click to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own textclick to generate your own text

Friday, December 27, 2024

Pasu Bunga...

 


Bila ke pasar membeli bahan dapur dan buahan, terasa sayang sungguh mengeluarkan duit untuk membayar..ubikayu rm5 sekilo, dah lebih mahal dari beras, betik sebiji saiz sederhana hampir rm7, nenas besar sedikit dari penumbuk harga RM4..meninjau harga sayuran ulam Raja ,  serai, halia kunyit dll serba serbi mahal.

Untuk mereka yang mempunyai ruangan bertanam, semua yang dinyatakan diatas boleh ditanam sendiri

Terkilan sangat membeli betik dan nenas tadi, terus menyinggah kedai RM2.4 membeli pasu..2 jambul nenas belian terdahulu telah tumbuh akar dan boleh dipindah ke pasu..Jambul belian nenas baru akan disemai dalam bekas air sehingga berakar. Tak sangka nenas yang ditanam dipasu membesar dengan baik.. penjagaan tak sesusah tanam terus atas tanah, terutamanya membersihkan rumput disekeliling


3 Anak pokok betik  dah dipindahkan kelapangan Rumah AG, ada 2 pokok lagi yang belum dipindahkan..sedang mencongak dimana harus ditanam.. dicampur pokok di Rumah BCH ada 9 pokok kesemuanya..Jika berbuah semua makan tak habis . Tanam di kebun bukit semuanya di musnahkan monyet..Rumah berkawasan, tapi betik terpaksa membeli adalah satu kerugian..Membeli betik tadi sebab betik dipokok belum ada yang matang.


Jom jom berkebun...

Monday, December 23, 2024

Jasmine & Kenanga..



Ketika  berbunga Jasmine, dan Kenanga tersangat wangi  menyesakkan hidung..  2 jenis  pokok ini menjadi  pilihan  di halaman  rumah santai AG. Biar ketika memasuki rumah disambut bau harum semerbak.

Kenanga beli di nurseri manakala  Jasmine cabut dari rumah  BCH, di sana dah jadi hutan mini dipenuhi segala macam  pokok keliling rumah..








Dibelakang rumah  3  Pokok Nam Nam dan 1- 3 pokok betik yang ditanam nun di kaki cerun. Pokok betik berbuah sepanjang masa memang kena ada.. penjagaan  mudah, daun gugur tak banyak . Pokok Nam Nam memanfaatkan pokok yang banyak tumbuh di rumah BCH, di nurseri dijual mahal pada harga Rm 35.. Rimbunan daun cantik dan daun tak banyak gugur .




Pokok  asas masakan  pokok kari dan  pandan yang ditanam mudah dicapai dipinggir dapur. Pokok halia ditanam dikaki cerun..

Selebihnya lapang dengan hamparan rumput...

Jom jom berkebun...




Friday, December 20, 2024

Kapak...


Orang berkebun bila memasuki kedai menjual perkakas kebun, dia punya feel lain macam.. Geram bila dapat melihat perkakas terutamanya parang dan kapak..

Biarpun parang dah banyak, keinginan membeli lagi tetap ada dan terpaksa dipendamkan. Apa yang dah takda, parang panjang, sederhana, pendek, hujung lebar, nipis,  kontot, runcing, bengkok semua dah ada.  

Kalau banyak sangat sudahnya yang sediada dibiarkan hilang, tak bersungguh mencari bila tersalah letak sebab parang spare ada lagi..

Kapak sebelum ni dah beli online, tapi kecil sangat, pakai tak begitu puas, itupun dah tercabut dari hulu kayu dan  kepala kapak terpelanting cari  tak jumpa. Cukup menjadi alasan untuk membeli lagi..Beli di kedai dapat mencuba keseimbangan dan ketajaman kapak..Puashati. Kapak berhulu batang paip besi dan kepala diperbuat dari kepingan spring lori..tak begitu berat sedap ketika dihayun.  Panjang hulu tak panjang sangat namun cukup selesa menggunakan 2 tangan..Harga RM35

Bila mempunyai kapak lebih mudah memotong pokok kecil atau dahan tumbang. Kerja sikit-sikit leceh mengusung chainsaw. Penyakit chainsaw bila lama tersimpan sangat sukar dihidupkan..jadi tak berbaloi menebang atau memotong hanya beberapa dahan kering yang luruh.. 

Dengan kapak..Zas..Zas..Zas .Siap...

Thursday, December 19, 2024

Warong Kudapan Parit Raja...

Rumah pusaka ini betul-betul di Pekan Parit Raja Batu Pahat Johor, biarpun nampak uzur sebab sudah terlalu berusia, namun berlokasi strategik. 

Hadapan jalan utama manakala  belakang jalan sibuk deretan rumah kedai taman perumahan. Kebanyakan waris menjadikannya sebagai premis perniagaan sebab sudah tidak lagi sesuai dijadikan rumah kediaman.

Memanfaatkan jalan depan dan belakang yang  hidup, premis dipecahkan kepada 3 bahagian. 1 bahagian dibelakang dan  hadapan dibelah kepada dua bahagian.. 

Premis dipecahkan  supaya dapat menawarkan premis niaga sewa murah. 



Biarpun bahagian hadapan dibelah 2 bahagian, dalam tetap luas..


Walaupun sewa murah, penyewa jarang yang kekal lama, setahun 2 berniaga mereka berpindah. Menunggu penyewa baru masuk mengambil masa agak lama.

Tak mau asyik bertukar ganti penyewa selain kerenah liat membayar sewa, kita memberanikan diri berniaga warong. Rugi dah pasti sebab sudah mengeluarkan modal, berjaya belum tau lagi..sebab itu memilih warong kudapan yang tak perlukan modal tinggi.. 

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam..



Dulu mula buka kedai gunting rambut dikedai bahagian belakang kita pun  main berani, kita  bukannya tau menggunting rambut.  Mengharap 100 peratus dengan pekerja. Pejam celik sudah berbelas tahun  beroperasi
 

Kelebihan berpremis sendiri kita tak risau pasal bayar sewa sementara pelanggan mengenali  kedai. Cuma perlu jaga kebajikan pekerja...Untuk permulaan ini cukupkan keperluan makan minum dan dapat memberi pinjam duit mengirim ke kampung itu sudah memadai...penginapan terdapat bilik dikedai..

Berjaya yang ini, luaskan menu Warong Ayam Penyet dibahagian premis yang sebelah pula, jika kedai itu masih tidak berpenyewa. 

Pekerja...? Tak perlu risau, kawan maupun sedara mara pekerja sediada  dah tak sabar untuk berkerja..

Alfatihah untuk orantua yang mewariskan premis..Moga mengalir pahala bila premis dimanfaatkan sebaiknya..

Sunday, December 15, 2024

Si Cilik yang Licik

Setel penghantaran kayu-kayu lebihan ubah suai rumah ke kebun. Kayu- kayu akan digunakan untuk membaik pulih pondok kebun. Sebahagian pondok telah runtuh. Biarpun kayu kebun dirawat dengan minyak terpakai, namun masih tidak tahan lama , tetap reput untuk bahagian yang terdedah dengan hujan panas, yang tertutup masih lagi teguh..



Jika sebelum ini panjang kayu tidak melebihi 7 kaki dimasukkan didalam Kembara, penghantaran kali ini untuk kayu-kayu panjang melebihi 8 kaki.


Kayu terpaksa menjulur melebihi ekor Kembara. Pintu bonet Kembara dibiarkan terbuka setelah diikat kemas..

Penghantaran awal pagi hujung minggu ketika kenderaan dijalanraya tidak banyak, berjalan lancar. Itupun ada juga pengguna jalanraya menoleh beberapa kali ketika memotong. Pelik barangkali, secilik-cilik Kembara disumbat dengan kayu panjang



Jarak rumah dan kebun pun tak jauh sekitar 20 minit pemanduan.  Selesai masalah melupuskan kayu panjang..sebelum ini terlintas untuk memotong kayu dulu, mujur tidak meneruskan hasrat tersebut.






Berbanding meletakkan kayu di bumbung, meletakkan kayu di dalam kenderaan lebih selamat. Bonet  yang diikat kemas ke badan Kembara  bertindak sebagai penahan kayu daripada menggelongsor. Kayu pula diikat kemas pada badan Kembara. Sehingga ke kebun ketegangan ikatan kekal sama  biarpun melalui pendakian jalan off road bermakna kayu kekal stabil di tempatnya.



Selepas ini dah tak perlu pening mencari kenderaan untuk menghantar kayu panjang.

Cuma sekarang sedang mencari jalan bagaimana untuk membawa keluar masuk Atv ke kebun menggunakan Kembara pula..Pening jika tiap kali ATV bermasalah terpaksa membawa pomen naik ke kebun..berapa banyak peralatan yang perlu dibawa..Atv telah beberapa minggu  tersadai sebab gear tercabut..panggil pikap pun bukan boleh naik sehingga ke kebun, cuma si cilik dan licik ini saja harapan..

Thursday, December 12, 2024

Avocado Mentega...

Misi menanam pokok avocado  sehingga 30 pokok diteruskan dengan menyemai benih baru. 

Pernah beli biji benih avocado online selalu ketiadaan stok, di Pasar Chowkit, selain beli buah elok Rm12 sekilo diberi percuma buah yang dah terlebih masak, sampai rumah dikira dapat hampir 30  biji benih..Mantap


Anak pokok avocado tersangat mahal, kebanyakannya sepokok melebihi RM50, terasa sayang mengeluarkan duit dengan risiko besar  disondol haiwan liar ataupun berpenyakit.


Berpuluh pokok yang ditanam dari biji sebahagiannya terselamat samada dari penyakit maupun dirosakkan haiwan liar..Berbaki belasan pokok yang terselamat kini sudah dikahwinkan dan membesar dengan baik..ada yang melebihi ketinggian budak remaja. 

Pokok dari biji lebih cepat menyesuaikan diri di lapangan..Setelah dikawinkan lebih cepat membesar jauh meninggalkan pokok yang dibeli di nurseri..

Jika 30 benih yang disemai hidup semua nanti, banyak pilihan samada menyulam pokok yang mati atau mencukupkan baki di petak yang dikhaskan  atau menyelit di petak lain atau dibuat kakiganda.

Setelah hampir 3 tahun berkebun..tidak begitu kelihatan lagi hasil keringat yang dicurahkan, kebanyakan pokok-pokok yang ditanam masih bersaing dengan ketinggian rumput rampai terutamanya pokok-pokok yang disulam baru..ataupun belum melepasi ketinggian tanah bercerun untuk dilihat dari jauh.. Sesudah rumput-rumput dipotong baru terasa banyak juga pokok-pokok yang ditanam..Nanti apabila pokok sudah  dewasa dan berketinggian sekata,  rumput pula mulai tewas sebab terhalang cahaya baru lah merasai kepuasan berkebun.

Barulah ada feel duduk di dusun...


Wednesday, December 11, 2024

Tamu Tak Di Undang...

Rumah bila jarang berpenghuni mula lah ada tamu menumpang rumah. Sejak berpindah randah lebih 4,5 bulan rumah Serendah-Rawang, memang tersangat jarang menjenguk keseluruhan rumah pertama penulis di Rawang ini, lebih lagi rumah ini sebelum ini berpenyewa. Kita pula bila balik ke rumah anak, biarpun hanya bersebelahan jarang menjenguk keseluruhan rumah ini.


Anai anai tanpa segan silu membina rumah di papan suiz bahagian dapur. Melihat tiadanya jalur/laluan, dijangka mereka menggunakan saluran paip kabel..menghampiri bumbung baru kelihatan jalur laluan..suiz dah tak boleh ON/OFF sebab dipenuhi sarang anai- anai.

Tak tahulah bagaimana keadaan dibumbung..



 Penyewa jangka pendek 5 bulan tidak memaklumkan, rasanya mereka pun tak tau yang ini adalah anai anai dan perlu dibasmi segera, mereka menutup bahagian ini dengan menggantung tudung saji....cikgu cikgu muda perempuan 7 orang menjalani latihan praktikal perguruan di sekolah berhampiran.. 


Setelah mereka keluar baru orang rumah perasan dan memberitahu terdapat sarang kelulut di ruang  dapur. Ermm yang tua pun tak kenal anai anai apatah lagi anak- anak muda.. Kita pun percaya sebab rumah jiran memang terdapat sarang kelulut di kotak surat luar rumah. Mungkin ini koloni baru kelulut, setelah beberapa hari pergi menjenguk, dari jauh dah tau itu  anai anai...

Racun anai anai memang sentiasa tersedia..di luar rumah jika terjumpa kesan anai anai akan mencurahkan racun ini dilubang..Di dalam rumah ini pertama kali menerima tetamu ini..

Harapnya bila askar dan pekerja diracun , ratu pun ikut mati bersama..



Monday, December 9, 2024

Keladi Liar...


Hujung/awal tahun musim hujan..Masa ni terbaik menanam pokok..tak perlu bersiram. Buat kerja kebun dalam hujan pun best tak panas, tanpa sedar dah tengahari..

Hariini bertandang ke kebun tumpang pulang kiri kanan tangan membawa hasil kebun. Pisang dan keladi, ikutkan kangkung pun dah merimbun mintak dipetik..

Sambil tu menanam 2 pokok kelapa, ditanah kosong taman awam, anak kelapa tumbuh dari buah tua yang gugur. Daripada ruang kosong, dimanfaatkan dengan tanam pokok, membesar nanti redup sedikit kawasan..haiwan atau burung-burung berteduh kita pun dapat pahala..

Pokok pisang biarpun tak sesubur dulu, tetap memberi pulangan. Tuai setandan, ada 6 tandan lagi yang sedang membesar. Pangkal pokok dibersihkan lebihkurang, daun-daun tua dicantas dan dilonggok diperdu pokok, anak-anak baru dicantas jadi pokok tidak berebut baja..tinggalkan 2 pokok seperdu..

Pokok keladi dah tumbuh meliar..Apabila dituai yang dewasa, anak-anak kecil pula semakin subur..biarpun nampak macam sikit, bila dituai boleh tahan banyak. Masak cili api super pedas fuh mantap..

Tayar terpakai dah ambik, tanah bukit pun dah bawak balik ..nak tanam halia lagi. Sebagaimana kunyit, halia pun senang jaga..bila matang tak perlu tuai semua, pokok tetap tak rosak, akan tumbuh anak-anak baru, ambil bila perlu.. .jadi stok sentiasa ada..pokok pokok asas seperti halia kunyit serai memang tak patut kalau sampai membeli..serai 3 batang 50 sen..tanam dalam pasu pun hidup...air basuhan ikan disiram ke pokok untuk lebih subur..

Apa lagi jomlah berkebun..


Saturday, December 7, 2024

Fun Walk Hari Aids Sedunia...

Kalau dulu sangat kerap ke Tasik Rekreasi Antara Gapi, Serendah ini untuk berjogging biarpun untuk sampai ke sini mengambil masa hampir setengah jam dari rumah...Sejak sering bermalam di rumah istirehat ini lebih 5 bulan, ermm hanya sekali beriadah di taman...begitulah yang selalu berlaku, orang yang jauh lebih dulu  datang berbanding mereka yang tinggal berhampiran.

Harini Sabtu terdapat program hari Aids Sedunia di taman tasik ini anjuran Majlis Agama Islam Selangor dan Pejabat Kementerian Kesihatan Hulu Selangor, kempen kesedaran membuang stigma penyakit aids boleh merebak melalui  jangkitan  biasa seperti bersentuhan dsb




Seawal 7pagi pendaftaran dibuka. Pendaftaran percuma, kita pun ikut serta. Pendaftaran 200 peserta pertama mendapat goodies dan kupon sarapan lagi. 

Pogram dimulakan dengan senamrobik ..


Biarpun langkah sumbang, tak kesahlah, yang penting turut memberi sokongan moral menjayakan pogram.



Sesudah senamrobik diikuti dengan jalan santai mengelilingi taman tasik air keruh..



 
Disepanjang trek diletakkan info berkenaan stigma Aids..bagus juga program sebegini..sambutan boleh tahan meriah melebihi 200 peserta ..peserta dari rumah pengasih, pemulihan penagih dadah pun ada...
 


Pertandingan melukis kanak-kanak turut diadakan.


Beberapa siri ceramah mengenai aids  diadakan disamping booth pameran peserta program dari KKM, MAIS dan PDRM ..

Hampir 90 peratus pesakit aids disumbangkan dari penagih dadah dan pengamal seks bebas.

Pemeriksan kesihatan percuma dari pihak KKM Hulu Selangor, manakala dari pihak MAIS menyediakan info penyertaan  program pemulihan akidah juga..


 

Penginapan dekat, sehabis sarapan terus balik..boleh saja mendengar ceramah sambil bergolek di ruang tamu melalui pembesar suara...

Friday, December 6, 2024

Cempedak Durian...

Argh macam- macam spesis pokok cempedak. Minggu lepas beli anak pokok cempedak nangka di Benut Johor, minggu ni terpandang tag pokok Durian Cempedak di Pasartani Batangkali Selangor.

Kalau singkatan Cempedak Nangka, Nangkadak...Cempedak Durian ni Duriandak lah kot..Beli sepokok Rm25



Limau kasturi, limau purut sudah, kali ini beli pokok lemon, sepokok Rm6 saja..Ada sepokok dah tanam dipinggir jalan depan rumah..pokok hidup subur, namun belum berbuah..Belian kalini untuk ditanam di kebun bukit.

 Pokok limau bali pun sudah, cuma penjagaan pokok limau bali ternyata susah..biar pun berbaja dan bersembur racun..pokok tetap kurus..paling senang memang kasturi ..sekarang sudah berbuah...

Pengumpulan jambul benih MD2 semakin banyak..Kita memang suka makan nenas..jambulnya disemai dalam bekas berair sehingga berakar untuk dipindahkan ke kebun bukit..

 Selagi ada ruang kita sumbat...

Thursday, December 5, 2024

Luar Flet Dalam Setinggan


Walaupun kenderaan kecil, tiada alasan tidak boleh mengangkut barangan.. betul menyusun, banyak barangan yang boleh diangkut. 

Sekali imbas tak perasan pun didalam penuh dengan barangan kebun


Biar pun kecil, Kembara sangat versatil, cakap saja apa barang..batu kayu semua boleh diangkut, cuma kuantiti perlu lah berpada pada. Tangkas mendaki laluan sempit.




 Ini yang dikatakan, diluar flet didalam setinggan..sendat dengan segala jenis barang selagi boleh sumbat..

Kayu panjang 7' tetap boleh diangkut, disusun menyilang, bahagian depan ditumpang di atas dashboard  membawa ke cermin belakang. 

Kayu melebihi 7 kaki , boleh diangkut diatas bumbung..cuma rak perlu disediakan terlebih dahulu.

Mesin rumput, tong-tong sampah, anak-anak pokok disusun di ruangan kosong lain.

Rumput rampai liar dari rumah istirehat, terpaksa dilupus di belukar kebun..Tak sabar menunggu kontraktor majlis perbandaran datang mengangkut yang tak diketahui  jadual . Mujur hanya rumput, itu sebab tak mahu menanam pokok pokok di halaman rumah ini..berbanding rumah lama di sana terdapat tanah kosong untuk membakar sampah berdaun untuk dijadikan baja kompos...


Semakin sayang dengan Kembara...


Tuesday, December 3, 2024

Nangka Cempedak...


Sesudah urusan kerja di Parit Raja, kami meronda tanpa hala tuju ..tiada destinasi spesifik akhirnya membawa kami ke Benut dan Rengit. 

Semasa di Benut terpandang orang berjual pokok tanaman, menyinggah dan membeli 2 pokok nangka cempedak, RM20 sepokok..Pernah cuba banyak kali menanam pokok cempedak di kebun bukit, tiada satu yang berjaya kerana sangat diminati haiwan liar ..dicabut sehingga akar. Kaliini mencuba spesis cempedak kacuk nangka pula yang akan dipagar dengan tayar berlapis selain pagar net hitam. Harapnya benih dari Benut ini berjaya hidup dengan jaya..




Di Rengit menyinggah di outlet jualan kerepek viral Azhar Food...Tidak terduga pun untuk pergi, cuma terpandang outlet ini dipinggiran jalan utama dan teruja singgah. 

Meronda sebegini syok dibuat ke destinasi yang jarang kita terokai, melihat suasana baru lebih lebih lagi di negara luar, tempat sendiri tak begitu teruja kerana sudah boleh menduga gambaran sepanjang destinasi. Di tempat orang boleh memandu santai tanpa sedikit pun rasa mengantuk sebab meninjau suasana serba baru dan asing. Sepanjang ronda- ronda begitu boleh menyinggah ke beberapa tempat yang dirasakan menarik...


Seingat penulis kebanyakan singgahan kami dalam negara di daerah daerah kecil sepanjang jajaran pantai barat Johor seperti Pantai Punggur,Pantai minyak Beku, Semerah,  Pt Jawa dll memberi impresi tidak baik..Prasarana ada tapi keadaan tidak terurus, termasuk gerai gerai jualan dan  tandas awam. Sebenarnya bukan saja di Johor bahkan hampir semua tempat seluruh negara..Ini  yang sangat pedih setiap kali menyinggah... Keadaan ini disebabkan pengunjung yang tersangat kurang kerana tiada promosi berterusan untuk memungkinkan kegiatan ekonomi setempat berkembang maju..Papan- papan tanda mega perlu dipasang merentasi jalan utama untuk menarik minat orang tempatan dan luar berkunjung ke sana. 

Tanpa promosi, adalah pembaziran menyediakan prasarana sekadar untuk menghabiskan peruntukan perbelanjaan,  kemudiannya prasarana yang dibina terbiar  kerana tidak dapat menjana pulangan.


CUTI CUTI

Korea - December 29, 2010 Slideshow: Nor’s trip from Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia to Seoul, South Korea was created by TripAdvisor. See another Seoul slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

JOM TENGOK