click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Sunday, May 29, 2022

Bunga Air Mata Pengantin Menangis...


Tak pasti kenapa dinamakan Bunga air mata pengantin menangis. Tengok di nurseri tadi harganya mahal yang amat bersekali dengan pasu hiasan RM 40. Tak tergamak berhabis duit membeli pokok yang boleh disemai sendiri.

Pokok ini menjadi kegilaan kaum hawa sebab rajin berbunga dan bunganya yang cantik sebab itu barang kali harganya melambung. Begitu juga dengan pokok keladi daun bewarna warni, entah kegilaan apa yang menyebabkan harganya begitu mahal, padahal di kebun kampung- kampung bersepah- sepah keladi spesis ini.




Hah menyemai sendiri pokok bunga menangis. Meminta benih di nurseri semasa membeli pelbagai anak pokok buahan tadi. Pokok bunga disemai sebagai persediaan membela kelulut di kebun. Pokok dah membesar nanti boleh dikembang biak lagi, akan tanam di setiap tiang pagar kebun. Kawat berduri boleh menjadi para-para pokok bunga menjalar.

Meninjau sahabat- sahabat yang membela kelulut, rasanya kebun bukit sangat sesuai untuk habitat kelulut, persekitaran pokok hutan banyak, selain redup sumber makanan pun banyak. Banyak dusun buah buahan dan herba hutan. Kelulut dikatakan boleh mencari makanan sehingga jarak lingkungan 1km. Jika kelulut serasi, tak perlu bersusah payah memberi makanan. Sampai masa sedut madu...

Ini salah satu cara mengoptimakan penggunaan tanah yang kecil. Nak tanam sawit tak cukup luas, lagipun kudrat tak cukup untuk mengusahakan sawit. Nak tanam durian manja penjagaannya ..Tanam main-main bolehlah..tapi untuk tujuan komersil perlukan kegigihan yang tinggi.

Jom jom jadi saudagar kelulut hehe..

Wednesday, May 25, 2022

Villa Kebun Updates


Hari ke 2 minggu ke 2 pembinaan pondok kebun.

Rangka lantai tingkat satu dan tingkat 2 selesai. Nampak macam senang tapi payah. Yang meletihkan adalah mengangkut pokok yang telah ditebang ke kawasan binaan. Pokok yang dipilih adalah jenis kayu keras dan berat, berapi chainsaw untuk menebangnya.
  Keadaan kebun berbukit, 3 kali lebih penat berbanding kebun mendatar.

Seminggu rihat berpeluang mengembalikan semangat. Jika penat masih lagi mengejar waktu untuk menyiapkan pondok nescaya dibuat janji siap. Ini yang tak mau. Tempoh rehat ini boleh digunakan dengan membelek gambar-gambar perkongsian fb rakan kebun.



Kita bukan tukang, walau sehabis baik menukang hasilnya pasti tak sama dengan tukang pro.

Untuk meminimakan menukang, binaan akan mengekalkan konsep terbuka supaya pemandangan keliling tidak terhalang selain angin bebas menerjah.

Selepas ini akan menyiapkan dulu lantai. Sukar dan bahaya untuk mendirikan rangka bumbung jika tiada platform berkerja.




Pembinaan pondok ini hampir 95 peratus menggunakan bahan dikebun., Hanya penutup bumbung dan kayu batten yang dibeli. Nak cepat siap senang menggunakan atap zink, selain panas dan susah untuk dibawa ke puncak, atap zink mudah kemek jika tak pandai memasangnya manakala atap genting tanah liat kelihatan lebih kemas cantik dan  mudah menyusunnya.

Harga keseluruhan mungkin sedikit mahal berbanding atap zink tapi tak jauh beza dengan atap genting simen. Genting tanah liat design paling murah Rm3 sekeping, keperluan pondok dalam 500 keping, kos transport agak mahal RM300 sebab kilang di Kluang Johor, jika dekat mau saja mengambilnya sendiri.

Harap-harapnya bila disolek sana sikit, sini sikit keseluruhan pondok nampak  berketerampilan juga setelah siap kelak.    

Thursday, May 19, 2022

Peria Katak dan Kacang Botor...



Kalau ikutkan semangat semua sayur nak tanam, tapi mengenangkan cubaan terdahulu menanam beberapa pokok terung, kacang panjang tomato gagal, lupakan dulu hasrat itu. Pokok bendi hidup tapi berbuah sedikit dan cepat sangat matang tak sempat menikmati hasil.

Percubaan kali ini nak cuba tanam peria katak dan kacang botor atau kecipir. Menurut bacaan, pokok ini mampu bertahan sehingga 3-4 tahun, penjagaan pun tak begitu cerewet. Jenis tanaman begini yang penulis suka, tanam sekali menuai hasil berkali-kali sehingga jemu. Khasiat pun banyak.
Zaman kanak- kanak dulu selalu tanam kecipir sebab mudah hidup.

Benih tebu dah siap tanam. Tak perlu direnung hari- hari. Biarkan saja dia membesar sendiri. Sampai masa adalah hasilnya nanti. Keladi dua batas mini dah boleh dirasai hasil, walaupun nanti hasil tak secantik yang dibeli dikedai, untuk kegunaan sendiri oklah...Anak pokok keladi banyak dah boleh dipindahkan ke batas baru.

Jom jom kita berkebun...peluh dapat hasil tanaman pun dapat.

Wednesday, May 18, 2022

Villa kebun...


Pembinaan pondok kebun telah bermula. Asalnya ingin membina pondok diatas bukit. Untuk menjimatkan tenaga mengangkut kayu ke puncak bukit, pondok kebun dibina di kedudukan lebih rendah. Pemandangan keseluruhan tidak cantik tapi lebih redup dan nyaman. Pokok- pokok berkayu keras, tinggi dan rimbun banyak di sebelah bawah. Senang memilih pokok untuk dijadikan tiang. Dan lagi jika pemancar telekomunikasi jadi dibina, lokasi pilihan terdahulu sangat hampir dengan pemancar . 


Bahagian kaki bukit terdapat banyak pokok bersaiz 4-6 inchi, sesuai untuk rangka pondok.


Pokok yang berukurlilit lebih besar dibelah menjadi papan lantai. Tak sangka pembantu berkebolehan membelah kayu. Nak pakai pun tak banyak dalam 30 keping papan lantai 8', cukup rasanya 4 pohon pokok.

Keseluruhan pondok memanfaatkan apa yang ada dikebun kecuali bumbung yang perlu dibeli. Mengatasi masalah akses ke puncak, tile bumbung terpakai akan diguna, selain nampak lebih kemas, ianya senang diangkut sedikit demi sedikit. 




Tiang utama memanfaatkan 4 pokok keras, hanya perlu menambah 3 tiang sebagai pengukuh rasuk. Tak cukup dengan skru, rangka diperkukuhkan lagi dengan paku.


Rangka lantai aras satu telah siap, cukup dulu untuk hari pertama. Bila kerja dibuat tidak tergesa-gesa mutu buatan diharap lebih baik dan kemas.

Agar lebih tahan lama, kayu akan dirawat dengan minyak enjin terpakai yang dicampur dengan kapur barus, sesudah itu disembur lagi dengan racun anai anai..Harapnya berkesanlah perkongsian orang ramai yang dikongsi di Utube.




Lakaran hanya sebagai panduan, perlu dibuat pengubahsuaian untuk disesuaikan dengan keadaan di lapangan.

Cuma yang nyata tiada dinding akan dibuat sekadar pagar ringkas. Selain penjimatan wang, ruangan terbuka lebih memberikan pemandangan persekitaran yang tidak terhalang, pengudaraan dan pencahayaan lebih baik.

Khemah akan dipasang jika ingin bermalam dikebun. Lampu solar akan dipasang, unggun api akan dinyalakan untuk menerangi persekitaran.

Wah seronok dapat berkhemah sambil berBBQ bila pondok telah siap nanti.






Thursday, May 12, 2022

Benih Tebu Telur...

Mudah..mudah dan sangat mudah

Memang betul lah jika dikatakan perniagaan secara atas talian adalah perniagaan masa kini dan akan datang. Cukup dengan kedai maya, tiada keperluan kedai fizikal yang harga semakin mengarut, manfaatkan saja ruang yang ada.

Berjam ralit membelek pelbagai jenis barangan yang dipamirkan secara maya, mengalahkan meninjau kedai fizikal,

Penulis pernah beli anak pokok pelbagai saiz dari merata Malaysia dengan hanya melihat skrin telefon. Pokok pun sedang membesar dengan suburnya. Tumbuhan hidup pun boleh dibeli dari atas talian inikan pula barangan lain.



Kekadang barangan yang tidak terfikir rupanya ada dijual. Pemicu dan getah lastik pun ada jual. Penulis dah beli dan tunggu barang sampai.


Untuk mereka yang banyak pokok tebu dipersekitaran mesti gelak jika ketahui ada yang membeli benih pokok tebu..tapi sebenarnya ramai yang mencari benih itu, jika tidak masa kan beribu benih tebu telah terjual oleh penjual yang sama.

Penulis dah lama ingin menanam tebu, tapi malas mencari dan meminta benih dari jiran- jiran setaman, cari di kedai online, ada rupanya..harga sebatang 7 inchi 70 sen, beli 5 batang termasuk kos pengiriman tak sampai RM10..kira oklah tu.

Benih dah sampai, In sha Allah hidup nanti tak terhabis makan. Krup krap.. krup krap..kunyah dan hisap air tebu sambil cabut sisa yang terlekat dicelah gigi.. Begitulah dulu permulaan dengan tanaman ubi kayu dan pisang. Bermula dengan dua 3 benih, sekarang ni berpuluh rumpun dah tak tau kat mana nak ditanam benih-benih yang banyak, nak dibuang sayang. Ruangan kosong hampir penuh dengan ubi, pisang.. ubi, pisang...bila kebun bukit telah berpagar nanti boleh pindahkan dan tanam di sana pula...


Pagar kawat yang dibeli sedikit demi sedikit secara atas talian juga telah tiba...tengok di kedai online tiang pagar konkrit pun ada dijual . Fuh, Sabar...


Thursday, May 5, 2022

Selamat HariRaya Aidilfitri 2022...

Topik hangat raya tahun ini pastinya pasal raya awal yang tidak dijangka. Sangkut jem masa pergi dan pulang beraya ke kampung menduduki carta ke 2.




Bagi ibu-ibu yang biasanya menyediakan juadah pagi raya terasa kalut lah kot,  ada yang terpaksa bersengkang mata ingin menyiapkan juga menu raya.

Sepatutnya tak payahlah ribut-ribut, kita bukan pertama kali beraya, hadap saja apa yang sempat..lagipun syawal kan sebulan.

Majlis berbuka puasa kami Ahad malam Isnin bertukar menjadi makan besar malam raya. Kebetulan adik beradik berkumpul di di rumah kakak malam itu. Juadah malam bersambung menjadi juadah pagi raya.



Menu nasi ambeng dan makanan laut..Ber shell out kami..


Hari raya ke 3 berkumpul adik beradik di kampung halaman sebelah isteri. Bukan mudah mengumpulkan 12 orang adik beradik jika tiada perancangan awal dibuat. Namun demikian 3 keluarga tidak dapat turut serta. Adat orang berkeluarga giliran keluarga sendiri dan mertua perlu diambil kira.

Selalunya bila pengikat keluarga, ibu bapa telah tiada, kampung halaman jarang dijenguk, melainkan memang kekal tinggal dikampung tersebut, maka perlu dikalangan adik beradik mengatur pertemuan  setidaknya di hari besar begini, jika tidak rumah pusaka akan lesu tanpa pengunjung.


Kesesakan Pantai Pandak Kuala Trengganu sangat luarbiasa raya kali ini. Bersembang dangan pengunjung ternyata kebanyakkannya bukan orang tempatan. Barangkali ramai melepaskan geram tak dapat beraya 2 tahun kerana PKP. Beraya sakan ditambah dengan poket sedikit tebal  dapat  keluar duit khas kwsp...

Monday, May 2, 2022

Kereta Pun Mahu Duit Raya...


Baiki rosak, baiki rosak, baiki lagi... simptom kereta berusia lebih 5 tahun macam nilah, mujur hanya kerosakan kecil lampu utama. Model Perdana ini soket lampu mudah panas dan mencair, kemudian lampu tidak menyala. Pernah terkena lampu tetiba padam ketika memandu malam hari di Lebuhraya Karak- Kuala Lumpur, fuh terpaksa mengekori kenderaan hadapan untuk menumpang lampu.

Jika kereta masih didalam waranti pengeluar, selalunya set lampu keseluruhan diganti baru. Tiga ribu lebih juga, mengarut masalah soket dan mentol perlu ditukar set lampu keseluruhan.




Tak sampai seminggu baiki, lampu tidak menyala lagi. Sesudah dibaiki lampu pun tidak begitu terang.


Mujur hariraya pertama kedai aksesori kenderaan dibuka.
Hari raya ke 2  ingin berjalan jauh ke Pantai Timur, tak mau peristiwa lampu tetiba padam berulang, maka mentol ditukar kepada HID berharga RM350 satu set termasuk booster. Mentol standard xenon berharga RM20-30, mentol HID ini yang lebih terang berharga Rm90 satu.

Kira oklah berbelanja banyak itu, kereta pun telah berusia lebih 5 tahun ..Harapnya tahanlah lagi untuk beberapa tahun mendatang ..

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir Batin.

Sunday, May 1, 2022

Rumah oh Rumah...




Bukannya mahu lari dari cabaran, tapi jika diluar Lembah Kelang itu lebih menjanjikan kehidupan lebih berbaloi, kenapa harus dilepaskan peluang itu.
Anak sulung penulis bertugas di utara tanah air, sewa rumah murah, barangan keperluan harian lebih murah, hantar anak nursery masih murah dll berbanding 3 yang lain berkerja di Lembah Kelang. Sangat ketara perbezaannya.

Kehidupan masa hadapan Lembah Kelang, rumah bawah  tidak akan terjangkau oleh orang kebanyakan. Kadar inflasi tinggi, kenaikan harga rumah, tidak setara dengan kenaikan gaji.

Lebih 30 tahun gaji permulaan graduan lebih kurang sama, sedangkan harga rumah telah meningkat berkali lipat. Dulu rumah kos rendah ditetapkan pada harga 25 ribu kemudian 40 ribu kini rumah Prima berbelas/berpuluh tingkat minima RM150 ribu. Jika pemaju persendirian susah untuk dapat rumah bawah 250 ribu. Harga makin mahal dan keluasan lantai semakin mengecil.

Untuk rumah-rumah berhampiran dengan pengangkutan awam LRT, MRT dll harga yang ditawarkan kini berharga dalam 600sekaki persegi. Bermakna rumah 1000kps sudah berharga 600ribu. Tak mungkin graduan baru kerja mampu membeli unit sebegini melainkan dibantu oleh keluarga.

 Untuk berkompromi dengan harga yang mahal maka pemaju berlumba- lumba membuat unit rumah berkeluasan kecil. Rumah yang hanya sesuai untuk orang bujang atau pasangan baru. Membeli mahal menyewa pun mahal.

Jika rezeki memang di Lembah Kelang, apa nak buat kena hadapi juga. Daripada menyewa mahal lebih baik membeli. Nasib penyewa ditentukan oleh tuan sewa,  terdedah dengan risiko berpindah- randah, jika tuan rumah ingin mengambil semula unit itu atau menaikkan sewa. Inilah yang terjadi dengan anak ke 2 penulis, dalam masa 5 tahun sudah 3 kali berpindah.

Tiada pilihan melainkan membeli, tak mengapa jika permulaan hanya mampu membeli unit kecil, boleh menaik taraf jika kewangan mengizinkan. 





Menemankan anak ke 2 melihat rumah berkeluasan 1089kps berusia hampir 10 tahun untuk dilepaskan. Segera menyambar bila harga ditawarkan dibawah harga pasaran. Unit berdekatan dengan LRT dengan fasiliti condo. Kawasan pun cantik. Pemilik asal membeli untuk dijadikan rumah percutian sebab itu unit masih utuh cantik. Kelebihan unit terpakai, serba serbi lengkap, cuci kaki terus masuk.

Biarpun bayaran bulan lebih tinggi berbanding jika menyewa, tapi risiko berpindah randah berjaya dikurangkan, lagipun membeli rumah tidak rugi, setiap sen yang dilaburkan tidak akan hilang kerana harga rumah akan kekal meningkat...






 

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK