click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Sunday, October 11, 2026

Kelulut...

Antara ternakan yang boleh diusahakan tanpa penjagaan rumit adalah kelulut...

Semangat kembali menerpa bila mendengar perkongsian mereka yang sudah membela kelulut. Kelulut sememangnya termasuk dalam senarai ternakan yang ingin diusahakan di kebun...

Boleh memulakan dengan 2,3 koloni dulu, terbukti berjaya baru menambah bilangan log. Ada yang kata kelulut macam haiwan belaan kucing/anjing, jika selalu ditinggalkan mereka juga akan lari..Sejauh mana kebenaran itu  akan teruji bila kita cuba membela..Dapat hasil untuk kegunaan sendiri pun sudah sangat berpuashati..

 Persekitaran kebun berbelukar disamping  dusun-dusun, kebun sawit dalam lingkungan tidak begitu jauh boleh menjadi sumber makanan kelulut. Kebun sendiri pula sebahagian pokok sudah memasuki fasa berbuah, jadi elok membela kelulut sebagai agen pendebungaan. Bunga bungaan yang digemari kelulut akan ditanam juga...

Antara ancaman utama kelulut  adalah monyet dan babi, setelah pagar sempadan siap kelak ancaman babi mungkin kurang namun risiko cerobohan terutamanya monyet masih tidak boleh diabaikan. Ini mungkin boleh diatasi dengan membuat sangkar besi sekeliling rumah kelulut.





Semangat membuak- buak bila melihat sarang kelulut di pokok ciku pinggir rumah.  Sebenarnya sudah banyak kali kelulut membuat sarang di keliling rumah, sebelum pokok salam ditebang, di situ pun sudah beberapa kali kelulut bersarang..Ini menunjukkan persekitaran sangat sesuai untuk kelulut...

Dah alang alang ada yang suka bertandang kita nak cuba bela kelulut dengan menempatkan satu koloni/ log kelulut di tepi rumah..

Kotlah menjadi, kita kembangkan di kebun pula..

Friday, October 9, 2026

Penggera Talam...

Tiga sempadan dah hampir selesai tarik kawat duri lapisan pertama. Korek lubang menggunakan pengorek spiral memang laju..Kalau sebelum ini menggunakan pahat dan sudip nak mendapatkan 4 lubang pun mengah..Menggunakan pengorek spiral dalam waktu singkat dapat banyak lubang, saiz  lubang pula cukup cukup untuk tiang 3inx3in, jadi tiang lebih teguh. 



 Sementara pagar tak siap kita cubalah pelbagai kaedah untuk menjaga kebun..baju terpakai akan digantung kepada talam, apabila talam dan baju ditiup angin pemberat skru yang digantung akan mengetuk talam mengeluarkan bunyi bising..Tak taulah sejauh mana keberkesanan kaedah ini..

Penggera anjing solar pun tak begitu menakutkan monyet dan babi..lagipun penggera anjing hanya aktif disiang hari, malam ikut tidur kerana kehabisan bateri..

Kita cuba kaedah manual pula..Kalau tak dicuba tak tahu..


Thursday, October 8, 2026

NPK Green 151515

Jabatan Pertanian Hulu Selangor telefon lagi suruh mengambil baja. Jumlah dah diterima setakat ini 8 guni 50 kg, bermakna akan ada lagi 4 guni. Peruntukan untuk 6 bulan keseluruhan 12 guni.

Sesudah balik kebun terus ke Pusat agihan baja di Pejabat Pertanian Batang Kali, ramai juga pekebun sedang mendaftar nama untuk menerima bantuan.



Stok terdahulu baru guna sebahagian 1 guni, selebihnya disimpan elok dibawah canvas. Kalau membaja pokok selang 2 minggu pun akan mengambil masa lama untuk kehabisan stok  kerana penggunaan baja tak banyak..Nak tabur berlebihan dikhuatiri memudaratkan pokok pula.. Harap baja ini bertahan untuk beberapa tahun mendatang..



Banyak lagi insentif yang disediakan Jabatan Pertanian Selangor untuk manfaat pekebun kecil.

Kita dah tanya jika terdapat peruntukan pagar kebun, boleh mohon namun kelulusan jarang lulus. Oleh demikian kita memohon peruntukan yang selalunya cerah lulus seperti keperluan mesin kebun, baja, peralatan sistem automasi, fertigasi dll. Permohonan perlu dibuat sebelum bulan Ogos setiap tahun. Tubewell juga tersenarai dalam peruntukan yang boleh mohon. Untuk tubewell tiada dateline, boleh memohon bila bila masa.

Dulu dah pernah mohon, tapi ketika itu diminta menyertakan sijil kursus dsb..

Nampaknya kena rajinkan diri memohon semula..Nak cuba mohon mesin pencacah dahan/ranting atau mesin penggembur tanah dan tubewell..



Wednesday, October 7, 2026

Payung Kebun & Kipas Camping

Semasa melayan phone akan lalu iklan- iklan produk, dan macam tau tau barangan tersebut memang kita sedang mencarinya.




 

Topi mengkuang lebar tapi tak boleh lawan dengan payung kepala ini...Dan lagi topi mengkuang cepat  reput.. Bila iklan payung ini muncul tak teragak agak membelinya..Harga RM13..Payung boleh lipat untuk kegunaan kebun terutamanya ketika memotong rumput..


Kipas camping bersaiz midi menggunakan usb memang dah lama cari..biasanya gajet  menggunakan  usb ni jimat  letrik..Harga Rm30, boleh dikatakan murah .. sebab kita pernah membeli kipas mini boleh caj semula berharga rm60.
Biar pun agak mahal tapi dah lama pakai, mantap serta  tahan lama ..dengan sekali caj boleh tahan melebihi 10 jam..

Kipas midi dipadankan dengan powerbank katanya boleh tahan sehingga 3 hari.. jadi tambahan kipas midi usb boleh diguna dikebun maupun ketika bercamping..

Kipas midi terpaksa dipulangkan kerana tidak berfungsi..beli melalui platform besar urusan pemulangan mudah..cuma duit  belum dikembalikan..


Tuesday, October 6, 2026

Cantum Pucuk Avocado

Kalau tak dicuba lagi dan lagi kita tak akan tau samada berjaya atau tidak..

Percubaan pertama dulu mencantumkan anak pokok mangga, gagal.




Kalini mencuba lagi ke atas 2  anak pokok avocado. Pokok penanti yang disemai dari biji dicantumkan pucuk dari kebun sahabat Hulu Bernam. Sebelum ini banyak kali mengupah beliau namun tak kan selamanya bergantung dengan orang lain sedangkan cantuman itu bukannya susah, cuma seni mencantum  perlu dipelajari melalui cubaan demi cubaan.

Di kebun bukit banyak lagi pokok avocado yang ditanam dari biji dan perlu dikahwinkan supaya tumbesaran lebih pantas selain mutu buah dapat dikenalpasti.







 


Bukan saja pokok avocado, pokok nangka pun akan cuba dikahwinkan sendiri..banyak anak pokok penanti yang disemai dari biji..

Kos  menyulam pokok dapat dikurangkan sekiranya cantuman pokok dibuat sendiri..

Monday, October 5, 2026

Sungkupan Tanaman..

Dalam pada taknak menanam pokok di keliling rumah, hampir 15 pokok juga ditanam..belum lagi pokok renek berbunga yang tumbuh sendiri di cerun tepi rumah..

Pokok pandan, pokok kari menjadi sebahagian tanaman bersebelahan  dapur untuk mudah mencapainya..Pokok membesar elok. Dek kerana terlalu cepat membiak sebahagian rumpun pandan terpaksa dicantas. Sebahagian daun dijadikan bunga rampai, dan yang lain di tabur dipangkal keliling pokok lain yang ditanam. Kalau dibuang untuk kontraktor majlis perbandaran kutip entah bila datangnya, rumah jiran dah beberapa hari longokan sampah pukal diluar rumah masih belum berkutip..

Sungkupan daun boleh memelihara kelembapan tanah , melewatkan pertumbuhan rumput dan setelah reput  akan menjadi baja organik pula..




Pokok katak atau Nam nam, pertumbuhan sebelum ini agak perlahan, tapi mulai serasi dengan tapak setelah tanah di pangkal pokok sentiasa digemburkan, dibaja dan disiram..


Pokok Avocado ke 2 yang baru ditanam..Mula mengeluarkan tunas tunas baru..


Buah betik bersaiz sederhana,
berharga RM7-8  sebiji,  jika pokok ini berbuah makan tak habis..


Perkembangan terkini pokok Avocado pertama..nampak sihat


Pokok Lemon di pinggiran rumah begitu berbeza dengan yang di kebun..Di kebun sana biarpun hidup namun tidak sesubur di rumah..Pokok-pokok dirumah mendapat perhatian lebih, kerap dibaja dengan lebihan air basuhan ikan dan daging


 Koleksi terbaru tanaman..Pokok Telang dan Pokok Gac.

Pokok Telang rajin berbunga, biarpun masih kecil namun tiap hari berbunga 5-8 kuntum untuk dijadikan teh bunga telang. 

Sunday, October 4, 2026

Pokok Avocado...

Kita memang tak pernah serik membeli barangan online, sebab ianya mudah...barangan yang sampai lebih 95 peratus menepati jangkaan.
Kalau beli melalui platform online besar  selalunya tiada masalah..Kita boleh memantau setiap peringkat penghantaran..Yang bermasalah membeli dari individu seperti di FB ..




Belian terbaru adalah 4 pokok avocado kahwin.. Tidak menjangka pokok avocado ini boleh dikatakan murah sepokok RM24 sedangkan anak pokok avocado selalunya berharga lebih RM50 sepokok..Kita risau juga manalah tahu yang dihantar adalah anak pokok dari biji..

Cuma spesis apa kita tak pasti sebab ketiadaan label. 


Nursery transit..

Pokok berdaun kekuningan sebab beberapa hari berbungkus kotak..Pokok yang tiba segera dipindahkan ke polibeg besar supaya akar cepat berkembang dan pokok kurang berisiko mati kerana media tanah di polibeg besar lebih tahan lama menampong air..

3 pokok belian terdahulu  yang dibeli dari individu melalui FB sepokok saja hidup, satu mati ketika penghantaran dan sepokok lagi  mati setelah beberapa hari..Sepokok yang hidup kini membesar dengan baik.

Banyak lagi yang perlu dibeli untuk menyulam pokok yang mati atau memanfaatkan lagi ruangan kosong di kebun. Risiko mati disodok babi mungkin bakal berlalu bilamana pagar siap sepenuhnya dalam waktu terdekat.. Kini lapisan pertama kawat berduri telah selesai dipasang untuk 2 sempadan.


Saturday, October 3, 2026

Siput Babi...

Siput ni pun perangai mcm babi, suka menjahanamkkan tanaman, mungkin sebab itu digelar siput babi...Cepat sangat membiak.
.

Nak senang bungkus ketat ketat dan buang dalam tong sampah, tapi kita bagi peluang kedua, siput dikumpul dan dicampak ke belukar  bukit...Harap dengan habitat baru serta banyak pucuk pucuk kayu, siput tak menjadi ancaman ke kebun kita pula..



Taik siput mengotori dinding..


Kita nak tanam masih belum berkesempatan, setelah 2 hari ditinggalkan habis togel daun gac dibahamnya. Harap masih boleh diselamatkan..

Koleksi pertama ada juga rasa kasihan, bila balik rupanya masih berbaki 4,5 ekor tertinggal, padahal puas kita cari supaya sifar siput babi, tambah geram  sebahagiannya sedang memakan lagi daun pokok , kalini tak bagi peluang, kutip dan humban dalam bekas tertutup sisa bahan organik dapur..Tak tau lah berapa lama boleh bertahan dalam ruangan terkurung begitu..


Friday, October 2, 2026

Pengorek Tanah...

 Pengorek lubang dah diguna di kebun ternyata sangat memudahkan. Jika sebelum ini perlu menggunakan pahat dan sudip, menggunakan banyak tenaga dan masa, dengan pongorek spiral ini kerja mengorek 3x lebih pantas, saiz lubang pun cukup-cukup untuk saiz tiang konkrit 3inx3in.



Penambahbaikan telah dibuat ke atas pengorek dengan memanjangkan batang pengorek..Panjang batang dan mata pengorek spiral sediaada sekadar cukup untuk kedalaman tiang yang ditanam. Ketika memulas, pemegang/ pemulas akan sangkut terutamanya ditanah yang tidak rata..baki tanah didasar lubang sukar dikeluarkan dan terpaksa mengorek menggunakan tangan. dengan memanjangkan batang pengorek,  kedalaman ideal tiang pagar akan lebih laju disiapkan..

Kos penambahbaikan Rm10.


Thursday, October 1, 2026

Dilema Bertaman di Taman...

Duduk di taman biar pun berhalaman luas, masalah utama jika kita menanam banyak pokok adalah melupuskan sampah-sampah pukal. Boleh dikumpulkan di pinggir jalan hadapan rumah..tapi akan menyakitkan mata jika sampah lambat dikutip pihak perbandaran.


Walaupun hanya 2 pokok yang dicantas mangga dan rambutan, dahan, ranting  juga daun daun yang dikumpul begitu banyak sekali. Memang tak boleh terlalu bersemangat membersih segala pokok pokok yang ada..2 pokok ini pun mengambil masa 2 hari untuk melupus dan membersihkan halaman.

Dahan dan ranting terpaksa dilupuskan di tanah kosong hadapan rumah..Kalau tuan tanah mula membina rumah kelak, tak tau lah nak dilupuskan dimana lagi..


Kebetulan semasa membersih halaman, pekerja perbandaran sedang membersih longkang ..tak sangka diberi beberapa peket bungkusan karong plastik ketika saja meminta plastik sampah..Sampah daun-daun  dilonggokkan bersesekali dengan sampah mereka, selalunya mengambil masa beberapa hari juga sebelum sampah sampah tersebut dikutip..



Lega sekejap..Bila banyak pokok, tak lama  bersepah semula dengan daun daun kering yang berguguran. 

Kalau di kampung senang, memang sedap membakar ..tapi duduk ditaman ermm mau tak mau kena rajin mengumpul dan melupuskan..

Wednesday, September 30, 2026

Pangkas Pokok...

Abang itu pokok mau potong? Saiya ada chainsaw...

Pergh rupanya pemotong rumput/pokok Pakistan pun terliur melihat pokok rambutan dan mangga yang rimbun berserabut  di halaman rumah...

Kita pun dah lama ingin mencantas dahan, sesudah musim buah lepas berlalu..pokok jika tidak dicantas, musim buah berikutnya buah pun tidak berapa menjadi kerana ketiadaan pucuk pucuk baru...kecuali pokok memang dibiarkan membesar bebas dilahan luas...

Setelah dicantas maksima,  pokok mungkin akan terencat untuk berbuah sebagaimana yang sudah- sudah namun terpaksa juga dicantas kerana pokok sudah terlalu meninggi di lahan yang sangat terhad..berebut cahaya matahari sesama pokok..Jika berbuah sekalipun sangat sukar untuk memetiknya..




Setelah dicantas rupanya pokok mangga sedang berbunga lebat, musim sudah berbuah tapi tak banyak, hanya dahan yang menerima pancaran matahari yang berbuah..argh sebelum potong tak perasan pun..sebab terlindung daun yang sangat merimbun. 

Pokok rambutan berbunga juga  tapi sedikit kerana kelihatan kurang subur, banyak pucuk ranting yang kering..Berbuah sebelum ini pun tersangat sedikit kerana tiada pucuk pucuk baru, kerana sudah lama tiada membuat pemangkasan dahan.

Tiada rezeki untuk musim ini..

Tuesday, September 29, 2026

Pengorek Lubang..


Mesin petrol pengorek lubang berharga Rm300 lebih, pengorek manual Rm43.  Penggunaan pun tak selalu, Jadi beli pengorek manual jauh menjimatkan.

Berbanding mesin, pengorek manual hampir tiada mentenen. Penggunaan mesin memang mudah namun penggunaannya yang terhad berkesudahan lebih banyak disimpan.  Jika disimpan lama tersangat sukar menghidupkannya. Tak berbaloi menghidupkan enjin jika hanya mengorek lubang yang sedikit..

Dah cuba yang manual ternyata sangat membantu. Kerja mengorek lubang tiang pagar atau lain- lain lubang kecil akan lebih pantas...Kerja menggali tetap menggunakan pahat kecuali tanah lembut. Pengorek lebih digunakan untuk mengeluarkan tanah dari dalam lubang, sebelum ini menggunakan sudip dan tangan, jadi tersangat lambat. 

Jom jom semangat berkebun.


Saturday, September 26, 2026

Camping Puncak Rasa...

Semangat berkebun membuak buak bila geng camping bercadang bermalam di kebun Puncak Rasa. Kita ok saja, lagi suka sebenarnya, tumpuan untuk membuat persiapan dan menambah baik akan lebih diberi tumpuan.

Cuma dalam waktu terdekat masih belum bersedia, banyak penambahbaikan perlu dibuat untuk bercamping di puncak.. 

Persiapan paling utama adalah

1. Pagar keliling kebun
2. Bekalan air
3. Tandas
4. Petak khemah.
5. Lampu Solar

1. Pagar

Bila tahu akan menerima tetamu, kerja- kerja tertangguh akan disegerakan..Bukan saja untuk keselamatan kebun jangka panjang tapi untuk keselamatan tamu juga..Kotlah tiba tiba gerombolan babi hutan datang naya khemah disondol babi..Tamu akan lebih selesa bila keliling berpagar..



Tiang tiang yang kurang segera ditambah, beli sedikit demi sedikit untuk terus dibawa ke kebun. Dulu membeli banyak, semasa penghantaran terpaksa diturunkan separuh jalan kerana ketiadaan akses, terpaksa mengangkut sedikit demi sedikit  untuk ke puncak.

Beli banyak sekaligus pun yang ditanam dalam 3-5 btg sehari kecuali mengupah orang pasang, jadi beli sedikit lebih berbaloi selain tak terasa mengeluarkan wang..

3inx3in x 6 kaki  setengah panjang berharga Rm13 sebatang

40 batang lagi diperlukan.

B. Bekalan air

Tong sudah mula dibaiki, sesudah siap nanti akan dibelikan metal deck untuk menadah air hujan. Sistem penapisan ringkas akan dibuat supaya kotoran seperti daun tidak memasuki tangki..boleh digunakan untuk membersih selain kegunaan tandas...Air hujan kegunaan kebun tidaklah sesempurna bekalan air paip yang dirawat..

3.Tandas

Peralatan mangkok tandas dan bahan binaan untuk lantai sebahagiannya  sudah ada, bila tiada keperluan penggunaan, pembinaan pun bertangguh.. Bila ada yang nak berkhemah adalah kesempatan terbaik untuk menyiapkan tandas..


Bumbung dan dinding tandas akan menggunakan pokok menjalar untuk memanfaatkan struktur tandas..cuma bahagian dalam akan ditutupi dengan jaring hitam.


4. Tapak Khemah





Petak petak khemah  bersaiz 3mx3m sebanyak 10 petak akan disediakan di lereng puncak bukit untuk pemandangan tanah tinggi..Petak akan di alas dengan weedmat/tikar rumput supaya tidak lecak...Kebun rakan di Sagil menggunakan kaedah ini dan sangat berkesan..


5. Lampu Solar

Beberapa lampu solar akan dipasang ditempat strategik supaya persekitaran tidak terlalu gelap..unggun api pun boleh dinyalakan sepanjang malam..

Kebun terpencil kenalah berlebih kurang, para pengkhemah mestilah bersedia menghadapi ketidakselesaan, jika keselesaan yang dicari mereka tidak akan sanggup tidur di kebun..keseronokan bercamping dalam serba kekurangan itu yang mahal..


Kelebihan Puncak Rasa selain pemandangan tanah tinggi, berpeluang juga menyaksikan matahari terbit dari sebalik Banjaran Titiwangsa..



Friday, September 25, 2026

Smart Homes. & Otomasi

Camping kebun Sagil memasuki hari ke 2.

Selain berliburan tetap menyelitkan pembelajaran, hari kedua camping, tuan kebun berkongsi idea membangunkan sistem otomasi kebun. Dalam sistem otomasi, aktiviti kebun  dipantau dan dikawal dari jauh. 






Pengairan kebun berfungsi secara automatik setelah sistem menganalisa keperluan semasa, melalui cerapan bacaan kelembapan tanah begitu juga data hujan.



Praktikal menghidup dan mematikan lampu  menggunakan phone..

Pengawasan kebun juga dipantau melalui phone yang dihubungkan dengan cctv kebun.





Pengairan dan pembajaan kebun dikawal dari jauh menurut blok blok tertentu untuk mengoptimakan penggunaan pam.




Pembajaan foliar juga menggunakan sistem kawalan jauh..hanya baja tabur dibuat secara manual..

Namun begitu tak boleh bergantung sepenuhnya dengan sistem otomasi, sistem perlu dipantau berkala secara manual untuk keberkesanan secara maksima.

Untung ada rakan kebun pandai..Tuan kebun dulu top student sekolah...

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK