click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Wednesday, October 19, 2022

Genting Highland Okt 2022

Bertuah kita rakyat Malaysia, segalanya ada  lagi cantik...Mereka yang suka meronda segalanya ada disini..Pulau, gunung, pantai dll. Teringin mandi manda laut tuju ke pantai, inginkan pemandangan menakjubkan dasar laut  pergi ke pulau, pemandangan tanah tinggi, air terjun dan dingin tuju ke pergunungan...tiada yang kurang . 


Kos sara hidup pula taklah begitu tinggi, rezeki melimpah ruah asalkan sanggup berusaha lebih sedikit. Bumi pula subur, campak benih insya Allah mengeluarkan hasil. Pantang cuti umum sesak manusia dimana-mana. Lebuhraya disegenap arah banyak kenderaan.

Khamis lepas kami  meronda ke Genting Highland, dah lama tak merasai kedinginan puncak genting, kebetulan hari itu ada LTDL, hah sedang elok lah. Sengaja mengelak datang hujung minggu Sabtu dan Ahad untuk mengelak kesesakan ..Ermm rupanya di puncak orang tetap ramai. Bertanyakan pengunjung, ada yang datang dari Sarawak, Johor, Singapura, Indonesia dll, Lepas pandemik ramai yang membalas dendam berjalan...




Paling mudah untuk ke puncak menaiki kereta kabel, cuma bila datang ramai lebih menjimatkan membawa kenderaan sendiri. Tiket pergi balik dari stesen Awana ke puncak genting Rm36 seorang, parking jam pertama Rm3 di Genting Premium Outlet. Untuk 24 jam parking, kami dikenakan bayaran Rm27. 





 

Taman tema luar sebahagian besar telah dibuka. Kunjungan kami terdahulu taman tema luar sedang dalam pembinaan.

Hasrat menyaksikan Ltdl tidak kesampaian, disamping hujan lebat,  tak sanggup melilau mencari jalan keluar ke lokasi penamat Ltdl. Melepak dalam bilik sudahnya..



Diatas sekadar menjamu mata melihat gelagat orang ramai, ingin mencuba permainan indoor maupun outdoor zaman itu sudah berlalu. Jadi pusing-pusing sekadarnya, makan-makan kemudian melepak dalam bilik lagi.

Bermalam di First World Hotel, hotel yang diktiraf Guiness Book of Record sebagai hotel terbesar dunia dengan memiliki lebih 7000 bilik. Membeli bilik melalui ulat- ulat bilik, ramai berlegar dilobi, malas beratur berurusan dikaunter. Mungkin sedikit mahal tapi pantas. Bilik tanpa pemandangan cantik Rm200





Dalam perjalanan balik singgah di Chin Swee Cave Temple. Singgahan untuk melihat pemandangan luas saujana mata memandang  dari tanah tinggi.



Sungguh kagum dengan semangat pengasas Genting TS Lim Goh Tong yang membina kuil ini. Berdasarkan catatan batu asas, awalnya tapak dan bangunan  ditebing curam dibina tanpa bantuan jentera canggih. Kini laluan ke kuil dilengkapi dengan escalator dari hentian kereta kabel CheeSwee. Kuil boleh juga di akses dengan kenderaan lain. 

Dengan berbekalkan semangat LGT boleh membina empayar dipuncak gunung pada ketinggian lebih 1200 m, iayanya sangat memberi inspirasi kepada penulis untuk mengusahakan kebun bukit yang serba kekurangan dengan lebih gigih lagi.

Huhu pondok kebun sikit lagi nak siap...Semangatt 



Sunday, October 2, 2022

Kembara Kebun...

Apabila tugasan Jengka selesai, maka pikap perlu dikembalikan, mau tak mau kenderaan kebun perlu dicari. Kalau akses baik tiada keperluan kenderaan 4wd, Kancil sudah memadai . Tapi dah pernah cuba, musim kering sedikit mengah bila  musim basah, menjerit enjin dan berpusing tayar   nak memanjat bukit. Kebun tak luas, hasil pun tak ada, tak berbaloi membeli pikap. 

Dah timbang- timbang Kembara juga paling ekonomikal. Alat ganti mudah, kalau enjin barai nanti boleh tukar enjin seketul dari kedai potong. Minyak, road tax dan insuran pun tak mahal.

Pernah terlintas Kia Sportage lama, harga pun tak mahal,  CC 2.0 liter lebih berkuasa tapi roadtax pula mahal, dengar cerita- cerita  spare part pun mahal ermm terus lemah. 



Kini Kancil dah ada teman baru.  Nak jual  bukan boleh dapat duit balik, bikin bagi cantik dulu, jadi terus pakai sajalah. Bila dah ada Kembara, motor kebun pun dah tak perlu lagi letak disana, leceh guna motor, berboncengan susah nak kawal semasa memanjat bukit, sudahnya yang sorang lagi  lebih banyak menapak, nak bawak barang banyak pun susah. Sejak kenderaan dah boleh bawak ke puncak, berbulan motor tak diguna, habis diselubungi rumput menjalar. Kini motor dah dibawa balik.

Dah banyak  sangat pulak koleksi kenderaan buruk, nampaknya kena bagi- bagi tugasan.. Kancil untuk bawak berjogging, motor untuk ke masjid, Kembara untuk ke kebun..Fuh..taktaulah mampu ker tak, nak menten semua itu nanti...Tapi tak mengapa...biarpun koleksi buruk janji geran ada ditangan hehe..

Wednesday, September 21, 2022

Makanan Paling Sedap Di Dunia ..

Walaupun telah berbulan, pondok kebun belum siap lagi, hanya rangka yang dah siap. Ke kebun pun cuma sehari dalam seminggu. Hari Selasa adalah hari kebun, mana nak membersih kebun, mana nak membelai pokok, mana nak menyiapkan pondok ..Argh tak kesahlah kita siapkan ikut kemampuan, tiada time frame.



Tenang tenang saja..Kita ngopi dulu...






Bila perut sedang lapar, inilah juadah paling sedap di dunia...


Sunday, September 18, 2022

Kedai Gunting Bas Mini...

Cabaran menyediakan khidmat kedai gunting rambut adalah mengekalkan barber yang bagus. Tiada istilah setia dikalangan mereka, kerana matlamat mereka adalah mencari wang. Jika target bulanan tidak tercapai, mereka akan berpindah ke tempat lain.

Barber memainkan peranan besar dalam menarik pelanggan datang, walaupun lokasi agak terpencil, jika  perkhidmatan bagus dan mutu guntingan cantik, pelanggan tetap akan berpusu-pusu datang. Lokasi strategik adalah satu kelebihan.

Walaupun barber itu penting, pemampilan kedai tetap perlu dititikberatkan. Apa yang disarankan barber perlu dipenuhi.


Perancangan asal, khemah besar dipasang dikedai bas ini, namun disebabkan masalah mendapatkan lesen kedai, rancangan itu terbantut, walaupun khemah dan rangka besi  telah dibeli.

Tanpa khemah atau ruangan menunggu ramai yang menyangkakan  kedai hanyalah bas buruk yang diparkir dikawasan lapang.

Menyedari pentingnya ruangan menunggu, payung besar disediakan sebagai ganti khemah. 


Masalah berpayung jenis ini, payung tidak begitu stabil apabila angin kencang bertiup apatah lagi kedudukannya diruangan terbuka. 

Sebagai alternatif payung pelangi pasar malam akan dipasang di meja konkrit dan bangku menunggu.
 




Lampu LED akan dipasang disekeliling bas. Bila persekitaran terang, suasana  kelihatan meriah dan diharap akan menggamit pelanggan datang.

Friday, September 16, 2022

YR Gunting Parit Raja....

Penangan covid19 dan PKP  bukan main-main. Kedai gunting bas mini Setapak terus tutup sehingga kini. Gara- gara ramai  merayu bergunting di malam raya , arahan tutup dilanggar pekerja, premis terus disita DBKL. Satu bas masih tersadai disana manakala satu lagi berjaya meneruskan operasi di tempat lain.

Kedai Parit Raja lain pula ceritanya, pekerja sediada tidak mahu disuntik vaksin, takut dengan kesan sampingan katanya. Menunggu pekerja baru masuk mengambil masa yang sangat lama akibat pintu sempadan negara belum dibuka menyebabkan kedai berterusan tidak beroperasi.

Apabila ada anak muda tempatan menelifon pada Februari 2022 untuk berkerja disitu, hati sangat teruja, memang dari dulu ingin mendahulukan anak tempatan. Tak fikir panjang bersetuju dengan memberikan insentif 2 bulan koleksi kedai tidak perlu dikongsi dengan pemilik,cuma perlu membayar bil bil utilities.

Masuk bulan kedua onar mula terserlah, koleksi kedai sukar diperolehi dengan pelbagai alasan, bil-bil dibiarkan tertunggak. Bulan Jun mendapat khabar mengejutkan, kedai telah dijual kepada orang lain. Argh mana mungkin. Selama kedai dibuka sejak 2015, kedai memang dipantau dari jarak jauh dan tiada masalah..

Tapi itulah yang terjadi, rupanya ada juga pembeli yang percaya, sebahagian wang telah bertukar tangan baru mereka perasan ditipu. Segala peralatan kedai licin termasuk AC  telah dijual ke orang berbeza. Penipuan ini telah menjadi kes polis. 

Simpati dengan 'pembeli' kedai itu, kedai disewakan kepadanya. Walaupun kadar sewa murah tapi hanya mampu bertahan selama 2 bulan. Bulan Ogos kedai dipulangkan  semula.




Kini operasi kedai dibuat seperti dulu. Pekerja lama 2 orang dapat masuk Malaysia. Kedai diberi nafas baru. Penampilan warna baru. Lantaipun nampaknya perlu dibuat mozek baru, serabut dengan cat lantai terdahulu. 







Kedai dideretan kedai lama adalah pusaka dari orangtua, kedudukannya sangat strategik, namun khabarnya akan diambilalih kerajaan untuk perlebaran jalan, sementara itu kita memanfaatkan sebaik mungkin. 












Barisan barber berpengalaman kami sedia memberi servis terbaik kepada pelanggan. 


Tarikh mula : 11hb September 2022 Ahad.

Alamat Kedai : 196 Jalan Pasar/ Jalan Kristal 7, Parit Raja., Batu Pahat Johor.

Waktu operasi: 10pg-10mlm

Sokongan pelanggan dapat menyuntik semangat kami untuk bangkit melupakan episod lalu.

Harapnya  kedai berterusan maju .



Wednesday, September 7, 2022

Kafe Vanilla Temerloh

Nampaknya sudah menjadi trend  membuat kafe di ladang-ladang atau pun kebun-kebun tanaman. Makanan yang disajikan samada semua atau sebahagiannya berasaskan tanaman yang ditanam di kebun. Kafe dikebun tebu dah ada, di ladang strawberry, ladang teh, ladang nipah, ladang nenas, kebun kelapa dan terbaru yang kami pergi di kebun vanilla Temerloh.

Kafe Vanilla Temerloh, kedudukannya agak terpencil tapi kunjungan tetap ramai..Dah lama viral, cuma kami baru berkesempatan datang atas pelawaan rakan. Selalunya  premis-premis yang pernah viral akan kekal relevan jika premis, mutu makanan dan servis sentiasa dijaga, jika tidak, pengunjung bertandang sekadar ingin mencuba dan itulah yang pertama dan terakhir. 




Bagus kafe dibuat  di kebun tanaman, setidaknya kita kenal pokok-pokok yang ditanam. Inilah pertama kali kami melihat pokok vanilla.



Tanaman dan kafe diusahakan anak muda usia awal 30an dengan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia.





Dipintu masuk memang kelihatan sangat biasa-biasa tapi disebelah dalam terdapat kawasan makan santai yang luas. Sekeliling redup dipayungi pohon-pohon kelapa. Sambil menikmati hidangan boleh menyaksikan  aktiviti bermain ATV dan pinball. 




Aiskrim, wafle, teh, kopi berperisa vanila, antara menu wajib yang terdapat disitu. Untuk lebih trendy keterampilan hidangan perlu dipertingkatkan..Kini banyak bekas-bekas makanan trendy murah dipasaran. 

Di Vanilla cafe pun ada sajian ubi rebus.  Hidangan ubi rebus nampaknya dah jadi trend di sana- sini.


Kami taklah membeli menu ubi rebus sebab ubi yang ditanam sendiri pun makan tak habis . Makan panas-panas cicah sambal tumis, hirup telur separuh masak kutip direban, sambil sembang pagi dengan rakan, fuh diam  tak diam setengah periuk ubi, habiss...





Thursday, August 25, 2022

Timun...


Jika ada tanah kosong, elok dimanfaatkan. Namun jangan pula sesudah tanam, kebun dibiar tak terurus. Ramai yang sakit mata nanti. Kawasan kecil tak perlukan waktu lama sangat, sehari sejam untuk setiap kali kunjungan sudah lebih dari cukup, yang penting istiqamah.


Pokok kelapa ini tumbuh sendiri ditanah kosong, tak sangka berbuah lebat, dulu hampir mati kerana rumput menjalar menutupi hampir keseluruhan anak pokok ketika itu. Dibersihkan dan  sesekali dipotong rumput di persekitaran... alhamdulillah menjadi...

Pokok ketum ayam yang ditanam pun macam tak menyempat nak tumbuh pucuk baru walhal kerap dicantas untuk diberi ayam makan diwaktu petang.



Bermula dengan cuba- cuba, sekarang hasil tak habis dimakan sendirian. Pokok Pisang Serendah, penulis suka rasanya walau ramai yang cakap tak sedap, dah alang- alang mudah dijaga, 3 anak pokok serendah dipindahkan  ke tempat baru, tambah dengan dua lagi pokok pisang lemak manis meriah tanah kebun dengan pokok pisang...Sekarang ni hampir tiap minggu mempanen hasil pisang...

Peria katak dah, kacang botor sudah, timun pun dalam sebulan lagi Insya Allah berbuah, dari 6 benih yang disemai 2 saja hidup subur, benih yang tak hidup nak tukar dengn benih kacang panjang pula. 

Musim hujan sekarang  pokok senang tumbuh, pangkal pokok dilapik dengan plastik sampah hitam supaya rumput -rumpai mudah dikawal, sesekali dibubuh baja organik, sampai masa memetik hasil, kan best tu..

Jom jom berkebun..


CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK