok yang dipindahkan ke lokasi baru pun sudah berbuah...Ada lagi beberapa pokok yang menunggu masa berbuah.
 


Pokok kelapa tumbuh sendiri ini dulu nyaris mati sebab tiada yang ambil peduli ..rumput menjalar menyelubungi pokok . Apabila dibersihkan kini sudah mengeluarkan hasil. Biarpun buah kecik tapi air banyak. Lepas berkebun kait kelapa muda. Perghh...Segarr..!


Pokok kelapa ini pun mulanya  tidak diberikan harapan untuk hidup, entah kenapa tetiba daun kering dan pucuk bergulung...sebab itu anak pokok disebelah dibiarkan disitu sebagai ganti. Kini nampaknya ada sinar hidup semula, sudah kembali berbuah.




 Fuh nikmat apa lagi yang ingin didustakan. Biarpun dijaga lebih kurang, sampai masa pokok berbuah..Semangat memuncak untuk menanam nenas dikebun sendiri, cuma pagar keliling perlu diberi keutamaan. Leceh menumpang tanah orang, tak berani nak menanam nenas   dengan kuantiti yang banyak dalam tayar. Kotlah tiba-tiba tuan tanah ingin memajukan tanah, sukar juga melupuskan tayar-tayar yang bertimbun.

Berbeza dikebun sendiri ikut kita mencuba idea yang dirasakan sesuai.

Cukuplah cuma 30 pokok nenas ditanam didalam tayar di kebun tumpang, yang lain akan ditanam tanpa tayar..Nenas ok saja membesar didalam semak. Tayar lebih baik digunakan dikebun sendiri. Selain menjadi benteng teres, tayar yag sudah disi tanah langsung saja ditanam  pokok nenas...taklah terasa membebankan  membuat benteng teres nanti . Banyak tu nak guna tayar terpakai.


Jom jom berkebun..

Thursday, May 25, 2023

Telaga Tujuh Serendah...

Walupun bukan favorit, tapi kerap juga berjoging di Telaga Tujuh Serendah. 

Jika di Serendah lokasi riadah paling disukai adalah di Tasik Antara Gapi. Walaupun jauh kerap datang ke sini. Di sini memenuhi kriteria yang penulis suka. Jarak satu loop secukup rasa, ada laluan mendaki/menurun, pemandangan berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa sangat lawa, tempat sentiasa dijaga. Pendek kata puas berjogging disini.

Telaga Tujuh ni bukan tempat berjogging, kerana ketiadaan trek yang membentuk satu loop., ia lebih kepada tempat bersantai memanfaatkan lokasi bersejarah.

Tapi oklah kita berulang alik dilaluan masuk bertar ke taman rekreasi mini ini...Kepuasannya  berpusing di jalan yang sama sedikit kurang.

Menjadi rutin lepas berjogging  mencari tempat bersarapan...itu niat asal, mencari sarapan pagi di merata tempat sambil memanfaatkan kawasan rekreasi. 


Boleh saja memanfaatkan apa yang ada.. menuruni/menaiki  tangga..jika rajin boleh meredah trek offroad sehingga ke jirat cina..cuma leceh trek offroad, jalan lecak...





 
Telaga tujuh dimana tempat mendapat nama... air dari empangan mini memasuki 7 buah telaga sebelum dialirkan ke sungai..


Di ambang usia emas aset tak ternilai adalah kesihatan yang baik..jika waktu tak dimanfaatkan sebaiknya, nescaya masa terbuang bergolek kemudian tertidur. Bukankah lebih baik regangkan otot, keluarkan peluh dan berjemur pagi walaupun sekejap...




 Jika kemudahan trek sempurna disediakan penulis percaya ramai yang akan berjogging disini...

Wednesday, May 24, 2023

Syok Berkebun...

Sesudah subuh seawal 6.30 pagi  bertolak ke kebun. Bergerak lambat rugi masa terbuang dijalanraya kerana berebut jalan dengan warga ofis dan anak- anak sekolah. Perjalanan tanpa jem mengambil masa 45minit.. sempat bersarapan dulu di warong sebelum sambung ke kebun..jam 8 pagi selalunya dah sampai di kebun dan terus  berkerja..ingin memanfaatkan suasana dingin pagi sebelum matahari mulai menegak dilangit..Pukul 12 balik. Cukuplah datang sehari seminggu.


Alamak..macam takda tempat lain memacakkan khemah di laluan kami ke kebun. Minggu lepas hanya menghamparkan tikar, minggu ini siap dengan pangkin tempat tidur dan memasak. Entah apa dibenak pemikiran mereka. Kot yea pun nak pasang khemah janganlah ditengah2 laluan,  banyak lagi tempat kosong..usaha sikit menebas semak..

Kami pun usaha juga nak bina laluan cantik ini dulu sebelum Kembara boleh sampai ke kebun. Setahun kami siapkan laluan berbekalkan cangkul dan parang, dulunya belukar, angkut sedikit demi sedikit bahan binaan terbuang, batu, aspalt terpakai untuk dijadikan benteng cerun dan asas jalan supaya tidak licin ketika hujan.


Sementara mereka membongkar khemah, terpaksa kami menurunkan dulu bahan yang ingin dibawa ke kebun.. Tak mau membuang masa menunggu mereka siap membongkar..terpaksa menapak memikul peralatan dan bahan ke kebun.


Pekerja menara telco yang mengambil jalan senang memacak khemah dilaluan kebun. 

Menara ini sepatutnya dibina di kebun kami, tapi kerana ketiadaan akses, menara dibina ditanah jiran walaupun topografi lebih rendah..kebun kami dipuncak bukit 2 kali tinggi dari tapak ini.


Inilah suasana terkini kebun, pembersihan masuk hari ke2...Keseluruhan 3 hari diperlukan untuk membersih. Tiada penggunaan racun. Kebun hanya 1.2 ekar  mudah diuruskan. Mana-mana pokok yang  terbantut tumbesaran kita kasi tukar.


2 orang pembantu dibawa harini kerana banyak kerja yang dibuat, antaranya menanam pokok dan menanam tiang konkrit pagar. Kawat berduri dan zink dalam perancangan untuk dibina. Dah berpagar nanti baru bebas menanam pokok apa saja.

Pokok -pokok  buahan sudah hampir memenuhi sebahagian kebun. . Harini saja menanam 4 pokok avocado pelbagai spesis, 2 pokok asam jawa dan 3 nangka madu. Namun masih banyak ruang yang  boleh dimanfaatkan lagi.

Di masa akan datang teres-teres akan dibina supaya kerja pembersihan lebih mudah menggunakan mesin rumput tolak automatik. Tiada had waktu ditetapkan..bina secara santai menggunakan pahat dan cangkul. Sekarang memotong rumput agak meletihkan  menggunakan mesin galas di cerun-cerun bukit. Tayar terpakai akan dijadikan benteng supaya teres lebih rata dan landai..dalam masa sama benteng tayar akan ditanam dengan pokok nenas. 2in 1..Fuh dah terbayang deretan pokok nenas melingkari teres teres kebun sehingga ke puncak..


 Seronok berkebun jauh dari penempatan orang, segala pohon kering dibakar..tiada lagi batang batang kayu maupun tunggul kering menghalang kerja-kerja menebas. Kini membersih kebun lebih mudah.., dulu memanjang menukar tali mesin kerana mudah putus tertebas tunggul dan batang kayu.


Hati berbunga  bila melihat kebun bersih dan pokok membesar dengan baik. Rasa macam taknak balik...

Tuesday, May 23, 2023

Kembara Sendat...


Kalau buat kerja serba serbi lengkap itu yang terbaik, namun jika terdapat kekurangan, itu bukan   alasan..Kekurangan itulah cabaran.. Nikmat membuat kerja memanfaatkan apa yang ada itu kepuasan.



Pikap tiada, itu bukan masalah, biarpun Kembara kecil, tetap boleh sumbat 12 tayar terpakai. Disebabkan ada 2 orang ikut ke kebun, dapat memuatkan 7 tayar...belum lagi mesin rumput, chainsaw dan kelengkapan berkebun lain. 8 anak  pokok...fuh sendatt..



Setelah setahun berlalu, kini Kembara boleh menghampiri kebun.  Akses telah disiapkan dan tak perlu menapak seperti dulu lagi. Walaupun akses agak curam dan sempit, Kembara tetap mampu mendaki biarpun perlahan. Sayang Kembara.



Selain jaring hitam, tayar terpakai akan digunakan untuk melindungi anak pokok. Kelebihan lain kerja membersih rumput keliling pokok akan jadi lebih mudah. ...Apabila pokok telah membesar dan stabil tayar akan dibuang...harapnya pokok terhalang dari di sondol babi ataupun terkena tali/pisau mesin rumput...Keliling pangkal pokok akan ditabur dengan rambut dan pisau cukur terpakai. Biar babi serik bila hidung tersumbat rambut, lidah dan bibir luka tertoreh pisau cukur.

Yang dah tabur sebelum ini nampaknya berkesan. Kita tambah pertahanan lagi memanfaatkan tayar terpakai.

Tayar terpakai akan digunakan juga untuk membuat benteng teres- teres di tempat perlu..Apabila berteres nanti kerja memotong rumput lebih mudah menggunakan mesin tolak automatik, dah tak perlu menggunakan mesin galas. Kebun kecil, tiada keperluan meracun. Semakin lama kudrat semakin menurun, cara berkerja perlu berubah seiring usia. Tangga mendaki teres-teres turut akan memanfaatkan tayar terpakai.

Biarpun apa yang dirancang akan lama lagi siap ...itu tidak mengapa. Berkebun adalah maraton...buat sedikit tapi istiqamah. Sebab itu penulis hanya memanfaatkan dalam seminggu, setengah hari saja ke kebun. 

Biar buat sedikit demi sedikit yang penting... SETEL...






Monday, May 22, 2023

Nangka Madu...

 


Ini belian online pokok yang ke 6. Mula-mula dulu ragu juga untuk membeli pokok online takut mati bila ditanam. Maklumlah beberapa hari terperap ditempat gelap sebelum pokok diterima.

Penangan PKP memberanikan diri membeli, dan kini pokok ciku mega dan durian belanda hidup cantik ditepi rumah, cuma belum berbuah. Pokok tebu, bayam brazil  dan nenas pun beli online tanam  dikebun tumpang. 


Harini menerima pokok nangka madu untuk ditanam di kebun bukit. Melihat cara pembungkusan leceh juga, siap dengan dawai mata punai. Sepokok dalam Rm16. Cuba dulu beli 3 pokok..Jika habitat sesuai dan membesar dengan cantik akan diperbanyakkan lagi. Daun masih segar dan rasanya tiada masalah untuk hidup.



Deretan 4 spesis pokok avocado, nangka madu, asam jawa dan cherry yang menunggu masa untuk ditanam dikebun bukit.. 




Antara spesis pokok avocado yang dibeli berbuah besar boleh mencapai berat 1kg sebiji...

Lepas ini tambah lagi pokok petai pula. Dah tengok kedai online...

Wah wah..semangatt.


Sunday, May 21, 2023

Ubu Kayu...



Berkebun ni pelik, bila datang malas nak mengerling kebun pun malas tambah lagi dengan cuaca yang panas berdenting. Namun kelebihan berkebun, biar pun ada ketika malas  bertandang, pokok dikebun terus hidup walaupun tak secantik pokok yang  dibelai.

Jadi semasa  semangat datang, manfaatkan waktu, tanam lah pokok sebanyak mungkin, bersihkan kebun yang dah terlebih semak. Tabur baja taik ayam  lebih kurang..Lepas tanam.., tinggal.

Minggu ini semangat datang.. tak menang tangan nak tanam itu, tanam ini...kebetulan pulak hujan pagi huh seronok bercangkul membuat batas dalam hujan ..tanah pun lembut.

Cuba pulihkan pokok pisang yang sakit, tinggikan tanah keliling pokok..mana yang takda harapan hidup akan diganti dengan nenas. 

Pokok ubi empuk dah tanam 5 pokok, ganti pokok ubi putih yang dah terlebih banyak tanam., banyak yang dah matang..sampai tumbang pokok lama tak cabut... pindahkan lagi anak pisang pisang serendah yang sangat senang dijaga  4 pokok...penulis suka pisang ini, buah mengkal enak dimakan, terlebih ranum buat cekodok,  buah muda  sedap dibuat gulai kari.



Ubi putih yang di tanam dan tinggal..sepokok saja dapat lebih 2 kilo...kat kebun banyak lagi...Bukannya susah nak senang...

Apa lagi..jomlah berkebun..


Saturday, May 20, 2023

Avocado dan Nenas lagi...


Misi memanfaatkan waktu diteruskan. Tak sangka benih nenas yankee yang dibeli online tak sampai 5 hari telah sampai. Beli 10 benih kurang dari Rm 13 termasuk kos pos. Tak sempat lagi mengambil tanah bukit untuk di diisi dalam tayar terpakai. 

Nenas MD2 dan spesis lain yang dah tanam dari jambul ada lebih kurang 20 pokok. Tanam dan tinggal.



10 sulur direndam dulu sementara batas tayar siap. Pokok nenas lasak, rendam dalam air pun boleh hidup berakar sebelum dipindahkan di atas tanah. Nenas akan ditanam di tanah kosong depan rumah menggantikan pokok pisang yang mati...Tanaman  yang tak mau hidup kita tukar dengan pokok lain. Habitat tak sesuailah tu..daripada kawasan  dibiarkan semak elok ganti dengan  pokok lasak, sampai masa berhasil juga nanti...


Nak tanam nenas dikebun bukit sangat tak sesuai selagi pagar keliling kebun tidak dibuat..buang masa dan tenaga menanam pokok yang diminati babi. Dulu dah cuba tanam beberapa pokok..Bersepai..



4 spesis pokok avocado beli dari rakan pun dah sampai...begitu juga dengan pokok asam jawa dan cherry.. pokok katak berian jiran yang disemai pun sudah hidup..Pokok nangka hibrid pun telah menerima notis shopee tak lama lagi tiba. Semua ini akan ditanam di kebun bukit menggantikan mana- mana pokok yang dikenal pasti terbantut tumbesaran. Antaranya pokok durian belanda dan durian anak.. Kita tak mau membelai pokok yang susah nak tumbuh. Mana yang senang hidup itulah yang akan dibanyakkan. Pokok petai pun kelihatannya sesuai dan akan diperbanyakkan.

Pokok nangka yang dah ditanam sangat cantik sekali tumbesaran.  Avocado pun sesuai dengan tanah dikebun bukit, dulu dah pernah tanam dan membesar dengan baik tapi disondol babi sebelum sempat dipasang pagar hitam keliling pokok. Kali ini cuba tanam lagi. Harapnya tidak diganggu.

Huh cabaran berkebun bukan senang. Dah hidup dan berbuah nanti  lain pula cabarannya.. 

 Tak mengapa kita usaha selainnya berserah...

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK