Tuesday, January 28, 2014

Biarkan Saja Kita Berbeza...

Cuba korang bersembang dengan kaki pancing.. Kat mana syoknya seharian menunggu batang joran.. Kekadang balik dengan tangan kosong, tapi semangat untuk memancing tidak pernah pudar...Kekadang sanggup berjemur memerhatikan joran-joran sambil mulut berasap menghembus asap rokok...Bila umpan disentap, segera diterpa penuh semangat tapi sabar melayan lenggok mangsa...Tarik..hulur... tarik, tarik... hulur ..hinggalah dapat menaikkan mangsa ke darat..hehe disini kot kepuasan seorang pemancing...Barangkali hanya kaki pancing yang dapat menghayati nikmat itu ..

Semalam aku berpeluang menonggang semula motor setelah hampir sebulan lebih berehat gara-gara  kecederaan bahu  semasa bermain basikal dalam hutan. Alhamdulillah bahu aku nampaknya sudah pulih walaupun tidak seratus peratus..Perjalanan ke Melaka pergi dan balik semalam tidak mengalami sebarang masalah. Tiada kesakitan cuma sedikit sengal, barangkali otot cuba menyesuaikan diri setelah  lama berehat . Setelah sekian lama  menyimpan motor.., dapat mendengar deruman  motor sendiri membelah highway  ..pergh...! memang menusuk kalbu beb..Pulas throttle.. zuup! motor pergi.., Pulas lagi.. zuup! motor pergi...Hehe korang mesti pelik.. kat mana seronoknya...giler ker apa mat-mat motor sanggup berhujan berpanas...berhabis duit membeli motor yang hanya boleh dinaiki dua orang..Hehe ..Sebagaimana kaki pancing..hanya mat motor saja yang dapat menghayati kenikmatan menonggang motor...

Kenikmatan itu lebih dirasai bila sesekali dapat menonggang..Kalau berhari-hari menonggang kenikmatan itu tidak begitu dirasai. Kekadang terlebih menonggang menyampah pun ada.. Aku lebih suka menonggang sendirian..tiada pembonceng. Aku tension kalau ada pembonceng. Sebab aku memikirkan yang dibonceng dibelakang itu adalah aku. Orang yang kena bonceng memang kecut perut , lebih-lebih lagi tetiba yang membawak tu terlebih pulas throttle atau menyelit dicelah-celah kenderaan..fuhh terasa tegak segala rambut kepala...Mujur bini aku tak minat naik motor...Dalam berbeza ada juga faedahnya.

Cuma yang leceh bila pasangan punya minat berbeza , terpaksalah mencari kaedah lain untuk meronda-ronda  walaupun terpaksa berbelanja lebih. Bulan empat akan datang aku akan ke Australia. Apa nak buat pasangan tak minat bermotor. Naik motor aku rasa lagi jimat.. Kalau sewa motor besar mahal, cari saja kapchai.  . Menerokai tempat baru melalui jalan darat tidak sama dengan melalui jalan udara. Dibawah kita dapat merasai pengalaman baru disepanjang laluan atau persinggahan dan rasa berbaloi setiap sen yang dikeluarkan.

Kebetulan anak aku yang ke 2 belajar di Sydney..Aku bercadang ke Melbourne juga Adelaide dengan menyewa kereta, Kalau punyai masa yang mencukupi boleh terus saja ke Bribane.. Jarak perjalanan keseluruhan tak sampai pun 5 ribu km andainya membuat satu loop ke Sydney semula. Sedangkan naik motor boleh dapat 6-7 ribu km takkan naik kereta,  tak boleh...Bila meronda bersama keluarga lebih berbaloi berkereta. Anak aku yang di Mesir juga sedang bercuti dan akan pulang ke Malaysia, sedang eloklah tu dibawa melawat adiknya yang belajar disana. Tak taulah 12 hari disana berapa jauh  boleh pergi.

Tak mengapalah kita berbeza, walau kenikmatan yang dicari adalah sama...Menurut kacamata yang berbeza..















Wednesday, January 22, 2014

sIKIT ITU bANYAK bANYAK iTU sIKIT...

He he pening dengan tajuk aku...Sambungan entry sebelum ini berkenaan perjumpaan bekas pelajar SMSM, SAMURA84.

 Wakil Sekolah Cikgu Razali berbaju petak memberi taklimat ringkas kepada sukarelawan..




Kami bermesyuarat di bilik mesyuarat sekolah, tak perlu terpekik terlolong meninggikan suara kerana microfon disediakan disetiap meja. Selepas sesi pengenalan diri dan ucapan penghargaan, wakil sekolah menerangkan serba sedikit pogram -pogram kecemerlangan sekolah yang telah atau sedang diatur melibatkan pelbagai pihak samada melalui Kementerian Pelajaran atau PIBG atau Persatuan bekas pelajar SAMURA atau individu-individu atau Badan-badan Korporat.. Projek terkini  pihak sekolah   atas inisiatif  Tuan Pengetua adalah pembinaan Dewan Kuliah yang boleh menempatkan lebih kurang 300 pelajar dalam satu satu masa.. Bangunan dan kelengkapan telah 80 peratus siap juga dibina melalui sumbangan orang ramai.. Baki 600 ribu lebih masih diperlukan untuk menyiapkan dewan tersebut dan pihak sekolah mengharapkan dewan boleh siap sepenuhnya sebelum Oktober tahun ini sempena meraikan Tuan Pengetua yang akan bersara wajib pada bulan tersebut.


 Taklimat projek Dewan Kuliah

 Dewan kuliah dibina atas sumbangan orangramai...

Betul, jumlah tersebut  adalah besar. Bagi orang kebanyakan seperti kita memang tak termampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.. Tapi tunggu...! Kita sering terlepas pandang kekuatan yang kecil. Satu ringgit jika dikumpulkan oleh sejuta orang boleh saja mencapai sasaran sejuta ringgit.  . Inilah yang aku maksudkan dengan tajuk di atas. ..Sikit jika dikongsi beramai-ramai yang banyak akan terasa sikit.. Melalui permuafakatan tiada nilai yang tak boleh dikumpulkan. Pendekatan inilah yang sepatutnya kita guna. Gembelingkan tenaga dan usaha mengumpulkan seramai mungkin bekas pelajar. Insyaallah jumlah tersebut mampu dicapai dalam waktu terdekat. Ini juga salah satu matlamat SAMURA84.  Idealnya jika 174 bekas pelajar  menghulurkan seribu seorang...sudah 174 ribu...! Mudahkan...? Jika setiap persatuan bekas pelajar berinisiatif sama, rasanya tiada masalah untuk mengumpulkan dana.

Harap-harap bekas pelajar sudi hadir juga sudi membantu. Tanpa pengorbanan pihak sekolah siapalah kita. 

Monday, January 20, 2014

Kalaulah masa boleh diundurkan ke belakang...




Sabtu 18hb Januari 2014, kami sukarelawan seramai 18 orang SAMURA 84 bertemu di Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.  Kini Sekolah Berprestasi Tinggi yang telah kami tinggalkan selama hampir 30 tahun. Tujuan pertemuan  adalah untuk membincangkan perjumpaan semula bekas pelajar batch pertama SPM  tahun 1984 yang dijadualkan pada bulan Jun 2014 ini. 


Aku yakin ramai yang begitu teruja untuk bertemu semula rakan-rakan. 30 tahun bukan satu tempoh yang pendek. Jika diibaratkan anak yang baru lahir, dikala mencapai usia ini pastinya telah melalui pelbagai fasa kehidupan yang mematangkan diri. Ketahuilah bahwa bukan pelajar sahaja teruja untuk menjejakkan kaki kesana, bahkan pihak sekolah juga sangat mengalu-alukan kehadiran bekas-bekas pelajar, . Pihak mana yang tidak bangga jika ada bekas pelajar telah menempa nama dan mengharum nama sekolah diluar sana.

Menjejakkan kaki semula ke perkarangan sekolah setelah begitu lama ditinggalkan  mengimbau  pelbagai kenangan silam. Kehadiran kami disambut oleh wakil pihak sekolah Cikgu Razali yang kebetulan berusia lebihkurang sama umur  kami. Perkenalan singkat  tapi  mesra.  Persekitaran sekolah sungguh berbeza, Pepohon hijau mendamaikan  pemandangan.  Banyak blok-blok tambahan tersergam gagah. Aku ingat lagi dulu semasa kami mendaftar masuk, persekitaran sekolah belum siap sepenuhnya.. Jentera pembinaan masih kehulu ke hilir menyiapkan mana-mana yg tak siap. Kelengkapan pengajaran  juga serba kekurangan. Namun dalam serba kekurangan itulah para pendidik dan pelajar bertungkus lumus menempuhi alam persekolahan dan Alhamdulillah daripada 174 calon SPM, 162 pelajar memperoleh  pangkat pertama dan selebihnya pangkat ke 2.  Kira hebatlah pencapaian ketika itu. Dan menurut maklumat yang kami perolehi  hampir kesemua 174 pelajar kini menjadi  ’orang’..hehe 

Dulu nisbah pelajar lelaki dan perempuan hampir seimbang, namun kini bilangan pelajar lelaki seolah pupus . Menurut Cikgu Razali dalam sekelas 30 orang  hanya 6-7 orang saja pelajar lelaki. Patut pun 4 blok  asrama putera  kami dulu telah  ditukar menjadi  asrama puteri. . Asrama putera kini hanya tinggal dua blok sahaja. Phenomena pertukaran asrama ini berlaku dihampir kesemua sekolah berasrama .  Aku berpendapat kemasukan pelajar ke mana-mana pusat pengajian rendah atau tinggi perlu dikaji semula. Kemasukan  hanya bersandarkan keputusan peperiksaan ternyata memberi kelebihan kepada pelajar perempuan yang diketahui lebih tekun , teliti serta rajin. .Namun hakikatnya di alam perkerjaan , pekerja lelaki adalah lebih diperlukan oleh ramai majikan disebabkan fitrah wanita yang penuh keterbatasan.

Bersambung…



Wednesday, January 15, 2014

Lu tak terasa kangkong kah bro..?

Susah wa nak tulis jawapan dalam ruangan komen. Ruang yang kecil sukar untuk menyemak ejaan juga jawapan yang wa tulis. Terima kasih kepada anonymous yang menjengok blog wa...Wa tak tau samada anonymous adalah pengunjung sama yang memberi ulasan terhadap tulisan wa sekarang dan sebelum ini. Tak kesahlah..Yang pasti anon tersebut penyokong tegar sebelah sana. Walaupun sebelum ni wa pernah tulis, wa nyatakan lagi dalam tulisan ini. Wa sekarang memang condong kearah parti pemerintah. Bukan suka sangat dengan mereka tapi wa menggunakan kaedah keterpaksaan. Antara dua perkara, wa pilih yang kurang memudharatkan. Walaupun sebelum ini wa pernah menyokong parti sebelah sana juga ..Seperti ramai yang lain yang suka bereksperimen, wa tak terkecuali...wa mengharapkan eksperimen yang wa lakukan sebelum ini menjadi rupanya langsung tidak memenuhi apa yang wa inginkan, bahkan semakin teruk. Wa maukan kuasa orang islam terus dominan. Itu harapan wa.

Bila anon tulis wa tak suka hudud , lu silap bro. Hanya orang yang bersalah saja takut  terhadap hukuman. Kalau ISA pun wa sokong, apasal hudud wa tak sokong kerana hukuman itu untuk keamanan sejagat. Wa berharap kedua-dua pimpinan ikhlas  berkerjasama untuk merealisasikan  impian tersebut. Yang jadi masalah kedua pihak sering bertelagah. Yang sana tuduh sini, sini tuduh sana. Tapi yang wa lagi menyampah  pihak sebelah sana hanya tahu menghentam semasa tidak memiliki kuasa..  apasal tak laksana ini, tak laksana itu. Namun apabila kuasa dimiliki tidak pulak dilaksanakan apa yang dihentam ke arah pihak lawan . Bahkan dijilat balik apa yang telah diludah terhadap pihak lawan.

Apa yang pihak sana tak hentam terhadap pemerintah sekarang..? pasal judi, arak, keruntuhan moral, jaga kepentingan rakyat dsb ...Tiga negeri telah dikuasai oleh mereka, apasal tak dilaksanakan apa yang diretorikkan. Sudah dua penggal Selangor dan P.Pinang dibawah mereka, apasal kilang arak di Batu Tiga Shah Alam, begitu juga di Bandar Sunway masih terus beroperasi..? Lu sibuk menghentam kasino di Genting sedangkan berapa banyak pusat judi siber turut berleluasa di negeri bawah pembangkang..Pusat urut pun semakin bercambah, outlet toto magnum masih dibuka macam biasa,...Jangan beralasan menunggu mengambil alih Putrajaya lah bro..Johor boleh menguatkuasakan lesen pusat hiburan keluarga apasal tidak Selangor atau, P.Pinang ..?

Dulu wa mengharapkan kepentingan orang islam terpelihara, tapi apasal semakin teruk bila pembangkang mengambil alih kuasa. Lu jangan cakap peruntukan sekolah agama dan elaun imam dinaikan di P.pinang lah bro. Apasal bila kuil cuba diusik  pihak sealiran lu antara yang ke depan, tapi bila banyak gerai-gerai atau rumah rumah dirobohkan tak dengar pulak pihak lu berpiket.. Wa sertakan bersama ini foto gerai yang dirobohkan dikawasan kejiranan taman perumahan wa., milik orang kita bro...








Isu terbaru pula berkenaan pusat giatmara yang diarahkan tutup di Selayang atas alasan berada di tanah kerajaan. Kenapa kerajaan dulu membenarkan  dan kenapa tidak kini.? Lu cakap PR membela rakyat... Berapa banyak kuil, kilang haram boleh diputihkan statusnya bahkan mendapat dana khas apasal pusat kegiatan masyarakat seperti Pusat GiatMara ini langsung tiada pembelaan dari pihak kerajaan negeri. Apa agenda mereka.

Itu pasal lah bro wa tertanya-tanya apasal pihak sebelah sana lebih ghairah membicarakan pasal kangkung daripada isu yang lebih besar begini. Tak kira pangkat dan kedudukan isu kangkung lebih mendapat tempat di laman-laman sosial milik penyokong sealiran lu   bro. Lu tak terasa kangkong kah bro...?

.

Saturday, January 11, 2014

Elok juga cermin-cermin diri sendiri...

Dua artikel bacaan pagi ni memberi kesan kat aku, langsung menulis untuk peringatan diri sendiri dalam masa sama mungkin boleh dikongsi kepada sesiapa yng terjengok blog ini. Artikel pertama yang aku perolehi dari rakan WA aku salin disini. Artikel ini mungkin telah banyak kali para pembaca membacanya, tapi tak kesahlah, kekadang sesuatu perkara jika ingin terkesan secara mendalam dalam hati perlu diingatkan berulang-ulang kali.

RENUNGAN BERSAMA...

1 pasangan muda yang baru berkahwin tinggal di sebuah kawasan perumahan. Suatu pagi, sewaktu sarapan, si isteri melalui jendela kaca, ia melihat jirannya sedang menjemur pakaian... "Cuciannya kurang bersih ya bang," kata si isteri. "Dia ni tentu tak tahu cara mencuci pakaian. Mungkin dia perlu sabun yang lebih elok." Suaminya menoleh, tetapi hanya diam dan tidak memberi komen apa-apa. Sejak hari itu setiap kali jirannya menjemur pakaian, selalu saja si isteri memberikan komen yang sama tentang kurang bersihnya jiran mencuci pakaian. Seminggu berlalu, si isteri hairan melihat pakaian-pakaian yang dijemur jirannya kelihatan betul-betul bersih, dan dia maklumkan kepada suaminya, "abang tengok jiran kita ni dah basuh bersih pakaiannya, tak macam sebelum ni, siapa agaknya yang ajar dia cara yang betul untuk membasuh pakaian?" Sang suami berkata, "Saya bangun pagi hari ini dan membersihkan jendela kaca kita." Isterinya terkesima. Dan begitulah kehidupan. Apa yang kita lihat pada saat menilai orang lain bergantung kepada kejernihan fikiran (jendela), pabila kita memandangnya, jika HATI kita bersih, maka bersih pula FIKIRAN kita. Jika FIKIRAN kita bersih, maka bersih pula PERKATAAN kita. Jika PERKATAAN kita bersih (baik), maka bersih (baik) pula PERBUATAN kita. Hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita mencerminkan hidup kita. Jika ingin hidup kita berkembang, maju, dan berjaya (bersih/baik), maka kita harus menjaga hati, fikiran, perkataan dan perbuatan kita agar tetap baik. Kerana itulah segalanya. HATI menentukan FIKIRAN.FIKIRAN menentukanPERKATAAN & PERBUATAN. 2 hal paling baik di atas kebaikan :■ Sangka baik kepada Allah■ Sangka baik kepada Hamba Allah

 .

Artikel kedua yang aku baca aku perolehi dari akhbar Mingguan Malaysia..He he kawan aku di pihak sebelah sana mesti sinis dengan aku. Pantang benar jika sumber berita dari sini dirujuk. Padahal mereka juga yang bercakap cuba buka minda. Sepatutnya berita dari pelbagai sumber boleh saja dibaca. Gunalah kebijaksanaan   untuk mencerna berita yang diterima.

Aku sangat bersetuju dengan penulis dalam artikel '  Cita rasa Rakyat dan Perangai Kerajaan'  . Kita asyik komplen..komplen dan komplen sedangkan ramai warga luar yang kaya raya dengan limpahan kekayaan negara ini. Kebetulan pagi ini bini aku   pulang menghadiri majlis kahwin warga  Indonesia  menceritakan  sewaan pelamin saja mencecah 2500 sehari. Berapa ramai warga asing  yang mampu hidup mewah sekembalinya ke tanah air mereka hasil mencari rezeki di sini..


Dua artikel di atas cukup memberi kesan kat  aku..Perubahan hendaklah bermula dari diri sendiri. Sekadar melalak menyalahkan orang lain tiada guna...


Tuesday, January 7, 2014

Bila Penjenayah Semakin Berani...

Bunuh..! Bunuh..! Bunuh..! Begitu zalimnya manusia dan begitu murahnya nyawa sekarang. Ngeri membaca dan mendengar berita pembunuhan saban hari . Ditambah dengan wujudnya media-media sosial, berita berita kekejaman berserta paparan gambar tanpa tapis sangat mudah diterima. Bunuh melalui tembak jarak dekat seolah sudah menjadi berita lazim yang kini tidak lagi dipaparkan di mukahadapan akhbar dek kerana selalu sangat berlakunya kes-kes sedemikian.. Sekarang tak cukup dengan pistol, berita mutaakhir penjenayah sudah mula menggunakan rifel.  Pembunuhan menggunakan senjata tajam pula bukan sekadar bunuh melalui tikaman malahan lebih kejam dengan menyembelih mangsa. Langsung tiada belas kasihan terhadap mangsa.

Kita nak salahkan siapa..? Polis..? Polis beralasan kekurangan anggota untuk memberi khidmat dengan berkesan. Di taman tempat kami tinggal dengan jumlah penduduk melebihi 30000 orang hanya memiliki pondok polis dengan kekuatan anggota 8 orang. Tak taulah bagaimana mereka membahagikan tugas meronda siang atau malam, menyiasat, menerima laporan dsb. Tidak hairanlah kegiatan pecah rumah semakin menjadi-jadi. Aku percaya kawasan perumahan lain juga tidak terkecuali.. Wujudnya kawasan perumahan berpagar berserta pengawal seolah tidak mencegah kegiatan samun dari terus berlaku.. Di kejiranan taman kami yang lengkap berpengawal, ber cctv, kenderaan dengan mudah juga dicuri , rumah mudah juga diceroboh masuk.

Sudahlah kekurangan anggota, bebanan pihak polis dan pihak pendakwaan sekarang pula  semakin bertambah bila ISA dimansuhkan. Tak silap aku dulu sesiapa memiliki senjata api tanpa lesen boleh saja ditahan tanpa bicara. Kini terpaksa melengkapkan siasatan, sebelum boleh mendakwa. Walaupun secara terangan penjenayah itu memiliki senjata dan diketahui umum melakukan jenayah tetapi proses mahkamah memungkinkan penjenayah dibebaskan atas alasan teknikal. Sebab tu aku pelik, bila pemerintah setuju akta pencegahan itu dimansuhkan dulu atas alasan hak asasi manusia. Benar akan berlaku penyalahgunaan kuasa, tapi manfaat pencegahan yang lebih besar kini telah terhapus. Hak asasi rakyat majoriti untuk hidup aman telah dinafikan. Mentaliti pembangkang mana pernah bersetuju dengan pihak lawan. Lawan tetap buruk dimata masing-masing. Bangkang tetap bangkang.. Kekadang bangkangan lebih terarah kepada mempertahankan  keegoan berbeza ideologi walhal sesuatu perkara itu sepatutnya boleh disepakati. Sekarang pihak yang mendesak supaya akta ISA dihapuskan dulu.. turut membantai polis dan pemerintah bila index jenayah meningkat...Padahal mereka juga antara penyebab kenapa penjenayah semakin berani dan ganas. Perkataan perli seperti ' Syukur negara masih aman'  sering juga dimainkan oleh penyokong Hapuskan  ISA .

Entahlah ..Aku pun semakin keliru dengan puak puak ini...








Monday, January 6, 2014

Rumput Seberang Jalan Selalunya Nampak Lebih Hijau...

Semua orang berebut untuk menjadi orang lain...Merasakan yang lain serba serbi indah. Begitulah .. mengimpikan apa yang orang lain miliki. Apa yang sendiri miliki seolah semua tidak bagus. Benarkah begitu...? Dalam bidang keusahawanan, ramai orang  terikut-ikut dengan rentak persekitaran. Meninggalkan kepakaran asal yang dimiliki..Bila hangat diperkatakan pasal ternakan lembu atau kambing atau walit dsb...berduyun-duyun orang tertumpu kesitu... begitu juga dengan tanaman, perniagaan internet, MLM....Namun ramai yang hanya bergerak sekerat jalan. Berapa ramai yang cuba menceburkan diri sekadar terpengaruh melihat kejayaan orang lain. tanpa menyelidiki dahulu bagaimana  orang yang telah berjaya boleh sampai ketahap itu. Menciplak kejayaan orang lain tidak semudah yang disangka jika tidak disertakan dengan minat, kesungguhan juga daya tahan.

Kita orang luar sekadar dapat menilai secara luaran. Terpukau melihat kejayaan orang lain. Tapi kita tidak tahu bagaimana disebalik kejayaan itu pelbagai perit jerih terpaksa dilalui. Seeloknya kita menjadi diri kita. Jika kepakaran kita dalam mengajar atau bertukang atau memasak dsb kenapa tidak dikembangkan saja kepakaran itu kerana pengalaman dimiliki adalah modal yang tak ternilai. Menceburi bidang yang serba asing pastinya terpaksa menempuh pengalaman baru sebelum mencapai kejayaan yang diingini. Dikhuatiri patah semangat sebelum sempat matang pengalaman yang ditimba. Tidak bermakna tidak boleh menceburi bidang baru, hanya kepakaran asal janganlah dipersia dan ditinggalkan. Jadikan kepakaran asal sebagai tunjang dalam merencana bidang baru yang diceburi...

Namun andainya bidang yang diceburi selama ini langsung tidak menampakkan hasil memberangsangkan..Jangan takut mencuba yang baru..Mana tahu rumput di seberang jalan benar-benar hijau..Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya ...Hehe selamat maju jaya dalam apa jua bidang yang diceburi...Semoga berjaya dunia dan akhirat.








Thursday, January 2, 2014

Selamat Tahun Baru 2014! Sorry lambat ucap..


>>>Masih tak terlambat kot untuk mengucapkan Selamat  Tahun Baru 2014. Harap-harap azam tahun terdahulu terlaksana sebelum muncul tahu baru. Juga selamat ulang tahun perkahwinan kepada kami yang ke 24, 1/1/1990 hingga 1/1/2014.  Maaf lah yea aku takda bagi bini aku bunga atau kata kata indah. Juga hadiah-hadiah.. .Ingin juga berbuat demikian, tapi macam serba tak kena lah haha.. Biarlah orang nak cakap aku tak romantik. . Entah aku bertakrifan berbeza pasal romantik. Ada orang melihat memberi bunga 1 lori itu sebagai simbol kasih sayang. Atau meperagakan aksi terlebih mesra sambil dikongsi di laman-laman sosial sebagai sesuatu yang sangat romantik. Takpalah itu takrifan masing-masing . Aku tak merasakan hilangnya kasih sayang kalau aku tak lakukan semua itu. Kasih sayang adalah perasaan yang terbit dari dalam. Yang ini tak boleh tipu. Hanya empunya diri yang tahu. . Yang pelbagai cuba ditonjolkan secara luaran belum tentu tulin atau palsu. Kalau romantik tulin memang sangat bagus. Seeloknya begitulah sehingga ke akhir hayat. Yang kita taknak hanya  'romantik'  semasa berpacaran . Kahwin baru beberapa bulan sudah berantakan. Romantik sebegini  apa barang beb..!!! >>>

>>Bagaikan roda. Tidak selalunya yang di atas akan  sentiasa diatas. Akan tiba masa kembali ke bawah. Kekadang tak lama  kitaran itu berada ditempatnya. Ibarat kitaran teknologi juga. Aku masih ingat  melihat bos  kehulu hilir mengusung set phone ATUR. Besar ketika itu menjadi simbul kebanggaan. Masa beredar . Seketika kemudian yang kecil pula menjadi kegilaan. Dan kini yang semakin besar kembali semula. Phone dan tablet sebesar dulang seolah phenomena. Tapi percayalah akan tiba saatnya  gajet-gajet besar ini juga akan ditertawakan  bila menggunakannya dikhalayak ramai. Begitu juga dengan jenama. Seketika dulu jenama tertentu mendominasi pasaran. Kini jenama yang gah dulu seolah tidak bermaya. Tempatnya diambil oleh pesaing yang lain dan percayalah jenama yang gah sekarang juga akan menerima nasib yang sama sedikit masa lagi apabila akan  dipintas oleh jenama lain pula. Masalahnya kita selalu alpa  bila berada diatas. Kekadang menyombong tak tentu pasal. Kekadang boros tak hingat dunia.  Bila putaran kembali ke bawah, apa persediaan kita.? Selalunya orang yang 'over' adalah  yang tiada apa-apa. Memiliki sedikit kelebihan seolah dunia sudah ana yang punya. Geng ini yang selalu terperangkap bila kitaran hidup kembali kebawah. Permulaan yang baik belum menjamin kesudahan yang baik. Ini adalah lumrah kehidupan.>>>

Sekali lagi Selamat Tahun Baru...











Sekadar coretan untuk peringatan diri dan para pembaca.

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK