click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text
Showing posts with label servis kereta. Show all posts
Showing posts with label servis kereta. Show all posts

Sunday, August 30, 2026

Old is Gold

Keluaran 1998 sehingga kini masih padu. Untuk destinasi dekat atau ke puncak kebun memang telah teruji, sejak di overhaul dan dibuat pelarasan enjin, sangat tangkas memanjat bukit.., ketika awal-awal dulu,  lembab untuk  memanjat . 

Bunyi enjin mengaum, kini lebih lembut..Cuma kekurangan, ketika  jem melekat AC menjadi tidak begitu sejuk, berpunca dari kompresor yang sudah agak uzur, tapi tidak seteruk dulu sesudah diservis.. Pada pemanduan biasa AC cukup sejuk, tiada keperluan untuk menukar kompresor baru. 




Semalam teruji  membawa jalan jauh  dan memasuki pusat bandar Kuala Lumpur ketika orangramai bersesak ke segenap destinasi sempena cuti panjang hujung minggu bersambung cuti merdeka Isnin. Hati tetap risau kotlah enjin terlampau panas, alhamdulillah AC dan enjin lulus. Penggunaan minyak petrol 4wd memang agak tinggi untuk jarak pemanduan dalam 300+ km, hampir habis Rm50



Sekembali jalan jauh terus membeli lampu hadapan, kita kasi solek biar semakin berketerampilan, rumah lampu sediada pun dah pecah selain  cermin sudah terlalu pudar. Lampu terpakai original model Terios Sepasang RM200.

Motor cermin tingkap juga perlu ditukar, walaupun telah ditukar 2 kali tetap rosak lagi, barangan ciplak online, memang tidak boleh diharap.


Biarpun kenderaan kebun, tidak pernah tersisih dari dikilatkan...


Berkilat...

Sunday, August 2, 2026

Camper Ativa...

Adat kereta lama mula lah demam sana sini. Kereta pun telah berusia 11tahun, sepanjang penggunaan hanya  3 penyakit yang mengacau fikiran.

1. Bearing tayar 

Setakat ini  2 kali bearing ditukar..isunya tak kritikal hanya bunyi berdengung menganggu konsentrasi pemanduan..Tukaran kedua pomen memaklumkan pemasangan bearing terdahulu tak betul disalah satu tayar. Dah tukar selesai masalah.

2. Push start button..sekali ditukar baru

3. Autolock gear.

 Yang ini  membuat jiwa kacau. Gear autolock tidak mau terbuka. Ketika enjin dihidupkan, gear lever kekal di P tak boleh diubah ke mode D. Walaupun telah dihantar beberapa kali ke bengkel kes ini tetap berulang. Setiap kali jem  terpaksa menggunakan khidmat trak tunda untuk dihantar ke bengkel. 

Terbaru kejadian ke 3 isunya kecil saja, getah bush bearing gear lever pecah, ikutkan kos bush itu hanya rm5 tapi upah membuka pihak bengkel mengenakan bayaran RM115.





Isu lain takda, bateri tu biasalah lepas 2 tahun mula lah minta ditukar baru..



Pemanduan Iriz memang mantap, cuma hati berdebar bila sudah beberapakali mengalami isu yang sama..Walaupun sekadar kereta basahan, hati tak tenang untuk memandu jauh sedikit dikhuatiri gear buat hal lagi.. 

Kejadian kali ke 2 sudah berhasrat berpisah namun kedai kereta terpakai menilaikan kereta tersangat rendah, daripada menjual pada harga murah lebih baik simpan, cuma kena sediakan bajet jika berlaku sebarang kerosakan, kereta pun sudah lama langsai hutang.

Kejadian kali ke 3 menoktahkan kesabaran, terkena lagi dihadapan kedai tomyam..Kita pun gatal membuka mulut untuk menjual dengan harga sekian, lebih tinggi dari harga kedai kereta terpakai namun lebih rendah dari harga pasaran. Rupanya tawaran bersambut tauke tomyam yang kebetulan sedang mencari kenderaan untuk menghantar mengambil anak ke sekolah..Setelah tawar menawar kereta berpindah milik dengan 3 kali bayaran.
 

Sebagai ganti Ber Ativa kita...

Wednesday, May 13, 2026

Starter Kembara...

Bila menghidupkan enjin  kadangkala kedengaran bunyi bising. Mungkin starter sudah dipenghujung hayat..

Semasa mmenukar kepala blok  enjin dulu pomen sudah memberitahu, kemungkinan starter bermasalah, ketika itu bunyi tidak begitu kuat, kini hanya dengan bateri baru, baru  boleh menghidupkan enjin..

Daripada bermasalah di ceruk kebun, starter ditukar baru.. Satu set berserta upah RM360.



Saturday, April 12, 2025

Repair & Servis Aircond Kembara...

AC Kembara tetiba tidak sejuk, mula mula hanya tidak sejuk ketika berhenti, kemudian langsung keluar angin panas sepanjang masa.

Kalau AC kenderaan tak sejuk selalunya dikaitkan dengan 4 komponen penting AC samada tidak berfungsi atau pun terdapat kebocoran menyebabkan gas habis.

Kompresor
Cooling coil
Kondensor
Piping dan injap

Setelah ac Kembara dihantar ke bengkel dan diperiksa ternyata terdapat kebocoran pada cooling coil.

Setakat ulang alik ke kebun, Ac tak begitu mendesak sebenarnya, lagipun ketika mendaki bukit kebun AC terpaksa juga di off kan untuk mendapat tambahan kuasa mendaki.





Ini lecehnya bila komponen kenderan menggunakan sistem elektronik..motor tingkap telah 2x dibaiki ermm rosak lagi, barang oem langsung tiada kualiti. Lepas ni ingin menukar sistem turun naik tingkap secara manual..biarpun tidak canggih iyanya lebih praktikal serta tahan lasak untuk kenderaan kebun.
 


Bila tingkap  boleh diturunkan, selain bermanfaat ketika AC rosak, barangan panjang boleh dijulurkan melalui tingkap sebelah penumpang. Lebih mudah untuk mengangkut berbanding terpaksa membuka bonet belakang...

Memandangkan motor tingkap pun telah lama jem, mau tak mau AC kena juga dibaiki. Tak sanggup berpanasan tanpa udara luar.


Kerugian membaiki dan servis AC adalah RM498.

Tuesday, January 14, 2025

Pam Angin...


Selain peralatan mengganti tayar, rantai penyelamat/ chain block... peralatan asas lain Kembara Kebun wajib ada adalah pam angin. Membeli yang paling asas. Biarpun terdapat pam angin dilengkapi dengan meter tekanan, tetap memilih tanpa meter kerana berharga jauh lebih murah..Bersaiz sama, harga dilengkapi meter tekanan Rm54, tanpa meter Rm27. Dalam keadaan terdesak cukup mengepam tayar janji boleh sebelum mengepam sepenuhnya di stesen minyak berdekatan. 



Tuesday, January 7, 2025

Servis Kancil...


Antara 5 kenderaan mampu milik yang masih gagah dijalanraya dan berada diposisi teratas adalah Kancil. Suka melihat kereta ini dijalanraya..Comel..Asalkan dijaga dengan baik kereta ini jarang memberi masalah..Penjagaan dan minyak pula mesra poket..setakat untuk penggunaan harian, Kancil adalah terbaik..Mileage terkini 181500 KM.

Sesuai dengan peningkatan usia terdapat kebocoran minyak enjin, tapi tidak serius..asap ekzos berbau minyak dengan warna keputihan menandakan enjin mulai bermasalah dan perlu di overhaul..Kembara Kebun sesudah di overhaul kini sangat selesa dipandu..Selain enjin sistem cut off aircond adakala tidak berfungsi dengan baik. 


Setelah ditimbang- timbang hati berat ke arah menukar enjin halfcut. Semua sistem termasuk gearbox, aircond dan kemasan dalaman ditukar kepada model enjin lebih moden dilengkapi turbo. Rasanya mau disolek luaran juga ..pasang skirting, tukar rim baru lebih besar supaya lebih berketerampilan...

Fuh walaupun usia makin meningkat, semangat kena muda..



Monday, October 21, 2024

Tayar & Driveshaft Kembara..

Dah dikenalpasti kenapa terkoyak tayar kembara, rupanya terlanggar pangkal tunggul tajam di tempat parkir biasa kebun.



Dah cuba cari tayar terpakai, tapi tiada stok jadi belilah 2 biji tayar baru..lagipun tayar ganti sediada sudah uzur dan kelihatan merekah..

Sebiji tayar Toyo Rm240..



Driveshat ini pun sudah sampai masa diganti baru..bila membelok berbunyi seperti nak tertanggal tayar..Krek.. kek.. kek...sangat bahaya lebih lagi jalan ke kebun tu teruk.. Naya jika menuruni atau mendaki bukit tercabut tayar..

Satu set Rm600..


Tambah lagi buat alignmen tayar Rm25..Jumlah kerugian Kembara Kebun RM1105..


Mujur periksa dulu stor, rupanya ada set peralatan asas membuka tayar  jack, spanar dll..

Semua dah tukar, kelengkapan dah ada, yakin lah memanjat Bukit Fraser nanti..bercamperKembara di sana..

 Berangan itu percuma...hehe

Thursday, August 22, 2024

Stiker Kembara...

Biarpun kenderaan kebun sebolehnya keterampilan biarlah bersih dan hensem., tapi apa yang kita inginkan tak sepenuhnya jadi kenyataan. Penggunaan lasak memungkinkan cat robek sana sini. 



Terbaru bumper terperosok  ke pokok semasa tergelincir menuruni bukit ketika hujan. menyebabkan penyokong bumper bengkok dan cat terkopek.. hantar bengkel dah tentu disuruh cat satu bumper, paling kurang Rm300.




Membelek kedai maya  banyak stiker cantik dijual ..termasuk post tak sampai rm10..

Kita tampal stiker kucing..Ukuran dibuat sebelum membeli tapi yang tiba terkecil lah pulakk..Kalau dapat saiz lebih besar memang cun..ada sticker anjing lebih besar, walaupun sekadar stiker macam tak tegar menampal gambar anjing...

Takper nanti cari stiker lain...


Monday, July 29, 2024

Compressor AC Kancil


Perbaiki  AC tak sampai 2 hari dah masuk bengkel semula.. langsung tak sejuk., rupanya compressor AC bocor. Sebelum ini buat flushing dan tukar piping saja. 

Compressor beli online RM150 termasuk pos..beli di kedai alatganti hampir Rm500 tak termasuk upah pasang..cuma risiko beli online ni lecehnya nanti jika ada masalah walaupun ada waranti setahun..dengan perbezaan harga begitu ketara, berbaloi mengambil risiko, lagipun berdasarkan review pelanggan beratus memberi maklumbalas positif.

Bila AC sejuk barulah syok melenjan Kancil..

Sunday, July 21, 2024

Kancil Basahan..




Kancil sangat selesa dipakai sebagai kereta basahan, berbanding kereta famili atau Kembara Kebun, Kancil basahan  kita tak khuatir pakai dengan lasak, tak kesah jika badan berpeluh  berjogging, boleh sumbat barang basah pasar, senang menyelit parking di masjid/surau..terlanggar lubang hati masih tenang, paling penting minyak jimat, rm 30 boleh tahan lebih seminggu...


4WD Kembara Kebun  biarpun kecil tapi terasa berat dan kuat makan minyak.


Mentenen Kancil juga mesra poket, cuma bila kena baik pulih  major, barulah berbelanja lebih. 


Untuk mengekalkan keselesaan dan keterampilan, AC ditukar set baru..begitu juga dengan lampu utama, yang lama dah uzur kekuningan..Biarpun badan bersih berkilat, kereta tetap nampak buruk..Bila dah tukar  lampu, penampilan lebih segar.. Wiper depan belakang, radiator  dan gasket enjin turut ditukar kerana bocor  yang serius...kerugian dalam RM1300. 


Kereta tua geran ditangan sesekali kenalah berbelanja lebih...


 

Thursday, May 30, 2024

Visor Tingkap Kembara

Semua aksesori Kembara yang dibeli online telah sampai...

Visor ok puashati, penghadang cahaya agak kureng..penghadang berjaring tersangat jarang tidak menepati matlamat untuk menghalang pemandangan dalam kabin.

Suis tingkap utama telah dipasang, namun hanya satu suis berfungsi...rasanya ada masalah pendawaian..

Sebelum dipasang visor ibarat kening botak..



Setelah dipasang ibarat kening beralis hitam lebat gitu..

Cermin tingkap boleh diturunkan ketika di parkir terbuka supaya suhu dikabin tidak seperti oven. 


Dengan adanya visor, tingkap CamperKembara masih boleh diturunkan walaupun hujan untuk pengudaraan di dalam kabin. Dengan bantuan kipas, udara segar luar boleh disedut masuk manakala  udara panas  kabin ditiup  oleh unit kipas lain keluar melalui tingkap yang lain pula. Tidur malam akan menjadi lebih selesa.


Apalagi jom jom bercamping..

Tuesday, May 28, 2024

Aksesori Tambahan Kembara




Misi melengkapkan keperluan CamperKembara diteruskan.

Pengalaman bermalam 2 kali terdahulu memberi petunjuk penambahbaikan.  Kembara setelah menjalani proses baikpulih intensif semakin mantap dan lebih konfiden untuk dibawa ke destinasi lebih jauh. Seiring dengan itu kelengkapan CamperKembara perlu dipertingkatkan untuk keselesaan bermalam.


Penghadang cahaya✅

Pembelian telah dibuat online. Ini adalah alternatif murah berbanding pemasangan tinted tingkap. Keseluruhan harga dlm Rm35 termasuk cermin hadapan dan belakang.. Walaupun tidak sesempurna tinted namun memadai untuk menghalang pemandangan menjolok mata didalam kabin seperti kelengkapan barangan  bercamping  apatah lagi ketika  berbaring  di parkir awam. 

Visor Tingkap✅

Kanvas sisi telah dibeli dan sangat praktikal dipasang di parkir persendirian atau terpencil namun tidak sesuai digunakan di parkir awam seperti di RnR. Visor adalah pilihan terbaik menggantikan kanvas sisi. Tingkap masih boleh diturunkan sedikit tanpa risau kabin basah ketika hujan. Pembukaan cermin tingkap penting untuk pengudaraan didalam kabin

Suis utama tingkap✅

Ini merupakan penggantian kali ke 2..Bahan OEM tiada jaminan kualiti, bergantung kepada nasib...pembelian terdahulu hanya bertahan beberapa bulan. Jika tingkap jem, tidak dapat pe gudaraan kabin walaupun dibantu dengan kipas melainkan menggunakan aircond.

Harga suis dalam RM35

Lampu utama depan❌

Masih boleh digunakan hanya kelihatan lusuh, namun bercadang menggantikannya untuk lebih berketerampilan..Harga sepasang dalam rm300

Lampu signal belakang❌

Sama dengan lampu utama harga sepasang dalam RM40.


Kunci pintu belakang ❌

Pintu tidak bertutup rapat..bunyi bergegar menyakitkan telinga...kunci pintu yang lain telah ditukar baru, cuma pintu belakang rosak terkemudian. 

Seunit Rm45


Kipas mini ✅

3 unit telah dibeli, namun 2 unit tersangat tidak berkualiti harga bawah Rm15 seunit, bateri tidak mampu bertahan lama..pembelian model terkemudian sangat menepati spesifikasi..bateri mampu bertahan melebihi 10 jam penggunaan berterusan. Waktu malam memadai menggunakan kipas dengan tingkap diturunkan sedikit untuk mengalirkan udara segar ke kabin. 

Seunit  kipas tambahan berharga Rm55. Sedikit mahal tapi berbaloi...

Pengikat tilam/Talipinggang Tilam✅

Pengikat berbentuk talipinggang dapat mengikat gulungan tilam supaya mudah diusung selain kemas  tidak menyepahkan kabin. Apabila barangan camping kemas tersusun tidak menyakitkan mata..

Seunit 1.8m RM2.50


Powerbank❌

Perlu sentiasa tersedia untuk kelengkapan tambahan.


Ada beberapa kebun rakan yang ingin dikunjungi..Dusun Durian Jelebu.N.Sembilan...Dusun Durian /Nangka Kerling, Selangor, Kebun Nangka Temerloh Pahang..Kebun Sawit Chaah Johor dan banyak lagi..


Jom jom bercamping..

Friday, May 24, 2024

AC Kembara...

 


Sistem AC perlu mantap untuk dapatkan hasil mantap. Kompresor baru tukar, AC ok sejuk bila kenderaan bergerak, jika berhenti atau bergerak perlahan terutamanya  ketika jem rasa kurang sejuk..mesti ada yang tak kena. 

Harini membuat servis AC, kalau dibiarkan begini nanti kompressor  terbeban untuk mengekalkan kesejukan kabin...sepatutnya boleh berehat dengan adanya sistem cut off apabila suhu kabin telah mencapai kesejukan tertentu...





Sejak Kembara dibeli tak pernah membuat servis AC major, pemilik terdahulu pun rasanya sudah lama tidak membuat servis berdasarkan keadaan enjin Kembara. Kondensor perlu dibersihkan, sistem piping perlu di buat flushing, keluarkan kekotoran di dalam paip yang menghalang kelancaran pergerakan cecair penyejuk.

Bila keseluruhan kenderaan mantap akan semakin syok bawak Kembara..Enjin sudah tidak lagi  mengaum kasar, sedap didengar  telinga., yakin menempuh jem tak khuatir suhu meningkat mendadak...AC pula sejuk beku fuh...

Bawak berjalan jauh ada sikit konfiden. Hujung minggu ini ingin bercamping di kolam ikan kebun rakan, Behrang..

Kos servis termasuk menukar belt AC RM210

Kembara... biar pun tua semakin klasik... ko tetap dihati...

Thursday, March 28, 2024

Kompresor AC Kembara



Memiliki kenderaan lama hati perlu terbuka menghadapi kemungkinan kenderaan rosak. Walaupun telah membuat baikpulih major pada enjin, akan tetap berlaku masalah pada komponen lain yang memang telah berusia. Kembara ini enjin dah cun, berbunyi lembut, tidak lagi mengaum, cuma baru ini mengalami kerosakan pada kompresor AC...Bila bearing kompresor jem kenderaan langsung tak boleh dihidupkan. 

Masalah bermula bila mekanik membuat pintasan kabel kompresor terus ke bateri,  tidak melalui sistem cut off atas sebab-sebab tertentu..Jika tiada pintasan, kerosakan kepada  kompresor   tidak mengganggu sistem enjin yang lain.

Pintasan terus ke bateri menyebabkan kompresor akan terus berkerja walaupun suhu dikabin telah sejuk, sistem biasa, kompresor akan berehat bila suhu kabin telah sejuk. Apabila kompresor kerja berterusan  cooling coil ac akan membeku  akhirnya  udara  sejuk seperti tersumbat untuk disalurkn ke kabin. 

Pintasan itu juga menyebabkan kenderaan memerlukan tenaga kuat untuk menggerakkan keseluruhan sistem.. bila kompresor jem, bateri tidak dapat menampung tenaga dan kenderaan terus mati.

Kompressor telah ditukar, Rm700 unit recond, pintasan kabel telah dikembalikan kepada sistem asal. Kembara kini sangat mantap.., bawak pun rasa syok. 

Cuma sehingga bila kita pun tak pasti sebab macam dah terasa ada yang tak kena pada lower arm pula..Bila memusing stereng maksima mula kedengaran bunyi krek krek krek...huh...mintak duit lagi lah tuu...

Wednesday, February 21, 2024

Suis Tingkap Kembara...


Kembara siap overhaul..dah bawak test jalan jauh ke Bagan Serai. Betul rakan pemilik Kembara setaman cakap.. setel satu, masalah lain akan timbul. Penangan kenderaan tua.

Semasa berhenti mengisi minyak di RnR Tapah, hati mulai cuak..power macam tak cukup untuk hidupkan enjin. Hentian kedua Hentian Bukit Gantang masih ok, enjin boleh dihidupkan walaupun simpton kekurangan tenaga masih dirasai. Hentian ke 3 sesudah exit Taiping Utara, enjin tidak boleh dihidupkan., berehat dulu minum di warong, dengan lafaz bismillah, enjin berjaya dihidupkan, tapi sesudah itu kerap mati- mati bila bergerak perlahan semasa menempuh/berhenti di lampu isyarat, terpaksa menekan minyak supaya RPM sentiasa tinggi..Setibanya di rumah anak Bagan Serai enjin terus padam..langsung tiada spark.


Keesokan hari memanggil pomen , sah bateri bermasalah..lagipun bateri terakhir ditukar pada 2021, setelah bateri ditukar, enjin masih kerap mati.  Tak berani melalui jalan sesak, hiway pula mengalami kesesakan hari itu jadi menggunakan jalan lama..Singgah di bengkel, Taiping dimaklumkan kompressor aircond bermasalah dan soket terpaksa dicabut..sesudah itu enjin stabil..patut pun bateri terus padam, kompressor banyak sangat menggunakan tenaga, mujur alternator masih berfungsi..tapi tak mampu recaj bateri untuk memenuhi keperluan  kompressor AC




Fuh cabaran memandu kereta tengahari buta tanpa AC, dan kesemua tingkap jem. Mujur sesudah Kuala Kangsar hiway lancar. Panas tetap membara., sesekali membuka pintu untuk udara segar masuk ke kabin.

Berjaya sampai ke rumah..enjin sesudah overhaul nampaknya lebih lembut, walaupun sesak suhu tetap terkawal dibawah separuh meter. Penggunaan minyak tetap tinggi pergi balik Bagan Serai Rm150, sedangkan Perdana tak sampai pun Rm100.. AC juga memberi pengalaman ngeri .

Suis tingkap sebelum ke Bagan Serai telah dibeli secara online..Tak mahal dalam Rm40 termasuk pos. Jika tingkap berfungsi, walaupun tanpa AC, tak lah seperti berada di sauna .

Harini selesai menukar suis dan tingkap kembali berfungsi..

Bab kompressor AC terpaksa ditangguhkan dulu, dah banyak sangat berhabis untuk Kembara bulan ini..huhu

Friday, February 16, 2024

Alah Bisa Tegal Biasa...



Sesudah Kembara siap, Kancil pula akan dihantar ke bengkel untuk buat top overhaul..Kenderaan lebih 10 tahun memang wajib buat mentenen ini. Sekarang ini jika trafik lancar, suhu terkawal, bila menempuh jem suhu meningkat agak ketara, melebihi separuh meter. 

Sistem penyejukan kena perbaiki, rasanya enjin bahagian dalaman blok sudah teruk berkeladak dan banyak saluran air yang tersumbat. Apabila meleraikan keseluruhan enjin akan dapat memgenalpasti punca masalah.


2 tayar kancil ditukar baru, tayar hadapan sudah botak makan sebelah, bila semua masalah sudah diatasi, rasa padu bawak kancil, tiada lagi gegaran maupun getaran..tak rasa gelisah pemandu belakang mencucuk rapat..sudah konfiden memintas lori.


Sementara menunggu Kembara siap, Sang Kancil dibawak ke kebun, walaupun kecil, boleh sumbat 2 mesin rumput dan 2 orang penumpang, termasuk peralatan kebun lain.



Bagi makan cukup- cukup 2 orang pembantu, kerana nak memikul barangan dan peralatan ke puncak...



Kancil hanya dapat sampai separuh jalan itu sudah memadai, selebihnya menapak...



 

Monday, February 5, 2024

Mentenen Kancil...

Masuk minggu ke 3 Kembara masih  tak siap, blok enjin perlu dihantar ke foundry untuk baikpulih, tak boleh tunggu lama lagi. Kebun dah lama sangat ditinggal, Kancil terpaksa dibaiki segera untuk ke kebun, dapat sampai sehingga ke kaki kebun pun sudah memadai. 

Masalah Kancil tak besar, penambahbaikan pendawaian supaya enjin mudah dihidupkan,  menukar bearing tayar, lower arm dan segala macam getah bush, bergegar kereta bila dipandu, boleh disiapkan pada hari yang sama.





Kereta basahan tua macam nilah, sakit sana sini, bawak seronok, minyak jimat tapi tangkas..boleh lenjan, nak basuh pun mudah sebab kecil. Perbaiki pun tak rabak poket.

Cuma anggapan memakai kereta bebas hutang bank ni menjimatkan adalah tidak tepat.. kereta lama selalunya akan ada komponen yang perlu ditukar., kekadang tiap 4,5 bulan akan masuk bengkel, jadi nak kata dapat berjimat duit itu tidak betul sepenuhnya, cuma bila dihimpun kos mentenen adalah kot penjimatan lebih separuh daripada jumlah keseluruhan bayaran servis pinjaman tahunan bank.



Friday, January 26, 2024

Kembara-Top Overhaul





Kembara tahun 1998 kini berusia lebih 26 tahun, tak pasti samada sebelum ini pernah dibuka enjin atau tak..Melihat keadaannya macam belum, berkeladak, tersumbat sana sini dan air telah memasuki blok enjin, selain gasket, radiator  juga terdapat kebocoran, patutlah air cepat benar menyurut dan   enjin semput ketika mendaki. Macam tak percaya masih boleh dipandu jauh.


Kos sebenar belum diketahui, Rm1000+ sudah pasti.

Selepas dibaikpulih nanti baru ada keyakinan dibawa jauh dengan tenang...

Thursday, January 18, 2024

Penutup Radiator...




Sedang dalam dilema, nak tukar enjin atau overhoul...Engine tua Kembara kuat minum air...Kena periksa dengan lebih kerap supaya enjin tidak terlalu panas..Walaupun memandu tak jauh kena isi semula air hampir 1.5liter. Setakat ulang alik ke kebun atau destinasi berdekatan tidak menjadi isu, suhu terkawal, tapi jika ingin dibawa ke destinasi jauh sangat berisiko...


Pomen bagitau mungkin terdapat kebocoran pada gasket, untuk mengatasi segera perlu membuat top overhaul, sementara menunggu slot giliran, kita tukar dulu penutup radiator...dulu pernah terjadi pada kancil, setelah ditukar penutup radiator selesai masalah air ..Penutup tidak berfungsi dengan baik menyebabkan air radiator ditendang ke tangki air simpanan...Mana tau berkesan, selamat RM900 kos top overhaul..Penutup radiator cuma RM20

Cuma untuk jangka panjang yang masih dilema. Pomen sangat mengesyorkan buat overhaul sebab tukar enjin tiada jaminan enjin tip top, kalau overhaul setiap komponen ditukar...Ada kebenaran cakap pomen itu...dulu pernah tukar enjin pikap Storm, ermm lepas ditukar langsung bawak tak sedap..pickup tiada..asap berkepul ...minyak kuat, hantar ulang alik bengkel pun tetap tak selesai, sudahnya Storm dijual. 


Cuma lecehnya enjin Kembara ni CC kecil mengaum bila mendaki bukit, macamana nak dibawa bercamping di Genting, Cameron Highland dsb..


Huh...Dilema...

Monday, January 15, 2024

AC DIY...

Hampir semua peralatan camperKembara sudah diterima, yang belum diterima tilam, 1 lagi radiator mini, pam air dan bateri.

Sementara menunggu barang-barang ini  tiba,  sistem AC diy diuji  dengan meletakkan air dan ais di dalam tong kedua saja. Manakala   bekalan elektrik menggunakan elektrik domestik.

Total power diperlukan

Kipas 10w
Exhaust fan 30w
Kipas tambahan 10w
Pam air 10w


Penggunaan serombong 6 inci untuk disesuaikan dengan exhaust fan 6 inci.






2 lapis radiator mini.


Ais dari tong utama akan dipam naik ke tong ke 2 yang dilengkapi dengan 2 lapis radiator mini, udara sejuk akan di sedut menggunakan exhaust fan serta dibantu dengan kipas mini untuk menyejukkan kabin. Begitulah konsep AC Diy..

Dengan memisahkan fungsi kepada 2 tong, tong utama akan lebih kedap udara supaya ais boleh  tahan sehingga 6-7 jam..

Bateri 600wattH diperlukan untuk penggunaan 8jam tanpa henti.




Keberkesanan AC diy tak pasti, sebab sistem belum lengkap sepenuhnya namun untuk penggunaan waktu malam rasanya memadai...
 

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK