Sunday, October 31, 2010

JOM BERKAYUH LAGI..

 

 

 
Posted by Picasa
Ha .ha harini aku berkayuh semula setelah 3 minggu berehat kerana berkembara ke Segitigaemas Thailand-Myanmar-Laos. Aku memperolehi hasil stamina menakjubkan dengan aktiviti berkayuh ini dimana konvoi bermotor aku ke Segitigaemas berjaya dilalui tanpa sebarang masalah fizikal, berbanding dengan xpdc aku terdahulu dimana badan amat keletihan..Kepada pembaca diluar sana jom lah beriadah menyehatkan fizikal dan minda..

Aku berseorangan saja dan melayan Track Emerald. Sepatutnya aku dan seorang rakan berkayuh ke Track Offroad Waterfall, tetapi terpaksa di batalkan kerana perlu menziarahi majlis pengebumian anak perempuan Tok Imam masjid di tempat aku yang kembali ke rahmatullah malam tadi akibat komplikasi selepas bersalin. Semoga rohnya tergolong dalam golongan orang beriman. Aminn.

Aku bertembung dgn Sdr Aziz yang kebetulan sedang berjoging di trek yang sama..

AWAS JERANGKAP SAMAR 2

KENDERAAN BERAT

AWAS..! Sentiasa berwaspada apabila terdapat kenderaan mengekori kenderaan berat lain. Kenderaan ini seumpama tentera musuh yang akan membuat serang hendap tanpa diduga. Mereka akan tiba-tiba menukar arah untuk memintas kenderaan berat dihadapan..Kemalangan maut melibatkan peserta konvoi Robert Lim pada 29hb Oktober lepas di Terowong Manora Ipoh berpunca dari serang hendap ini..Kejadian sama hampir terjadi pada aku pada 9hb Okt 2010 di Lebuhraya Plus arah selatan berdekatan Kawasan Rehat Pagoh..


BINATANG MELINTAS

Kejadian yang menimpa aku pada Mei 2010 berpunca dari ini. Aku terkejut lalu secara spontan menyentap brek dan.. tersungkur bersama skuter aku. Mujur kecederaan tidak serius..Kucing yang entah datang dari mana tiba-tiba berlari melintas depan aku..Berapa banyak lagi peristiwa kemalangan melibatkan binatang melintas jalan..

BONGGOL JALAN

Whepan, Whekang dan Tersembam jawabnya kalau tidak sempat memperlahankan kenderaan. Kemalangan sering terjadi apabila bonggol baru saja siap dibina dan belum bercat lagi..kebiasaan bonggol tiada..tiba-tiba dibina ..Jadi jangan ambil mudah sebarang kemungkinan walaupun jalan itu sering kita lalui.

GARISAN JALAN YANG DIPADAM

Amat berbahaya diwaktu jalan basah kerana kedudukan garisan yang dipadam ini kebiasaannya berada dilaluan utama. Lagi merbahaya sekiranya berada di selekoh..,tayar mudah tergelincir kerana permukaan garisan yang licin..

Saturday, October 30, 2010

TREK EMERALD

Trek ini berhampiran dengan taman aku tinggal..Trek merupakan kawasan perumahan yang sedang dibangunkan..Panjang trek 7-10km.. Profil trek adalah berbukit-bukau dan sedikit landai..Pendakian paling mencabar adalah melalui laluan bercerun berhampiran dengan tangki air Syabas dimana panjang pendakian melebihi 100m pada kecuraman melebihi 30 darjah..Hari pertama mendaki, aku hampir gagal ke puncak kerana kehabisan stamina..nyaris gelap pemandangan..Semasa turun cerun boleh memilih laluan berturap atau laluan offroad..Fuyoo..Silap kawal brek boleh membawa padah tersembam ke bumi.. Sekiranya tiada teman berkayuh aku suka layan trek ini sendirian..Laluan trek juga melintasi Lebuhraya PLUS,jadi boleh lah melepaskan lelah sambil memerhati gelagat pemanduan orang ramai dari atas jambatan..

Kepada teman-teman di luar sana yang mempunyai banyak masa terbuang..jomlah berkayuh InsyaAllah Badan Sihat..Duit Selamat..Ha Ha..

Friday, October 29, 2010

PESERTA KONVOI MAUT 29HB OKT 2010

IPOH 29 Okt 2010..Seorang peserta konvoi maut apabila dirempoh rakan selepas motor berkuasa tingginya terbabas akibat bergesel dengan sebuah lori di km262.7 lebuhraya Plus dekat Terowong Menora. Mangsa Robert Lim Boon Huat 52 maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala..Berita lanjut boleh diperolehi melalui BERNAMA

AWAS..! JERANGKAP SAMAR... Apabila terdapat kenderaan mengekori kenderan berat dihadapan. Mereka secara tiba-tiba akan mencilok untuk memintas..Aku pun nyaris kena di PLUS highway berdekatan kawasan rehat Pagoh arah selatan pada 9hb Okt 2010 lepas apabila lori sayur tiba-tiba mengubah haluan ke lorong laju untuk memintas lori tangki dihadapan..

Thursday, October 28, 2010

ULASAN KEMBARA SEGITIGAEMAS-tempat menarik

Sebagai pelancong luar apa yang anda cari bila ke sesuatu destinasi..? Bagi aku keunikan tempat itu untuk mengabadikan kenangan..sebab itu lebih tinggi keunikan lebih lagi jadi tarikan. Ciri-ciri setempat seperti bangunan, nama tempat, bahasa dan tulisan adalah contoh keunikan yang jadi tumpuan di Siam dan dimana-mana tempat yang kita lawati..

Sebab itu aku kurang bersetuju jika nama-nama tempat di Malaysia banyak diinggeriskan.. sebagai contoh..Pulau Kapas jadi Kapas Island dll..Sayang hilang keunikan setempat itu..PULAU adalah keunikan nama, khusus untuk Kepulauan Melayu sahaja, sebagaimana KOH unik di Thailand ..Kita tidak menghargai keunikan tersebut kerana disekelilingi dengan pelbagai nama PULAU berhampiran negara kita. Tetapi untuk pelancong asing yang berada luar dari Kepulauan Melayu keunikan nama begini yang dicari-cari untuk menunjukkan bahawa pelancong tersebut telah menjelajah ke tempat jauh dari negaranya dan ini sudah tentu menjadi kebanggaan untuk dikongsi bersama rakan-rakan sekembalinya nanti..

Sekiranya kita ke negara-negara lain kita sering mengabadikan foto berlatarbelakangkan tanaman atu binatang unik negara dilawati..Jika ke negara beriklim sejuk dan sederhana kebiasaannya pokok anggor,strawberi.dll menjadi pilihan, manakala ke negara-negara arab pokok kurma dan binatang unta pula menjadi pilihan..sebab? keunikan bukan..

Keunikan ladang kelapa sawit dan getah sekiranya dieksploitasi aku rasa boleh menjana pendapatan hasil produk pelancongan unik untuk negara beriklim tropika..Sekiranya kita berbangga dapat mengabadikan foto berlatarbelakangkan pokok anggor, aku berpendapat Mat-mat salleh, orang jepun dll juga berbangga berlatarbelakangkan keunikan ladang kelapa sawit dan getah kerana pokok ini tiada di negaranya. Pembuktian mudah kepada rakan bahwa mereka telah berada dinegara beriklim tropika yang jauh dari negaranya..

Apa yang anda pelajari dari Thousand Corners ini..Sebenarnya keunikan setempat telah dieksploitasi sebaik mungkin..Jalan yang teruk pun boleh dijadikan produk pelancongan..! Mamat motor luar tergila-gila ke sini dek kerana sekeping sijil.. Memang benar, sesuatu yang buruk terdapat kebaikan sekiranya di pandang dari sudut kebaikan dan begitulah sebaliknya..Yang penting gimik dan promosi..Banyak keunikan negara kita yang masih tidak dieksploitasi sebaik mungkin..

Jadi kepada Perancang bandar, Arkitek dll kekalkanlah keunikan yang kita miliki dan usah terikut-ikut dengan produk negara lain. Sama seperti kita, orang luar turut mencari keunikan setempat untuk ditonjolkan kepada rakan-rakan sekambalinya dari lawatan mereka..Sekiranya produk yang kita tunjolkan serupa dengan produk dinegara mereka.., Apa barang..? ha..ha

ULASAN KEMBARA SEGITIGAEMAS-perjalanan

Perjalanan secara keseluruhan adalah lancar kecuali sedikit gangguan sewaktu kemalangan Ar Mastor di laluan antara Mae Sariang dan Mae Hong Song...

Highway di Thailand adalah luas menghubungkan negeri-negeri di selatan,utara, timur dan barat. Jaringan jalanraya adalah sangat selesa..Di sesetengah lebuhraya kenderaan adalah tidak banyak..Walaubagaimanapun lebuhraya di sana adalah jenis terbuka seperti laluan antara Klang ke Sabak Bernam. Bukan setakat kenderaan bebas keluar masuk highway dan boleh membuat pusingan u..., lembu, anjing dan silap-silap babi hutan pun boleh tumpang sekaki menggunakan highway..Ini yang merbahaya jika tidak berhati-hati. Semasa dalam perjalanan pulang antara Petchaburi ke Retchaburi aku nyaris kemalangan apa bila sebiji kereta tiba -tiba menukar haluan dari lorong tengah ke lorong laju untuk membuat pusingan U..Semua brek aku guna.., depan, belakang dan brake mulut..ha.ha.

Untuk pengisian minyak juga tiada masalah kerana terdapat banyak stesen minyak dilengkapi dengan convinience store di sepanjang laluan.

Papan tunjuk arah dilebuhraya juga mudah di baca, tetapi kekadang turut terkeliru memasuki jalan biasa menuju tempat yang sama..Sila perhatikan No rujukan jalan sebelum keluar dari highway. Jika rujukan jalan 1 angka dan 2 angka bermakna jalan adalah luas dan selesa. Lebih banyak angka bermakna anda melalui jalan kecil atau jalan daerah/kampong ..Rujukan jalan empat angka di laluan tanah rendah ok lagi,,tetapi sekiranya melalui banjaran pergunungan itu yang meletihkan..Perjalanan Thousand Corners mempunyai Rujukan Jalan empat angka..

Perjalanan di Thousand Corners sekiranya di buat diwaktu siang adalah tidak sesukar mana. Rancang perjalanan diawal pagi.,seandainya tiba di sesuatu tempat dalam pukul 5 petang seeloknya segera cari tempat penginapan. Meneruskan perjalanan diwaktu malam adalah berisiko terutamanya dijalan berliku dan cuaca pula buruk.

Sistem baikpulih jalan juga kurang bersistematik berbanding Malaysia.. Lebuhraya akan dibongkar disemua lorong..,tanpa lencongan sempurna..Kebanyakkan pengguna di sana menggunakan Pick up jadi tiada masalah besar bagi diorang..,bila waktu hujan lebuhraya sudah jadi jalan tanah merah lecak..Motor ringan tidak mengapa tetapi kalau bawa motor berat seperti goldwing alamat tumbang sekiranya silap kawalan .

Lintasan keretapi pun boleh merentasi lebuhraya. Sangat merbahaya terutamanya diwaktu malam..Bonggolan laluan keretapi adalah tinggi..,kalau tidak sempat memperlahankan kenderaan nescaya melambong motor..ini yang terjadi pada kami yang terpaksa membrek keras kerana lewat menyedari bonggolan laluan keretapi ini.

Wednesday, October 27, 2010

ULASAN KEMBARA SEGITIGAEMAS-perbelanjaan

 
Posted by Picasa
Secara umum misi xpdc aku adalah tercapai. Perbelanjaan xpdc aku bermula pada hari Pertama sehingga hari ke 11 tidak melebihi RM 2500. Aku berpendapat amat berbaloi dengan pengalaman dan peningkatan keyakinan diri yang di perolehi setelah xpdc.

Pecahan perbelanjaan adalah seperti berikut :

MINYAK : RM980+..

Yang ini memang tidak boleh dielak kerana harga minyak di Thailand adalah mahal. 3.80 seliter. Kerajaan Thai mengenakan caj tinggi disini, tetapi tiada tol dikenakan di sepanjang highway..utara, selatan ,timur, barat..seluas-luas highway..di sesetengah laluan kenderaan adalah kurang.. Kalau dapat ke Mat Motor Perang ni he.he motor sport le.. memang sah jadi tempat test top speed..

PENGINAPAN : < Rm 500

Penginapan adalah secara twin sharing melainkan semasa di Maesot dan Lawa Mae Sareang kami duduk di sebuah rumah resort besar. Penginapan di resort dan hotel adalah mudah dan selamat kerana motor boleh ditempatkan diperkarangan kediaman berbanding jika tinggal di rumah tumpangan dimana motor kena parking ditepi jalan sahaja. Semasa dalam perjalanan balik barangan yang diikat dibelakang motor tidak perlu di buka lagi karana sekuriti penginapan boleh mengawasinya..

Secara purata penginapan adalah dalam lingkungan rm45 seorang..kira berbaloi lah tu jika dibandingkan dengan kemudahan yang disediakan. Bagi aku yang penting adalah air panas dimana dapat bersiram mengurangkan ketegangan urat dan otot-otot..Lepas mandi berlumur minyak urut panas peergh..esok pagi bangun badan terasa segar brader..! Another tip..ha ha..Itu yang bersemangat mahu sambung ke Bangladesh..he he.



MAKANAN : < Rm500

Koleksi rm500 untuk perbelanjaan makan utama yang diserahkan kepada bendahari xpdc Kak Faridah dikembalikan RM100 semasa kami berpisah di Chumpun. Ini tips yang berguna..Sediakan bendahari untuk tujuan ini, seeloknya yang bawa pasangan..peserta lain serah duit..bila makan orderlah apa yang suka..bayaran ada yang tolong uruskan..jadi tiadalah masing-masing tengok muka sesama sendiri bila waktu pembayaran..Walaupun perbelanjaan sewaktu berhenti rehat sebentar dibawah tanggungan masing-masing tetapi tidak melebihi rm100 pun..

CENDERAHATI DAN LAIN-LAIN : < RM500

Perbelanjaan ini termasuk menukar bulb motor dan upah bernilai 1500baht.

Aku membeli seluar ,baju..banyak T -shirt harga dalam linkungan 150baht sehelai, 4 pasang kasut, boot bundle..,haa yg ini baik punya ok kasut kulit jumlah tidak lebih 2000Baht untuk semua 4 pasang..

 
Posted by Picasa


Tabung buloh besor 50 Baht he he..lepas ini aku akan kutip mana-mana syiling yang bersepah dan masukkan dalam tabung buloh ini, kumpul duit untuk xpdc akan datang..ha.ha . Angan-angan pun mesti disertakan dengan perancangan baru jadii..

Bab beli membeli cenderahati ni aku tidak berapa pandai sangat.,seperti t- shirt tu boleh la..tetapi yang lain minta maap..daripada aku beli tapi tidak di pakai lebih baik aku tidak payah beli..Citarasa kita kan berbeza..ikut mata aku cantik..ikut mata diorang tidak menarik..anak pulak sudah remaja..semua yang aku beli dikata citarasa orang tua..he he alasan kukuh untuk aku tidak membeli..

Masa aku sampai rumah berlonggok jugalah barang yang aku beli..macam tak percaya pulak boleh angkut atas motor dan tidak habis 3500 Baht.

KEMBARA SEGITIGAEMAS 2010-MUKADDIMAH


Alhamdulillah kami dari Sahabat Riders telah berjaya kembali ke tanahair setelah 11 hari berkelana.

Misi kembara pertama adalah untuk menakluk Thousand Corners sejauh 583km yang amat digilai oleh Mat-Mat Motor serta memperolehi sijil pengesahan. Thousand Corners terletak di pergunungan utara Thailand yang bersempadan dengan Myanmar di sebelah barat.

Misi kedua kembara adalah meneruskan ekspedisi ke Golden Triangles, pekampungan yang menghubungkan tiga negara Thailand :Myanmar :Laos


Peserta kembara terdiri dari

1. En Rosli (PokLi) BMW 1200RT- Mencapai kedua-dua misi dengan tambahan laluan Suratthani- Nakon Sithamarat-Songkla-Patani-Yala-Naratiwat dan keluar pintu golok sambung melalui jalan Pantai Timur ke Kuala Lumpur.

2. Aku BMW 1200RT- Mencapai kedua-dua misi dengan tambahan laluan Suratthani- Nakon Sithamarat-Songkla-patani-Yala-Naratiwat dan keluar pintu golok dan sambung melalui jalan Pantai Timur ke Kuala Lumpur.

3. SM Khaidir dan isteri Kak Faridah- Goldwing mencapai kedua-dua misi tetapi keluar ikut pintu masuk di Danok dan lalu Plus highway ke Kuala Lumpur

4. En Yusof (Pak Usop) GTR1400- Menamatkan cabaran Thousand Corners Shj

5. En Azman JO GTR1400-Menamatkan cabaran Thousand Corners Shj

6. En Nizam GTR1400-Mwenamatkan cabaran Thousand Corners Shj

7 Dr ikhwan GTR1400-Menamatkan cabaran Thousand Corners Shj

8. AR Mastor ZZR1100- Menamatkan cabaran sehingga Thousand Corners Sektor ke 2 sahaja

9. En Mahadi BMW1200RT- sehingga Hatyai sahaja

Foto peserta adalah sebagaimana post terdahulu


Thousand Corners aku bahagikan kepada 4 sektor tertakluk kepada kesukaran laluan

SEKTOR 1 TAK-MAESOT JARAK : 86km
Laluan 80% mild, 20% medium hard

SEKTOR 2 MAESOT-MAESARIANG JARAK : 227km
Laluan 60% medium hard, 40% extreme

SEKTOR 3 MAESARIANG-MAE HONG SONG JARAK : 90km
Laluan 20% medium hard, 80% extreme

SEKTOR 4 MAE HONG SONG-PAI-MAE TENG JARAK : 180
laluan 5% medium hard, 95% extreme

JUMLAH JARAK : 583km

Coretan xpdc akan menceritakan pengalaman sepanjang perjalanan bermula dari hari pertama sehingga hari ke sebelas.

Coretan lain akan menyentuh pengalaman khusus seperti tips perjalanan, kos expdc untuk minyak, penginapan, makanan dan cenderahati juga pandangan peribadi berkaitan pemerhatian aku sepanjang berekspedisi.

Aku berharap pembaca enjoy membaca coretan ini dan dipersilakan memberi ulasan untuk penambahbaikan isi kandungan blog ini.

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY 11-23HB OKT 2010

Hari ini hari ke 11 ekspedisi kami. Sebentar lagi kami akan memasuki sepadan Malaysia. Pukul 9.30 kami tiba di imegresen Sg Golok. Penyerahan dokumen dan pemeriksaan kenderaan di buat oleh pegawai imegresen. Urusan di sini agak mudah kerana tidak banyak kenderaan berbanding ikut laluan Sadao/Danok. Setelah urusan pasport dengan imegresen Thai dan Malaysia selesai kami bersarapan nasi putih berlauk ayam kampong di restoran berdekatan dengan kompleks imegresen..Minum air herba mas cotek..

Teruskan perjalanan ke Kuala Trengganu melalui Macang dan Jerteh. Singgah sebentar di MRSM Besut untuk melawat anak aku disamping memberi cenderahati dan menyerah lebihan bekalan maggi dan sardin tuna..he.he..,ringan sikit motor aku..Jumpa anak aku pun tidak lama. Sambung semula perjalan sebelum pekena keropok lekor dan ABC di Pantai Batu Burok..Pantai Batu Burok sekarang ni bersih dan kemas..,jauh lebih cantik dari pantai di Thailand..

Sudah alang-alang tiba Trengganu aku buat temu janji dengan mekanik motor klasik aku di Bukit Payong..hee.he Koleksi kenderaan dua roda aku..Dia bagitau 2/3 bulan lagi siap..Sikit punya lama bikin motor aku, bertambah klasik motor aku masa siap nanti..,dekat 3 kali raya pun belum siap-siap lagi..Semasa aku jumpa mekanik, PokLi berjumpa dua pupu beliau di kawasan berdekatan , sudah 2 tahun tidak berjumpa. Aku tumpang sekaki pekena air oren di rumah beliau,setelah mengambil foto rangka motor klasik aku..

Sambung perjalanan melalui Jerangau- Jabor..Sepanjang jalan hujan selebat-lebatnya..Hentian terakhir isi minyak adalah di Kawasan Rehat Temerloh. Tiba di Shell Tol Jalan Duta melalui DUKE untuk solat pukul 8mlm..,dan kami berpisah di situ..Aku ke Rawang manakala Pok Li sambung perjalanan Ke Salak Tinggi. Aku selamat tiba rumah dalam pukul 9 malam.


Jarak perjalanan hari ke 11: 675km
Jarak perjalanan sehingga hari ke 11: 6010km .

Rekod perjalanan terbaru aku. Insyaalah bercadang untuk pecahkan rekod dimasa akan datang sekiranya masih diberi kesempatan, rezeki dan sihat tubuh badan. Semasa kembara ini kami sudah congak mencongak untuk berekspedisi ke Bangladesh , India dan Pakistan..Insyaallah..Bila..? belum tahu lagi..Pasang niat dulu..ha ha..dan angan-angan..

Sekian sedikit coretan pengalaman kembara untuk dikongsi bersama.

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY 10-22HB OKT 2010

Setelah berbincang dengan SM Khaidir beliau dan isteri berhasrat untuk bermalam sehari lagi di Chumpun. Badan sudah tidak larat untuk teruskan perjalanan. Almaklumlah orang dah pencen..,dapat ride sejauh ini pun sudah kira pencapaian. Jadi kami berpisah dengan beliau.Tidak mengapa kerana Goldwing beliau dilengkapi GPS..


Pukul 8.30 pagi, kami geng BMW meneruskan perjalanan pulang ke Malaysia ikut pintu Golok. Semasa datang Thailand ikut pintu Danok. Setelah bersarapan pagi dengan meminum kopi di hotel, kami singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak dan membeli air panas untuk bersarapan maggi..Laluan berikutnya adalah menyusur jalan pantai timur selatan Thailand bermula dari Surat Thani-Nakon Sithamarat-Songkla-Patani-Yala-Nharatiwat dan tiba di Sg Golok pada pukul 8.00 malam. Sebelum itu singgah di Hua Sai untuk makan tengah hari di restoran Melayu Thai muslim. Setelah 10 hari, hari ini kami merasai kenikmatan makan ikan..Masa kami sampai, solat jumaat baru je bermula di masjid berdekatan..

Sepanjang laluan selatan Thailand ni selain terdapat banyak masjid terdapat banyak post tentera juga sekatan jalanraya oleh polis. Wanita bertudung pun ramai dan sausana seperti di Malaysia. Kami dapat juga singgah masjid di Patani dan beramah mesra dengan jemaah masjid yang menunaikan solat asar. Setiba di Golok minta Jaga basuh motor sebab sudah teramat kotor..,dan kami makan sakan di Restoran Hj Hussain King tanpa ragu dan was-was..Malam itu kami bermalam di Hotel Genting..Malam hujung minggu hotel penuh dengan orang Malaysia..

Jarak perjalanan hari ke 10 : 795km
Jarak perjalanan sehingga hari ke 10: 5335km

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY 9-21-0HB OKT 2010

Target asal adalah untuk sampai sehingga ke Phatalong. Phatalong dengan Hatyai sudah tidak jauh sekitar km sahaja. Tetapi hasrat ini tidak kesampaian. Kami tersesat semasa menuju ke Nakon Sawan dan dari Nakon Sawan Ke Suphanburi. Kami berempat tiada pengalaman ride di Thailand sejauh ini..,menunggang pun menurut papan tanda. GPS Goldwing menggunakan map lama, jadi banyak tempat baru tidak terdapat dalam data GPS. Sewaktu di Nakon Sawan aku terpisah dari dua riders lain sebab aku termasuk ke kawasan pekan..Puas aku tunggu, diorang tidak muncul, bila aku berpatah balik kelibat diorang sudah tiada. Berpusing-pusing aku mencari jalan keluar dari pekan..Aku telefon mereka tidak berangkat pulak..,kalau tidak menggunakan handsfree memang susahlah..Bluetooh handsfree aku pulak bateri nyawa-nyawa ikan..Aku dah bertekad kalau terus tidak dapat menghubungi mereka, aku akan meneruskan perjalanan sendirian.,berpandukan peta yang aku dah study..alah mat kapchai pergi London sorang-sorang, takkanlah aku baru sesat di Thailand sudah gelabah..Bandar Nakon Sawan tu pun tidak lah besar sangat.. Tapi dalam aku membetulkan bluetooh helmet aku, mereka menghubungi aku..Kami regroup di kedai makan muslim untuk makan tgh hari..

Semasa menghala ke Supanburi kami bertiga sesat lagi..,,nyaris termasuk ke Kota Bangkok. Kalau masuk Bangkok nayalah..di KL yang dah biasa pun tersesat inikan pula Bangkok yang kami tidak pernah pergi..Mujur kami kerap berhenti untuk mempastikan laluan menggunakan peta. Gabungan GPS dan peta memudahkan perjalanan. Ahamdulillah kami selamat sampai ke Chaam pada pukil 5.30 ptg untuk makan dan solat..Walaupun hari menghampiri malam dan hujan sepanjang perjalanan, kami terus menunggang sehingga ke distinasi akhir hari itu iaitu di Chumpun dan bermalam di Grand Hotel. Walaupun hajat untuk terus ke Phatalong tidak kesampaian kerana jam sudah pukul 8.30 malam., berhenti rehat adalah keputusan tepat kerana lebih baik tidur rehatkan badan untuk perjalanan esok daripada menyeksakan badan ride didalam kesamaran malam, hujan pulak tuu....

Jarak perjalanan hari ke 9: 890km
Jumlah jarak perjalanan sehingga hari ke 9 :4540km

Tuesday, October 26, 2010

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY8-20HB OKT 2010

Ini merupakan kemuncak kembara kerana ekspedisi kami ke Segitiga Emas akan tercapai. Hari ini kembara meliputi Chiangrai-Maesai- Segitiga Emas Myanmar-Segitiga Emas Thailand-SegitigaEmas Laos.

Setelah bersarapan di gerai muslim Thai berdekatan masjid Chiangrai kami terus ke Maesai iaitu daerah paling utara Thailand dan bersepadan dengan Myanmar. Motor kami tidak dibenarkan di bawa masuk ke Myanmar . Mungkin kena dapatkan permit khas baru boleh..Kalau boleh bawa motor boleh lah jauh kami dapat meronda. ,tetapi disebabkan Myanmar diperintah oleh junta tentera jadi kenderaan asing tanpa permit khas adalah dilarang..Sebagai alternatif kami menunggang Tut-tut yang sedia menunggu pengunjung di pintu masuk Myanmar. Urusan immegresen Thai dan Myanmar selesai. Permit ke Myanmar untuk tempoh sah laku selama 14 hari diperolehi dengan bayaran 500 baht. Pasport kami disimpan oleh pihak imegresen dan boleh di ambil semula semasa keluar semula Myanmar.

Di Myanmar disebabkan kesuntukkan masa kami hanya sempat melawat perkampungan budaya masyarakat karen berleher panjang..satu lilitan besi mewakili satu tahun pemakaian., Barangan kraf turut dijual disini.. kemudian kami dibawa ke kedai batu permata, ruby, jade etc. Pemiliknya adalah muslim..sebab aku tidak berapa kenal nilai batu..aku tidak membelinya walaupun orang cakap batu permata di sini adalah murah berbanding Malaysia..Bagi aku batu..adalah batu..kalau aku beli pun bukan orang tahu batu aku mahal,sebab tidak semua orang kenal batu mahal atau batu murah..jadi jalan selamat aku tidak memakai atau membelinya..distinasi tut tut berikutnya adalah Grand Pagoda..,bergambar lebih kurang sebab jarak perjalanan berikutnya masih jauhh.. Kesihan penjual cenderahati disitu kerana kami tidak membeli..Selepas bergambar di bulatan Golden Trianggle Myanmar kami beredar semula ke Thailand untuk ke Golden Triangles Thailand pula..

Jarak perjalanan GT Myanmar Ke GT Thailand adalah sejauh 90km . Walaupun demikian laluan adalah teruk kerana kerja-kerja baik pulih jalan sedang dijalankan. Sebahagian laluan adalah tanah merah.. Oleh kerana hari sebelumnya hujan maka jalan adalah rosak. Goldwing tumbang dua kali sewaktu cuba melepasi halangan jalan tanah merah rosak ini..Kami tiba di GT Thailand pada pukul 12.30 tgh hari. GT Laos tidak dapat kami pergi kerana dipisahkan oleh Sungai Mekong..Di lain kesempatan mungkin..Kami mengabadikan gambar kenangan disini dan membeli cenderahati sebelum bergegas semula pulang ke hotel di Chiangrai untuk check out.

Kami makan di restoran sama semasa sarapan, terpampang gambar Chef Wan di restoran yang diambil semasa beliau berkunjung ke restoran ini..Kami bersiap sedia memulakan perjalanan balik pada pukul 4 ptg. Kami akan menunggang selagi terdaya untuk mencari tempat bermalam dalam perjalanan pulang..

Jika datang ke Chiangrai kami menggunakan laluan biasa, balik semula ke selatan kami menggunakan highway..laluan lurus dan lebar, jadi kami membesit..,sehingga ke Lampang..Dari sini kami memilih laluan biasa semula melalui Utharadit sebelum sampai ke Phitsanuluk, dengan alasan menggunakan laluan berbeza sewaktu datang. Terdapat kekesalan memilih laluan biasa ini kerana jalan biasa di Thailand adalah berliku-liku kerana melalui kawasan berbukit bukau..Sebahagian jalan pula sedang dalam pembinaan. Hasrat untuk meneruskan perjalanan sehingga ke Nakon Sawan tidak kesampaian kerana hari sudah lewat malam dan kami kepenatan . Kalau tidak boleh lah juga dapatkan makanan islam sebab kami sudah kenal pasti restoran itu semasa pergi dahulu..kami singgah di stesen minyak dan membeli air panas di 7 Eleven untuk membedal maggi..Kami membuat keputusan untuk bermalam di Phitsanuluk dan tiba jam 11 malam di Hotel Rattana Park Phitsanulik.


Jarak perjalanan untuk hari ke 8 : 750km
Jarak perjalanan sehingga hari ke 8: 3650km

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY7-19HB OKT 2010

Riding hari ke 7 adalah ke Chiangrai. Hanya 3 biji motor meneruskan cabaran 2 BMW dan sebiji Goldwing. Geng Gtr terpaksa menamatkan cabaran kerana kekangan masa. Mereka perlu berada di Kuala Lumpur selewat-lewatnya Jumaat pagi.. Kembara terganggu kerana kemalangan tidak diingini yang dialami oleh Ar mastor. Jadi perancangan sudah lari dari pelan asal., tetapi tidak mengapa mungkin ada hikmahnya..

Pagi itu setelah menemui Ar Mastor di PB hotel Chiangmai dan bersarapan bersama di gerai muslim kami berempat meneruskan cabaran manakala geng gtr terpaksa pulang ke Malaysia.

Laluan dipilih adalah jalan biasa bukan highway..di tengah perjalanan hujan lebat ..ituu dia memang sah jalan bengkang bengkok walaupun jalan tidak berapa mencabar sebagaimana semalam tetapi amat bahaya jika menunggang diwaktu malam..Keputusan semalam adalah tepat tidak meneruskan perjalanan.



Kami tiba di Chiangrai pada pukul 2 ptg dan menginap di Wangcome Hotel- WangMari Hotel?. Kesempatan tiba awal digunakan dengan menyambung tidur, memulihkan stamina setelah makan tengahhari di kedai muslim Myanmar berhampiran masjid besar Chiang Rai..



Tidak pula kami menyangka tempat yang kami kunjungi terdapat masjid jadi senang mendapatkan restoran halal.




Bangun tidur kami menghabiskan sebahagian stok Maggi cum makan malam untuk memberi ruang kepada barang-barang cenderahati yang semakin bertambah..Sebelah malam urut kaki meredakan kepenatan setelah berkunjung ke bazar malam sambil membeli cenderahati kenangan lagi.


Jarak perjalanan hari ke 7 : 136km
Jumlah jarak perjalanan sehingga hari ke 7: 2900km

Monday, October 25, 2010

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY6-18HB OKT 2010





Perjalanan berikutnya hari ke 6 adalah antara Lawa-Mae Hong Song. Sebenarnya cabaran thousand corner bermula di sini. 80 peratus adalah jalan sangat berliku dan mencabar. Mengikut perkiraan aku laluan sektor 2 antara Mae Sot -Mae Sariang -Lawa merangkumi 60 peratus laluan kurang mencabar manakala baki 40 peratus mencabar.

Walaupun demikian cabaran tetap ada apabila tong motor GTR Pak Usop tertanggal dari motor apabila beliau terlangar lubang..Tong..Tong..Tong ha.ha bergolek lajuu...! mujur tidak terjun sungai..Sebelum ini geng GTR ni pakat gelakkan kami bila bulb BM kami terbakarr..ha ha ambik ko. .Jadi kepada pemilik GTR sila pastikan lock tong anda betul-betul kukuh kerana banyak kejadian seumpama ini berlaku..


Kami tiba di puncak laluan dimana jalan sentiasa basah disebabkan laluan ditutupi kabus. Suhu adalah dalam lingkungan 9 darjah hari itu..Melayan korner dalam situasi jalan seperti ini sungguh memenatkan fizikal dan mental..Walaubagaimanapun kami berjaya tiba di Mae Hong Song. Berhenti makan di kedai muslim berdekatan masjid. Selepas solat kami ke pejabat mendapatkan sijil pengiktirafan. Kesempatan juga diambil dengan membeli cenderahati sebagai kenangan.



Setelah mendapat sijil kami menyangka laluan berikutnya adalah santai. ,tetapi kami silap..Sektor Mae Hong Song-Pai-Mae Taeng. 95 peratus jalan sangat berliku dan sangat mencabar hanya 5 peratus kurang mencabar bila tiba kawasan pekan kecil. Perjalanan pulak diwaktu malam dan sepanjang jalan hujan.., jalan licin.Kami yang pakai spek lagi seksa, mana nak layan silau mata, bila pulak nak layan korner..,tunggangan hanya boleh mencapai kelajuan maksima 30km/jam dan penggunaan gear 1-3 shj. Jarak perjalanan hampir 200km menempuhi rintangan bergunung ini..Pukul 9 mlm baru kami tiba di Mae Teng.




Mae Teng adalah di persimpangan. Ke kiri ke Chiang Rai manakala ke kanan ke ChiangMai. Untuk ke Chiangrai jarak perjalanan dalam 170km lagi manakala ke Chiang Mai 35km. Pendapat terpecah kepada dua, riders yang mempunyai kekangan masa cuti singkat mahu terus ke Chiangrai tapi tidur di Phang lebih kurang 90km jarak dan dua orang termasuk aku lebih memilih Chiangmai..,kebetulan kami berdua memakai spek, mana selesa menunggang malam..Walaupun jarak 90km ke Phang tapi menurut tuan gerai tempat kami berhenti, jalan adalah kurang berbukit tetapi masih berliku ..

Akhirnya semua akur untuk tidur di Chiangmai..Makan malam di gerai muslim. lepas check in, mandi air panas dan terus membuta...

Jarak perjalanan hari ke 6:386km
Jumlah jarak perjalanan sehingga hari ke 6: 2764km

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY5-17HB OKT 2010

Perjalanan hari ke 5 adalah menuju ke Mae Hong Song tempat dimana perjalanan kami akan disahkan melalui sijil membuktikan kami telah mengharungi cabaran jalan berliku paling minima 1864 liku tajam dan bercerun curam sepanjang 500km jarak perjalanan Kami bersarapan di tempat yang sama di kedai mamak, dan selesai terus ke bengkel motor untuk memasang bulb yang ditempah semalam. Alhamdulillah bekalan ada..Pok Li pasang lampu kaler kuning, dan aku punya kaler putih..pergh terang menyala..mengamuk lah orang dengan aku nanti, lampu sebelum ini pun selalu dapat high beam dari orang depan, apatah lagi dengan yang kaler putih ini..Aku ingat harga sama rupanya yang kaler kuning berharga 860 baht, kaler putih 1400 baht. Upah pasang 100 baht tiap satu..






Perjalanan Thousand corner bermula..dalam perjalan kami sempat mengabadikan foto kenangan di perkampungan orang bukit Thailand. Atap rumah adalah unik menggunakan daun pokok jati yang di susun kemas..Sewaktu kami mengambil gambar sempat kami bertegur sapa dengan Mat salleh Australia yang memasuki kawasan perkampungan ini. Beliau merupakan guru disini. Missionary kristian barangkali..


Laluan Thousand corner melibatkan laluan lembah dan lereng gunung yang sangat curam. kalau di lembah jalan sering mengalami kerosakkan permukaan disebabkan air deras sungai mengalir deras melintasi jalan raya, manakala di lereng gunung air hujan menghakis permukaan jalan. liku adalah berbentu U, Cuba bayangkan.. Masa turun sangat curam tiba-tiba kena buat pusingan U secara mendaki curam pulak. Kawalan dan pilihan kedudukan gear adalah sangat penting..Silap pilih posisi gear akan menyebabkan motor terbalik. Untuk laluan mencabar hanya menggunakan gear 1-3 sahaja
Sewaktu aku menjarakkan diri sejauh mungkin dari kelompok riders lain untuk membolehkan aku mengambil foto riders melayan korner,aku nyaris mengalami kemalangan apabila tiba tiba sebuah pick up muncul laju dari arah hadapan. Aku pula sewaktu itu sedang mencari laluan elok di tengah jalan. Berderau darah aku..nasib aku baik kerana sempat mengelak..



Kami berehat untuk makan tengahhari di Pekan Mae Sariang.
Didalam perjalanan berikutnya antara Mae Sariang dan Mae Hong Song Ar Mastor mengalami kemalangan. Beliau gagal mengawal motor sewaktu mengambil selekoh kerana hilang tumpuan sebab keletihan dan mengantuk..Sewaktu kejadian ini group rider terpecah kepada 2...Sebelum kejadian, aku bersama kelompok belakang..disebabkan lama sangat menunggang perlahan aku mula mengantuk.. jadi bila terdapat laluan kurang mencabar aku memecut menyertai kelompok di hadapan.. Kelompok hadapan biasanya akan berada jauh dihadapan dan biasanya untuk regroup, kelompok hadapan akan berhenti dalam 5-10 minit sebelum kelompok belakang akan muncul. ..

Tetapi berhenti kali ini memang luar biasa lama, Dah dua tiga kali aku tinggalkan posisi rakaman foto untuk mengambil gambar kelompok belakang ni semasa mereka keluar dari selekoh tetapi tidak muncul-muncul..lebih setengah jam kami tunggu..tetiba sebuah pick up tergesa-gesa memberi flash light dan berhenti di hadapan kami memberitahu kawan kami eksiden..dalam kepala otak aku.. mesti Goldwing,sebab motor ni paling besar dan sukar untuk melayan korner, tetapi driver bagitau motor putih..Sah Ar Mastor..Kami berpatah balik. Tempat kejadian 60-70km dibelakang menurut driver pick up, nasib baik dia boleh cakap orang putih..argh aku rasa baru saja aku tinggalkan group ini takkan dah begitu jauh..tapi memang jauh..sebab lama sangat tidak sampai ke tempat kejadian kami tahan lori untuk kepastian..dia guna bahasa isyarat jauh lagi di belakang..



Sewaktu kami sampai di tempat kejadian pick up polis dah tiba.. Orang ramai sedang mengangkat motor dari longkang tanah dan mengumpulkan barang yang bertaburan di persekitaran..Kesihan Ar mastor, terjelepuk duduk..terperanjat barangkali..mujur tiada kecederaan.. dan tiada kerosakan teruk pada motorsikal hanya kecacatan kosmetik. Dengan izin Allah sut jaket yang dipakai menyelamatkan dia. kalau tidak.. robek badan dia..

Setelah motor dibawa ke balai polis Lawa, kami membuat keputusan untuk menginap di rumah tumpangan berhampiran dengan balai sahaja. Ar Mastor terpaksa menamatkan cabaran di sini. Esok beliau akan mengiringi motor ke Chiangmai untuk urusan motor beliau. Kami akan bertemu beliau di sana setelah menghabiskan cabaran Thousand Corners.

JARAK PERJALANAN HARI KE 5 : 321 KM

JUMLAH JARAK PERJALANAN SEHINGGA HARI KE 5 : 2378 KM

Sunday, October 24, 2010

KEMBARA SEGITIGAEMAS DAY4-16HB OKT 2010

Perjalan hari ke empat adalah dari Kenchanapuri menuju Mae Sot pekan bersepadanan dengan Myanmar di sebelah barat Thailand. Jam 8.30 kami singgah di gerai untuk bersarapan. Olehkerana gerai muslim belum dibuka kami singgah saja di gerai yang baru saja bersiap untuk beroperasi bagi mendapatkan air panas.. pekena nescafe tarik dan maggi cup yang di bawa dari malaysia. Bagi yang berselera.., order telur separuh masak..tapi tekak aku tak mau terbuka la..aku membedal maggi ajelah untuk sarapan. Setelah bersarapan kami mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas. Kalau di Malaysia kita ada Kedai Mesra, tapi di sana dipanggil Kedai Suria


Di sepanjang perjalanan ke Maesot melalui Chainat , Nakon Sawan dan Tak kami singgah ke kedai-kedai motor untuk mencari bulb lampu motor hadapan aku yang hanya sebelah menyala manakala motor Pok Li kedua-dua lampu padam..Motor aku ok lah lagi tetapi motor Pok Li hanya bergantung pada lampu high beam untuk perjalanan malam. Tiba di Maesot kebetulan terdapat bengkel motor besar..melalui tuan punya bengkel kami mendapatkan bekalan bulb..tetapi hanya keesokan hari baru boleh mendapatkan bekalan kerana kedai spare part telah tutup.. Dah malaam beb..

Malam itu kami makan di kedai mamak di hadapan masjid Mae Sot. Mamak ni di mana-mana ada..Pekena kari kambing dan ayam..cuma perut aku memulass setelah pekena kari ni, mujur sempat sampai ke tempat penginapan..Walaupun terpisah sewaktu di pekan Maesot kami berjaya regroup di resort yang kami telah kenal pasti semasa memasuki pekan sebelah petang itu..Penginapan yang berbaki adalah sebuah rumah dengan dua bilik dan ruang tamu luas.. tak kisahlah kami duduk serumah. Sm Khaidir dan isteri untunglah dapat sebilik..kami yang lain pakat-pakat kongsi ruang yang lain..alaah badan penat ni tidur dimana pun jadi..dengkor jiran pun dah tak dengar daah..


jARAK PERJALANAN HARI KE 4 : 556KM
Jumlah jarak perjalanan sehingga hari ke 4: 2057km

CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK